Baginda Yazid yang mendengar suara itu, ketakutan. Dia terus naik ke atas puncak mahligai.
Aku tak akan lari ke mana-mana lagi hai suara!, aku di sini, kata Baginda Yazid cuba melarikan diri. Akan tetapi kakinya terasa menggeletar. Tiba-tiba kakinya tersangkut pada kayu yang menghalang tiang menara itu. Badannya terpelanting dan terus jatuh ke bawah. Masuk ke dalam telaga yang telah digali Zainal Abidin dulu.
Awan putih tadi turun di hadapan Muhammad Hanafiah. Baginda Muhammad Hanafiah segera bertanya, Wahai awan putih, siapakah kamu yang sebenarnya
Akulah roh saudaramu Amir Hasan dan Husin. Kedatangan aku berdua ini hanyalah untuk menolongmu menumpaskan musuhmu dan musuhku.
Tengoklah hai saudaraku Muhammad Hanafiah bahawa tubuh musuhmu itu telah hangus menjadi abu dalam telaga yang digalinya sendiri. Dengan segera Baginda Muhammad Hanafiah berserta askarnya pergi menjenguk ke dalam telaga. Terciumlah bau benda hangus. Ditatapnya ke bawah kalau-kalau dapat melihat tubuh Raja Yazid tetapi yang dapat dilihat hanya kepulan asap dan debu sahaja.
Kemudian Baginda Muhammad Hanafiah masuk ke dalam istana Baginda Yazid dan terus ke bilik penjara untuk membebaskan keluarganya. Di depan pintu penjara itu ada seorang pengawal.
Pengawal, siapakah orang-orang dalam penjara itu tanya Muhammad Hanafiah.
Pengawal itu yang tercengang kerana terperanjat, terus menjawab, Hamba hanya penjaga penjara, tapi setahu hamba mereka adalah keluarga Rasulullah.
Mana kunci pintu penjara ini pengawal
Hamba juga tidak tahu, kunci penjara ini hanya dipegang oleh Raja Hamba.
Oh, begitu.
Sahabat beta semua, segera pecahkan pintu penjara ini.
Pintu penjara pun dipecahkan. Baginda Muhammad Hanafiah masuk. Dengan segera baginda menyembah bondanya Umi Salamah. Dan kemudian membuka kunci rantai yang mengikat Zainal Abidin.
Saudara beta semuanya, bawalah semua keluarga kita ke sungai dan limaukan mereka di sana, kata baginda kepada saudara-saudaranya.
Baiklah tuan hamba. Akan hamba limaukan mereka.
Setelah siap dilimaukan maka dengan segera diberikan persalinan oleh Baginda Muhammad Hanafiah. Kemudian baginda menabalkan putera Baginda Husin menjadi raja bagi kerajaan Madinah dan Damsyik.
Sementara itu Menteri Marwan yang melarikan diri terus diburu oleh askar Muhammad Hanafiah. Dikeluarkan perintah agar menteri Marwan dibakar hidup-hidup. Setelah ditangkap, para panglima dan saudara Muhammad Hanafiah terlebih dahulu memukulnya untuk melepaskan geramnya.
Hai racun kota Madinah dan Mekah, sekarang tibalah masanya bagi aku menawarkan racun yang telah kamu buatkan kepada penduduk Madinah dan Mekah, kata mereka dengan geram.
Kemudian menteri Marwan dilemparkan ke dalam api yang sedang menyala-nyala. Matilah Marwan Al-Hakkam menjadi abu. Raja Zainal Abidin yang memerintah kota Damsyik itu pun berjamulah memberi makan dan minum kepada seluruh bala tentera yang telah menumpaskan Baginda Yazid. Diperintahnya negeri itu dengan seadil-adilnya hingga menjadi makmur.
Dalam keadaan bersukaria itu Baginda Muhammad Hanafiah teringat hendak kembali ke Madinah.
Memanda menteri beta, terasa rindu sekali beta untuk pulang ke Madinah. Terlalu amat lama beta meninggalkannya. Barangkali hampir tiga puluh tahun, katanya.
Baginda pun terus menghadap Umi Salamah Maharaja Zainal Abidin. Menangis Umi apabila mendengar maksud Muhammad Hanafiah itu.
Tersebutlah pula akan tentera-tentera Yazid yang melarikan diri. Ada khabar menyatakan bahawa mereka telah dijumpai. Hal ini segera dilaporkan kepada Maharaja Zainal Abidin.
Tuanku, dari apa yang patik lihat mereka sedang menyembunyikan diri mereka dalam gua, kata perisik baginda.
Masih ada lagikah saki-baki tentera Yazid itu tanya baginda.
Masih ramai lagi tuanku.
Berita itu terdengar kepada Maharaja Muhammad Hanafiah. Dengan marahnya baginda terus meminta izin dari Maharaja Zainal Abidin untuk memerangi tentera Yazid itu.
Benarkanlah ayahanda menyelesaikannya pada esok hari. Ayahanda bangga kiranya ayahanda dapat menumpaskan saki-baki askar Raja Yazid itu, kata Muhammad Hanafiah.
Baiklah kalau itu kehendak ayahanda, anakanda membenarkan ayahanda meneruskannya.
Keesokan harinya berangkatlah Baginda Muhammad Hanafiah menuju ke gua itu. Apabila tiba di sana baginda terus berpesan, Panglima beta, beta harap kamu akan menunggu pintu gua ini, jagalah biarkan walau seorang pun dapat larikan diri dari kepungan
kita.
Baiklah tuanku, tapi patik risau juga akan keselamatan tuanku, yang masuk seorang diri itu. Itu jangan panglima risaukan.
Dengan segera baginda masuk ke dalam gua itu dan bertemu dengan askar Baginda Yazid sedang bertanak nasi. Baginda dengan geramnya terus memarang kepala askar itu satu demi satu. BanyakIah yang telah dibunuhnya.
Tiba-tiba baginda terdengar satu suara menyeru nama baginda. Pada pertama kalinya baginda tetap juga tidak mengindahkan suara itu.
Hai Muhammad Hanafiah, berhentilah kamu dari membunuh orang yang tidak berdosa, kata suara itu.
Baginda masih juga terus membunuh askar-askar Baginda Yazid yang masih tinggal. Suara itu terus juga memanggil namanya dan menyuruh baginda berhenti membunuh.
Suara itu memanggil sebanyak tiga kali. Pada kali keempat suara itu berkata, Hai Muhammad Hanafiah, kenapakah kamu tidak sayang akan makhluk yang aku jadikan ini
Muhammad Hanafiah mendengar kata-kata itu ialu berhenti seketika tetapi setelah suara itu senyap baginda terus memenggal leher askar Baginda Yazid yang masih tinggal.
Suara itu berseru lagi. Apabila didengar baginda akan butir kata-kata suara itu baginda pun terus rebah, jatuh ke tanah dan pengsan.
Dengan kuasa Tuhan, pintu gua itu tertutup dengan serta-merta sehinggalah sekarang.