Bila dia datang ke klinik aku, andaian aku tetap sama seperti doktor-doktor kebanyakan. Lelaki muda datang klinik pagipagi mesti nak cari MC. Lelaki muda sakit perut di bulan puasa mesti gastrik punya. Tapi nasib baik aku tak terpedaya dengan anggapan dan andaian-andaian negatif aku.
Bila aku soal selidik dengan lebih lanjut, aku simpati dengan dia. Dia memang betul-betul sakit. Dia memang dah frust sebab pergi sana sini doktor cakap benda yang sama dan beri ubat yang sama. Dia kata dia bukan tak nak puasa, tapi sakitnya melampau-lampau terutama waktu tengah hari dan lewat petang. Dia ada bisnes sendiri. Dia tak perlukan MC. Malah kalau dapat MC pun dia tetap kena pergi kerja. Dia pernah 2 kali datang ke klinik aku sebelum ini. Jadi sedikit sebanyak aku dah tahu sejarah kehidupannya. Andaian-andaian negatif aku buang jauh-jauh demi untuk mencari punca sakitnya.
Dipendekkan cerita, dia kena batu karang. Aku pernah kerja di Unit Urologi dulu jadi sedikit sebanyak aku ada juga pengalaman ekstra. Mesin ultrasound yang selalu aku guna untuk check baby, aku guna untuk locate buah pinggangnya dan sah, buah pinggangnya sedikit bengkak (Mild hydronephrosis). Daripada ceritanya, aku dah boleh agak sebab sakitnya bukan di hulu hati tetapi di sebelah kiri perut. Bila sakitnya datang, dia rasa macam-macam. Beberapa kali ke bilik air tapi takda apa yang keluar.
Dengan sedikit ubatan yang aku bekalkan dan nasihat mengenai penjagaan di rumah, aku harap beliau beransur pulih dan boleh berpuasa semula. Aku suruh dia datang balik selepas 3 hari jika sakitnya tidak berkurang. Aku nak suruh dia buat pemeriksaan lanjut. Aku nak rujuk dia ke ex-boss aku di Puteri Specialist Hospital.