Mak juga cantik orangnya. Walau pun kini aku dapat melihat bagaimana wajahnya dimakan usia dek pengkhianatan bapa aku terhadap dirinya. Mak cukup terseksa dengan apa yang telah dilakukan oleh bapa aku kepadanya. Dari seorang wanita yang ceria, dia berubah menjadi seorang wanita yang berduka setiap masa.
Pada awal pagi itu, sebaik sahaja aku bangun daripada tidur, Tamrin telah memintaku supaya mandi. Melati dan Hamiza sudah lama menunggu, katanya. Sejurus aku masuk tidur selepas aku sembahyang subuh mereka sudah mandi dan mengemaskan pakaian. Aku menggeliat. Aku lihat Tamrin sedang menelaah buku teksnya. Dia dah lama mandi dan bersiap. Bila aku tanya dia hendak ke mana, dia kata ibu Melati mahu membawa kami semua ke kampungnya.
Mana kampungnya Tanyaku sambil menggosok mataku yang kabur diselaputi tahi mata.
Tak jauh dari sini... Kampung Sawah Ring.
Oh.
Kita akan tinggal di sana malam ni.
Aku mengeluarkan tualaku dari dalam beg. Aku mahu mandi. Apabila aku ke belakang, ke bilik air, aku dapat melihat Melati dan ibunya sedang menyediakan sarapan. Aku sempat senyum sebelum masuk ke dalam bilik mandi.
Pagi itu kami sarapan ringan. Kami makan roti dengan kaya. Kopi O panas yang disediakan ibu Melati memang kaw. Terus aku rasa segar. Selepas sarapan kami semua naik kereta untuk ke Kampung Sawah Ring.
Ketika kami ke sana, ibu Melati memberitahu bahawa musim menuai akan tiba tidak lama lagi. Padi nampak keemasan saujana mata memandang. Dia menudingkan jarinya ke arah sebuah gunung yang menghiasi kawasan landai ini. Dia memberitahu kami bahawa apa yang ditunjukkan kepada kami itu adalah Gunung Ledang. Aku tak pernah menyangka aku akhirnya akan tiba ke tempat seperti ini.
Kami masuk ke kawasan kampung. Kami berhenti di sebuah rumah di tepi sawah. Rumah ini rumah arwah datuk dan nenek Melati yang sudah lama meninggal dunia. Di sana, kami diperkenalkan kepada Nek Saadah, nenek saudara Melati yang sudah tua tapi masih kuat lagi sihat tubuh badannya. Dia duduk di rumah ini dan menjaga sawah bendang peninggalan datuk dan nenek Melati. Dia tak pernah berkahwin. Aku diberitahu, selama ini ibu Melati lah yang telah menjaga makan minumnya. Nek Saadah cukup gembira dengan kedatangan kami. Agaknya sebab dia jarang ada pengunjung, jadi dia layan kami cukup-cukup. Dia sayang kepada Melati. Dia cium pipi Melati lalu memberitahunya betapa cantiknya Melati sekarang. Dia tunjukkan album lama Melati yang disimpannya baik-baik. Aku dapat melihat gambar-gambar lama Melati ketika dia kecil dahulu. Memang Melati seorang anak yang comel, sebab itu aku tak hairan jika Nek Saadah sayang dengan Melati. Sesiapa pun akan sayang kepada seorang anak kecil yang comel wajahnya seperti Melati.
Tengah hari itu kami semua makan tengah hari di sebuah pondok kecil yang letaknya beberapa ratus meter dari kediaman Nek Saadah. Kami terpaksa meredah tanah bendang untuk ke sana. Aku beritahu kepada Tamrin aku tak pernah alami ini semua. Dia kata dia tahu. Aku dilahirkan di bandar Johor Bahru di rumah datuk dan nenekku di Larkin, kemudian aku dibesarkan di Shah Alam. Jadi semua ini adalah pengalaman baru bagi diriku.
Melati dan ibunya memakai baju kebaya ketat berwarna putih. Ibunya membawa sebatang payung merah bersamanya lalu mereka berjalan berpimpinan tangan berjalan merentas bendang. Sesekali Melati akan menoleh ke arahku lalu melemparkan senyuman ke kepadaku. Desiran angin yang bertiup merendah lembut membelai rambut Melati. Tamrin aku lihat sedang memimpin tangan Nek Saadah sambil bercerita kepadanya tentang suasana kampungnya di Pulau Pangkor.
Gunung Ledang yang terletak nun jauh membingkahi horizon kelihatan seperti lukisan di atas kanvas dengan langit terang membiru ditambah dengan awan dan kabus berbalambalam.
Bunyi apa tu Nek Tanyaku apabila mendengar permainan muzik yang sayup-sayup kedengarannya.
Kempling... cucu Wak Sanip kahwin hari ni, Nek Saadah memberitahu, kemudian dia mengingatkan ibu Melati supaya ke majlis makan malam perkahwinan cucu Wak Sanip pada malam ini.
Perlu ke, Mak Ngah Tanya Ibu Melati. Wajahnya berkerut.
Alah, jangan pedulik apa orang nak kata fasal kau. Kau pergi sahaja. Inikan majlis perkahwinan anak saudara kau jugak, Kalsom Kalau bukan kerana duit yang kau sedekahkan, kau ingat majlis perkahwinan si Hassan tu boleh jadi macam ini meriah
Ibu Melati terus diam. Dia tidak menjawab. Melati memandang penuh ke arah ibunya. Aku rasa dia tahu apa yang berlaku. Dia memegang tangan ibunya dengan erat, seolaholah dia mahu menenteramkan perasaannya yang gusar pada saat itu.
Masakan Nek Saadah memang sedap, walau pun sukar untuk aku makan ayam yang aku sendiri tangkap dan disembelih Tamrin. Kalau ayam yang dibeli di supermarket atau di KFC senang pula aku makan. Aku lihat Tamrin siap minta nasi tambah lagi. Nek Saadah suka benar melayannya.
Kami duduk makan bersama sambil menikmati suasana yang indah di hadapan kami. Jiwaku pada waktu itu terasa tenang, setenang tiupan angin yang membuatkan batang padi menari mengikut ayunan angin. Selesai makan, aku lihat Melati membawa ibunya berjalan di atas batas. Mereka duduk di atas bendang menghadap ke Gunung Ledang. Ada sesuatu yang ingin mereka ceritakan bersama.
Sesekali aku lihat ibu Melati menudingkan jarinya ke arah kepulan-kepulan awan di hadapan mereka.
Apa yang mereka lakukan Hamiza Tanyaku kepadanya tatkala Tamrin sedang sibuk berceloteh dengan Nek Saadah.
Aunty Kalsom akan bercerita tentang dirinya dengan menggunakan awan. Melati akan memahami apa yang terbuku di dalam hatinya dengan memandang kepada awan yang ditunjukkan kepadanya.
Aku dapat melihat ibu Melati menuding ke arah sekumpulan awan hitam yang berkepul-kepul berkumpul di atas Gunung Ledang. Kemudian aku lihat Melati mendakap tubuh ibunya dengan erat dan dengan penuh kesungguhan meminta ibunya jangan bersedih.
Orang-orang kampung menyisihkan mereka. kata Hamiza akhirnya memberitahu kepadaku dengan suara perlahan.
Apa yang sebenarnya telah berlaku kepada Aunty Kalsom
Ibu dan bapanya telah meninggal dunia ketika dia berusia 18 tahun... Kemudian dia jadi mangsa rogol. Mel...
Hasil daripada kejadian hitam yang menimpa dirinya dahulu.
Mel tidak kenal siapa bapanya
Tidak... Ketika itu dia bekerja di sebuah kilang berdekatan dengan bandar Muar untuk menyara hidupnya dan adik-adiknya, dia telah diculik kemudian dibawa ke pinggir hutan. Dia telah dirogol beramai-ramai. Ketika itu dia berusia 19 tahun, Emmet.
Cerita Hamizah membuat tekakku tiba-tiba terasa kering dan sakit.
Orang kampung terus menyisihkannya bila mereka dapat tahu tentang perkara ini, lebih-lebih lagi apabila dia sarat mengandung. Hanya pelacur-pelacur di Pekan Bukit Gambir yang sanggup menjaganya pada waktu itu, sehinggalah Mel dilahirkan. Mereka jugalah yang telah menjaga Mel sehingga dewasa. Aunty Kalsom pula terus bekerja di sana agar dia dapat menjaga Mel dan adik-adiknya yang lain ketika itu masih bersekolah.
Apa jadi kepada keluarga Aunty Kalsom yang lain Apa jadi kepada adik-adiknya yang lain yang telah dibesarkannya sendiri
Mereka masing-masing kini ada kehidupan mereka sendiri... Tak ada seorang pun yang mahu pulang ke sini untuk menjenguknya atau menjenguk Nek Saadah yang telah menjaga mereka dahulu. Mungkin mereka malu dengan apa yang dilakukan oleh Aunty Kalsom selama ini... Entahlah Emmet.
Kenapa manusia ni kejam, Hamiza Tanyaku dengan perlahan.
Hamiza menaikkan kedua belah bahunya. Dia tidak mungkin dapat menjawab soalanku ini.
Kadangkala saya rasa semuanya ini tak adil, Ucapku perlahan. Aku memikirkan tentang nasib yang menimpa Melati. Aku juga memikirkan tentang nasib yang menimpa diriku, ibuku dan adik-adikku sendiri. Hatiku kini sudah sebal.
Emmet, Aunty Kalsom pernah beritahu kepada Mel supaya jangan jalan melangkah ke belakang. Walau pun perlahan langkahnya, dia harus berjalan maju ke hadapan. Apa maksudnya
Emmet, Aunty Kalsom pernah beritahu kepada
Mel supaya jangan jalan melangkah ke belakang. Walau pun perlahan langkahnya, dia harus berjalan maju ke hadapan, kata Hamiza, seolah-olah dia tahu tentang latar belakangku dan apa yang membelenggu perasaanku selama ini.
Aunty Kalsom berkata begini kepada Mel
Ya. Dia juga beritahu kepada Mel supaya jangan sekali-kali berputus asa di dalam hidup. Kehidupan ini memang banyak dugaannya, Emmet. Jika kita mahu kecapi kebahagiaan, kita tak harus senang berputus asa.
Aku turun dari pondok tempatku berteduh. Aku berjalan beberapa tapak ke hadapan sehingga ke tepi bendang. Aku terus termenung ke hadapan. Aku tarik nafasku dalamdalam kemudian aku menutup mataku rapat-rapat. Aku biarkan cahaya terik meMamah wajahku. Aku biarkan sepoi angin menyapu wajahku yang letih.
Apabila aku membuka mataku, aku dapat melihat Melati dan ibunya masih duduk memandang ke awan berteduhkan sebatang payung merah menyala. Semangat mereka kental untuk melalui kehidupan ini yang serba tak kena untuk mereka.
Kepada awan kini aku khabarkan tentang darah jiwaku yang tidak berwarna. Kepada awan aku ceritakan tentang kisah kesepian yang kian mencengkam jiwaku.
Bila keinginan semakin pudar. Tatkala jiwa tidak lagi berkobar. Ketika harapan semakin samar. Kepada awan aku luah perasaan.