Jenis-jenis kecurian pula pelbagai. Tidak juga terhad kepada satu jenis budaya. Sama ada setakat loket kecil pusaka bereka bentuk unik, membawa kepada kotak kayu bergancu tembaga ratusan tahun hinggalah barangan yang luar biasa seperti lukisan tangan warna air tanpa perspektif zaman Dinasti Ching.
Yang lebih mengharukan dan membuat kami menepuk kepala apabila melihat reaksi orang
Melayu khususnya. Mereka mula membuat cerita khurafat tentang pencuri berhati hitam yang memuja syaitan dan memerlukan semangat benda keramat ratusan tahun mengumpul kuasanya. Tetapi cerita yang paling popular adalah kemunculan toyol. Ini semuanya bermula apabila ada yang mendakwa bertemu toyol pada malam kecurian loket pusaka kepunyaan Mak Long. Cerita tahyul betapa bersinarnya mata toyol dengan tubuh kerdilnya itu bergerak sepantas kilat.
Peristiwa-peristiwa kecil ini menjadikan Dhiya dihimpit rasa bersalah kerana terpaksa membiarkan kejadian ini berlaku. Walaupun kesal melihat orang-orang tua membuat spekulasi berlebihan tidak masuk akal, dia tetap tidak mahu masuk campur urusan yang mungkin membahayakan dirinya.
Yang terbaru sekali kejadian di Masjid Kampung Hulu. Nampaknya keberanian pencuri itu menjadi-jadi. Kesucian rumah Allah beratus tahun pun berani dicemari. Dan kali ini, tanpa segan silu dia mengambil lukisan khat kufi yang diwarisi daripada pembina batu asas Masjid Kampung Hulu dan cuma meninggalkan bingkainya. Lukisan yang selama ini telah menghiasi ruang solat utama sekian lama. Semudah itu.
Kemudian dia menghilang, ghaib sekali lagi.
***
Keredaan monsun perlahan-lahan membawa kembali petanda kasih sayang musim panas. Dahulu, musim ini kami tertunggu-tunggu kerana bermaksud musim permainan yang panjang. Sangat mengejutkan apabila menyedari detik-detik berniaga bercampur penjelajahan bandar Melaka beberapa bulan lepas telah menghilangkan semangat menyambut musim baru laga ketam. Bukan kerana laga ketam tidak lagi menarik. Tetapi kami sibuk menyusun merancang perkara-perkara baru di dalam hidup.
Lihat sahaja Dhiya. Budak sembilan tahun yang sudah punya lima warna asas Daler-Rowney untuk catan akrilik. Walaupun dia tersasar jauh dari masa yang dijangkakan, namun kepuasan memilikinya tidak ternilai.
Jadual cuti sekolah yang panjang telah padat dipenuhi dengan menjual kuih. Dhiya terutamanya akan melayan berjamjam di hadapan kanvas dan waktu petang kami dipenuhi dengan berjalan-jalan sekitar bandar Melaka mencari ceruk pelosok baru untuk diintai menggantikan acara-acara agung anak kampung dengan permainan galah panjang, konda kondi dan selipar tuju. Kami melihat perubahan ini sebagai perkembangan positif dan makna baru dalam hidup. Memberi laluan jelas masa depan bahawa hidup perlu dipenuhi dengan banyak tujuan dan tanggungjawab.
Bagaimanapun, kami sedari bukan semua orang melihat seperti perspektif kami. Dimulai dengan Lani dan kumpulan anak-anak liga laga ketam yang menjauhkan diri. Dituruti pula dengan pemain tegar layang-layang musim monsun. Sedar-sedar semua pemain cilik yang sering bertandang ke rumah aku dan Dhiya untuk bermain tidak lagi menganggap kami sebahagian daripada kelompok mereka. Lebih menyedihkan adalah sebab musababnya. Kata mereka kami kini sudah hidung tinggi kerana punya kawan anak Peranakan seberang sungai.
Aku melihat kekecewaan Dhiya yang cuba disorok. Berlagak tenang menyibukkan dirinya bermain warna dengan percubaan teknik baru gaya Impressionism. Meyakinkan dirinya dia pernah dibuang ayah kandung yang tidak pernah dia lihat. Apatah lagi mencium bau pelukannya. Justeru itu dia seharusnya boleh bertahan dengan kehilangan kawan bermain. Pandangan aku dan Dhiya sama. Bahawa sentimen prejudis mereka akan terhenti
setakat itu. Tidak akan mengusik jauh ke dalam hidup kami.
Tenyata kami silap. Silap besar.
***
Pagi indah sekali. Seperti biasa aku, Dhiya dan Lim membawa 400 biji popiah nyonya dan cucur udang ke Kampung Jawa. Inti kuih popiah masih panas dan cucur udang masih garing mengerutup akan dibawa ke kedai makan Kak Ani untuk pelanggannya yang tidak pernah putus.
Derap kaki kami melangkah memberikan ritma dan membentuk lagu. Pernahkah kau mendengar orang mengatakan lagu juga seperti lukisan Lagu, nyanyian indah juga punya komposisi, tekstur dan gemilang warna. Maka, apabila hari itu kami berlari dengan hati bebas merdeka anak jalanan, kami dapat mendengar di udara keriangan lagu rock disko terbaru daripada David Bowie yang merayakannya. Suara nyaring lelaki kacak rambut panjang bercacak separuh transgender menyanyikan lagu 1984 sudah dapat dibayangkan di dalam kepala. Tanpa disedari, lagu itu sendiri membawa makna begitu besar di dalam naratif hidup kami. Larian kami terus menerus diiringi dengan muzik.
Someday they wont let you,
So now you must agree,
The times they are telling,
And the changing isnt free,
Youve read it in the tea leaves,
And the tracks are on TV,
Beware the savage jaw, Of 1984.
Thell split your pretty cranium,
And fill it full of air,
And tell that youre eighty,
But brother, you wont care,
Youll be shooting up on anything,
Tomorrows neverthere, Beware the savage jaw, Of 1984.
Tangan menyentuh lutut, menahan mengah larian panjang. Di hadapan kami, gerai Kak Ani bermulut lantang menanti. Aku dan Dhiya dengan hati-hati menyusun tertib kuih muih di pinggan melamine. Kemudian, kami diberi wang berikat hasil jualan semalam. Lim menunggu berhampiran kedai dengan kakinya masih bergoyang riang.
Keghairahan mengutip wang hasil jualan membuat kami tidak menyedari kekecohan merentap jiwa mereka yang telah menjadi penghuni setinggan Kampung Jawa bertahuntahun. Pada pagi yang sama, beberapa papan tanda dipacak dengan notis arahan berpindah keluar meninggalkan tanah adat selama-lamanya. Jelas sekali proses pembangunan pesisiran Sungai Melaka telah melalui proses serius dan malahan menjadi projek mega negeri untuk tahun-tahun berikutnya. Kami yang pulang dengan
keghairahan untung di tangan berlari-lari anak dan tidak sempat menyaksikan beberapa penghuni dinding kayu perca mengalirkan air mata.
Dalam perjalanan pulang, Lim mengajak berjalan ke Jalan Wolferstan. Membayangkan kami akan melihat juntaian melur dan kotak-kotak rempah mengharum di kaki lima, mata kami bersinar setuju. Berjalan gontai, meraikan hari indah. Melihat Lim yang luar biasa hiper aktif pada hari itu, aku menurut saja. Dhiya usah kau tanya. Tersengih-sengih melihat Lim masih lagi bergoyang-goyang.
Kemudian, aku mengerti. Budak sepet itu dilanda kegilaan musim break dance. Lelaki berkulit hitam yang memecah rekod lagu pop sepanjang zaman dengan tarian nyanyiannya luar biasa itu telah menyampuk Lim. Pasti gara-gara trend sekolahnya. Apatah lagi Lim telah dihantar ke sekolah kebangsaan. Cuma budak sekolah kebangsaan sahaja yang bisa terpengaruh demam sebegini aneh.
Kami menggeleng kepala melihat kegilaan Lim. Ketika dia membuat gerakan memukau moon walk dan the wave, yang kami lihat seorang budak Cina disampuk hantu Barat. Lim lincah meniru koreografi floor rocking, ketika kakinya terpijak sesuatu. Tersentak. Dia pantas mencangkung melihat bawah. Aku dan Dhiya mendapatkan Lim bila melihat Lim menguis-nguis tanah. Dhiya berkerut. Ada apa Lim Dhiya pantas berlari ingin tahu.
Entah. Aku tengah main. Tiba-tiba macam terpijak tin bawah tanah ni.
Dhiya turut menyibuk. Pantas mencangkung, mencapai ranting dan menguis-nguis tanah. Apa-apa saja kau orang ni. Ada saja benda nak dicari, dikorek!
Tak mahu tolong, zip mulut kau, pantas Lim mencantas mulutku.
Tanah yang menutup tin ternyata tidak dalam. Dengan mudah kami melihat permukaan atas tin berukuran tujuh kali tujuh inci. Apabila melihat itu, aku pula teruja dan segera masuk campur. Lim senyum mengejek. Segera kami menarik keluar tin bersama. Sekuat-kuatnya. Dan apabila tin bekas coklat itu terpelanting keluar kerana momentum berlebihan, kami mendengar bunyi dentingan. Kami berpandangan sesama sendiri. Pasti dentingan dari isi tin.
Kami berlari mendapatkannya dan mencari apa-apa saja yang boleh mencungkil untuk membuka tutupnya. Dhiya mengambil ranting kecil dan kuat, menolak keluar penutup tin dan akhirnya dia berjaya. Kami memegang lutut menghulur kepala melihat isinya.
Antara terkejut dan ketakutan . Daripada sudut kamera cacing, kau melihat kepala kami bertiga melopong panjang. Lim memecah sunyi;
Apa kita nak buat sekarang
***
Berlari lagi. Kami pernah membuat pelbagai larian.
Adakalanya berlari anak. Kadang-kadang gaya lumba marathon. Tetapi pada hari itu kami berlari dengan gaya jaguh yang memenangi larian olahraga 100 meter.
Sekuat hati. Maka, apabila sampai ke garisan penamat di sempadan jambatan Kampung
Morten, kami bertiga kehilangan suara. Lim masih lagi mengepit tin yang ditemuinya. Perlahan-lahan kami berjalan. Bukan kerana kehabisan tenaga, tetapi dibalut gusar. Berat kaki kami seperti tidak percaya kami akan ke rumah itu. Beberapa orang kampung yang sedang berkumpul di serambi rumah menambahkan gelisah. Lim sudah mahu berpatah balik tetapi Dhiya menahan.
Rumah gah itu. Villa Sentosa. Kami kembali ke sini. Kali ini untuk sebab penting. Aku dapat merasakan mata-mata skeptikal apabila melihat Lim. Aku sudah tidak peduli. Aku yang paling lantang di antara kami bertiga memberanikan diri menegur;
Pak Ibrahim! Ini kawan saya, Lim. Dia dah jumpa barang kemas Pak Ibrahim yang hilang!
Silap besar. Semasa bercakap pun aku sedar sudah membuat silap. Belum sempat pun berfikir untuk membetulkan kata-kata, aku melihat orang kampung menderu turun mendapatkan kami. Malah Dhiya dan Lim yang biasa petah itu pun bagaikan terpaksa mengulum kata.
Mana Mana dia Mana barang tu seorang lelaki pertengahan abad pantas bertanya.
Haji Ibrahim yang terakhir sekali turun di tangga batu itu. Wajahnya keliru antara percaya dengan tidak.
Apa kata kau, nak Kau jumpa barang pusaka aku
Aku mengambil tin daripada tangan Lim. Menghulurkan kepada Haji Ibrahim antara ragu-ragu, gentar dan bangga. Sangat mengelirukan gelodak perasaan kami sekarang. Jelas walaupun dengan niat memulangkan barang Haji Ibrahim, kami tidak yakin langsung dengan tindakan ini. Haji Ibrahim membukanya. Tangannya gemuruh. Perlahan-lahan tutup diangkat.
Dan matanya itu. Antara lega dan hampa. Seorang bertanya;
Kenapa Haji
Beberapa pasang cucuk sanggul dan pending. Tembaga bersalut intan. Ukiran tebuk halus. Gemilangnya memukau. Kami yang melihatnya beberapa kali belum hilang rasa kagum. Mata Haji Ibrahim jelas keliru.
Betul. Ini memang barang-barang aku. Sebahagian.
Beberapa orang kampung menderu mendekati Haji Ibrahim.
Apa maksud Haji sebahagian
Haji Ibrahim jengkel benar. Soalan apakah ini
Sebahagianlah! Ini tak sampai separuh daripada barang yang hilang!
Ada kupu-kupu resah dalam perut kami. Dhiya yang sentiasa menjadi seorang pemberani malah pucat lesi. Sesunggguhnya kami menjangka reaksi begini. Dan sepertimana aku katakan berkali-kali, di saat genting begini lelaki sepertinya pasti muncul mencarik-carik ketegangan. Pak Jasmi muncul lagi. Terbelalak kami. Ini memang bencana. Langkah pantas tegasnya menceritakan segalanya. Suaranya petir.
Haji Ibrahim! Saya dengar budak-budak jumpa barang Haji! Mana dia
Orang kampung cuma memburukkan keadaan. Seorang menunjuk pantas kepada Lim.
Budak tu yang jumpa. Barangnya sikit saja, Pak Jasmi!
Mahu bergumpal isi perut melihat mata bulat Pak Jasmi.
Apa maksud kau sikit Mana yang lain bukan main lengkingan suara.
Haji Ibrahim jelas tidak senang dengan kehadiran Pak Jasmi.
Tak perlu jerit-jerit Jasmi, suara tenangnya menyorokkan marah.
Haji tak faham lagi ke apa yang berlaku Saya dah cakap dulu kan Orang kampung seberang yang ambil! Budak ni! Dari mana dia jumpa semua barang-barang ni Entah-entah bapanya yang curi!
Marah Haji Ibrahim meletup. Rupa-rupanya, jika lelaki sepertinya meletus lebih menakutkan. Auranya menyalanyala.
Cukup Jasmi! Kita tak dengar cerita mereka. Jangan tuduh bukan-bukan! Macam tak ada adab!
Haji memang selalu tak nak dengar cakap saya! Baik! Saya nak dengar cerita budak ni. Cepat! jari telunjuknya menghala Lim.
Lim menelan liur. Gementarnya tidak dapat dibayangkan. Sumpah. Pada hari itu, mulut aku dan Dhiya dikunci. Dan Lim dalam getar bersuara;
Kami terjumpa tin ni dalam tanah; semasa balik dari
Kampung Jawa!
Lim yang masih gementar mahu
menyambung ceritanya sebelum pantas dicantas. Sungguh kurang ajar Pak Jasmi. Haji Berahim dengar tak Dalam tanah Masuk akal ke cerita ni
Dhiya yang cemas bukan main sudah mengalirkan air mata. Berdiri di belakang Lim membelanya.
Memang betul tu yang berlaku, Pak Berahim!
Pak Jasmi kasar menolak Dhiya ke belakang. Mahu saja aku tumbuk mukanya jika tidak memikirkan tingginya dua kali aku.
Ahhh Sudah! Kami tak mahu degar cerita bohong ni. Logikkah cerita mereka Haji
Haji Ibrahim merenung dalam mata kami. Antara simpati dan was-was. Antara kasihan dan curiga. Kemudian mendapatkan Lim, memegang bahunya.
Katakan yang benar, nak. Pak cik tak marah. Tak akan buat apa-apa dakwaan. Sekurang-kurangnya kamu mahu pulangkan barang-barang pak cik.
Malapetaka. Kami mengharapkan sangat-sangat peluang terakhir kiranya Haji Ibrahim bermata jernih itu menyebelahi kami. Ternyata memberitahu cerita benar yang luar biasa memang langkah pincang yang cuma membawa kebinasaan. Ini pelajaran besar buat kami. Dan kini Lim berada dalam bahaya.
Pak Jasmi mara sekali lagi. Dia merengkuh kasar bahu Lim.
Apa gunanya Haji Berahim cakap baik-baik dengan budak bangsa seberang ni Mereka tak pernah buat baik dengan kita pun! Dah habis tanah kita dijarah. Sekarang, harta kita yang tinggal pun mahu diambil! Kini, Haji Ibrahim pula bertempik.
Berkasar dengan mereka pun tak ada gunanya, Jasmi! Dia cuma budak kecil!
Sudah Haji! Kalau Haji tak nak masuk campur, biar saya dan budak-budak saya yang uruskan!
Ku melihat tangan Lim menggeletar. Beberapa orang pemuda merentapnya. Dan kami mendengar teriakan Lim ketakutan.
Dhiya! Adi! Tolong! Tolong aku!
Jasmi! Kau dah melampau!
Merah padam Haji Ibrahim. Betapa kami akan mengingati hari ini. Seraya itu, beberapa budak kampung terus mengheret Lim sehingga sebelah seliparnya tertanggal pun tidak dihiraukan. Kami Aku dan Dhiya menjadi tak keruan. Mendengar sayup suara Lim menjerit-jerit nama kami. Dhiya menekup telinganya, terduduk dengan esakan kuat tidak terkawal. Tidak sanggup mendengar teriakan Lim. Blausnya lencun dibasahi air mata. Kami cuma dapat melihat mereka membawa Lim hingga penghujung Persiaran Datuk Othman sebelum menaiki kereta buruk Pak Jasmi.
***
Untuk beberapa jam berikutnya, aku dan Dhiya termangu di jambatan. Menjadi bodoh kebingungan atas kejadian tidak disangkasangka ini. Aku melihat wajah Dhiya. Wajahnya luar biasa comot. Mata tidak lagi berbinar. Malahan sembab bengkak.
Aku sudah tidak larat memujuk. Aku sendiri tidak dapat memulihkan kesedihan. Nyata sekali semangat dan moral kami diinjak-injak hari itu.
Kami tidak tahu apa yang terjadi kepada Lim. Kami mendengar dia dibawa ke balai polis. Mereka malah membuat dakwaan. Terfikir juga kami untuk pergi ke rumah Lim mengadu kepada bapanya. Tetapi bagaimanakah kami dapat menatap wajah lelaki itu Memberitahu satu-satu anaknya yang keluar bersama kami tadi dibawa orang kampung atas tuduhan subahat siri rompakan paling diingati dalam sejarah bandar Melaka Di manakah kami dapat meletakkan wajah tebal ini
Aku memecah sunyi. Tidak betah menahan sabar berlamalama di sini.
Dah cukup menangis
Dhiya menoleh pantas menahan marah dingin. Aku tidak peduli.
Kita tak boleh selesaikan masalah Lim macam ni. Bangun, Dhiya!
Dan Dhiya memang emosional hari itu. Jawabnya lebih kepada menjerit.
Kau nak aku buat apa Lawan orang kampung gila ni
Mahu saja aku menarik rambut perempuan degil itu. Aku menjengil.
Tarik nafas kau. Cuba fikir. Tempat apa paling sesuai jual barang antik
Dan mata Dhiya berkunang kembali.