Ibu bapa dan guru tercinta di manapun anda berada, saya pernah memberikan ceramah tentang mendidik anak pada satu seminar di Perguruan Islam Babussalam, Bandung. Rancangan asal, ada dua penceramah yang akan tampil secara berganti-hanti. Saya mendapat giliran pada sesi pertama, jam 10.12 WIB. Namun, sewaktu sesi saya hampir selesai, penganjur mendapat berita bahawa penceramah berikutnya datang agak lewat. Apa yang terjadi Saya diminta oleh peserta dan penganjur untuk terus mengisi sesi kedua.
Akhirnya, sayapun tidak jadi kembali ke Jakarta. Saya terima cadangan para peserta untuk melanjutkan ceramah pada sesi kedua, jam 13.0015.00 WIB. Namun, setelah selesai mengisi sesi kedua, ternyata para peserta masih berasa tidak cukup input. Wah bagaimana ini kata penganjur yang kebingungan. Mustahil untuk menambah masa ceramah. Untuk bertemu secara peribadi pun agak sukar kerana saya belum memiliki pejabat cawangan di Bandung.
Akhirnya para peserta meminta saya untuk menulis seluruh isi ceramah dan buah fikiran saya ke dalam sebuah buku. Bukan main risau saya kerana sejujurnya saya belum berpengalaman untuk menghasilkan sebuah buku. Namun, berkat sokongan semua pihak, akhirnya buku tersebut berjaya ditulis dan diterbitkan. Oleh sebab buku itu mengupas sebab-sebab anak berperangai buruk, saya memberi judul sebagai Mengapa Anak Saya Sukar Diatur dan Suka Melawan 37 Kebiasaan Orangtua yang Menghasilkan Perilaku Buruk Anak.
Sepintas lalu, judul ini seolah-olah cenderung untuk membuat penilaian, khususnya bagi ibu bapa. Ya! Sememangnya begitu... kerana selama ini kita, ibu bapa sering memiliki kebiasaan, apabila ada sesuatu yang mengelirukan dengan perilaku anak, kita cenderung untuk menjatuhkan kesalahan pada mereka, daripada berusaha menelusuri dari mana punca perilaku buruk tersebut. Walhal kajian dan sejarah membuktikan bahawa ibu bapa mempunyai peranan paling besar dalam membentuk perilaku anak-anaknya, baik secara sedar mahupun tidak.
Ibu bapa yang berbahagia, untuk lebih menjelaskan permasalahan ini mari kita renungkan sejenak sebuah kisah sejarah yang pernah disampaikan oleh seorang tokoh besar dunia bernama Dr. Arun Gandhi, cucu Mahatma Gandhi tentang bagaimana dia dididik dan dibesarkan oleh ayahnya. Beginilah kisahnya:
Ketika itu, usia saya kira-kira 16 tahun dan tinggal bersama ibu bapa di sebuah institusi yang didirikan oleh datuk saya, Mahatma Gandhi. Kami tinggal di sebuah ladang tebu kira-kira 18 batu jauhnya dari kota Durban, Afrika Selatan.
Rumah kami jauh di pelosok desa terpencil, hampir tidak mempunyai jiran tetangga. Oleh itu, saya dan kedua-dua saudara perempuan saya sangat suka sekali apabila ada kesempatan untuk keluar ke kota, walaupun sekadar mengunjungi rakan atau menonton filem di panggung wayang.
Pada suatu hari, kebetulan ayah meminta saya menemaninya ke kota untuk menghadiri suatu persidangan selama sehari. Bukan main girangnya saya saat itu. Kerana tahu kami hendak ke kota, ibu memberi senarai barang keperluan untuk dibeli. Di samping itu, ayah juga memberikan beberapa tugasan lain kepada saya termasuklah membaiki kereta di bengkel.
Pagi itu setelah kami tiba di tempat persidangan, ayah berkata, Arun, jemput ayah di sini jam lima nanti... dan kita akan pulang bersama-sama.
Baik ayah, saya akan berada di sini tepat jam lima. Jawab saya dengan penuh keyakinan.
Setelah itu, saya segera bergerak untuk menyelesaikan tugas yang dipesan oleh ayah dan ibu satu persatu. Hingga akhirnya hanya tinggal satu pesanan iaitu menunggu kereta selesai dari bengkel. Sambil menunggu kereta diperbaiki, saya fikir tidak ada salahnya untuk mengisi waktu senggang dengan pergi ke pawagam bagi menonton filem. Oleh sebab asyik menonton, tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 5.30 sedangkan saya berjanji menjemput ayah pukul lima. Segera sahaja saya keluar dan terburu-buru menuju bengkel untuk mengambil kereta dan menjemput ayah yang sudah hampir satu jam menunggu. Ketika saya tiba sudah hampir jam enam.
Dengan gelisah, ayah bertanya kepada saya, Arun... Kenapa kamu lambat menjemput ayah
Ketika itu, saya berasa bersalah dan sangat malu untuk mengaku bahawa saya leka menonton filem sehingga saya terpaksa berbohong dengan mengatakan, Maaf ayah... Tadi kereta belum siapi diperbaiki sehingga Arun perlu menunggu.
Ternyata tanpa pengetahuan saya, ayah terlebih dahulu menelefon bengkel kereta tersebut sehingga dia tahu saya berbohong. Kemudian wajah ayah tertunduk sedih, sambil menatap saya, ayah berkata, Arun, seperti ada sesuatu yang salah dengan ayah dalam mendidik dan membesarkan kamu sehingga kamu tidak mempunyai keberanian untuk bercakap jujur kepada ayah. Untuk menghukum kesalahan ayah ini, biarlah ayah pulang dengan berjalan kaki sambil merenungkan di mana letak kesalahannya.
Lalu, dengan masih berpakaian lengkap ayah mulai berjalan kaki pulang ke rumah. Padahal hari sudah mulai gelap dan jalan semakin tidak elok. Saya tidak sampai hati meninggalkan ayah sendirian seperti itu.
Namun, meskipun ayah diminta naik kereta, beliau tetap berkeras untuk terus berjalan kaki. Akhirnya saya memandu kereta perlahanlahan di belakangnya dan tidak terasa air mata saya menitis melihat penderitaan yang dialaminya hanya kerana pembohongan bodoh yang saya lakukan. Sungguh saya begitu menyesali perbuatan tersebut.
Sejak itu, seumur hidup, saya selalu berkata jujur kepada siapapun. Setiap kali saya mengenangkan kejadian itu, saya akan berasa terkesan. Seandainya waktu itu ayah menghukum saya sebagaimana pada kebiasaan ibu bapa menghukum anaknya yang berbuat salah, kemungkinan saya akan menderita atas hukuman itu dan mungkin hanya sedar sedikit atas kesalahan saya.
Namun, dengan satu tindakan menilai kembali diri yang ayah lakukan, walaupun tanpa kekerasan menghasilkan kekuatan luar biasa untuk boleh mengubah diri saya sepenuhnya. Saya selalu mengingati kejadian itu, seolah-olah seperti baru terjadi semalam.
Ibu bapa dan guru yang saya cintai, sesungguhnya ayah Dr. Arun Gandhi itu merupakan seorang ayah dan guru yang luar biasa dalam mendidik anaknya. Sebuah kisah emas untuk kita ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Kisah ini begitu menginspirasi saya secara peribadi untuk selalu menilai diri apabila anak-anak tercinta mula menunjukkan sikap yang kurang terpuji. Ya... saya membiasakan diri untuk selalu bertanya, apakah yang salah pada diri saya, mengapa anak saya berkelakuan seperti ini
Semoga kisah ini juga boleh menginspirasi setiap ibu bapa dan guru. Agar kita boleh mendidik anak-anak kita menjadi orang besar dan luar biasa seperti Mahatma Gandhi. Ya, Mahatma Gandhi... si pejuang dan pendidik tanpa kekerasan.
Apabila ada sesuatu yang mengelirukan dengan perilaku anak kita cenderung untuk menjatuhkan
kesalahan pada mereka, daripada berusaha menelusuri dari mana punca perilaku buruk tersebut.