Shahirah seorang murid perempuan yang putih melepak, sehingga pipinya memperlihatkan urat berwarna hijau yang terselindung disebalik kulit. Orangnya besar tinggi. Rambut panjangnya berwarna coklat keperangan. Kebanyakan pelajar lelaki Melayu yang melihatnya terpegun seperti melihat bidadari turun dari awan. Ayah Shahirah seorang Cina mualaf yang bekerja di Jabatan Pendaftaran Negara.
Shahirah bukan sahaja selebriti bagi murid-murid lelaki, tetapi juga menjadi pusat perhatian pekerja sekolah seperti tukang kebun, pekerja kantin dan guru lelaki. Shahirah sering mengadu, ketika dia membeli makanan di kantin, pakcik kantin akan mengusap-usap tangannya. Mengambil setiap kesempatan yang ada terhadap gadis putih melepak itu.
Dajalku belum berhenti, cuma fungsinya berganti. Akulah bouncer Shahirah. Gadis bertubuh kecil, berkredibiliti hero. Sang pembuli tidak akan membiarkan rakannya dibuli.
Mana orangnya Itu soalan aku setiap kali Shahirah mengadu. Orang yang berlaku biadap terhadap Shahirah akan menerima amaran dari bouncer kecil ini.
Suatu hari, kami terlewat tiba ke sekolah. Bilik darjah kosong kerana pelajar-pelajar menghadiri kelas di bilik muzik. Di dalam bilik darjah, seorang pakcik tukang sapu sedang menjalankan tugas. Kehadiran kami disambut dengan senyuman yang indah, berbaur mengerikan. Pakcik Lajoi. Beliau ditakuti oleh murid-murid perempuan kerana dikatakan sering menjalankan tugas kedua, mengintai murid perempuan yang berada di dalam tandas.
Kami meletakkan beg di kerusi masing-masing. Untuk keluar semula dari bilik darjah, jantung kami berdegup kencang. Pakcik Lajoi menunggu di pintu belakang sambil memegang erat batang penyapu. Pakcik Lajoi senyum lebar melihat susuk tubuh Shahirah.
Kami sama-sama membayangkan apa yang akan terjadi sebentar lagi.
Lari.. Bisikku ke telinga Shahirah.
Shahirah berlari keluar. Mencelah di bahagian kanan Pakcik Lajoi. Tangan Pakcik Lajoi yang memegang penyapu pantas menepuk punggung Shahirah. Pakcik Lajoi ketawa berdekah-dekah. Sekarang tinggal aku, bouncer kecil. Aku menjeling pintu hadapan bilik darjah. Ia berkunci di bahagian atas. Aku tidak mungkin dapat mencapai engsel pintu, dan tidak juga akan sempat memanjatnya dengan kerusi. Aku bagai terdengar suara Pakcik Lajoi
bergema di ruang bilik darjah, Mana kau nak lari.
Pakcik Lajoi menghadang pintu dengan penyapu. Bouncer kecil ini mencapai kerusi kayu dengan tangan kiri. Kerusi itu pantas ku tebarkan tepat ke dada Pakcik Lajoi. Orang tua itu menjerit seperti kerasukan,
Babi! Sial! Anak gam.!. Kata makian itu tenggelam dek jarak kerana kami berlari terlalu pantas. Kelenjar adrenal merembeskan hormon kortisol. Buat pertama kali, kaki kecil kami mampu turun tanpa menggunakan anak tangga. Kami melompat sedaya upaya kerana ketakutan membayangkan tubuh Pakcik Lajoi yang mungkin sahaja mengejar kami.
Setelah jauh dari orang tua itu, giliran kami ketawa berdekah-dekah.
Pulang dari bilik muzik, Shahirah dan Wafa Thahirah singgah ke bilik air. Manakala aku terus kembali ke bilik darjah. Rupanya di situ Pakcik Lajoi telah menunggu. Bersaksikan tiga puluh tiga orang pelajar dan seorang guru yang membutakan hati, aku ditendang berpuluh kali seperti binatang, oleh binatang.
Setiap kali jatuh, bouncer kecil ini tetap bangun. Kerana aku berjiwa pejuang.
Ia tidak berakhir di situ. Pakcik Lajoi melaporkan tindakanku kepada guru displin, Cikgu Azizul.
Perkara itu mendapat perhatian guru-guru wanita, kerana ia bukan kes pertama. Beberapa pelajar-pelajar perempuan sebelum itu mengalami nasib sama. Termasuk Shahira Amirah, ketua pengawas perempuan yang diundang oleh guru displin, Cikgu Azizul ke biliknya untuk berbincang mengenai urusan sekolah. Ia berakhir dengan ketua pengawas bertudung itu lari keluar dari bilik Cikgu Azizul dalam keadaan menangis. Lalu, bagaimana dengan nasib bouncer kecil ini
Aku dipersilakan duduk di dalam sebuah kamar kecil yang lampunya tidak dihidupkan. Di dalamnya kelihatan kelibat antara dua hingga tiga orang guru lelaki. Aku dibiarkan duduk diam dalam masa dua minit. Kedengaran suara Cikgu Azizul yang berusia sekitar tiga puluhan, Muka cantik, tapi perangai engkau...
Ayat itu diulang beberapa kali tanpa ada penghujungnya. Kelibat seorang guru berusaha mendekati tubuhku, bouncer kecil ini menangis teresak-esak. Egoku jatuh sama sekali. Aku tidak mahu membayangkan apa yang bakal terjadi seminit lagi. Tangisanku tidak mendatangkan erti. Aku bakal menerima musibah kerana menunjukkan kehandalan tanpa menilai kekuatan lawan.
Pintu bilik itu terbuka. Cikgu Zambri, guru muda mata pelajaran Kemahiran Hidup masuk dengan raut wajah yang terpinga-pinga. Ku fikir, hati beliau terdetik musykil kerana melihat seorang gadis kecil di situ dan lampu pejabat tidak terpasang. Cikgu Zambri mengambil barang di laci mejanya dan keluar semula.
Salah seorang dari guru lelaki itu meminta Cikgu Azizul mengunci pintu kamar. Perintah itu terlaksana. Jantungku bagai berhenti berdegup.
Beberapa saat kemudian, Cikgu Zambri mengetuk pintu kamar. Cikgu Azizul mengeluh.
Cikgu Zambri bertanya, Ada apa ni.
Tidak ada apa-apa. Jawab Cikgu Azizul ringkas, acuh tidak acuh.
Cikgu Zambri keluar lagi. Cikgu Azizul bersedia mengunci kamar. Belum sempat berbuat demikian, Cikgu Zambri berpatah balik dan duduk di kerusinya seolah-olah berusaha menunggu aku dikeluarkan dari kamar guru lelaki itu.
Suasana kamar bungkam. Masing-masing kelu. Akhirnya aku diarah keluar dari kamar gelap itu tanpa sebarang pembicaraan. Sebaik sahaja kakiku melangkah keluar, aku tersenyum lebar, alhamdulillah! Allah telah menyelamatkan bouncer kecil ini. Terima kasih, Cikgu Zambri!
Kembali ke bilik darjah, aku dipanggil oleh Cikgu Normah ke meja guru. Cikgu Normah bertanya khabarku. Dia kelihatan risau sebaik sahaja tahu aku dijemput masuk ke kamar guru lelaki itu. Aku menceritakan satu per satu. Cikgu Normah memohon maaf. Katanya,
Kami guru-guru perempuan tidak dapat berbuat apaapa kerana hampir semua kuasa dipegang guru lelaki.
Selepas ini, cikgu harap kamu semua berhati-hati.
Shahirah dan Wafa Thahirah tidak tahu apa-apa kerana semasa kejadian tersebut mereka tidak ada di kelas. Apabila kembali, kerusiku telah kosong. Jika Shuhada masih ada, sudah tentu genius kecil itu akan mengusahakan sesuatu. Kini aku harus berdikari, berdepan dengan apa-apa situasi. Hendak mengharapkan Wafa Thahirah menghadapi isu sebesar itu, berdepan dengan pembuli sepertiku sahaja dia telah layu. Namun Wafa Thahirah tetap Wafa Thahirah, gadis lembut yang tidak akan meninggalkanku seperti Shuhada.
Aku kembali ke tempat duduk, mendiamkan diri. Tidak ada apa-apa yang perlu ku ungkit lagi. Namun Wafa Thahirah, gadis sawo matang di sebelahku kelihatan murung.
Aku menoleh ke wajahnya. Tanpa ditanya, dia berbicara.
Kau dipanggil ke bilik cikgu displin kerana membela Shahirah, bukan.
Kenapa nada kau bertanya, begitu Soalku kembali apabila Wafa Thahirah kelihatan tidak senang dengan kepulanganku.
Kenapa kau selalu menyebelahi dia, bertindak seperti bouncer. Kenapa melebih-lebihkan murid baru itu, dan bukan aku. Aku masih ingat lagi, bagaimana gadis yang selalu tulus itu mengerutkan kening.
Aku cuba mematikan pertikaian.
Dia kan cantik, selalu jadi sasaran. Kau pula, siapa yang akan cuba mengambil kesempatan Nada suaraku beralun tinggi.
Wafa Thahirah diam. Seingat aku, itulah kali pertama sahabatku itu cemburu.