Dia terkesan kerana insiden kematian aku berlaku di daerahnya, Shah Alam. Aminulrasyid yang berusia 14 tahun juga ditembak polis Shah Alam.
Ulangtahun Kematian Teoh Beng Hock
Di dalam mitos Yunani, wujud seorang raja bernama King Midas. Semua yang disentuhnya menjadi emas. Barisan Nasional dan khususnya UMNO, bersifat sebaliknya. Semua yang disentuhnya menjadi rosak dan tidak bernilai. Tidak terkecuali daripada kerosakan hasil sentuhan Barisan Nasional ialah institusi Polis di Raja Malaysia.
Sudah setahun berlalu semenjak peristiwa pembunuhan Teoh Beng Hock. Kematian beliau masih diselubungi persoalan dan tanda tanya. Walaupun kematian beliau bukan semasa di dalam tahanan polis atau di tangan anggota polis namun ketidakmampuan polis mengendalikan siasatan yang bebas dan tegas disedari dan dikesali semua. Polis bagaikan institusi yang diikat tangan dan dihalang daripada menzahirkan silap professionalisme sepertimana yang sepatutnya. Ini adalah demi menjaga kepentingan politik UMNO dan Barisan Nasional. Oleh kerana kematian Teoh Beng Hock mempunyai hubung kait dengan usaha menjatuhkan imej Pakatan Rakyat di Selangor, maka pihak polis terpaksa dikekang oleh Barisan Nasional.
Dan kekangan yang sebegini akan terus dilakukan oleh Barisan Nasional walaupun hasil daripada itu, institusi polis akan hilang kredibilitinya di mata masyarakat. Itu tidak penting bagi Barisan Nasional, yang penting adalah polis perlu mengikut skrip seperti yang ditentukan mereka. Walaupun kredibiliti polis di mata masyarakat umum adalah teramat penting untuk insititusi polis berperanan dengan berkesan, ianya sanggup dikorban oleh Barisan Nasional demi penerusan pemerintahan mereka.
Imej polis telahpun sebelum itu tercemar secara serius melalui peristiwa kematian Kugan semasa dalam tahanan polis. Tubuh Kugan dipenuhi kesan deraan dan penyeksaan dan atas kepentingan imej pentadbiran Barisan Nasional, siasatan dilakukan secara ala-kadar demi melepaskan batuk di tangga. Walaupun diketahui bahawa tidak mungkin Kugan mati atas sebab-sebab lain selain daripada penderaan dan penyeksaan, usaha untuk menafikannya terus dilakukan sehingga keputusan otopsi sekalipun ingin diselewengkan, akhirnya, apabila tidak lagi mungkin dinafi, maka seorang polis berbangsa India dipersalahkan sedangkan semua tahu tidak mungkin penderaan dan penyeksaan tersebut dilakukan oleh hanya seorang.
Dan Kugan hanya disyaki bersalah, belum lagi terbukti beliau bersalah. Namun masyarakat diberi persepsi bahawa yang mati dalam tahanan adalah seorang penjenayah supaya tiada yang bersimpati dan tiada yang akan membela.
Kematian yang dahsyat di tangan polis tidak menghasilkan keinsafan dan kekesalan di kalangan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Mereka terus dengan sikap angkuh mereka dan terus merosakkan lagi institusi kepolisian. Yang terakhir, kematian seorang remaja berusia 14 tahun yang bernama Aminulrasyid. Kerasnya hati pihak atasan polis sehingga enggan walaupun untuk menyatakan takziyyah dan memohon maaf kepada keluarga Amunulrasyid. Sehingga kepiluan hati seorang ibu kehilangan anaknya tidak langsung diambil kira. Tidak cukup dengan meragut nyawa anak bongsu kesayangannya, ibu yang bersedih dan dalam kebingungan ini diberitahu secara dingin dan tanpa apa-apa perasaan kasihan belas bahawa polis tidak akan menarik balik gelaran penjenayah terhadap anaknya, apatah
lagi meminta maaf.
Sepertimana juga keadaannya dengan Teoh Beng Hock. Keluarganya disogok dengan tuduhan bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri kerana malu dengan penyelewengan yang dilakukan dirinya sendiri. Sedangkan semua tahu pertuduhan itu adalah satu pembohongan. Beliau diwarisi seorang isteri dan anak serta keluarga yang menyayangi beliau. Kesedihan yang begitu perit menyelubungi kehidupan mereka sekarang. Sudahlah orang yang disayangi dirampas dari sisi mereka dengan cara yang sebegitu rupa, pembelaan sebenar dinafikan. Institusi yang sepatutnya menjamin pembelaan, polis dan mahkamah, semua telah diperkosa oleh sentuhan UMNO dan Barisan Nasional.
Harapan mereka semua, sama ada Teoh Beng Hock, Kugan atau Aminulrasyid, ialah pembebasan. Pembebasan semua institusi keadilan daripada terus diperkosa UMNO dan Barisan Nasional. Pembebasan yang hanya boleh dilakukan oleh rakyat yang prihatin, sedar dan berani.
Dan harapan saya, inilah generasi rakyat yang ditunggu-tunggu yang mampu membawa pembebasan tersebut.