FIZIK-LAH! - 13
Tentu kita pernah melihat bersembahan orang baring di atas paku tanpa sebarang kecederaan serius. Persembahan ini tidak memerlukan sihir ataupun mana-mana ilmu hitam. Secara asasnya, tidak memerlukan sebarang latihan pun untuk melakukannya.

Mengapa

Kita perlu memahami konsep tekanan (pressure). Tekanan bergantung pada keluasan. Tekanan berlaku apabila ada interaksi antara dua objek, iaitu objek yang memberikan tekanan ke atas permukaan objek yang lain. Semakin kecil keluasan objek yang memberikan tekanan, maka tekanan yang diberikan semakin tinggi. Paku yang tajam akan memberikan tekanan yang lebih tinggi ke atas permukaan kayu berbanding paku yang tumpul kerana keluasan mata paku yang tajam itu lebih kecil berbanding keluasan mata paku yang tumpul.

Contoh lain, air paip yang kita salurkan guna getah paip, kita akan picit hujung getah tersebut supaya air lebih laju dan lebih kuat. Pada waktu kita memicitnya, kita sedang mengenakan tekanan yang tinggi pada air kerana keluasan air itu untuk keluar semakin kecil.

Kalau kita baring di atas sebatang paku, kita akan terkena cedera yang teruk dan mampu tertusuk kerana tekanan sebatang paku itu lebih tinggi berbanding baring di atas paku yang banyak. Apabila kita baring di atas paku yang banyak tersusun, kadar tekanan akan dibahagikan (distribute) pada permukaan tubuh badan kita. Pembahagian tekanan ini menjadikan purata tekanan yang dikenakan ke atas permukaan tubuh badan kita lebih rendah dan dikurangkan.

Secara umumnya, keluasan setiap paku yang kita pijak itu dijumlahkan. Jadi, apa yang kita pijak itu mempunyai keluasan yang lebih tinggi berbanding sebatang paku yang keluasannya sangat kecil. Justeru, menjadikan tekanan yang kita alami lebih rendah.