PEREMPUAN ANGGERIK - 13
KERAS, kering, tajam angin dingin mencucuk-cucuk hingga ke tulang-temulang. Kekuatan angin melanda dengan kesejukan yang tidak disangka-sangka sudah mulai menyapa Makkah. Beberapa orang wanita Brunei yang ditemuinya semalam di telaga zamzam memberitahu yang Madinah sudah lebih sejuk daripada ini. Malah Jordan sudah pun ditimbusi salji. Kamaliah kemudiannya tersedar akan pesan rakannya Syidah, yang Haramain akan diusik musim dingin setiap penghujung tahun.

Dia membalut tubuhnya sejak membeli dua helai baju sejuk bersulam serta mengenakan telekung di luar. Memang dia agak mengasingkan diri daripada ahli rombongan yang lain. Pada pandangannya, yang lain lebih sibuk berfikir untuk membeli itu dan ini daripada beribadat.

Subuh tidak akan masuk dalam sejam lagi. Setelah bertawaf sunat, dia bersolat beberapa rakaat di petak Hijir Ismail. Lama berdoa dan kemudian bersolat apabila di belakang Makam Ibrahim kelihatan agak lengang. Dia gesit ke situ pula. Cuma dia masih belum berpeluang berdoa di hadapan Multazam lantaran asak dan tolak-menolak jemaah lelaki yang sedikit kasar. Pernah dia terdorong ke hadapan dan nyaris terjatuh kala berebut mengucup hajarulaswad.

Mujur selamat.

Kamaliah memejamkan mata. Mukanya kembali disapu angin dingin. Bibir kering dan mengelupas tidak dipedulikan. Dia mengulang-ulang bacaan Surah Yasin yang dihafal lancar. Kedinginan sebetulnya membuatkan hati begitu sayu.

Mama!

Kamaliah tersentak. Membuka mata dan melihat ribuan orang sudah mulai berpusu-pusu bertawaf mengelilingi Kaabah. Debar di dada bergendangan kuat. Dia sedikit termengah. Sudah acap kali rintihan itu mengganggunya. Semakin gagah dilupakan, semakin berani pula menggoda gegendang telinga. Kamaliah memejamkan matanya lagi.

Abang pandulah kereta berhati-hati. Tiada apa nak dikejar. Lagipun raya dah pasti lusa, tegur Kamaliah apabila melihat suaminya memandu cukup laju dan sering memotong kenderaan lain.

Nik Karim tersenyum ringkas. Abang tak sabar. Asyik balik raya di Melaka saja. Baru kali ini nak merasa raya di Kota Bharu.

Kamaliah berpaling ke belakang. Qistina, anak tunggalnya, nyenyak sekali tidur. Dia tersenyum dan menoleh ke arah suaminya. Dia bahkan berasa jemu, sindiran yang serupa sudah diulang sejak tahun lepas. Memang sudah empat tahun berturut-turut Aidilfitri disambut bersama-sama keluarganya. Tahun ini dia beralah.

Biar selamat, bang!

Seorang petugas wanita Masjidilharam yang rapat tutup wajahnya tiba-tiba datang menyergah. Kamaliah tersedar. Tentu permaidani akan dihampar. Angin dingin tambah berani dan tanpa segan mencakar tubuh. Dia bangun lalu terhegeh masuk ke ruang solat untuk wanita di dalam masjid.

Sabar, Liah. Sabar. Kita ni, nak, orang Islam. Separuh daripada iman kita bertunjang pada kesabaran. Wajah ibunya tiba-tiba muncul di hadapan mata. Kamaliah teresak lebih panjang. Hatinya hancur. Segala kesedihan bagaikan terkumpul di atas bahu. Begitu kuat menekan.

Ingatlah ayat keempat Surah al-Hud: kepada Allahlah kembalimu dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Wajah bapa mentuanya pula hadir.

Jangan diikutkan sangat kesedihan itu, Liah, pujuk ibu mentuanya.

SudahlahNik pun dah tiada. Yang tinggal Qistina itu, kita doakan supaya selamat. Bapanya membelai rambut yang kusut.

Kamaliah menitiskan air mata. Terlalu syahdu menanti subuh di Masjidilharam ini. Dia menarik nafas sedalamdalamnya. Qistina koma lebih dua minggu.

Anak awak kehilangan banyak darah dalam kemalangan itu. Kami sudah usahakan bekalan darah untuknya. Janganlah puan Kamaliah berasa bimbang. Rehatlah sebanyak-banyaknya. Kami optimis Qistina akan selamat. Jaminan Dr. Charan itu bagaikan tergambar berulang kali.

Air mata Kamaliah semakin deras berlari.

Kita hamba, Liah. Kita harus pasrah. Nasihat Syidah menggegarkan jiwa.

Kamaliah membaca semula Surah Yasin dari awal. Bibirnya terketar. Bukan kerana kedinginan, tetapi kerana keteguhan menahan cabaran. Ujian daripada Allah sentiasa bertujuan mengukuhkan ketahanan hamba-Nya. Dia sangat mempercayai itu. Apa yang dikutip dan dihirupnya daripada al-Quran dan sirah, dimamah dikunyah supaya sebati dalam diri. Allah itu adil. Jangan persoalkan keadilan-Nya.

Suara Nik Karim, gemulah suaminya lembut berbisik. Sayang, tabahkan hati menghadapi hidup ini. Ujian sebesar mana pun kita harus terima dengan keredaan. Semuanya untuk meninggikan lagi darjat kita. Kalau abang tiada nanti, Liah mesti cekal.

Mengapa abang cakap macam itu Liah tak suka dengar

Liah, contohilah Khadijah, Asiah, Mashitahteladanilah Asma Abu Bakar.

Kamaliah terketar meneruskan bacaaan. Orang semakin ramai membanjiri Masjidilharam. Dia tidak begitu menghiraukan. Selancar mungkin mulutnya mengalirkan bacaaan surah penawar hati itu.

Dia harus teguh.

Dia harus cekal.

Dia harus tabah.

Maafkan saya, puan. Ada berita yang kurang menyenangkan. Kamaliah membetulkan tudungnya. Merenung mata Dr. Rasyikin lebih dalam. Debar dalam dada sudah terlalu kencang. Dia kini bagaikan menanti hukuman bunuh.

Saya sedia terima apa saja berita.

Ini mungkin terjadi lapan tahun lepas, tetapi kesannya barulah dirasai sekarang. Doktor itu jelas resah, tetapi cuba tersenyum dan sedaya upaya bertenang.

Apa sakitnya anak saya itu, doktor Apa sakitnya Qistina Puan pernah terlibat dalam kemalangan bukan Ya. Kamaliah makin kurang sabar.

Qistina terlibat juga

Ya.

Dia kehilangan darah yang banyak

Doktor, tolong berterus terang!

Maafkan saya, puan, Qistina dijangkiti HIV.

Kata-kata itu meletus dan meledak dalam jantungnya. Nik Karim diambil Allah. Dan kini, Qistina pula menghitung hari. Betapa harapan jatuh ke tanah takdir dan berkecicak hingga lumat.

Hembusan angin yang sedikit kasar menyerbu ke wajah. Sudah terlalu banyak air mata yang tumpah. Kenangan pahit; siapa yang dapat melupakannya Siapa yang mampu

Aku manusia biasa, Syidah. Aku tak betah melihat Qistina menderita. Aku tak sampai hatidia masih terlalu kecil. Dia perlukan kawan-kawan sebaya, tetapi itu semua sudah tiada. Kawan-kawannya mengasingkan diri. Semua orang takut, Syidah. Semua orang takut. Qistina ada AIDS! Kamaliah hampir-hampir meraung. Syidah mendakapnya, mengusap belakang sahabat akrabnya. Itu sahaja yang terdaya dilakukannya.

Semoga Allah mengurniakan engkau ganjaran yang besar atas kesabaran kau, Liah. Istighfar banyak-banyak. Berdoalah. Allah kan Maha Mendengar. Rintihlah sebanyak-banyaknya di hadapan Yang Maha Kuasa. Allah itu adil, dia akan menimbangkan rintihan kau itu.

Mama.

Mengapa, Tina

MamaTina sakit perut. Tina sakit, mama. Tolonglah,

mama

Wajah Qistina menahan diarea begitu mencabar kesabaran.

Puan Kamaliah, diarea yang selalu dialami oleh Tina ini perkara biasa kepada pesakit AIDS. Ia natijah daripada KS atau karposi sarcoma. Barah kulit yang mungkin sudah melekat di usus. Ia adalah opportunistic infections.

Dia demam, doktor. Kamaliah mengesat air mata.

Ya, suhunya melebihi 102. Demam ini mungkin reaksi daripada azidotimidin yang kita beri tempoh hari.

Wajah comel Qistina sudah pudar. Pipinya tidak lagi gebu. Rambut yang lebat itu sudah berguguran. Matanya bengkak kerana menangis membendung kesakitan. Kesan lecetan ungu kemerahan kerana KS sudah menjalari wajahnya.

Cengkung, kudis, mata yang bengkak, kepala hampir botak hati ibunya punah.

Mengapa cucu nenek ini. Ibunya menangis tersedu membelai Qistina.

Qistina tidak lagi di peringkat asimptomatik, Syidah. Bukan lagi seperti dulu, sewaktu incubation period atau masa pengeraman. Tanda-tanda ARC atau AIDS Related Complex sudah begitu zahir. Dia sudah tidak boleh ke sekolah lagi. Begitu tulis Kamaliah kepada Rasyidah yang mengambil M.A. di Edinburgh.

Sabar, Liah. Aku dapat merasai penderitaanmu itu. Itulah antara lain balasan sahabatnya.

Mama, mengapa Tina, mama Tina sakit apa, mama Qistina teresak dalam pangkuan datuknya, merenung Kamaliah kosong. Ayah mentuanya turut menitiskan air mata.

Dosa siapalah yang kautanggung ini ni, Tina! Ratap ibu mentuanya pula. Semakin lukalah perasaan Kamaliah.

Sungguh dia berada dalam keadaan yang cukup tertekan. Meladeni Qistina dalam keadaaan sakit dengan penuh kasih sayang turut menjejaskan diri sendiri. Dia belajar merayu dalam keadaan gawat seperti itu.

Saya dah tak boleh bertolak ansur, Kamaliah. Saya terpaksa berhentikan awak. Awak sentiasa mengambil cuti. Mutu kerja awak merosot. Syarikat dah tak boleh bertolak ansur lagi.

Tolonglah, tuansaya perlukan kerja ini. Anak saya sedang sakit kuat. Tuan..., Kamaliah merayu di hadapan majikannya.

Anak awak ada AIDS, Kamaliah!

Kamaliah tambah teresak-esak. Wajah Qistina ketika menerima intravenous drug begitu memilukan.

Puan, ingin saya nasihatkan, penggunaan IV drip agak leceh. Saya fikir, menggunakan catheter implant lebih mudah, pujuk Dr. Rasyikin, cuba meyakinkan.

Kamaliah teresak-esak lebih panjang. Tergamakkah dia melihat jarum-jarum tercucuk dan tercancang di dada Qistina yang halus itu. Sungguh mengharukan!

Tuan, saya perlukan kerja ini. Tolonglah, tuan, belanja perubatan Qistina sungguh mendesak. AZT saja sudah makan entah berapa ribu setahun.

Kumandang ayat-ayat al-Quran lunak dan mersik di telinga. Masjidilharam sudah benar-benar cerah dan dibanjiri manusia; mereka tiba lebih awal untuk solat subuh berjemaah. Kamaliah mengesat air mata dengan hujung telekung. Kenangannya lebih nakal membayangbayangkan Qistina yang terpaksa menerima kesan buruk daripada penerimaaan AZT yang bukanlah penawar. Ubat itu bertujuan melewatkan proses virus merebak, tetapi pengaruh yang ditinggalkan sungguh dahsyat sel-sel darah yang semakin berkurangan lantaran tulang sumsum terjejas. AZT yang menyekat HIV daripada sebati dengan sel-sel yang diserangnya itu juga menyebabkan Qistina sentiasa pening, nausea, sakit otot, dijajahi ruam, dan sukar untuk tidur.

Hati ibu mana yang tidak bergelora. Penderitaan Qistina semakin merasuk sukma.

Ayahmaksaya sudah tidak tahan melihat keadaan

Qistina.

Kita ubat secara kampung, nak, kata ibunya lembut, kelopak mata menanggung air yang bergenangan.

Mak tak fahampenyakit Tina tak boleh diubati lagi! Jerit Kamaliah ditakung sebak dan pedih.

Ya Allah, engkau sahaja yang mengetahui hatiku ini. Apa yang bergoncang dan apa yang berkocak di dalamnya. Sesungguhnya aku meminta engkau menamatkan

penderitaan anak kesayanganku ini.

Kamaliah mengangkat muka, melihat langit, masih gelap, tetapi bintang-bintang bertaburan cantik berkelip-kelip mempesonakan. Indah, langit Makkah. Dia melihat Kaabah sekilas, imannya dirasakan melimpah dalam diri.

Aku perlukan ketenangan daripada-Mu, Ya Allah! bisik Kamaliah halus.

Puan, Qistina sudah dijangkiti pneumonia, saya juga menemui kesan glomerulonefritis yang merosakkan fungsi buah pinggang.

Kamaliah menggenggam tangan. Air mata sudah tidak mengalir. Dia sudah menjadi terlalu lali mendengar berita yang buruk-buruk.

Sabar separuh daripada iman. Allah sayangkan kau! itu jeritnya kepada diri sendiri berulang kali. Serasa-rasa tanpa iman dan takwa dia tidak akan dapat bertahan sejauh itu.

Kita beri adik kita ini AZT 150 miligram setiap empat jam. Ada baktrim untuk membersihkan paru-paru.

Kamaliah melihat Dr. Rasyikin menyuntik Qistina yang pucat menangis.

Setiap kali malam meradung, pada waktu-waktu keseorangan, di atas katil di sisi Qistina, dia merasakan ada yang perlu difikir-fikirkan. Apakah wajar dia membiarkan Qistina begitu terseksa Kini, sudah ada penyakit baru pula, toxoplasmosis yang bertindak menghancurkan otak, hati, paru-paru dan jantung, menyebabkan anak tunggalnya itu terkedang lemah di atas katil. Sudah tidak bermaya. Sejak Qistina jatuh tangga beberapa minggu lepas, keadaannya terlalu parah. Menerima hakikat ini, kematian yang sungguh menyeksakan sedang meratah anaknya, sedikit demi sedikit, menyebabkan fikiran turut terlantur juga.

Ya Allah, terimalah taubat hamba-Mu, aku dirasuk syaitan ketika itu! rintih Kamaliah. Angin dingin berkeliaran masuk hingga ke dalam masjid.

HIV pantas merosakkan sel darah putih atau sel pembantu T. Apabila HIV menyerang sel T, sebahagian HIV akan menembusi sel T itu lalu menjadi sebati dan utuh. Tanpa sedar sel T pula yang membantu membiakkan kumankuman HIV. Suara doktor terngiang-ngiang di telinga. Penerangan itu dirasakan begitu kosong.

Tiada harapan!

Kesihatan Qistina semakin buruk. Tubuh kecil itu semakin tidak berdaging, hanya tulang dan kulit. Kehodohan dengan KS yang bercambah dan kelesuan akibat pelbagai jenis penyakit hampir-hampir mengalahkan keimanan Kamaliah.

Syaitan kebetulan bermaharajalela.

Aku tak sanggup lagi, Syidah, aku minta Dr. Surjit menggunakan program berkomputer yang akan membolehkan Qistina menerima suntikan maut pada lengannya dengan hanya menekan kekunci laptop. Apa Suntikan maut Mata Syidah terbelalak.

Tak sakit, Syidahitu lebih baik daripada segala jenis penderitaan yang ditanggungnya. Mereka akan menggunakan campuran dua jenis dadah. Suntikan maut Bibir Syidah terketar.

Air mata Kamaliah berjujuhan, dalam gigil dan sedu, dia memberitahu lagi, Nama dadah itu sodium pentobarbitone dan penenang otot yang dipanggil suxamethonium klorida, akan membuatkan Tina tertidur dalam beberapa saat seterusnya mati dalam tempoh beberapa minit tanpa merasa sakit.

Kau gila Kaukau dikuasai syaitan Istighfar, istighfar! Syidah menggoncang-goncang bahunya, Syidah menangis sama.

Aku, aku dah habis daya!

Kaukau nak jadi pembunuh Syidah menempeleng lembut pipi Kamaliah. Tamparan itu lebih untuk menyedarkan sifatnya, supaya sedia lebih waras, lebih wajar, dan lebih kembali kepada Allah sebagai Maha Pemutus sesuatu. Janganjangan jadi pembunuh Syidah memeluknya. Mereka beresakan dengan tangis, mendayu berdua. Hampir-hampir iman dikalahkan, kalaulah dia tidak segera tersedar.

Aku, aku bertaubat, ya Allah, ampunilah hamba-mu.

Apa, apa hak kau nak bunuh Qistina Dia bukan milik kau. Kita ini semua milik Allah. Nyawa Tina milik Allah! Jerkah ayahnya pula yang bingung melihat dia hilang siuman.

Sayasaya insaf. Saya, saya cuma tak betah melihat Tina terus-terusan begitu.

Lupakan rancangan itu

Kamaliah merasakan matanya terbidik-bidik. Dua tiga orang wanita Ghana melintasi, terlanggar pahanya. Memang dia tidak berhak menyeratkan perjalanan hidup Qistina. Bukankah Allah lebih mengasihi hamba-Nya. Tentu ada hikmah pada semua kejadian yang berlaku. Dia percaya pada qadak dan qadar. Ya Allah, perteguhkanlah kesabaranku!

Qistina meninggal dunia tiga minggu lalu dengan keadaan kesihatan yang tenat. Anak itu sempat tersenyum kepadanya. Malah berbisik memberitahu yang ayahnya telah pun memanggilnya di sebalik pohon-pohon epal ranum dalam taman yang sangat indah.

Tina, Tina nak jumpa papa sekejap lagi, mamamama jaga diri baik-baik! Qistina bersuara lemah. Cuba bercakap sedaya mungkin dalam kesesakan nafas.

Kamaliah mengajarkan anak itu syahadah, dan anak kecil itu menurut. Dia meninggal dunia dalam keadaan aman. Wajahnya penuh kedamaian.

Air mata Kamaliah berlinangan mengekori jenazah Qistina ke perkuburan.

Aku berasa terlalu berdosa mempunyai niat jahat itu dulu, Syidah, Kamaliah membisik lemah kepada sahabat karibnya.

Taubatlahistighfar. Lagipun kau tidak melakukannya lagi, kau lebih berjaya menewaskan syaitan yang cuba mensia-siakan kesabaran kau itu.

Ya, mujur sekali. Semoga roh Tina di sisi Allah, di dalam syurga-Nya.

Pergilah tenangkan jiwamu, nak, pergilah berumrah ayah mentuanya menasihatinya.

Kami beri wangnya

Angin menyelimir dengan kesejukan mencengkam. Kamaliah mengesat air mata, menimbus tangis, dan menguatkan hati. Sukmanya berisikan keimanan. Allah mencipta segala. Kepulangan hamba itu tanda Dia menyayanginya. Bahkan setelah semua ini, dengan kesabaran, bersyukur, tidak berganjak, dia berasakan melepasi suatu ujian hidup yang sungguh getir tetapi keputusannya melegakan.

Ya Allah, berilah aku ketenangan hidup. Masjidilharam hingar. Sayu dan sayup.

Azan subuh berkumandang lembut menggaris dalam hati.

Penantiannya berakhir.