DIAGNOSIS 3: MORTUARI - 12
Ha! Dia ni la yang langgar ambulans kita tadi. Mabuk tak ingat dunia. Abang Khairul pemandu ambulans yang menerjah masuk ke zon resus garang bersuara.

Pandangannya tajam menikam.

Pemuda itu yang kuat bau arak di badannya sedang tidak sedarkan diri. Tidak dapat dipastikan kerana pengaruh alkohol atau kecederaan yang dialami.

Ikutkan hati nak je aku humban ke tepi jalan! MA Rusdi menarik Abang Khairul yang seakan-akan mahu melakukan sesuatu ke atas pemuda itu.

Lokman menarik nafas panjang-panjang. Segala-galanya terlalu pantas.

45 minit sebelum itu....

Pukul empat pagi. Suasana sunyi. Pesakit di katil dua dan empat sudah selamat dihantar ke wad. Zon resus lengang. Tidak ada pesakit pada masa itu.

Lokman tidak tahu sama ada itu petanda baik atau petanda buruk. Dia menguap. Menahan rasa mengantuk yang kuat mencengkam.

Terpisat-pisat dia melihat Akram melangkah masuk ke zon resus. Akram menenyeh-nenyeh mata.

Kenapa kau datang Ada orang panggil ke Tak ada kes kat resus sekarang. Lokman pelik.

Akram sahabatnya bertugas sebagai registra pada malam itu. Dia sendiri menjaga zon resus bersama Salim.

Ada ambulance call. Labour call, jawab Akram.

Lokman mengangguk. Registra akan pergi jika panggilan ambulans orang mahu bersalin.

Letih aku hari ni. Non-stop dari pukul lapan pagi. Pukul tiga suku tadi baru dapat masuk ke bilik. Tup tup kena panggil. Akram tersengih. Keletihan jelas terbayang di wajahnya.

Kau nak aku pergi ambulance call tu ke Lokman menawarkan diri.

Eh, tak apa. Memang tugas aku kan. Kau jaga la resus ni elokelok ya. Sempat Akram berpesan sebelum melangkah keluar dari zon resus.

Lokman tersengguk-sengguk di kerusi menahan rasa mengantuk. Zon kuning pun kelihatan tenang. Pesakit baru masuk seorang demi seorang ke zon kuning. Tiga orang doktor di zon kuning tidak memerlukan pertolongannya.

Dr. Lokman!

Terangkat kepala Lokman mendengar namanya dijerit. MA Ghaffar tercungap-cungap masuk.

Kita dapat panggilan. Ambulans yang pergi untuk labour call tadi kemalangan!

What!

Bukan Lokman saja yang terkejut. SN Amira yang sedang berbual-bual dengan SN Jaimah berhenti bercakap. MA Rusdi yang sedang duduk di kerusi berdiri serta-merta.

Kita tak tahu berapa orang yang tercedera. Katanya ambulans terbalik dilanggar kereta.

Serta-merta ingatan Lokman terbang pada Akram.

Akram!

Lokman tidak tahu siapa lagi yang berada dalam ambulans tersebut tetapi berita ini cukup menggusarkan hatinya.

Dia tahu dia perlu bertenang dan pantas berfikir dalam keadaan seperti ini.

Okey, hantar ambulans lain. Sediakan barang-barang di ruang satu dan enam.

Semua pantas bergerak. Normal saline, ringers lactate dan gelafundin dikeluarkan dari rak. Troli kecemasan yang menjadi tempat meletakkan peralatan untuk prosedur intubasi ditolak ke ruang satu dan enam. Drip stand dipastikan tersedia. Katil dalam keadaan baik. Branula, plaster, chest tube dan peralatan lain dipastikan ada dan mencukupi.

Lokman mengenakan mask dan apron supaya tidak ada darah yang terkena pakaian, muka dan tubuhnya ketika dia merawat pesakit apabila sampai kelak.

ETA lima minit! Seorang staf kita kritikal. Tengah CPR dalam ambulans. MA Ghaffar menjenguk ke zon resus lagi.

Siapa Hampir tidak keluar suara Lokman ketika bertanyakan soalan itu.

Tak tahu Dr. Lokman. Kami tak dapat bercakap lama dengan dia orang sebab tengah sibuk CPR.

ETA atau estimated time of arrival. Masa pesakit dijangka sampai ke hospital.

Lima minit yang dirasakan sangat lama.

Siapa yang kritikal Siapa yang sedang mereka CPR

Patient sampai!

Seperti hendak pecah dada Lokman melihat tubuh yang terbaring di atas stretcher ialah tubuh sahabat baiknya, Akram.

SN Amira dan MA Rusdi terlopong. SN Jaimah menyapu air mata yang mengalir membasahi pipi.

Masa seakan terhenti.

Kosong kepala Lokman melihat ETT yang di mulut Akram. Yazid, MO dari zon kuning yang mengikuti ambulans kedua tadi menekan bag valve mask mengikut kiraan setiap enam saat. Cervical collar di leher Akram terletak kemas. MA Farid sedang melakukan CPR dan bertenggek di atas katil. Drip normal saline mengalir laju melalui branula kelabu di kiri dan kanan tangan Akram.

Laju stretcher ditolak ke ruang satu yang kosong.

Akram! Rizal yang muncul dari zon kuning menerpa ke arah Akram. Matanya berkaca-kaca.

Lokman cuba menenangkan dirinya walaupun dia seakan-akan sudah tidak mampu berdiri. Dia tahu dia harus kuat untuk menanganinya.

Lokman mengumpul kekuatan sebelum bersuara, Walau siapa

pun di atas stretcher, ingat dia ialah pesakit kita. Jangan terbawabawa dengan emosi.

CPR since 10 minutes ago. Tension pneumothorax left side. Needle thoracocentesis done at site. Yazid seperti tidak cukup nafas melaporkan.

GCS six when we arrive there. Nose and ear bleed. I intubated him. Open fracture right femur. Abdomen guarding, suspect intraabdominal injury as well. Suara Yazid tenggelam timbul.

GCS six CPR head injury chest injury abdominal injury polytrauma.

Semua itu membuatkan Lokman semakin takut. Paha kanan berbalut dengan kesan darah jelas kelihatan.

Rizal ke tepi. Bagi orang lain ruang untuk buat kerja. Arah Lokman apabila melihat Rizal seakan-akan tidak mampu mengawal diri. Rizal juga sahabat baik Akram, sebagaimana dirinya.

Man, Akram.... Rizal terdiam.

Bagi Lokman, jika Rizal tidak dapat melakukan apa-apa, biar orang lain yang melakukannya. Any shockable rhythm tanya Lokman.

Yazid menggelengkan kepala.

Chest tube. Lokman meminta staf lain meneruskan CPR. MA Farid yang sudah tampak berpeluh digantikan SN Amira melakukan CPR. Yazid setia dengan tugasnya menjaga airway dan berdiri di bahagian kepala. MA Rusdi memecahkan ampule adrenalin.

SN Jaimah merekodkan ubat yang diberikan dan memberitahu setiap kali cukup masa dua minit.

Chest tube dimasukkan oleh Lokman dengan pantas. Selepas siap, kepalanya kembali tegak memerhatikan yang lain-lain bekerja.

Dua puluh minit berlalu.

MA Farid menggeleng kepala setiap kali memeriksa carotid pulse. Cardiac monitor menunjukkan garis lurus. Berpeluh Lokman dalam kedinginan subuh.

Akram, tolong bangun. Bisik Lokman. Walaupun dia tahu harapan sangat tipis.

Doktor Lokman, dah 40 minit kita CPR. Tetap asystole.

Lokman memandang jam yang tergantung di dinding. Benar, sudah 40 minit berlalu sejak Akram disorong masuk. Ditambah dengan 10 minit CPR dari tempat kejadian, sudah hampir satu jam mereka melakukan resusitasi ke atas Akram.

Lokman menghela nafas panjang. Dia tahu dia harus berani membuat keputusan.

Man, takkan kita nak berhenti! Akram tu Man! Akram yang terbaring atas katil ni! Bentak Rizal.

Time of death....

Kau gila ke Man Kenapa kau give up Rizal menolak MA Rusdi yang berdiri di depannya. Dia melakukan CPR ke atas Akram.

SN Amira dan SN Jaimah tidak dapat menahan perasaan melihat tindak balas Rizal. Air mata mereka bercucuran. MA Rusdi dan MA Farid pun sudah merah mata. Masing-masing sebak.

Pedihnya hati Lokman, Tuhan saja yang tahu.

Zal, jangan macam ni. Mengucap! Akram dah tak ada. Lokman cuba menarik Rizal tetapi ditepisnya.

Beberapa kali Lokman menarik Rizal supaya berhenti melakukan CPR. Ingat Allah, Zal. Tuhan lebih sayangkan dia. Bersama ayat itu, Rizal terhenti. Dia tidak jadi terus menekan dada Akram.

Rizal tersandar di tepi katil Akram. Dia menekup muka. Lokman tidak berkata apa-apa lagi.

Kesunyian dan kesedihan amat terasa ketika itu.

****

MA Zuki mengalami patah tulang kaki dan tangan. Pemandu, Encik Miskan diberitakan mengalami kecederaan kepala dan perlu ditahan di wad untuk pemerhatian.

Kini Lokman sedang berhadapan dengan pemuda yang dikatakan menjadi punca kemalangan berlaku.

MA Rusdi telah membawa Abang Khairul keluar dari resus untuk menenangkan lelaki itu. Lokman sendiri tidak mahu kekecohan berlaku di situ. Dia tidak mahu Abang Khairul melakukan sesuatu yang akan membuatkan lelaki itu berasa menyesal. Sedangkan dalam hatinya sendiri berperang dengan perasaan. Marah, sedih, geram.

Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menjalankan tugas aku. Lokman berdoa dalam hati.

Encik! Encik! Boleh dengar suara saya Lokman memeriksa kesedaran pesakit.

Pemuda itu bersuara yang tidak diketahui biji butirnya apabila Lokman menepuk-nepuk bahunya.

Ada bengkak di bahagian lengan kanan (fracture of right humerus) dan luka sepanjang 5 lima sentimeter di bahagian kiri dahi. Selain itu, tidak ada kecederaan lain yang dialami.

Jangan kacau, aku nak tidur! Pemuda itu menepis tangan Lokman yang sedang memeriksa luka di dahi.

Rizal yang muncul di belakang Lokman menarik langsir menutupi ruang katil enam. Dia memandang pemuda itu, tajam. Perasaan bencinya meluap-luap. Kerana kau, Akram mati.

Bersama ayat itu, Rizal mengepal penumbuknya dan mengangkat tangannya tinggi-tinggi.

Lokman terkejut. Cepat-cepat dia menahan tangan Rizal. Kau dah gila ke Apa yang kau nak buat ni

Man, dia punca Akram mati! Kalau dia tak mabuk, dia tak langgar ambulans. Nama je Islam tapi minum arak sampai langgar orang. Marah Rizal.

Astaghfirullah, ingat Tuhan Zal. Akram meninggal sebab ajal dia dah sampai.

Tapi dia ni la yang langgar ambulans yang Akram naik. Turun naik dada Rizal.

Kita orang Islam. Kena terima Qadha dan Qadar Tuhan. Ini semua ketentuan Allah. Jangan bercakap macam orang tak ada agama. Nasihat Lokman cuba menyedarkan Rizal walaupun hatinya sendiri Tuhan saja yang tahu bagaimana.

Lagipun dia pesakit kita sekarang. Tugas kita sebagai doktor untuk merawat dia.

Rizal tunduk. Tangannya memegang pagar katil kuat-kuat, seperti ingin meluahkan kemarahan yang terpendam. Kenapa kau baik sangat dengan dia Dia tak layak terima.

Aku cuma nak jalankan tanggungjawab. Bukan tugas kita menghukum dia. Itu antara dia dengan Allah. Tugas kita sebagai doktor, beri rawatan terbaik untuk dia. Walau siapa pun dia dan apa juga yang dia lakukan, dia pesakit kita.

Kerana dia pesakit kita. Ayat terakhir Lokman membuatkan Rizal terus terdiam.