ANGAH SOYAH telah melihat apa yang berlaku sepanjang dua hari berturut-turut di Kampung Sungai Teja. Dia tidak berasa hairan dengan kejadian-kejadian tersebut. Malah, dia sudah menjangkakan, kejadian seperti itu akan berlaku. Pak Su Cik Leh yang ketakutan dan ingin mengekorinya ke seberang sungai untuk menggetah burung, juga telah hilang lenyap. Dan dia juga tidak hairan dengan kehilangan Pak Su Cik Leh. Angah Soyah tidak berhajat sedikit pun untuk mencari lelaki yang kerap menyakiti hatinya bersama-sama dengan Pak Long Lateh, Mat Ajib dan Man Bewak. Biarlah kalau dia hendak hilang dan yang ditemui beberapa bulan kemudian adalah rangka dan tengkorak. Dia tidak peduli sedikit pun dengan nasib bapa si Sudin itu. Ular sawa batik yang telah menelan Pak Long Lateh masih lagi berada di dapur rumah buruknya. Ular sawa batik itu langsung tidak bergerak dan berganjak. Barangkali masih lagi kekenyangan dan makanan yang menyengkang di dalam perut, menyukarkan sebarang pergerakan. Namun ada sedikit perubahan pada haiwan tersebut. Ular sawa batik itu kerap memanggung kepalanya ke arah Angah Soyah setiap kali Angah Soyah menjerang air atau memasak nasi.
Kau jangan cari fasal dengan aku. Kau nak berkawan dengan aku, buat cara kawan. Kalau kau tak mahu kawan, aku bunuh kau sekarang juga!
gertak Angah Soyah. Saiz ular sawa batik itu langsung tidak menggentarkan Angah Soyah. Pengalamannya memberitahu, ular sawa yang kekenyangan tidak akan dapat bergerak pantas. Malah kalau dia duduk di atas belakang ular sawa batik itu sekalipun, ia tidak akan mematuk, membelit dan menelannya. Badan Pak Long Lateh sudah cukup untuk membuatkan ular sawa itu kenyang sebulan. Namun, pada masa yang sama, Angah Soyah juga perlu sentiasa berwaspada. Ular sawa itu tidak berakal. Apa yang dilihatnya hanyalah makanan. Tersilap langkah bererti, Angah Soyah akan bersemadi di dalam perut ular sawa batik itu selama-lamanya, sama seperti Pak Long Lateh.
Nanti aku buatkan kau tempat baru di bawah rumah. Tu lebih selamat. Manalah tahu, buatnya kau tersilap dan ingat aku ni makanan kau, masa aku tidur, kau lahap aku,
kata Angah Soyah sambil mencuit ekor ular sawa batik. Ular sawa batik memberikan tindak balas. Hujung ekornya berkutik-kutik sedikit.
Aku nak masak. Kau duduk situ diam-diam. Hari ni, tak banyak burung yang aku dapat. Esok, aku nak masuk hutan. Nak tengok buah rotan,
beritahu Angah Soyah.
Kalau kau dah macam biasa, boleh juga aku ajak kau ke hutan, menemankan aku. Ada jugalah kawan berbual aku.
Angah Soyah memasak. Tidak banyak rencah masakannya. Sama seperti hari-hari sebelumnya, dia sekadar berlaukkan ikan kering bakar dan air asam bercabai. Kopinya pula ceroi dan kurang manis. Siang tadi, Ah Seong menghantar bekalan makanan untuknya. Tidak banyak yang dihantar. Ah Seong juga belikan sehelai baju pagoda nipis dan sehelai seluar yang sudah lusuh. Kata Ah Seong, dia tergesagesa dan tidak sempat beli gula untuk Angah Soyah. Janjinya, esok. Entah betul entahkan tidak. Ah Seong terlalu banyak berjanji dengannya dan Angah Soyah tidak pernah mengambil pusing tentang janji-janji Ah Seong. Bukan sekali dua Ah Seong dengan tangan kosong. Angah Soyah sudah biasa dengan keadaan itu. Selepas makan, Angah Soyah berlunjur di tempat tidurnya. Pelita ayan dengan api yang meliangliuk menjadi penemannya. Di luar rumah, bunyi bising unggas-unggas malam bagaikan tiada noktah. Belakang badannya tersandar ke dinding yang sudah agak reput. Sedangkan pandangannya pula terarah kepada ular sawa batik yang melintang di hadapan pintu dapurnya. Angah Soyah teringatkan apa yang dilihatnya tadi. Dia melihat Rohani di rumah Ma Pah. Dia melihat Ma Pah melayan Rohani dengan penuh kasih sayang. Dia juga melihat orang kampung berkumpul di pekarangan rumah Pak Long Lateh kerana anak Pak Long Lateh mati. Malah dia sempat melihat Tok Melah yang sangat membencinya kelam-kabut ke rumah Pak Long Lateh untuk melihat keadaan anak Pak Long Lateh. Setiap perkembangan yang berlaku di Kampung Sungai Teja sentiasa berada dalam pengetahuannya. Tiada orang yang berkawan dengannya membuatkan Angah Soyah terpaksa memendamkan apa yang diketahuinya buat dirinya sendiri. Kalaulah Pak Su Cik Leh tidak hilang tadi dan masih bersamasamanya, mungkin dia akan menceritakan kepada Pak Su Cik Leh tentang apa yang dialaminya. Sama ada Pak Su Cik Leh mahu dengar atau percaya mahupun sebaliknya, Angah Soyah tidak kisah. Kadang-kadang ketika berada di ladang ayam Pak Syuaib, Angah Soyah ingin benar bersemuka dengan Pak Syuaib. Bagaimanapun, kehadiran Sudin dan Sahak membuatkan Angah Soyah seringkali terpaksa membataskan keinginannya. Cukuplah apa yang telah mereka lakukan kepadanya selama ini. Dia tidak tahan didera lagi hanya semata-mata kerana keadaannya yang dianggap menjijikkan.
Rohani....
Terpacul nama itu dari bibir Angah Soyah. Gadis itu terlalu ayu. Gadis itu terlalu mengasyikkan. Malah gadis itu kerap membuatkan Angah Soyah berasa rugi kerana keadaan dirinya. Mungkin kalau dia seorang jejaka tampan yang mempunyai banyak harta, Rohani boleh dijadikan isterinya. Perasaannya kepada Rohani adakalanya terlalu membuak-buak. Sesekali Rohani muncul dalam khayalannya setiap kali dia ingin memejamkan mata. Malah gadis anak Ma Pah itu, bagaikan satu kekuatan untuk Angah Soyah meneruskan hidup. Hanya kerana dia tidak seperti orang lain, maka Angah Soyah terpaksa menahan dirinya. Apatah lagi Angah Soyah tahu, kewujudannya di dunia ini tidak disedari pun oleh Rohani yang jelita itu. Namun kejadian yang dilihatnya pada suatu hari dalam beberapa bulan lalu, membolehkan dia mendekati Rohani. Angah Soyah tahu, seandainya dia menegur Rohani ketika bersua dengan gadis itu, pastinya Rohani tidak akan melarikan diri atau mempunyai alasan untuk menghinanya seperti orang lain. Cuma kerana perasaan rendah dirinya yang melampau-lampau, membuatkan Angah Soyah masih menahan-nahan keinginan.
Angah!
Suara panggilan itu mengejutkan Angah Soyah. Lamunannya tentang Rohani serta-merta hilang, bagaikan asap yang dihembus ribut. Angah Soyah terus mencapai lampu picit yang berada di bawah bantal. Malah golok yang tersangkut di paku di hujung kepala tempat tidurnya, turut dicapai.
Siapa
Akulah! Pak Su Cik Leh!
Pak Su Cik Leh
Angah Soyah menggaru-garu kepalanya.
Akulah ni... bagilah aku naik.
Kau kat mana
Kat depan pintu.
Pintu mana
Pintu dapur.
Tapi....
Angah Soyah merenung ke arah ular sawa batik yang menghalang daun pintu itu daripada dibuka.
Bagilah aku naik. Aku sejuk ni.
Suara Pak Su Cik Leh menggigil-gigil, bagaikan dia sedang terkurung di dalam sebuah kotak yang dipenuhi ketulan-ketulan air batu.
Kau datang dengan siapa
Angah Soyah tidak yakin untuk membenarkan Pak Su Cik Leh memasuki rumahnya kalaupun ular sawa batik itu tidak berada di pintu pelantar.
Aku datang seorang. Cepatlah Angah... tolonglah buka pintu ni.
Tak boleh!
Angah Soyah menjawab pantas. Dia tidak tahu bagaimana hendak membohongi sepupu tirinya itu.
Kenapa tak boleh Kau dah janji dengan aku nak benarkan aku bermalam di rumah kau.
Pergilah balik rumah kau. Kesian aku tengok Sudin tu. Dia susah hati bimbangkan kau.
Aku tak boleh balik lagi.
Kenapa
Sebab aku memang tak boleh balik. Bukalah pintu ni. Tengok keadaan aku. Nanti kau akan faham.
Sememangnya itulah yang hendak dilakukan oleh Angah Soyah. Tinggal lagi, ular sawa batik itu yang menjadi penghalang.
Ada ular besar di hadapan pintu ni,
beritahu Angah Soyah.
Ular tu ada lagi
Ada. Pak Long Lateh belum hadam lagi rasarasanya.
Tak mengapalah. Kau buka sajalah sedikit. Biar aku masuk. Ular tu takkan kacau kau sebab dia penjaga kau.
Angah Soyah tersengih lebar sambil berusaha menahan air liurnya daripada berlenja ke dadanya. Perlahan-lahan dia bangun dan berjalan ke arah pintu ke pelantar. Ular sawa batik bagaikan faham dengan apa yang hendak dilakukan oleh Angah Soyah. Ia bergerak sedikit, sekali gus memberi sedikit ruang untuk daun pintu itu dikangkangkan, semuat-muat badan seorang lelaki dewasa. Apabila daun pintu itu dibuka, angin malam menerpa masuk. Bau masam dan hapak kohong turut masuk sama. Mujurlah Angah Soyah sudah biasa dengan bau masam dan hapak kohong. Kalau tidak, harus nasi yang ada di dalam perutnya terjeluak keluar. Dan sebaik-baik sahaja daun pintu itu dikangkangkan, Angah Soyah terus berundur sehingga santak ke dinding tempat tidurnya. Hanya matanya yang terpaku ke arah pintu ke pelantar yang terbuka luas. Cahaya daripada pelita ayan tidak cukup terang untuk menunjukkan kepada Angah Soyah keadaan tubuh Pak Su Cik Leh. Namun tatkala Pak Su Cik Leh melangkah sebelah kakinya masuk ke dalam rumah, Angah Soyah menarik nafas panjang. Sama seperti telahannya, Pak Su Cik Leh muncul di dapur rumahnya. Sebahagian daripada seluar yang dipakai oleh Pak Su Cik Leh, koyak rabak menampakkan betisnya yang hanya tinggal tulang dengan daging yang berjurai-jurai tanpa setitis darah pun menitis ke lantai. Kecederaan itu tidak terhenti setakat itu sahaja.
Apabila Pak Su Cik Leh berada sepenuhnya di hadapan pintu ke pelantar, Angah Soyah melihat sekujur tubuh yang dipenuhi dengan kesan-kesan kecederaan yang berat. Muka Pak Su Cik Leh tidak lagi seperti mukanya yang asal. Rambutnya berseronyeh dan melekat-lekat dengan kesan lendir yang memualkan. Sebahagian daripada daging dahinya terlerai dan terkeleweh. Sekali gus menutup sebahagian daripada mata kanannya. Kulit dan daging rahang sebelah kanan juga terjuntai.
Kenapa dengan kau, pak su
tanya Angah Soyah tanpa sedikit berasa jijik apatah lagi takut melihat keadaan Pak Su Cik Leh.
Aku terjatuh dalam telaga babi.
Telaga babi mana
Angah Soyah cuba mengingati telaga-telaga yang digunakan oleh pemburu babi hutan.
Dekat dengan belukar Tok Som.
Belukar Tok Som
Angah Soyah cuba mendapatkan penjelasan. Pak Su Cik Leh tidak memberikan jawapan. Sebaliknya sekadar berdiri sambil membetul-betulkan semula kulit dan dagingnya yang berjuntaian.
Belukar yang terletak tak jauh dari belakang rumah kau ni. Belukar yang bersambung dengan jejawi tua tu.
Angah Soyah mengangguk-angguk tanda faham.
Aku ditimpa kemalangan masa melarikan diri dari ular sawa batik ni,
Pak Su Cik Leh beritahu Angah Soyah sekalipun tidak ditanya. Muncung mulutnya yang pucat berlendir dihalakan ke arah ular sawa batik yang berpura-pura bodoh. Sekali lagi Angah Soyah mengangguk-angguk.
Aku nak minta kau tolong beritahu orang kampung tentang keadaan aku.
Tiada apa-apa yang pelik tentang permintaan Pak Su Cik Leh. Malah permintaan Pak Su Cik Leh itu sudah cukup untuk menerangkan tentang kewujudannya siang tadi kepada Angah Soyah.
Kau masih nak menumpang tinggal di rumah aku
Angah Soyah cuba dapatkan kepastian daripada Pak Su Cik Leh.
Kalau kau benarkan.
Baiklah.
Angah Soyah mengangguk. Tiada sebarang masalah buatnya untuk mengabulkan keinginan Pak Su Cik Leh. Setidak-tidaknya Pak Su Cik Leh boleh bersuara dan dilawan cakap berbanding ular sawa batik yang telah menelan Pak Long Lateh.
Terima kasih, angah. Kau memang baik hati.
Nanti aku cuba bagitahu Sudin pagi nanti. Itu pun kalau dia masih tidak leka dengan Rohani.
Rohani
Ya, Rohani... anak Ma Pah.
Pak Su Cik Leh kelihatan resah.
Kau nampak Rohani ke rumah aku
Ya... dan aku juga yakin Rohani masih di sana. Melayani Sudin dan menenggelamkannya dalam keasyikan asmara.
Dia nak balas dendam.
Aku tahu.
Pak Su Cik Leh semakin gelisah. Dia sudah mula memandang ke arah pintu.
Kau tak boleh balik sekarang. Tunggu sampai aku beritahu Sudin tentang kau dalam telaga babi tu.
Angah Soyah tiba-tiba sahaja berubah sikap.
Tapi anak aku....
Sudin tentu tahu bagaimana nak selamatkan dirinya. Lagipun, kan dia anak kau.
Angah Soyah sebenarnya hanya ingin menyindir Pak Su Cik Leh.
Kau tolong selamatkan Sudin, boleh
Pak Su Cik Leh jelas tidak dapat menghilangkan kebimbangan yang mulai bersarang di dadanya.
Aku akan cuba. Berjaya atau tidak, aku tak boleh jamin. Lagipun, Tok Tom...
Tok Som!
Pak Su Cik Leh memotong pantas.
Tak kisahlah siapa dia....
Angah Soyah membuat keputusan mudah.
Dia bukannya manusia macam yang kita bayangkan. Dia bukannya arwah nenek.
Tapi....
Memang dia kelihatan seperti nenek tapi dia bukan nenek.
Angah Soyah cuba mempertegaskan kenyataannya. Mana mungkin dia menerima Tok Tom sebagai neneknya. Neneknya sudah meninggal dunia lama dahulu. Neneknya adalah seorang yang baik. Seluruh hidupnya bersalut budi dan keikhlasan. Sedangkan Tok Tom pula adalah syaitan yang berupa dan berwajah manusia. Kehadiran Tok Tom hanyalah bahana dan bencana. Tok Tom tidak pernah dan tidak akan memberikan kebahagiaan. Pengabdiannya kepada jejawi tua akan menyaksikan satu demi satu korban disediakan untuknya di pangkal pokok jejawi tua itu sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Ma Pah, Pak Long Lateh dan Mak Limah. Angah Soyah sangat tahu tentang perkara itu. Angah Soyah sangat maklum dengan rahsia yang disimpan dan dipendamnya semenjak dia berusia lapan tahun lagi.
Kau kenal dia
Pak Su Cik Leh seperti tidak berpuas hati kerana kekurangan itu.
Aku lebih kenal dia berbanding sesiapa pun di kampung ini.
Angah Soyah menjawab dengan nada selamba.
Kau tak pernah cakap dengan sesiapa pun
Tak ada sesiapa pun yang beri peluang kepada aku.
Aku bersalah. Kawan-kawan aku yang lain juga bersalah.
Tidak! Kau orang semua tak salah. Hanya kerana seseorang cuba melindungi rahsianya, kau orang semua dihasut agar membenci aku.
Pak Long Lateh
Ya.
Dia buat apa
Dia ada perjanjian dengan Tok Tom.
Tok Som
Mana-manalah.
Tapi... apa kaitan aku dengan Tok Som Aku tidak kenal dia... aku tak pernah jumpa dia sekalipun aku pernah tengok dia.
Angah Soyah angkat bahu. Sesungguhnya dia juga tidak faham apa yang telah berlaku kepada Pak Su Cik Leh dan kaitan dengan Tok Tom. Atau boleh jadi, Tok Tom hanya ingin membalas dendam terhadapnya menerusi Pak Su Cik Leh kerana dia tidak pernah mahu tunduk dengan kehendak Tok Tom. Sama ada benar atau sebaliknya Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh pernah melihat Tok Tom di pekarangan rumahnya, Angah Soyah tidak pernah ambil peduli. Selepas dia melihat sendiri kehadiran Rohani di pekarangan rumah Pak Su Cik Leh dan kegembiraan Sudin menyambut kedatangan Rohani, Angah Soyah kian faham apa yang dilihat oleh Pak Long Lateh dan Pak Su Cik Leh sebelum itu hanyalah petunjuk kepadanya bahawa dia perlu melakukan sesuatu demi menyelamatkan orang kampung daripada angkara jejawi tua. Cuma dia tidak tahu bagaimanakah caranya dalam keadaannya yang sentiasa dibenci dan dicela oleh orang kampung. Kalaulah Tok Imam Tua tidak terlalu mengikut kata-kata Tok Melah, mungkin dia mempunyai tempat untuk mengadu segala hal. Tok Imam Tua akan lebih memudahkannya untuk memberi amaran kepada orang kampung agar berhatihati dengan jebakan Tok Tom.
Kau nak ke mana, Angah
tanya Pak Su Cik Leh apabila dilihatnya Angah Soyah bangun dan menyarung seluar panjang kusamnya tanpa berbaju. Golok bersarung diikat ke pinggang. Lampu suluh disorok kembali ke bawah bantal busuknya yang tersusun di tepi dinding.
Aku nak berjalan di sekitar kampung. Nak tengok apa yang sedang berlaku,
jawab Angah Soyah dengan nada selamba.
Aku ikut
Suka hati kaulah.
Ular sawa batik ni
Biarkan ia di situ. Ia takkan ke mana-mana. Aku dah anggap dia sebagai sebahagian daripada penghuni rumah ini. Kalau kau sudi duduk di sini, kau pun aku anggap sebagai kawan serumah aku... sama macam ular sawa batik ini.
Pak Su Cik Leh kelihatan gembira dengan perakuan yang diberikan oleh Angah Soyah. Dia menyelak kulit kepala dan daging dahinya yang terkeleweh menutup sebahagian daripada mata sebelah kanannya. Dan tatkala Angah Soyah melangkah ke arahnya, menuju ke pintu pelantar, Pak Su Cik Leh sekadar mengiring memberikan ruang kepada Angah Soyah, sekalipun dia tidak perlu berbuat begitu kerana Angah Soyah mampu berjalan menembusi tubuhnya. Ular sawa batik yang melintang di muka pintu, sekadar dilangkah oleh Angah Soyah. Haiwan itu tidak memberikan reaksi. Seolah-olah apa yang dilakukan oleh Angah Soyah tidak sedikit pun menimbulkan masalah kepadanya.
Kau duduk di rumah. Jangan ke mana-mana. Nanti kalau orang lain nampak kau, jawabnya matilah kau dibunuh mereka,
pesan Angah Soyah kepada ular sawa batik. Golok di pinggang dikemaskan kedudukannya. Angah Soyah berdiri di pelantar buluh yang sudah buruk benar keadaannya. Anak tangga yang patah pun masih belum digantikan. Angah Soyah sebenarnya sudah terlupa langsung tentang anak tangga yang patah itu. Kesibukannya mencari rezeki, dan kepulangannya hanya apabila malam sudah menjelang, membuatkan anak tangga yang patah itu langsung lenyap daripada ingatannya. Sewaktu Angah Soyah sudah pun berada di tanah, Pak Su Cik Leh menuruni tangga pelantar secara kelam-kabut seperti dikejar hantu. Cumanya, sewaktu dia memijak anak tangga yang patah, dia tidak tergelincir ataupun jatuh terperosok ke bawah tangga, sebaliknya langkahnya mantap seolah-olah anak tangga yang patah itu mampu membendung berat tubuhnya tanpa sebarang masalah.
Boleh ke kau berjalan dalam gelap ni, Angah
Pak Su Cik Leh seperti tidak yakin dengan keupayaan Angah Soyah.
Aku sudah biasa dengan gelap. Aku sudah hafal dengan setiap jalan dan lorong di sekitar kampung ni.