******
Aliff memandang Tengku Amar dengan wajah sebak. Dia tahu lelaki itu menyayanginya. Dan dia juga menyayangi lelaki itu. Hakikat yang baharu diketahui takkan mengubah perasaan hormat dan sayangnya pada ayah dan ibunya. Namun dia perlu mencari masa silamnya yang hilang selama 6 tahun.
Ayah, Aliff nak cari keluarga Aliff yang sebenar. Aliff perlu tahu apa yang dah berlaku pada Aliff selama ini. I need to do this. Ujarnya nekad. Keizinan Tengku Amar perlu untuk dia mencari keluarga kandungnya.
Tengku Amar terdiam. Kata-kata anak muda itu meruntun kesayuannya. Jika diikutkan hatinya, dia lebih suka anak muda itu tidak mengingati apa-apa pun dari masa silam. Dia belum bersedia untuk menerima kehilangan Aliff. Dia tidak sanggup untuk kehilangan seorang lagi anaknya, bukan untuk kali kedua!
Di luar kamar, Najla mengesat pelupuk matanya yang bergenang. Perbualan di antara ayahnya dan Aliff sampai di telinganya satu persatu. Dia lalu menitiskan airmata. Seperti ayahnya, dia juga tidak sanggup kehilangan Aliff dalam hidupnya.
NAJLA membawa naik sedulang bubur dan jus oren. Hidangan itu disiapkannya dengan bantuan Mak Mah, khas untuk Aliff. Malah Mak Mah sempat mengusiknya kerana mahu memasak sendiri untuk Aliff. Dia hanya tersenyum malu mendengar usikan wanita itu.
Hampir seharian dia melihat Aliff tidak makan apa-apa. Malah hidangan yang dibawa naik ke atas, akan dibawa turun semula tanpa disentuh anak muda itu. Kata ibunya, Aliff tidak berselera. Kerana itu dia merancang mahu mereneh bubur ikan untuk Aliff. Resepi dari rancangan masakan di televisyen dijadikan panduan untuk menyediakan bubur ikan istimewa itu.
Namun sebaik dia menguak pintu bilik di hadapannya, wajahnya segera berubah. Aliff tidak ada di biliknya. Katil lelaki itu sudah siap berkemas, namun kelibat Aliff tidak kelihatan. Dahi Najla berkerut. Dia tidak fikir dia ada melihat kelibat lelaki itu di bawah tadi. Ke mana Aliff pergi
Burung-burung berkicauan saling berteriak di atas kepalanya. Dia mendongak wajah, memandang langit biru yang seluas saujana mata memandang. Seketika kemudian, pandangannya singgah di jendela bilik sebuah bangunan 7 tingkat.
Sebentar tadi dia melihat ada bayang-bayang seseorang di situ. Namun belum sempat dia memerhatikan dengan teliti, bayang-bayang itu segera menghilang. Dan dia masih tegak berdiri memandang jendela bilik itu dari jauh. Entah kenapa, keberaniannya mahu berhadapan dengan gadis itu menghilang bagai debu. Biar sekuat mana pun dia mengumpul keberanian diri untuk mendengar kebenaran tentang dirinya, namun sebaik dia sampai ke situ, segala-galanya lenyap entah ke mana. Kenapa begini aturan nasibku YA ALLAH Mengapa aku masih di sini sedangkan dia ada di atas sana, bersendirian dan tak punya apa-apa. Aku yang berdosa, tetapi kenapa aku yang dikelilingi kemewahan dan kasih sayang yang melimpah ruah
Kenapa Naufal degil sangat ni Berhenti bergaul dengan budak-budak tak sekolah tu. Dengar cakap kakak ni. Rayuan itu seakan sebati di telinganya. Sejak akhir-akhir ini telinganya semakin kerap dihidangkan dengan sisa kenangan lalunya.
Kakak jangan menyibuk boleh tak Naufal tak pernah kacau hidup kakak. Boleh tak kalau kali ni kakak jangan kacau hidup Naufal lagi. Bosanlah Naufal hari-hari kena leter begini. Kalau umi masih hidup, dia takkan cerewet macam kakak ni.
Tuhan! Betapa kasar tutur katanya dahulu untuk seseorang yang telah membesarkannya. Yang telah mengorbankan segala-galanya untuk dirinya!
Kalau umi dan ayah masih hidup, diaorang mesti kecewa tengok Naufal jadi macam ni. Mereka akan salahkan kakak sebab kakak gagal didik Naufal jadi orang baik. Titis air mata yang mengalir lesu di pipi gadis itu, sedikit pun tidak melenturkan kekerasan hatinya.
Kalau mereka masih hidup, kita berdua takkan hidup kat tempat sempit dan buruk ni. Naufal takkan diejek-ejek orang di sekolah sebab papa kedana. Herdiknya membalas dengan kasar. Gadis itu dilihatnya terdiam sambil mengesat pelupuk mata yang basah.
Dia terduduk lemah. Bangku di laman hospital swasta itu menjadi tempat persinggahan. Perit di kepalanya tiba-tiba sahaja menyengat. Kenangan demi kenangan terus menggasak mindanya.
Siap sedia, malam karang kita ada kerja nak buat.
bersambung
Bab akan datang:
Kemanakah haluan Aliff