Demi Ajai - 14
bab 14

SEHARIAN menghabiskan masa di dusun amatlah memenatkan. Kerja-kerja mengutip buah-buahan yang sudah layak untuk dimakan menjadi payah memandangkan kudratnya sudah dimamah umur.

Pak Teh terkengkang-kengkang menghala ke dapur. Dipegangnya tulang pinggang yang tampak bengkok itu. Sebulan dia di sini, terasa puas membuat kerja-kerja kampung. Biarlah sakit macam mana pun, asalkan dia tidak sakit kebosanan.

Di Kuala Lumpur, tiada apa sangat yang boleh dikerjakan selepas pencen. Kota itu cuma tempat orang muda baginya. Lubuk mereka yang berani bermain api kota dan juga yang gagah menelusuri denai raya yang sering dihimpit kesesakan pada waktu kemuncak. Betapa senaknya ibu kota.

Kampung ini tanah tumpah darahnya. Juga tempat dia melangsungkan perkahwinan bersama Mak Teh lebih empat puluh tahun lalu.

Kini, jejak-jejak silam akan dapat dihidu saban hari. Pasangan itu sudah pun membuat keputusan untuk menetap di sini. Manakala rumah di Bangsar itu pasti dan pasti menjadi milik anak sulungnya yang sedang belajar di luar negara.

Kawanan keledek goreng sudah terhampar di atas meja makan. Pak Teh masih lagi menanti Mak Teh yang sedang mengangkat kain di jemuran. Bayang Ajai melintasinya sepintas lalu. Segera dia terkenangkan anak itu.

Seminggu sebelum dia meninggalkan kota yang sudah meletakkan separuh umurnya di situ, dia dan Mak Teh menerima khabar berita yang kurang enak. Sampaikan dia sendiri berasa bersalah untuk berpindah. Dia tidak mahu dituduh berlepas tangan.

Benar, Ajai dan Cikgu Isa baru sahaja dikenalinya beberapa tahun lalu. Tetapi, tempoh itu sudah cukup untuk dia mengenal hati budi kedua-duanya. Keluarganya sangat rapat dengan bujang-bujang itu.

Suatu yang memeranjatkan telah berlaku. Pak Teh masih tidak lupa suatu petang Ajai mengadu kepadanya. Mak Teh juga ada sama mendengar keluhan anak muda itu. Ajai menangis teresak-esak. Dengan pakaian seragam sekolah yang tidak bersalin, beg galasnya juga masih bergam di belakang badan.

Pak Teh, Mak Teh. Saya dah banyak buat

dosa pada cikgu. Saya derhaka dengannya. Saya melawan cakap cikgu. Saya tuduh cikgu yang bukan-bukan. Saya berdosa, raung Ajai. Entah dari mana dia mendapat semangat untuk penyesalan itu. Tetapi esakannya sangat panjang, tenaganya cukup kuat kala itu.

Kenapa ni, Ajai Jangan menangis. Cuba cerita dekat Pak Teh.

Saya lupa diri. Saya tak hargai jasa cikgu. Lepas tu ... lepas tu saya buat cikgu marah. Cikgu sakit. Saya menyesal.

Ajai menggigil atas bawah. Bibirnya tercebik-cebik menahan esakan yang maha dahsyat.

Sudah, nak. Jangan menangis lagi. Anggaplah itu dugaan Allah. Sengaja kamu diuji untuk dilihat kuat atau tidak. Mujur kamu dah sedar. Sudah, ya. Berhenti menangis.

Mak Teh bingkas mengurut-urut bahu Ajai. Ajai masih tersengguk-sengguk.

Saya takut cikgu benci saya. Saya nak PMR. Nanti tak berkat.

Tak apalah. Kamu minta maaf saja dengan cikgu. Nanti sejuklah hatinya.

Ajai hanya mengangguk. Dia sudah kehabisan kata.

Dah, bangun. Cikgu ada di rumah soal Pak Teh.

Ada. Dia cuti hari ini, balas Ajai ringkas.

Oh, ya. Ajai balik nanti terus minta maaf. Jangan tunggu-tunggu lagi. Pak Teh makin lembut bersuara. Tangannya mengusap-usap jemala Ajai. Dia kira itu kali terakhir dia akan memeluk anak muda itu sebelum dia berhijrah ke Pendang.

Rangkulannya dilepaskan. Dibiarkan Ajai bangkit mengesat-ngesat pipi yang dibanjiri cecair keinsafan.

Bang, jauhnya termenung! Saya dah lama dekat sini dia buat tak tahu saja, suara Mak Teh mematikan tangisan dan langkahan Ajai.

Pak Teh terkedu. Malu sendiri.

Abang fikir apa

Tak ada apa-apa. Teringat dekat Si Ajai. Entah macam manalah dia sekarang ni dengan Isa. Dah baikkah, belum. Saya pun tak tahulah nak cakap macam mana lagi. Kita dah ada di sini, susahlah nak jenguk.

Dah eloklah tu. Ajai dah minta maaf pun petang tu. Kita sendiri nampak dari luar rumah. Jangan dirisaukanlah.

Tangan Mak Teh mencapai keledek di sisinya. Disuakan ke mulut. Tergedik-gedik mulutnya mengunyah.

Saya bukannya apa. Ajai tu makin matang fikirannya. Awak pun tahu punca

mereka bermuka-muka. Saya takut nanti dia tak dapat apa yang dia nak, dia akan memberontak lebih teruk lagi, Pak Teh menyuarakan kebimbangannya.

Betul juga. Saya pun pelik dengan perangai Isa tu. Dengan kita pun dia berahsia. Dengan Ajai apatah lagi. Apa sebenarnya yang dia nak simpan Mak Teh memandang suaminya dengan penuh tanda tanya.

Pak Teh tidak menjawab. Kopi yang berasap di cawan lebih diutamakan.

Petang itu, Pak Teh dan Mak Teh terus mencari jawapan. Soalan yang sudah dua tahun lebih bersarang di Bangsar, kini dibawa pula ke Pendang. Pokoknya, jawapan itu tetap juga tercicir di Bangsar. Ada pada tuan empunya masalah pemula segalanya. Suatu hari nanti, kebenaran akan beraja.

WARUNG Pak Abas jadi hingar. Semua yang datang tidak memesan makanan, sebaliknya ligat bercerita. Dari meja ke meja ceritanya tetap sama. Anak ketua kampung sudah bernikah! Bininya bukan orang kampung. Orang luar.

Itu bukan soalnya. Masalahnya, kenapa anak Tok Penghulu kahwin senyap-senyap Ini tentu ada yang tak kena, soal seorang pemuda yang sedang mengupas kulit pisang.

Berita tergempar itu mula tersebar selepas salah seorang daripada mereka terserempak dengan anak Tok Penghulu yang sedang memimpin seorang perempuan bunting. Lebih jelas lagi apabila ada dalam kalangan mereka sudah pun bertanya sendiri kepada pemuda tersebut. Pemuda yang diyakini anak Tok Penghulu itu sudah pun mengaku. Maka, bertambah tarulah jadinya.

Tok Penghulu pun satu hal. Tiap-tiap hari menegah oranglah bagai, tapi anak sendiri tak terjaga. Tahu-tahu dah berbini. Seorang lelaki berkopiah menambah kecoh tengah hari itu.

Kita tak tahu hujung pangkalnya. Mungkin mereka ada masalah lain, celah Pak Abas mempertahankan maruah keluarga Tok Penghulu. Lagi pun dia tidak mahu warungnya menjadi dataran menabur fitnah.

Masalah apanya, Pak Abas Tok Penghulu tak patut rahsiakan. Dia ketua di sini. Bukannya kita tak dapat tolong untuk kenduri anaknya. Sah-sahlah kena tangkap basah tu, tukas seorang pemuda berbaju biru laut. Kemudian disambut sokong belia-belia kampung yang lain. Betul!

Satu kampung gempar. Tauke sayur berbangsa Cina mula bertanya-tanya, Benggali penjual kain pun cakap-cakap segitu, Pak Tam Jala perut berlipat juga mahu tahu.

Seminggu itu, kisah keluarga Tok Penghulu

sahaja yang menjadi bahan bual. Sehingga di pekan pun masih ramai yang rancak mengata. Ada yang menokok tambah, tidak kurang juga mencemuh sikap mereka anak-beranak.

Tok Penghulu kian dihimpit sengsara. Sakitnya makin menggila. Wan Minah pula tidak tahu apa yang perlu dibuat lagi. Suaminya bagai nak mati mempertahankan kehormatan keluarga. Namun masyarakat masih tidak terbuka mata hati.

Tengok apa dah kamu buat dekat abah kamu. Itulah mak pesan, fikir dahulu. Jangan degil. Restu ibu bapa penting, suara Wan Minah berombak. Turun naik nadanya.

Lazim minta maaf, mak.

Mudahnya. Maruah abah kamu dah tercalar, satu keluarga kita dipandang serong, kamu boleh minta maaf begitu saja

Wan Minah membelai-belai rambut Tok Penghulu. Dikesat-kesatnya air mata ketua kampung itu dengan tangan tuanya yang sudah merengkah. Tok Penghulu menangis dalam kaku. Matanya yang terjegil tetap berupaya mengepam air biar badan tidak lagi bergerak.

Sejurus rumah mereka diserang orang kampung kelmarin, Tok Penghulu jatuh rebah. Dia diserang strok langsung mengakibatkannya lumpuh hingga kini. Masyarakat kampung tidak peduli semua itu. Yang mereka tahu, pemimpin mereka sudah tidak layak meraja.

Apa tidaknya, terlalu sibuk menjaga tepi kain orang lain sampai anak sendiri gagal dijaga.

Apa mesti Lazim buat sekarang, mak tanya Lazim mula risau.

Wajah Lazim mendung. Dia menoleh ke arah isterinya di sebelah yang turut berasa serba salah. Kemudian, diusapnya perut yang sedang membuncit itu.

Ceraikan bini kamu! Keras pinta Wan Minah.

Mak!

Encik. Encik.

Lazim tersentak. Ada dua orang lelaki beruniform polis di hadapannya kini.

Maaf, encik tak boleh letak kenderaan di garisan kuning. Minta dialihkan sekarang.

Oh, ya. Maafkan saya.

Kelam-kabut Lazim menghidupkan enjin kereta. Tanpa disedari, bayang wajah ibunya pergi. Juga cebikan isterinya yang dicintai. Lekas-lekas dia beristighfar.

Hampir 15 tahun peristiwa tersebut berlalu. Namun, watak-watak dalam khayalannya tadi masih tekal di benaknya.

Dahulu dia seorang penderhaka. Kepada orang tuanya, juga kepada isterinya. Orang tuanya pernah menyekat keinginannya untuk berkahwin. Tetapi, perkahwinan itu tetap juga

diteruskan secara senyap-senyap. Ibu bapanya kecewa. Lalu dia dihalau dari rumah.

Sampai satu masa dia dan isterinya mahu memohon restu dan maaf atas kedegilan mereka, segalanya berubah menjadi sesuatu yang tidak disangka-sangka. Orang kampung datang menyerang rumahnya dan mengeji bapanya. Sungguh dia tidak menyangka sampai begitu natijahnya. Tetapi, penyesalan tidak akan mengembalikan kebahagiaan yang lama.

Lazim kesal. Bapanya masih lumpuh saat nyawa di penghujung. Lazim takut taubatnya tidak diterima. Walaupun dia seharian berdampingan dengan bapanya di akhir hayat orang tua itu, dia tidak nampak tanda-tanda maafnya diterima. Bapanya kaku tidak memberi balas kata-kata maafnya.

Lazim takut dia akan dihukum di akhirat kelak. Atau terseksa ketika sakarat. Dia inginkan malaikat rahmat menjemputnya. Supaya matinya dalam kesucian di sisi Allah. Kini, dia berkira-kira mahu menjadi seorang bapa. Bapa yang sebaik Tok Penghulu.