Allah s.w.t juga telah mengurniakan kepada kita manusia dengan kelebihan akal dan hati. Maka dengan kelebihan inilah kita dapat merasakan kesenangan, kesusahan, bahagia, derita dan
sebagainya.
Dan umat manusia itu pula tidak dapat lari daripada kehidupan bermasyarakat. Di dalam masyarakat ini termasuklah jiran tetangga, hidup berjiran ini penting kerana manusia itu tidak akan mampu hidup bersendirian dan manusia itu juga saling memerlukan di antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan masing-masing.Siapa yang dimaksudkan dengan jiran tetangga itu bolehlah kita sifatkan sebagai orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan lebih besar
daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara kita.
Agama Islam memerintahkan agar para penganutnya menjaga dan menghormati perasaan jiran tetangga. Ini kerana jiran itu adalah mereka yang paling hampir dengan kita selain daripada saudara-mara kita sendiri, walaupun mereka itu langsung tiada pertalian darah ataupun mereka itu berbeza pegangan dan agama.
Sabda Baginda s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Syuraih Al-Khuzai radiallahuanhu maksudnya: Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat (kiamat), maka hendaklah ia berbuat baik kepada jiran tetangganya.
Menyakiti hati dan perasaan jiran adalah satu perbuatan yang dicela Rasulullah s.a.w kerana akibat perbuatan itu boleh menyebabkan perasaan saling membenci, dendam, iri hati dan sebagainya timbul, sedangkan perasaan-perasaan sedemikian itu adalah dilarang di dalam agama Islam sebagaimana terdapat di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Anas bin Malik radiallahuanhu bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Janganlah kamu saling membenci, janganlah kamu saling dengki-mendengki dan janganlah kamu saling bermusuhan dan jadilah kamu hamba Allah yang
bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim menjauhi saudaranya (sesama Muslim) lebih dari tiga hari.
Apa yang sepatutnya berlaku ialah agar kita umat Muslimin ini bersifat lembah lembut dan berkasih sayang terhadap saudara seagama sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Numan bin Basyeer R.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
Engkau melihat orang-orang Mukmin dalam kasih sayangnya dan kecintaannya dalam tolong-menolongnya seperti tubuh, yang jika sakit satu anggota tubuh itu lalu menyebabkan semua anggota tubuhnya tidak tidur (kerana sakit).
Akan tetapi apabila jiran tetangga kita itu bukan beragama Islam, kita juga seharusnya menghormati mereka agar timbul juga nanti perasaan yang serupa terhadap kita. Sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tabarani daripada Muawiyyah bin Haidah R.a katanya:
Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Apakah hak jiran ku Rasulullah s.a.w pun bersabda: Jika beliau sakit hendaklah kamu menziarahinya, jika beliau meninggal dunia, hendaklah kamu menghantar jenazahnya ke kubur. Jika beliau meminjam hendaklah memberikan hutang kepadanya, jika beliau melakukan keburukan hendaklah kamu menutup keburukannya dan jika beliau ditimpa oleh sesuatu musibah hendaklah memberikan takziah kepadanya.
Dalam hadis lain Rasulullah bersabda:
Janganlah meninggikan bangunan kamu lebih tinggi dari bangunannya lalu menyebabkan angin terhalang masuk ke dalam rumahnya. Janganlah menyakitinya dengan bau masakan kamu melainkan kamu memberikannya sedikit dari masakan kamu. (Riwayat Muslim)
Dari abu hurairah, bahawa nabi bersabda Allah tidak akan menutupi aib sesaorang hamba melainkan dia menutupi aib orang lain. Hadis riwayat muslim.