Jacknaim adalah nama pena kepada Dr. Muhamad Naim Bin Ab Razak (M.D USM). Merupakan anak pertama dari enam adik-beradik dan kini bertugas sebagai Pegawai perubatan di Jabatan kecemasan dan Trauma, Hospital Lahad Datu. Menjadi doktor adalah cita-cita zaman kanak-kanak dan dipengaruhi oleh anime Dr. Black Jack dan siri E.R! Bercita-cita untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Kecemasan dan Trauma dan mempunyai minat mendalam dalam bahagian Diving Medicine, Cardiology, Critical Care dan Toxinology. Penulis buku Prognosis terbitan DuBook Press dan juga menulis cerpen di akhbar Harian Express. Kini, masih tercari-cari jati diri dan berjuang untuk menjadi yang terbaik. Mungkinkah apa yang dicita akan menjadi realiti
*******
KRING KRING KRING!
Para staf jabatan kecemasan berlari menuju ke bilik resusitasi. Mereka adalah kumpulan yang dipertanggungjawabkan untuk merawat kes resusitasi di zon merah. Pasukan ini diketuai oleh seorang doktor, dua orang jururawat dan seorang pembantu pegawai perubatan.
Di hadapan mereka adalah seorang bayi berusia satu bulan yang berada dalam keadaan yang sangat lemah. Tiada tangisan yang keluar dari mulutnya. Yang ada hanyalah bunyi hembusan nafas yang tidak sekata. Sekejap laju dan sekejap perlahan.
Staff Nurse (SN) Lydia mengambil cardiac monitor dan memasangnya pada bayi tersebut. Jantung bayi tersebut berdegup dengan lajunya. 190 degupan dalam masa satu minit. Kepekatan oksigen dalam darah adalah 91%. Beberapa kali mesin tersebut cuba untuk mengambil bacaan tekanan darah tetapi tidak berhasil.
Doktor Prasanth mengambil headbox dan segera memberikan bantuan oksigen kepada bayi tersebut. Tanpa berlengah, dia segera memasang jarum IV line tetapi tidak berhasil kerana semua salur darah bayi tersebut sudah pun mengecut.
Berikan saya set intraosseous. Gesa Dr. Prasanth.
Dia segera memakai sterile glove dan menyapu solusi chlorhexidine pada bahagian tulang betis bayi tersebut yang berdekatan dengan lutut. Tanpa berlengah, dia membuat torehan pada daging tulang betis tersebut sebelum memasukkan jarum khas yang dipandu oleh mesin EZ Drill. Itu adalah prosedur yang biasa dilakukan sekiranya anak-anak kecil datang dalam keadaan tidak stabil dan memerlukan resusitasi tetapi gagal untuk mendapatkan IV line. Sejenis jarum khas akan dipasang ke dalam rongga tulang dan sebarang ubatan atau cecair yang diberi melalui laluan itu akan masuk ke dalam salur darah.
Tanpa berlengah, dia memberikan 50 cc cecair normal saline melalui Intraosseous line. Setelah 50 cc cecair diberikan, pesakit masih lagi dalam keadaan dihidrasi yang teruk dan lemah.
Check DXT staff nurse! Arah Dr. Prasanth meminta agar kandungan gula dalam bayi tersebut diperiksa.
1.6 sahaja doktor terang jururawat tersebut.
Patutlah dia masih lagi tak bermaya. gulanya sangat rendah! Bagi dia 20 cc cecair Dextrose 12%. Arah Dr. Prasanth.
Tidak lama kemudian, kedengaran teriakan kecil dari si bayi tetapi ia cukup-cukup lemah. Hampir-hampir sahaja bunyi tangisan tersebut ditenggelami bunyi mesin cardiac monitor.
Secara klinikalnya, bayi tersebut masih lagi dalam keadaan dehidrasi. Kali ini, Dr. Prasanth memberikan lagi cecair normal saline sebanyak 25cc. Salur darah sudah mula mengembang dan seorang jururawat segera memasang IV line. Intraosseous biasanya dipasang untuk sementara waktu sahaja disebabkan risiko jangkitan kuman adalah tinggi. Biasanya, ia akan ditanggalkan setelah berjaya mendapatkan IV line. Percubaan jururawat tersebut berjaya, tetapi Dr. Prasanth membuat keputusan untuk tidak mencabut intraosseous tersebut terlebih dahulu melainkan pesakit benar-benar sudah stabil.
Nanti lepas setengah jam, periksa balik DXT pesakit, pinta Dr. Prasanth kepada jururawatnya. Dia keluar dari bilik resusitasi dan bertemu dengan ibu pesakit.
Sutina berbadan kurus kering, berambut perang dan kulitnya hitam manis. Dia adalah wanita berbangsa Palahu ataupun dikenali sebagai sea gypsies. Mereka adalah masyarakat tanpa negara dan bergerak di antara perairan Thailand, Sabah, Indonesia dan Filipina. Mereka bercakap menggunakan bahasa bajau laut. Namun, proses asimilasi budaya selama berpuluh tahun menyaksikan sebahagian dari mereka sudah pandai berbahasa Sabah. Ada yang sudah tidak tinggal di laut dan mula membina penempatan di pesisir pantai dan pulau.
Sutina masih lagi mengekalkan tradisi asal Palahu. Dia mempunyai lapan orang anak manakala suaminya baru dua bulan meninggal dunia akibat termakan racun ikan buntal. Kesemua anak-anaknya hidup dalam sebuah perahu. Untuk menyara kehidupan, dia memancing ikan dan menukarkan hasil tangkapan ikan tersebut dengan ubi kayu dan kopi di bandar.
Walau bagaimanapun, sejak beberapa hari yang lepas cuaca tidak menentu dan laut bergelora selepas dilanda angin kencang. Botnya tidak mempunyai enjin dan jarak di antara tempat tinggalnya dengan daratan memakan masa selama tiga jam mendayung perahu.
Sudah tiga hari anaknya itu mengalami cirit birit dan tidak dapat menyusu. Dia hanya menangis memikirkan nasib putera bongsunya itu kerana tidak terdaya untuk mengayuh sampan ke daratan. Hendak meminta pertolongan jiran-jiran, mereka juga tiada bot berenjin. Dia hanya mampu mengalirkan air mata sambil berdoa agar anaknya selamat.
Dr. Prasanth terkedu mendengar cerita tersebut. Dia berasal dari semenanjung. Semua ini terlalu asing baginya. Tidak pernah dia menyangka bahawa kisah sebegini wujud di negeri pantai timur Malaysia ini. Dia tertanya-tanya, apakah yang boleh dia lakukan untuk memulihkan keadaan ini ataupun membawa perubahan agar semua masyarakat dapat menerima rawatan selaras dengan Perjanjian Geneva Setiap manusia itu berhak untuk mendapatkan akses pada kesihatan, pendidikan dan keselamatan.
Satu lagi dilema, mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Bagaimana pula dengan aspek legal Ah, pedulikan semua itu. Biarlah pemerintah yang pening kepala dengan isu itu. Baginya, sebagai seorang doktor, dia tidak boleh menafikan sebarang rawatan untuk pesakit kritikal. Jika tidak, ia akan membangkang janji keramat yang dia lafazkan sewaktu bergelar doktor.
Doktor, pesakit asystole! Jerit SN Lydia dari dalam bilik menyebabkan Dr. Prasanth tersentak dan berlari masuk ke dalam bilik resusitasi.
Tanpa berlengah, dia mengarahkan pembantunya melakukan CPR sambil dia melakukan proses intubasi dengan menggunakan tiub ETT bersaiz 3.0 mm. tidak sampai 20 saat, dia sudah pun berjaya melakukan proses intubasi. Rentak mereka melakukan resusitasi adalah dengan melakukan tekanan dada sebanyak 3 kali dan diikuti dengan 1 kali bantuan pernafasan.
Lydia, dilute kan 1 cc adrenaline dengan normal saline dan jadikan sebanyak 10 cc. Setiap tiga minit, kamu bagi 2cc, arah Dr. Prasanth lagi.
Bagi bolus Normal saline 20 cc lagi. Arah dia kepada seorang lagi jururawat.
Dia berfikir dalam kepalanya. Pesakit yang datang dengan dehidrasi yang teruk akibat cirit birit biasanya mempunyai banyak masalah terutamanya gangguan garam dalam darah. Kekurangan garam sodium boleh menyebabkan sawan atau tidak sedarkan diri manakala kekurangan garam kalium boleh menyebabkan degupan jantung tidak normal. Ia biasanya diburukkan lagi dengan metabolic acidosis di mana darah menjadi masam akibat dari pengumpulan lactate. Kesemua ini menyumbang kepada kegagalan jantung untuk berfungsi dengan normal.
Dia mencuba sedaya upaya. Dehidrasi boleh dibetulkan dengan memberi cecair normal saline ataupun hartman. Metabolic acidosis biasanya akan pulih setelah pesakit diberikan cecair tetapi jika bacaannya teruk, ia perlu dibetulkan dengan memberi larutan sodium bicarbonate. Masalah kekurangan garam pula agak sukar untuk dirawat kerana ia tidak boleh dibetulkan dengan pantas kerana boleh mengakibatkan komplikasi.
Lydia, check balik DXT, arah Dr. Prasanth kerana bimbang paras gula dalam darah masih rendah dan menyebabkan pesakit menjadi sedemikian. DXT 4.2 doktor, balas Lydia.
Hurm, teruskan proses resusitasi. Lydia kamu sediakan 2 gram potassium dan campurkan dalam 500 cc Normal saline. Dan beri cecair tersebut pada pesakit dalam kadar 12.5 cc/h
Doktor, keputusan darah sudah balik. PPP Azim berlari menuju ke bilik resusitasi. Dr. Prasanth memberikan ambu bag kepada PPP Azim untuk meneruskan tugas ambu bagging dan dia meneliti keputusan darah tersebut.
pH 6.6
HCO 3 5
Base excess -28
Sodium 118
Kalium 1.2
Urea 16.
Setelah setengah jam melakukan resusitasi, tidak ada tandatanda jantung putera tersebut kembali berdegup. Tanda vitals juga tidak dapat dibaca dan cardiac monitor masih menunjukkan garisan lurus.
Dr. Prasanth menarik nafas panjang.
Hentikan CPR. Time of death 10.45 AM!