Lukisan Asmara 2 - 14
BAB 13

Hari-hari terus berlalu. Embrio yang terhasil dari pencantuman telur dan sperma pemiliknya di makmal, telah pun berjaya dimasukkan ke dalam rahim Elly. Walaupun prosesnya agak menyakitkan, namun kecekalan Elly berjaya mengatasinya. Kini, hanya menunggu masa untuk embrio yang dihasilkan itu berjaya menjadi janin di dalam rahimnya.

Perhubungan antara Tuan Fahreen, Alyssa dan Elly, berjalan dengan lancar. Walaupun Elly dan ibunya menetap sementara di rumah Alyssa, namun perasaan cemburu dan iri hati, tidak pernah wujud dalam kamus hidup mereka. Tuan Fahreen tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami dengan memenuhi segala keperluan harian isteri keduanya itu, walaupun dia tidak pernah sebilik dengan Elly, apa lagi menidurinya.

Tuan Fahreen turut membelikan sebuah rumah berkembar dua tingkat dan sebuah kereta sebagai hadiah perkahwinan mereka. Mungkin jodoh mereka tidak panjang, kerana Elly sudah pun menuntut agar dia diceraikan sebaik sahaja melahirkan anaknya nanti, tetapi Tuan Fahreen menganggap itu semua sebagai harta sepencarian mereka selama Elly menjadi isterinya.

Doktor Haris pula sentiasa menemani Elly di mana sahaja dia berada. Tambahan pula, kedua-duanya sedang menyambung pelajaran menerusi pendidikan jarak jauh, di dalam bidang masing-masing, menerusi universiti yang sama. Alyssa telah memberikan cuti rehat selama setahun untuk Elly dan Elly telah menggunakan peluang itu sebaik mungkin, untuk mencapai cita-citanya dalam bidang akademik pula.

Haris, kenapa awak tengok saya macam tu

Elly berasa kurang selesa apabila renungan romantik Doktor Haris itu berjaya menembusi ruang hatinya. Walaupun suka, tetapi dia seram dengan pandangan itu yang terlalu menggoda. Bimbang juga Elly yang dia akan tenggelam dalam kolam perasaannya sendiri. Renungan doktor kacak itu telah membuatkan Elly terhenti dari terus menikmati makanannya.

Awak janganlah pandang saya macam tu lagi. Nanti tak sempat pula saya nak makan. Petang ni, saya ada hal yang nak diuruskan, tegur Elly lagi.

Saya suka tengok awak, Elly. Sejak akhir-akhir ni, awak nampak jelita lain macamlah. Jangan-jangan, sebab pembawakan budak kut, Doktor Haris cuba menduga.

Pandai-pandai saja awak ni, Haris. Saya tak rasa apa-apa pun lagi, walaupun sudah dua bulan embrio ni berada di dalam rahim saya. Apa yang saya perasan, haid saya saja yang terhenti setakat ini. Tetapi, itu tidak bermakna yang saya hamilkan Sebab jadual kedatangan haid saya pun, bukannya tetap setiap bulan.

Doktor Haris tersenyum. Elly tetap Elly yang dia kenal dulu. Jarang sekali dia berminat untuk bercakap soal-soal kewanitaan kecuali dalam situasi-situasi yang tertentu.

Elly, awak lupakah yang teman lelaki awak ini seorang doktor Saya yakin yang awak sekarang, memang sedang hamil. Wajah awak yang berbeza tu, menceritakannya. Orang tua-tua kata, kalau si ibu berseri ketika hamil, kemungkinan besar anaknya perempuan, senda Doktor Haris lagi.

Dengan tak semena-mena, satu cubitan manja hinggap ke lengannya membuatkan Doktor Haris mengaduh kesukaan dalam manja. Elly berasa agak malu bila diusik-usik sebegitu oleh Doktor Haris. Elly tidak pasti sama ada perkara yang diperkatakan oleh Doktor Haris itu benar atau tidak, kerana dia tidak punya pengalaman mengandung sebelum ini. Menjadi seorang ibu dalam masa terdekat juga adalah jauh sekali dari perancangannya.

Ketika kedua kekasih itu sedang leka bergurau senda, tiba-tiba Elly berasa kepalanya pening disertai dengan sakit di bahagian ari-arinya. Sudu yang berada di tangannya terlepas jatuh ke dalam pinggannya semula. Doktor Haris segera membawanya ke hospital untuk diperiksa. Dia kemudiannya menghubungi Tuan Fahreen dan Alyssa, untuk mengkhabarkan keadaan Elly ketika itu.

Tahniah, Puan Elly telah hamil dua bulan. Nampaknya, embrio yang kita masukkan ke rahimnya tempoh hari telah berjaya. Kemungkinan besar, dalam masa tujuh bulan lagi, bayi IVF ini akan lahir. Mulai sekarang, Puan Elly kena banyakkan berehat dan jangan bergerak terlalu cergas. Puan Elly sedang mengandung sulung, bimbang nanti pintu rahimnya tidak berapa kuat dan mengundang risiko keguguran, jelas Doktor Arsyad, setelah melakukan imbasan kepada rahim Elly.

Doktor Haris, Alyssa dan Tuan Fahreen yang turut berada di situ, begitu gembira dengan berita ini. Tuhan sedang mengirimkan rezeki dalam bentuk nyawa seorang manusia kepada mereka, terutama sekali buat Alyssa dan Tuan Fahreen sendiri. Bagi Alyssa, walaupun janin di dalam perut Elly itu bukan dari benihnya, tetapi dia percaya yang dia akan menyayangi bayi tersebut lebih dari kedua ibu bapanya.

Berita kehamilan Elly telah memancarkan sinar keceriaan di banglo mewah yang sudah sedia indah itu. Semua berasa gembira kerana tidak lama lagi rumah itu akan menerima kehadiran seorang ahli baru. Sudah terlalu lama, ianya sepi tanpa tangisan seorang anak kecil, sehinggakan sudah ada yang lupa bagaimana bunyinya tangisan seorang bayi.

Alhamdullillah, Puan Elly. Selepas ini, puan cakap sahaja nak makan apa, mesti Mak Chom akan sediakan.

Jangan berjanji sangat Chom. Orang mengandung ni, kadangkala permintaan mereka pelik-pelik. Buatnya dia minta kerbau kaki lima, macam mana Pening kepala nak mencarinya, tambah Mak Cik Markonah pula, menyebabkan seisi rumah tertawa kegirangan.

Mak Chom, mak, kalau sudah isteri saya yang mengandung ini mengidam, saya mesti akan cari juga, walaupun terpaksa mendaki Gunung Everest dan berenang di Lautan Pasifik. Janji dia dapat apa yang dia nak. Tak adalah anak dalam perutnya itu nanti, mengidam, tambah Tuan Fahreen pula.

Alyssa dapat melihat kegembiraan di wajah suaminya itu, yang bakal menyambut keturunannya tidak lama lagi. Akibat terlalu teruja, Tuan Fahreen langsung tidak memperdulikan Alyssa yang sedang duduk di sebelahnya. Perhatiannya banyak ditumpukan kepada Elly yang sedang hamilkan anaknya itu. Alyssa tidak tahu, mengapa tiba-tiba hatinya berasa hiba. Dia berasa seolah-olah terpinggir dari keluarga itu dan menganggap dirinya ibarat parasit yang menumpang hidup di atas kebahagiaan orang lain.

Ketika semua orang sedang sibuk berbual mengenai kehamilan Elly itu, Alyssa mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari kelompok tersebut. Dia tidak mahu melayan kehibaannya dengan turut serta dalam perbincangan mereka. Dia lebih rela bersendirian menikmati ketenangan di taman kesukaannya. Tuan Fahreen dapat merasakan kegusaran isterinya itu, terus menurutinya sehingga ke taman.

Sayang, kenapa mengasingkan diri di sini Sayang kecil hati, ya

Tak adalah bang, cuma Lyssa tak tahu apa nak cakap saja. Biarlah orang-orang tua sahaja yang menguruskan kehendak dan kelengkapan orang hamil ni. Merekakan lebih pakar, ujar Alyssa, tenang.

Abang harap, sayang tak cemburu sebab sayang sendiri tahu kan, bagaimana anak abang yang di dalam perut Elly itu terbentuk Jangan bimbang, perhatian abang pada sayang sedikit pun tak akan berubah walaupun Elly hamil, janji Tuan Fahreen pula.

Alyssa tahu suaminya susah hati. Lelaki itu bimbang jika prasangka yang dia tidak mampu berlaku adil antara kedua isterinya itu bakal menjadi kenyataan. Kerana itulah, dia mahu peka dalam setiap perubahan air muka isteri-isterinya. Namun, Alyssa tidak mahu terus-terusan menanam gundah di hati suaminya. Dia sedar selama ini, suaminya telah banyak berkorban perasaan terhadapnya.

Bukan itu yang Lyssa bimbangkan, abang. Lyssa sedikitpun tak cemburu, walaupun selepas ini abang lebihkan perhatian kepada Elly. Selayaknya dia diberi perhatian serius, sebab dia sedang hamil. Abang, janji dengan Lyssa yang abang akan jaga Elly baik-baik. Jaga perasaannya agar tidak terluka dan terpengaruh dengan anasir jahat. Lyssa tak mahu peristiwa yang menimpa Lyssa dahulu, terjadi pula kepada Elly.

Kalau boleh, Tuan Fahreen mahu isterinya itu melupakan sahaja peristiwa hitam yang pernah terjadi kepadanya dulu. Dia tidak mahu semangat Alyssa terjejas akibat bergelumang dengan kenangan pahit yang tidak ada penyudahnya. Mereka harus melalui hari-hari mendatang dengan menjadikan segala kejadian buruk yang melanda mereka sebelum ini, sebagai sempadan. Namun, melihatkan keadaan Alyssa yang masih lagi hiba, hatinya berasa tidak tenteram.

Kenapa lagi ni sayang Abang risaulah tengok keadaan sayang ni.

Lyssa tak tahu, sejauh mana Lyssa boleh menumpang kebahagiaan ini. Segala-gala yang berlaku sekarang, adalah milik abang dan Elly. Lyssa takut sangat, jika Lyssa tak berpeluang mencurahkan kasih sayang kepada anak yang bakal lahir itu. Lyssa sayangkan bayi itu, sebab ia adalah baka keturunan abang. Tetapi, Lyssa tak pasti, sama ada Elly akan membenarkan Lyssa menyayangi anaknya dengan sepenuh hati ataupun tidak, rintih Alyssa.

Kelihatan manik-manik halus mula meronta untuk turun membasahi pipi mulus milik tuannya. Namun, sedaya mungkin juga, Alyssa cuba menahannya dari keluar. Dia tidak mahu Tuan Fahreen melihat air matanya lagi. Cukuplah dengan apa yang pernah terjadi sebelum ini.

Anak ini adalah anakmu, beb. Sampai bila-bila pun, dia akan menjadi anakmu. Aku tak akan tuntut apa-apa bahagian pun dari jasadnya. Cukuplah sekadar dia memanggil aku dengan panggilan ibu, bila dia besar nanti. Selain dari itu, dia adalah hak mutlak engkau dan Tuan Fahreen. Aku cuma meminjamkan rahimku untuk mengandungkan anak kau berdua. Dan aku harap, engkau tak akan lupa perkara itu.

Suara sayu Elly muncul dari sebalik tirai, yang sebenarnya sudah agak lama meneliti perbincangan kedua suami isteri itu. Elly tidak mahu Alyssa menyimpan perasaan bimbang, akan siapa yang lebih berhak terhadap anak yang sedang dikandungnya itu. Niatnya ikhlas, dan sampai bila-bila pun akan termaktub sedemikian.

Beb, dari mula lagi bila embrio ini dimasukkan ke dalam rahim aku, aku telah memasang niat. Andainya benar, anak ini adalah milik engkau, maka terjadilah ia. Ternyata, anak ini ditakdirkan untuk menjadi milikmu, Alyssa. Dan sekarang, ia sedang tumbuh di dalam rahim aku, menunggu masa untuk keluar ke dunia dan bertemu dengan ibunya, iaitu engkau.

Elly mula mendekati Alyssa dengan lebih rapat lagi, lalu menggenggam tangan sahabatnya itu. Elly tahu, banyak kegundahan yang wujud dalam jiwa Alyssa sejak dari mula dia menyatakan hasrat untuk menikahi Tuan Fahreen.

Nurul Alyssa, berjanjilah kepada aku yang engkau akan menerima dan menjaga anak ini seperti anak dari darah daging engkau sendiri. Pastikan dia menyebut nama engkau, di setiap babak kehidupannya kelak, kerana engkau adalah ibunya yang sejati. Aku izinkan engkau memperlakukan anak ini, seperti mana yang engkau suka, kerana dia adalah anak engkau, kini dan selama-lamanya, tambah Elly.

Kesayuan mula menyelubungi dengan pengakuan ikhlas Elly. Alyssa rasa bersalah kerana telah tersalah anggap pada niat Elly. Dia menangis di pangkuan Elly sebagai tanda pinta maafnya. Tangisan yang melumrahkan kasih sayang, tetap milik mereka bersama. Tuan Fahreen yang menjadi saksi impian dua wanita tersebut, turut berasa terharu. Walau bagaimanapun, dia merasa bangga kerana anak yang bakal dilahirkan itu, punyai dua orang wanita hebat itu sebagai ibunya.

Semenjak dari itu, hari-hari yang mereka lalui ditempuh dengan tenang dan tawakal. Semua orang di dalam rumah mewah itu melayani Elly seperti seorang puteri. Segala kehendaknya dituruti, apa yang diidamkannya juga dikabuli. Mujurlah Elly tidak mengalami alahan yang panjang dan juga tidak mengidamkan benda yang bukan-bukan. Dia juga tidak punya banyak kerenah sepanjang kehamilannya.

Alyssalah yang paling banyak meluangkan masa bersama Elly. Dia juga yang sentiasa menemani Elly ke mana sahaja, termasuk ketika temujanji pemeriksaan kandungan Elly. Dia menjadi manusia paling teruja setiap kali doktor mengadakan imbasan pada kandungan Elly.

Alyssa suka melihat janin dalam perut Elly bergerak dengan aktif sekali. Alyssa berasa seperti dia turut berada di dunia janin tersebut. Dan, apabila doktor meminta Alyssa meletakkan tangannya di

perut Elly ketika imbasan itu, janin tersebut pastinya akan memberikan tindak balas terhadap sentuhan hangatnya itu. Ini membuatkan Alyssa semakin jatuh cinta kepada anak yang berada di dalam kandungan madunya itu.

Semakin hari, perut Elly semakin membesar dan semakin besarlah lagi tuntutan perhatian dari semua orang yang berada di sekelilingnya. Apa lagi, bila kandungan itu sudah memasuki usia tujuh bulan. Elly perlu ditemani ke mana sahaja dia pergi. Kadangkala, bangunnya dari tidur pun perlu dipapah, kerana kandungannya dirasakan begitu berat sekali.

Doktor Haris turut memainkan peranan dengan menemani Elly ke mana sahaja terutama sekali dalam mencari bahan-bahan rujukan untuk tugasan pelajarannya. Selain dari itu, Doktor Harislah yang paling banyak membantu menyiapkan segala tugasan Elly agar dia tidak ketinggalan. Tambahan pula, peperiksaan akhir semester sudah hampir. Elly tetap berkeras untuk mengambil peperiksaan tersebut walaupun dalam keadaannya yang sarat itu.

Awak berhati-hati sikit. Jangan sampai awak terberanak semasa peperiksaan sedang dijalankan, sudahlah. Baru kecoh satu dewan peperiksaan tu, sakat Doktor Haris ketika mereka melakukan ulangkaji bersama di kawasan universiti.

Elly turut tertawa dengan gurauan Doktor Haris. Jika terjadi sedemikian, bukan sahaja dia yang kalut, pengawas peperiksaan pun boleh jadi tak tentu hala dibuatnya. Silap-silap Elly bakal mencipta

sejarah sebagai pelajar pertama yang terberanak di dalam dewan peperiksaan.

Awak tahu tak Haris, masa saya mula-mula bertemujanji dengan Doktor Arsyad hari tu, saya baru bernikah tiga hari. Doktor Arsyad kata, saya telah mencipta sejarah sebagai wanita pertama yang datang untuk melakukan IVF, sebaik sahaja bernikah. Saya tak tahu, pada ketika itu saya patut berbangga ataupun tidak kerana telah mencipta sejarah.

Doktor Haris terdiam bila melihat Elly serius melontarkan kata-katanya. Perhatiannya tertumpah pada wajah wanita itu.

Tetapi, satu lagi sejarah yang bakal saya cipta apabila saya menyerahkan bayi ini kepada Alyssa sebelum meminta cerai dari Tuan Fahreen. Saya akan lakukan semua itu demi untuk bersama dengan awak. Cuma Tuhan sahaja yang tahu, bagaimana perasaan saya bila memikirkan saat-saat itu di mana sedih dan gembira akan bercampur menjadi terharu.

Awak terlalu baik, Elly. Saya yakin, awak tak akan rasa sedih kerana melakukan kebaikan untuk teman baik awak tu. Tetapi, awak akan rasa gembira bila melihat senyuman di wajah mereka. Anak itu adalah suatu pemberian paling istimewa dari Allah, dan rahim tempat anak itu dikandung adalah semulia syurga. Setiap manusia datang dari situ. Di situlah sebenarnya, kehidupan mereka bermula. Sebelum mereka keluar sebagai bayi yang kemudiannya membesar sebagai kanak-kanak dan terus meningkat dewasa.

Elly mula terbayangkan zaman kanak-kanaknya. Pada Elly, zaman itu adalah zaman bahagianya. Dia hidup dalam lingkungan kasih sayang ibu, ayah dan abang kandungnya. Sayang sekali, kebahagiaan itu tidak kekal abadi. Namun kini, kebahagiaannya kembali apabila cinta Doktor Haris muncul dalam hidupnya.

Wanita adalah makhluk yang amat istimewa kerana Allah menjadikan mereka dengan mempunyai rahim, di mana kemanusiaan bermula. Tetapi, tidak semua wanita yang dapat mengekalkan anugerah Allah yang agung itu. Selagi awak mempunyainya Elly, awak seharusnya bangga, kerana nasib awak jauh lebih baik dari wanita yang sudah tidak punyai rahim seperti Alyssa, sambung Doktor Haris lagi.

Entah mengapa, tiba-tiba Elly teringatkan sahabatnya itu. Walaupun Alyssa sudah tidak mempunyai saluran peranakan tetapi Elly telah berjanji untuk menjadikannya seorang ibu. Ibu yang bakal menjadi tempat bermanja anak di dalam perutnya.

Alyssa, aku akan menjadikan impianmu suatu kenyataan. Selepas ini, tiada lagi derita yang membasahi kehidupanmu. Kau akan hidup bahagia di samping suamimu dan anak yang bakal lahir ini.

Elly tersenyum ria bila membayangkan senyuman Alyssa selepas melihat kelahiran bayi itu nanti. Selepas itu, dia akan serahkan anak itu secara rasmi untuk dipelihara oleh mamanya itu. Namun sejak akhir-akhir ini, kesihatan Alyssa semakin terganggu. Boleh dikatakan, hampir setiap masa dia diserang sakit kepala yang melampau. Dia hanya mengubati sakit kepalanya itu dengan menelan ubat penahan sakit sahaja.

Ramai yang tidak perasankan perubahan wajah dan susuk tubuhnya yang semakin kurus, kerana mereka lebih memberikan perhatian kepada Elly yang sedang mengandung. Alyssa pula, selalu berpura-pura sihat ketika berada bersama mereka. Sehinggakan suaminya, Tuan Fahreen dan Elly sendiri tidak menyedari yang dia sedang menderita kesakitan.

Pagi itu, Alyssa diserang sakit kepala lagi. Baru tadi dia muntah-muntah, sehingga seluruh badannya lemah. Tetapi, dia masih lagi berdiam diri. Tuan Fahreen pula berada di Thailand untuk menandatangani beberapa perjanjian baru dengan pembekalnya dari sana.

Alyssa langsung tidak memberitahu suaminya itu yang dia sedang sakit, sedangkan Tuan Fahreen baru sahaja menghubunginya sebentar tadi. Tuan Fahreen hanya bertanyakan keadaan Elly sahaja, sedangkan dia tidak sedar bahawa sebenarnya Alyssa yang sedang dalam kesakitan, bukannya Elly. Namun, Alyssa tetap mendiamkan dirinya kerana tidak mahu mendatangkan kebimbangan di hati suaminya yang sedang sibuk itu.

Agak lama Alyssa berehat di taman, melayani sakitnya itu bersendirian. Selepas itu, dia berasa seperti mahu berbaring pula di kamar tidurnya. Ketika dia hendak bangkit dari kerusi malasnya, tiba-tiba dia merasakan kepalanya semakin berdenyut dan akhirnya bertukar menjadi pitam. Alyssa rebah, namun masih sempat menongkat diri di bangku malasnya itu, bagi mengelakkannya jatuh terlentang. Mujurlah Mak Cik Markonah sedang melalui susur ke taman itu. Dia segera mendapatkan Alyssa di saat dia melihat Alyssa sudah jatuh terduduk.

Alyssa, kenapa ni nak

Lyssa jatuh mak cik, jawab Alyssa ringkas, namun nada penuh beralasan.

Astaghfirullahalazim, bagaimana boleh jatuh ni Lyssa sakitkah

Tadi, masa nak bangun dari kerusi ni, tiba-tiba kepala Lyssa rasa pening yang amat sangat sehingga berasa pitam. Itu yang jatuh terduduk ni, terang Lyssa, namun masih mampu tersenyum.

Masya-Allah, mak cik panggilkan orang ya, untuk bawa Lyssa ke bilik tidur

Alyssa menggelengkan kepalanya. Dia tidak mahu seisi rumah kecoh dengan kesakitannya, terutama sekali, Mak Chom. Dia tidak mahu mereka semua kalut gara-gara sakit ringannya itu. Alyssa lantas memaut kerusi dan Mak Cik Markonah, untuk bangkit dan duduk semula di kerusi yang sama. Mak Cik Markonah mengambil keputusan untuk menemankan Alyssa di situ, buat sementara waktu. Bimbang perkara yang sama bakal berulang untuk kali kedua.

Mak cik tengok, Alyssa macam tak berapa sihat sahaja sejak akhir-akhir ni. Muka pun bertambah pucat dari hari ke hari. Kamu sakitkah, nak

Tak adalah mak cik, Lyssa sihat.

Tetapi, fizikal kamu tidak menunjukkan yang kamu tu sihat. Mak cik rasa, mesti ada sesuatu yang tak kena dengan kamu ni. Cuba cerita dengan mak cik.

Alyssa diam, seolah-olah tidak sudi berkongsi masalahnya dengan Mak Cik Markonah. Wajah orang tua itu berubah, menyebabkan dia memikirkan yang lainnya.

Jangan-jangan, Lyssa jauh hati sebab semua orang memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada Elly, kan

Mana ada, mak cik. Lyssa sikit pun tak berasa hati dengan Elly. Lagi pun, kan Elly sedang mengandung sekarang. Sudah sepatutnyalah, dia mendapat perhatian yang sewajarnya. Cuma kepala Lyssa ni, semakin hari semakin sakit pula. Bila dah sakit, mulalah tekak ni loya dan muntah. Selepas tu, pitam. Itulah yang mak cik nampak tadi, terang Alyssa.

Alyssa tidak mahu orang tua itu tersalah anggapan dengannya. Kemurungannya sekarang, langsung tiada kena-mengena dengan kehamilan Elly. Alyssa murung kerana sudah tidak tahan dengan sakitnya itu. Setiap kali sakit, dia hanya ke klinik biasa dan mereka memberikan suntikan atau pil penahan sakit kepadanya. Lama-kelamaan, dia jadi imun, sehingga dia merasakan sudah tiada perlunya dia ke klinik lagi. Ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor klinik, sudah tidak dapat melegakan sakit kepalanya lagi.

Nak, pergilah berjumpa pakar dengan segera. Mak cik rasa, kamu ni bukannya sakit kepala biasa. Takut-takut, ada pendarahan dalam otak kamu. Sebab tu, kamu selalu sakit kepala.

Tak mungkin, mak cik. Selepas kemalangan hari tu, doktor dah melakukan pemeriksaan ke seluruh badan Lyssa dan mereka kata normal, ujar Alyssa memberikan alasan.

Itu pemeriksaan dulu. Sekarang ni, Lyssa sakit. Macam mana nak tahu kalau penyakit tu nak datang dengan tiba-tiba Bukannya dia nak buat pengumuman pun, ujar Mak Cik Markonah lagi.

Ada benarnya kata-kata Mak Cik Markonah itu. Sekurang-kurangnya, Alyssa harus membenarkan dirinya untuk diperiksa sekali lagi, untuk mengetahui tahap kesihatannya yang terkini. Dia berharap agar semua itu hanyalah kesan dari trauma akibat kemalangan yang dialaminya tidak lama dahulu.

Mak cik, boleh tak mak cik berjanji pada Lyssa Tolong jangan beritahu tentang perkara ini pada sesiapa, terutama sekali, Abang Fahreen dan Elly. Lyssa tak mahu mereka risau, tambah-tambahan Elly. Dia tak boleh tertekan sekarang.

Mak cik boleh berjanji, asalkan Alyssa ikut cakap mak cik untuk pergi dapatkan pemeriksaan doktor pakar dengan segera. Boleh ujar Mak Cik Markonah, mengugut demi kebaikan Alyssa.

Akhirnya, Alyssa terpaksa beralah supaya kesakitannya itu tidak diketahui oleh sesiapapun.

Cukuplah hanya Mak Cik Markonah yang tahu, itu pun cuma setakat itu sahaja. Apapun keputusan doktor nanti, biarlah Alyssa yang menghadapinya sendirian. Dia tidak mahu mengheret orang lain ke dalam kancah kesakitannya.

Setelah menjalankan imbasan pada kepala Puan Alyssa, kami mendapati terdapatnya pendarahan pada otak sebelah kiri puan. Itu yang menyebabkan puan sentiasa berasa sakit kepala, muntah-muntah dan kadangkala mengalami hilang ingatan yang temporary. Nampaknya, keadaan ini sudah agak lama puan diamkan, dan ia sudah berada dalam peringkat bahaya. Seharusnya, puan kena berjumpa dengan doktor lebih awal, apabila puan mendapat simptom-simpton yang saya sebutkan tadi, supaya kita dapat memberikan rawatan segera kepada puan, beritahu Doktor Hussin.

Memang benar, Alyssa sudah mengalami tanda-tanda kesakitan itu sejak berbulan-bulan lamanya, Namun, dia membiarkannya, kerana beranggapan ia hanyalah sakit kepala biasa, yang boleh diubati dengan hanya memakan ubat. Tambahan lagi, doktor klinik swasta yang dikunjunginya, sering menyimpulkan penyakitnya sebagai migraine biasa sahaja.

Tetapi doktor, saya telah menjalani pemeriksaan keseluruh tubuh dan anggota badan, dalaman dan luaran saya, selepas saya kemalangan tempoh hari. Doktor yang memeriksa saya ketika itu, mendapati saya normal dan tiada sebarang kecederaan serius yang berkaitan dengan otak. Bagaimana hari ini pula,

doktor boleh mengatakan terdapat kecederaan serius di bahagian otak saya Ini semua tidak benar, kan

Puan Alyssa jangan salah faham. Terdapat beberapa kes seperti puan, yang berlaku sebelum ini. Mangsa kemalangan didapati normal pada peringkat awal pemeriksaan, selepas terbabit dalam sebarang insiden. Tetapi kemudiannya, didatangi tanda-tanda seperti yang dialami oleh Puan Alyssa. Apabila doktor melakukan imbasan semula, terdapat pendarahan yang berlaku di otak pesakit yang memerlukan rawatan segera. Seharusnya, puan datang semula berjumpa dengan doktor pakar secepat mungkin, selepas mengalami tanda-tanda itu. Tetapi, tindakan puan yang agak lewat ini, telah meletakkan posisi puan di tahap yang begitu merbahaya sekali, terang Doktor Hussin lagi.

Alyssa langsung tidak menduga, kesakitan yang dialaminya selama ini, memberikan timbal balas yang membahayakan dirinya. Timbul rasa kesal di hatinya kerana mengambil ringan terhadap penderitaan yang dialaminya sejak berbulan-bulan lamanya. Alyssa tidak tahu, apa lagi alternatif yang tinggal buat dirinya dalam menangani masalah baru di otaknya itu.

Apa peluang yang saya ada, doktor soalnya, lemah.

Saya cadangkan agar puan menjalani pembedahan dengan segera. Tetapi, terus terang saya katakan yang peluang puan adalah lima puluh, lima puluh. Walaupun puan pulih sepenuhnya selepas

pembedahan ini pun, puan akan mengalami defisit dari segi pemikiran, menjejaskan pertuturan dan risiko untuk lumpuh.

Lima puluh lima puluh saja, doktor

Alyssa lebih memikirkan tentang hasil pembedahan itu nanti. Apakah yang bakal terjadi kepadanya Mungkinkah dia akan lupa ingatan ataupun lumpuh Jika itu yang bakal ditempuhnya, maka dia harus mempersiapkan dirinya bagi menghadapi sebarang kemungkinan buruk itu.

Doktor, apakah yang akan terjadi kepada saya, jika saya tidak mahu menjalani pembedahan itu

Risikonya lebih besar lagi. Puan akan berhadapan dengan risiko kehilangan nyawa, ujar Doktor Hussin, serius.

Berapa lamakah masa yang saya ada, sekiranya saya memilih untuk tidak menjalani pembedahan, doktor tanya Alyssa lagi.

Saya tidak mampu memberi kata putus tentang itu. Mungkin sebulan, dua bulan ataupun setahun, bergantung kepada keadaan puan. Tapi, saya nasihatkan agar puan segera menjalani pembedahan. Walaupun peluangnya tipis, harapannya tetap ada, ujar Doktor Hussin agar keyakinan Alyssa bertambah.

Kelam dan suram di dalam kehidupannya, kini terjadi lagi. Alyssa sudah menempuh dugaan demi dugaan yang hampir mencalar keteguhannya sebagai manusia. Dia juga hampir rebah di lembah

syaitan, gara-gara terlalu menurut perasaan dan hati mudanya. Tetapi, dugaan terbaru ini, mula mengingatkannya kepada kebesaran Yang Maha Esa. Alyssa tahu, jika sudah Allah berkehendakkan ianya berlaku, maka berlakulah. Kun faya kun. Masya-Allah, kebesaran dan keagungan-Nya tiada bandingannya.

Walau apa pun yang terjadi selepas ini, Alyssa harus lebih dekat dengan penciptanya. Kerana dia tahu, kepada Allahlah, dia akan kembali selepas ini. Apa-apa pun, biarlah penyakit itu menjadi rahsia besar dirinya. Alyssa tidak mahu melibatkan orang lain terutamanya Tuan Fahreen, di dalam percaturan penyakitnya ini. Bagi Alyssa, suaminya itu punya tanggung jawab yang lebih penting untuk dilaksanakan selain dari terus-terusan melayani masalah hidupnya.

Alyssa sudah membuat keputusan untuk tidak menjalani pembedahan dan dia tidak mahu sesiapapun yang memaksanya mengubah pendiriannya itu. Jadi, lebih baik dia biarkan orang lain menjalani hidup mereka dengan tenang, tanpa perlu bersusah-payah memikirkan masalahnya. Lebih baik perhatian itu mereka tumpukan kepada Elly sahaja. Alyssa hanya pasrah dan berserah diri kepada Yang Maha Esa, untuk menempuhi segalanya. Dan, doa yang sama jugalah yang seringkali menjadi penutup solatnya.

Ya Allah, ya Tuhanku. Aku sedar, segala apa yang engkau timpakan kepada aku ini merupakan balasan bagi setiap dosa yang aku lakukan selama ini. Dosaku kepada-Mu, dosaku kepada orang tuaku, dosaku kepada suamiku dan juga dosaku kepada orang di sekelilingku. Aku reda dengan setiap ketentuan-Mu, namun aku bersyukur kerana Engkau masih memberiku ruang untuk bertaubat kepada- Mu dan berbuat kebaikan untuk orang-orang yang menyayangiku. Hanya satu pintaku, andai benarlah anak yang berada di dalam kandungan Elly itu, adalah anugerah-Mu buatku, Engkau berikanlah kesempatan untuk aku bertemu dengannya, walaupun dalam keadaan aku tidak tidak sedarkan diri atau terpejam kedua biji mataku. Aku terlalu ingikan anak itu menyentuhku dan membisikkan tangisan merdu yang mengiringi talkinku di sana. Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim, kabulkanlah permintaan hambamu yang hina ini. Amin, ya rabbal alamin.

Alyssa menangis di atas sejadah. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa luluhnya perasaannya terpaksa memendam derita sendirian. Namun, Alyssa percaya bahawa Allah akan sentiasa berada di sisinya, membekalkan setiap sisa nafas untuk dia nikmati di muka bumi ini. Semoga, perjalanan hidup yang sudahpun hampir menemui penghujungnya ini akan terus mendapat keredaan dan keberkatan dari- Nya.

Engkau buat apa tu beb sapa Alyssa pada Elly yang sedang khusyuk membaca.

Elly kelihatan agak terkejut dengan sapaan madunya itu, lalu tersenyum sambil berkata, Oh, aku tengah baca buku yang mengandungi nama-nama bayi dalam Islam. Tuan Fahreen yang belikan untuk aku semalam. Dia suruh aku buat pilihan nama yang terbaik untuk bayi di dalam kandunganku ini.

Alyssa tahu, sejak akhir-akhir ini, banyak perhatian Tuan Fahreen ditumpukan kepada Elly yang sedang sarat hamilkan anaknya itu. Setiap hari, ada sahaja pemberian baru yang dibawa balik olehnya, sebagai cenderamata untuk Elly. Alyssa ada terlihat buku tersebut berada di atas meja di biliknya, semalam. Namun, Tuan Fahreen langsung tidak menceritakan kepadanya yang buku itu adalah untuk dihadiahkan kepada Elly. Bukannya Alyssa cemburu, cuma dia rasa agak ketinggalan dalam keterujaan Tuan Fahreen dan Elly menimang cahaya mata sulung mereka.

So, engkau dah pilihkah nama yang sesuai untuk bayi tu tanya Alyssa, lemah.

Sudah. Semasa scanning hari tu, doktor telah mengesahkan anak di dalam kandunganku ini, anak laki-laki. Jadi, aku ingat nak namakan dia, Tuan Zuhair, yang memberi maksud bercahaya dan keindahan. Aku mahu dia membawakan cahaya dalam kehidupan di dalam rumah ini diiringi oleh keindahan keperibadian kedua orang tuanya. Bagaimana Bagus tak cadangan nama tu

Alyssa hanya mengangguk. Dia berasakan dirinya tidak berhak untuk memberi komen. Dia bimbang, ianya tak akan di terima pakai lagi. Alyssa dapat merasakan yang dia kehilangan dirinya sendiri, di dalam rumah yang besar itu. Elly yang mula merasakankan kelainan dalam sikap Alyssa itu, lantas menutup buku tersebut. Dia menoleh ke arah Alyssa.

Beb, aku tengok engkau lain macam sangatlah. Engkau tak macam dulu. Sekarang ni, aku tengok engkau macam tak ada semangat saja. Lepas tu, suka menyendiri dan mengasingkan diri. Engkau sakitkah

Taklah, aku sihat. Cuma, aku penat saja. Mata ni pula, sepanjang masa rasa nak lelap saja. Eh, apa nama yang kau nak letakkan pada anak yang bakal lahir tu nanti Tuan Zuhair soal Elly pula, lemah

Ya. Engkau suka tak Aku dah peninglah pilih nama dalam buku ni. Semuanya membawa maksud yang baik-baik belaka. Eh beb, apa kata, engkau saja yang buat pilihan nama untuk baby ni. Sebab, lepas ni, nama dia akan sentiasa meniti di bibir engkau. Engkaukan, mama dia.