Oh, tak. Bapak aku kata tak boleh hari-hari. Nanti penat sangat, jawab Leman. Faduli mengangguk tanda setuju. Memang betul mereka memerah segala tenaga dalam aksi belajar berenang semalam. Sekejap sahaja meletakkan kepala, terus terlelap dengan mudah.
Untungnya apabila tidur awal ialah bangun juga mudah dan awal. Mereka berdua berjalan kaki ke sekolah meninggalkan Cikgu Muhammad yang masih lagi menghirup kopi di sisi bendul pintu.
Ada yang tak kena dengan anak awak ni, tegas Cikgu Muhammad. Mak Cik Vijaya juga mengangguk setuju.
Cubalah korek-korek tanya Mak Cik Cah. Apa sebab dia beria sangat belajar berenang, abah risau dia nak masuk pertandingan renang Mentakab nanti. Cikgu Muhammad bicara perlahan. Dipandangnya wajah isteri yang masih juga sedang duduk di tepi pintu. Ada raut ketakutan dalam wajah mereka.
Masih lagi kuat dalam ingatan mereka berdua, anak saudara mereka hingga sekarang masih hilang dan tidak dijumpai selepas lemas dalam banjir besar sekitar tiga hingga empat tahun lalu. Sudah puas mencari dari Pasir Rawa hinggalah ke Sungai Pahang. Semua gagal. Walau ada bisik-bisik orang kampung mengatakan anak saudara pasangan ini sudah pun syahid kecil, tetapi mereka masih berharap satu hari nanti mereka dapat melihat jasad itu sendiri.
Cikgu Muhammad mengeluh panjang. Peristiwa pahit seperti itu sebolehnya dielak sebaiknya. Mak Cik Vijaya masih lagi ingat, anak saudaranya dibawa arus deras semasa mereka mahu menaiki sampan ke tanah tinggi. Menjerit mereka berungkairungkai hinggalah jasad yang sentiasa membantu dalam kesusahan itu hilang lenyap ditelan air bah.
Air mata Mak Cik Vijaya jatuh perlahan-lahan. Manik cair kecil ciptaan Tuhan di sebalik mata-mata indah ini mengalir panas. Tak mungkin kisah itu dapat dilupakan dari dalam kepala. Sudah dipahat dengan kuat dan tidak mahu peristiwa itu kembali lagi dengan kisah perit yang baru.
Cikgu Muhammad menghulur salam, Mak Cik Vijaya menyambut dan mencium tangannya. Hari itu mereka berpelukan di hadapan pintu rumah. Terdengar suara tangisan kecil Mak Cik Vijaya dan ditenangkan oleh Cikgu Muhammad.
Tanyalah Mak Cik Cah, jangan lupa. Mak Cik Vijaya mengangguk perlahan.
Pagi itu berlalu sunyi. Cikgu Muhammad masih meneka-neka apa yang dibenak fikiran anak kesayangannya. Sedang anakanak yang lain suka belajar suka menelaah ilmu-ilmu baru, yang ini suka benar bermain-main dengan gigi air. Suka dengan pengembaraan yang penuh semiotik misteri. Kebarangkalian untuk terus jatuh dalam mulut Semantan dan terus ditelannya hidup-hidup itu cukup tinggi. Sedang dia sendiri kadangkala tercungap-cungap mahu melawan arus, inikan budak sekecil itu.
Peristiwa anak saudara yang ditelan Semantan dipandang tinggi Cikgu Muhammad. Begitu juga dengan penduduk lain yang ada antaranya mendapat natijah yang sama. Sungai Semantan selalu tenang, tetapi jika bah melanda, ia akan jadi segarang-garang makhluk. Habis dilanyak dan ditelannya begitu sahaja.
Sampai sahaja di sekolah, Cikgu Muhammad meletakkan basikalnya di ruang kecil di tepi tiang berkarat bersebelahan pondok pengawal. Kemudian beliau berjalan menuju ke bilik guru dan sekali imbas melihat kawasan sekolah.
Nurul! panggil Cikgu Muhammad.
Nurul memandang dan mengangkat kening.
Nurul! Ke sini kejap.
Ya cikgu.
Awak ada dengar tentang Leman Kenapa tiba-tiba dia mahu berenang
Nurul terkejut, lalu menggeleng laju dan terus berlari menuju ke ruang kelas. Cikgu Muhammad terpelik-pelik. Menambah lagi gusar di hatinya.