BANDUAN AKHIR - 13
Selepas itu jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda dan diusung ke tanah perkuburan. Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita kurang digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut. Tangisan dan ratapan yang berlebihan terutamanya di tanah perkuburan tidak digalakkan dalam Islam.

Sebelum ditimbus, siak atau sesiapa yang hadir akan turun ke dalam kubur dan membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat serta membukakan ikatan di kepala.

Kepala mayat akan disendal dengan tanah yang telah dikepal-kepal dan selepas diazankan di telinganya, barulah keranda ditutup dan tanah ditimbus. Dua batang batu nesan tertulis nama, tarikh lahir dan juga tarikh kematian akan dicacak di atas kubur sebagai tanda. Seterusnya upacara membaca talkin akan dijalankan oleh tok imam. Selepas talkin dan doa selesai dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian, bunga rampai pula ditabur.