ASKAR BERJALAN KAKI - 12
Cuti semestar yang ke dua merupakan cuti yang sangat penting buat aku. Aku kena mengumpul wang sebanyak RM 5000.00 untuk melawat isteriku di London. Aku terpaksa membuat beberapa perkara termasuk kerja-kerja sampingan untuk mengumpul wang.

Atas sebab-sebab tertentu aku tidak dapat nyatakan di sini apa yang aku buat sehingga berjaya mengumpul sejumlah itu untuk terbang ke London. Yang pasti sumber dan usaha ku itu halal. Tempoh 45 hari adalah satu kejayaan kerana akhirnya aku cukup duit untuk menemui isteriku.

Aku beli tiket Singapore Airline untuk ke London. Pergi balik Cuma RM 2100.00 sahaja. Perjalanan memakan masa lebih kurang 13 jam. Semasa penerbangan pergi tidak ramai penumpang. Aku boleh tidur dengan menyambungkan 3 tempat duduk.

Cukup selesa aku rasakan kerana masa di dalam pesawat terlalu lama. Secara selang seli mendengar radio dan menonton TV yang disediakan di hadapan setiap penumpang. Dari atas aku dapat melihat suasana malam hari di India, Moskow dan Belanda iaitu laluan pesawat seperti yang ditunjukkan pada skrin di hadapan ku.

Panduan tersebut bukan sahaja menyatakan jarak yang telah dilalui dan yang berbaki, tetapi juga suhu di luar dan di dalam pesawat serta waktu di luar dan waktu pesawat. Sungguh menarik maklumat yang disediakan.

Akhirnya aku mendarat di lapangan terbang Heathrow iaitu lapangan terbang yang cukup terkenal dan antara lapangan terbang yang tersibuk didunia. Tak sabar rasanya nak keluar menemui isteriku yang tersayang.

Kastam bertanya kenapa hendak melawat London. Bila aku jelaskan untuk melawat isteriku dia berpuas hati dan membenarkan aku pergi. Rupanya ramai pendatang yang masuk dan tidak pulang ke negara asal. Ini adalah disebabkan peluang pekerjaan dan pendapatan lumayan disini.

Aku bergegas keluar membawa beg dan barang-barang lain. Tiba diluar kulihat wajah ayu yang setia menunggu aku. Aku terus bersalam dan mencium dahinya dan kami pun berkucupan sama-sama lalu beredar.

Perjalanan ke Nothingham tempat asrama isteriku Cuma 3 jam dari lapangan terbang. Istimewanya dalam bas di sana ialah ada kemudahan minuman panas. Mereka akan datang pada kita bertanya samada kita nak minum apa.

Cuaca diluar sana dah terlalu sejuk. Musim salji akan turun pada bila-bila masa. Aku memang tak biasa dengan suhu ekstrim sebegini. Jam menunjukkan pukul 1030 malam. Suasana di luar cukup nyaman dan sunyi. Tiada aktiviti pergerakan manusia. Mungkin mereka lebih selesa udara panas di dalam rumah.

Kami tiba di perkarangan asrama isteriku setinggi 4 tingkat. Wow..! Teruklah nak bawak naik. Tapi tak apa dah sampai ke distinasi. Ramai rakan-rakan isteriku keluar bilik dan mengucapkan selamat datang kepadaku. Mereka cukup memahami dan sporting. Selama 2 minggu ini aku akan menginap di sini.

Di dalam rumah cukup panas sebab ada alat pemanas yang mengawal suhu. Kerana terlalu sejuk sehingga aku meletakkan tangan pada alat pemanas tidak terasa panasnya. Aku buka pakaian dan ke bilik mandi untuk mandi. Semua peralatan dibilik air dah beku. Dari kepala paip, tandas hinggalah ke dinding. Aku tak boleh tersentuh langsung, sebab sejuk yang amat sangat.

Isteriku menyiapkan air panas suam dan sabun yang digelodak di dalamnya. Bila aku masuk didalamnya aku terasa terlalu sejuk walaupun air dah pun panas. Apa lagi aku tambah lagi air panas melalui paip yang sedia ada.

Malam itu kami berbual panjang dan melepaskan rindu sambil menonton televisyen 24 jam. London bukanlah satu nama kecil dalam peta dunia. Malah dalam sejarah tamadun manusia negara tersebut merupakan kuasa dunia yang menjajah hampir 1/3 dunia dan mempunyai pengaruh yang besar dalam mencorak budaya, sosial, ekonomi dalam perkembangan banyak negara.

Aku bukan sahaja hendak menikmati keindahan kota kosmopolitan di sini, malah aku ingin mengkaji cara hidup dan budaya masyarakatnya. Bangunan-bangunan di sini cukupi indah. Inilah hasil yang mereka perolehi melalui penjajahan. Bangunan yang indah di sini adalah terjemahan kepada kerakusan kolonial menyedut hasil mahsul negara yang dijajah untuk membangunkan negara sendiri.

Malaysia tidaklah terkecuali dalam menghadapi fenomena tersebut. Sejak kali pertama Francis Light membuka pulau pinang pada tahun 1786 sehingga Negara Merdeka pada tahun 1957.

Kita membenarkan sumber alam dan pertanian negara dipindahkan dengan mudah ke negara mereka. Sejarah 400 tahun dijajah oleh berbagai kuasa luar tidak seharusnya berulang. Kita perlu membina jati diri agar terus berhormat dan dihormati.

Walaupun bukan atas tujuan itu aku ke sini, tetapi aku bangga kerana berjaya sampai ke kota London. Betapa susahnya hendak mengumpul duit, mendapat pelepasan dari Kementerian Pertahanan dan pengecualian menghadiri 3 hari kelas di UKM merupakan satu nostalgia yang tidak akan aku lupakan.

Aku sentiasa melihat ke hadapan untuk membuat perkara baru dalam hidupku kerana sesuatu yang berlaku akan menjadi kenangan dan lakaran. Lakaran tersebut Tersebut merupakan satu sejarah. Sesuatu yang telah menjadi sejarah tidak mungkin dapat dinafikan. Oleh itu aku perlu sentiasa melakar sejarah gemilang dalam hidupku. InsyaAllah.