SELESTIAL - 14
Dengan setiap langkah, saya takjub dengan metamorfosis yang berlaku ke atas persekitaran saya. Saya merasa tertipu dengan pancaindera sendiri. Setiap kali saya menganggarkan jarak sesuatu tempat tersebut, saya akan gagal. Saya tidak dapat meneka bilakah detiknya jalan berbatuan yang kelabu dan berdebu bertukar menjadi jubin-jubin hijau lantai bangunan D8, Sentul.

Ah, sebentar. Otak saya menafsirkan pula tempat ini selaku D8, Sentul. Bukankah sepatutnya galeri seni milik Krishnan dan Mitchelle itu terletak di bangunan D7, Sentul yang senyatanya wujud

Jangan kalut, Razali. Kami berpendapat, otak kamu tidak akan dapat menerima apa yang kamu akan hadapi sekiranya berada di planet tersebut. Realiti itu, bukan semua makhluk mampu hadapi dengan tenang.

Oleh itu, saya akan tunjukkan bagaimana asimilasi akan berlaku. Ia akan dipersembahkan secara artistik. Grotes dan indah. Kami akan memberi interpretasi elegan ke atas sesuatu yang jelek, barangkali tampak trensendental di mata awak ujar Krishnan tatkala kami bertiga berdiri di depan bilik yang asalnya menempatkan jasad Puan Raudah dan juga The Phosphorus.

Mitchelle membuka pintu ke bilik itu secara perlahan. Namun begitu daun pintu tidak pula terselak secara normal. Ia umpama lembaran kain yang telah diuraikan zipnya. Ia meluruh ke bawah dan menampakkan isi bilik. Skulptur di dalam bilik adalah sesuatu yang tak dapat saya terima dengan akal. Ia menakutkan. Saya tidak tahu mengapa saya ada perasaan itu. Seolah menonton sesuatu yang menyeramkan tetapi anda tidak memahami hatta sedikitpun apa yang anda tatap.

Tidak memahami apa yang saya lihat membuatkan saya takut. Saya baru sahaja nekad untuk berpaling dan berundur dari bilik galeri ini, tetapi Mitchelle telah memegang keduadua belah bahu saya dan menolak saya masuk. Krishnan menyediakan kerusi dan menempatkannya di antara dua bingkai lukisan yang tidak siap dicatan lalu mendudukkan saya di atas kerusi yang empuk itu.

Ketakutan buatkan saya terpaku. Objek di depan saya itu tidak dapat saya terangkan dengan kata-kata. Mungkin saya patut meletaknya dalam kategori abstrak. Haruskah saya menjelaskannya dengan pemecahan peratusan cecair, pepejal dan wap Tidak, tidak. Tiada satu aspekpun pada objek di depan saya itu yang konsisten. Ia berubah sebegitu pantas. Saya pada mulanya percaya saya melihat bebola daging manusia yang punya diameter 3 meter. Namun ia berubah pantas sesudah itu dari bebola daging kepada Puan Raudah dan juga The Phosphorus dalam pelbagai posisi yang menggerunkan. Saya dapat dengar bunyi tulang dipatahkan. Saya dapat lihat wajah Puan Raudah dan juga The Phosphorus yang merintih kesakitan. Namun ia juga tidak kekal.

Pada selang 0.5 saat, setiap aspek pada objek di depan saya itu berubah sifatnya. Saya mahukan jawapan. Krishnan dan juga Mitchelle hanya merenung ke arah apa yang mereka hasilkan itu dengan satu pandangan kagum. Apa yang hendak dikagumkan dengan objek sebegitu jelek itu Sebelum sempat saya bertanya, mereka telah berada di depan papan lukisan masing-masing dan mengangkat berus dan palet warna. Tanpa menunggu sebarang isyarat pun, mereka memusatkan fokus mereka pada lukisan masing-masing. Saya melihat satu keajaiban lagi di mana pergerakan tangan mereka menarikan warna-warna di atas kanvas begitu pantas dan brutal. Tampak kepayahan bertaut pada wajah mereka.

Percikan warna terpalit merata. Saya terpaksa menepisnya dan melindungi wajah saya dari terkena percikan-percikan warna itu. Saya cuba melihat kejadian ini secara sistemnya yang tersorot dalam perlakuan tiga benda bergerak di dalam bilik ini, yakni, objek itu, Krishnan dan juga Mitchelle.

Saya dapat dengar ngauman aneh, yang diiringi suaranya yang androgynus dengan bunyi tulang dipatahkan. Recik-recik logam berwarna perak yang mengeluwap mula bergenang di tapak objek itu berada.

Ini adalah apa yang kami boleh buat, Razali! Kami harap kau akan dapat faham dan berasimilasi dengan kami! teriak Krishan. Suaranya sayup-sayup menyinggah di cuping telinga saya. Ketika itu, saya dapati dia sedang mengangkat tin berisi cat perak dan bersedia untuk mencurahkan isinya ke atas kanvas.

Ah, gila.

Mitchelle turut berbuat perkara yang sama. Tin-tin cat berisi warna perak disemburkan ke atas kanvas semahu hatinya. Realiti sebenarnya tidak terhadam. Simbiosis dengan The Phosphorus juga tidak ketara hasilnya. Terdapat sesuatu pada sisi otak separa sedar yang harus diberitahu dengan perbuatan-perbuatan yang subliminal seperti ini.

Bagi tahu aku, Razali! Apa yang kau rasa sekarang! teriak Mitchelle, tanpa berganjak langsung dari kerja-kerja anehnya itu.

Saya hanya nampak kegilaan. Kegilaan yang tidak terhad. Jiwa saya berkecamuk dengan apa yang dipertontonkan kepada saya. Saya tidak dapat menerimanya dengan akal. Barangkali ada rasionalnya yang harus saya huraikan dengan memadankan setiap paparan imej-imej yang saya lihat ini.

Bagitahu aku, Razali! Cepat! teriak Krishnan pula.

Terdesak, saya menjerit lantang.

Ini semua adalah kegilaan!

Seraya itulah mereka berhenti. Objek itu juga berhenti dari terus-berterusan bermetamorfosis. Krishnan dan juga Mitchelle merenung saya seolah saya adalah masalah besar bagi mereka. Terpahat kekecewaan pada renungan mereka itu.

Setiap yang berada di luar lingkup antropik adalah kegilaan. Aku harap perkataan kegilaan ini pupus dari kamus pengetahuan manusia. Mereka harus melihat melepasi kegilaan itu untuk menyatu dengan perancangan kami. Kau, sungguh mengecewakan

Usai berkata begitu, Krishnan bergerak ke tengah menghampiri objek yang kini statik dan mati. Saya nampak orb berwarna perak berapungan tanpa sebarang corak ataupun objek terbit di permukaannya.

Mitchelle pula tiba-tiba bergerak ke belakang saya lalu menolak saya agar bangkit dan bergerak ke depan. Pada jarak beberapa meter dari orb berwarna perak yang berapungan itu, saya dapat kesan perubahan pada permukaan orb tersebut. Saya dapat lihat bagaimana pergelutan antara manusia dan makhluk berupa ular sedang berlaku hebat. Dalam belitan ular yang besar itu, manusia itu berhempaspulas melonggarkan cengkaman ular itu, dan menggunakan kedua-dua belah tangannya untuk mengoyakkan rahang ular tersebut sedaya upayanya.

Ia timbul laksana mereka itu terperangkap di halaman buih yang berbusa-busa. Timbul laksana sesuatu yang terperangkap di bawah catan logam yang melebur, cuma bezanya orb ini tidaklah melebur. Ia berada dalam bentuk yang boleh dikatakan pertembungan antara dua keadaan berbeza. Sifat fizikal orbnya tampak jelas berserta sifat gas dan cecairnya yang juga jelas. Ia mengingatkan saya dengan planet Musytari yang begitu bergas. Imitasi sebuah planet yang tak boleh didiami manusia.

Lihatlah melalui kegilaan. Kau akan nampak rasionalnya. Kau harus melangkaui persempadanan akal sedia ada dan berkomunikasi setara aras dengan kami. Sekurangkurangnya menyatulah dengan The Martian ataupun The Phosphorus!

Tiada lagi pergelutan.

Saya nampak kesatuan manusia dan ular di dalam orb itu dan ia mula bergerak ke bawah orb lalu cuba membebaskan dirinya. Bagaimana hendak saya jelaskan sifatnya ya Saya masih keliru dengan apa yang saya tatap. Saya tahu apa yang berada di dalam orb itu bukan lagi manusia, apatah lagi The Martian. Krishnan dan juga Mitchelle sudah tidak mengendahkan saya lagi. Mereka bergerak ke bawah orb dan cuba menyambut makhluk aneh itu dengan tangan-tangan mereka.

The Raudah dan The Phosphorus bisik Mitchelle.

Krishnan berpaling ke arah saya dan renungannya ketika itu begitu tajam dan menakutkan. Ada seliratan kegilaan dalam otaknya ketika itu, terzahir kemas pada bebola matanya yang dijegilkan.

The Razali, The Things dan The Phosphorus

Ia membuatkan saya ketakutan. Naluri membuatkan kaki saya berundur ke belakang. Ketika itulah saya melihat bagaimana makhluk aneh yang terbit dari orb itu menampakkan bentuknya yang sahih. Ia humanoidal tetapi pada pangkal kepalanya, tiada kepala tersembul dari leher yang seolah terpenggal. Ia punya tubuh seorang wanita yang berbalut dengan kain putih yang celaru belitannya. Sesekali kelihatan jasad ular menjalar di dalam tubuh itu, menampakkan bonjolan-bonjolan yang bergerak liar di beberapa tubuh humanoidal wanita tersebut.

Saya tidak pasti adakah yang saya lihat itu sesuatu yang nyata ataupun hanya sekadar fantasi. Namun setiap deria rasa saya memberitahu akan sebaliknya. Bau tempat ini, dan bau dari objek itu cukup tengik. Saya sudah hampir mendekati pintu, sebelum Krishnan dan Mitchelle bergegas ke arah saya dan menghalang saya dari terus undur.

Kami perlukan kombinasi tubuh kau untuk objek itu. Kau harus berasimilasi dengan mereka, Razali! ujar Krishnan. Kali ini dia berteriak seolah-olah saya ini pekak. Memang saya percaya saya sudah pekak kerana objek yang tengik baunya di depan kami itu turut mengeluarkan satu bunyi dengan frekuensi yang mungkin berada di atas paras tafsiran minda manusia.

Kamu semua gila! Mana mungkin aku nak datang dekat dengan benda tu! Gila! Semua ini gila!

Mitchelle tersenyum lalu menekan ubun kepala saya dengan ibu jari kanannya. Ia memberi tubuh saya satu efek aneh. Jasad terasa lemah. Seolah-olah kaki telah lenyap. Saya berjalan tetapi saya percaya ia bukan lagi kaki saya. Saya melihat bibir mereka bergerak. Mereka sedang mengatakan sesuatu kepada saya, tetapi saya tidak dapat dengar. Namun ia tidak mengapa kerana setelah beberapa ketika sesudah itu saya dapat mendengarnya secara tidak konvensional. Secara telepati setepatnya.

Persempadanan antara waras dan gila itu kabur. Mungkin juga boleh dianjak. Kami nak bawa kau keluar dari minda antropik itu dan ia kedengaran sukar kerana kau manusia. Asimilasi ini penting, kerana kau akan melangkaui batasan minda selaku manusia dan selepas itu kita boleh sama-sama memikir cara untuk menghalang kemusnahan sejagat ini

Saya mula mengerti akan tujuan semua benda gila ini. Mereka memerlukan minda setiap makhluk-makhluk yang wujud untuk dipadukan dengan minda mereka agar mereka dapat membuka satu lagi kunci untuk menghalang kemusnahan.

Mungkin ini adalah penyelesaian terbaik, tetapi bagaimana pula dengan hati saya Hati saya selaku manusia menidakkan setiap apa yang mereka lakukan ke atas jasad saya. Saya tidak dapat meronta lagi. Saya dibawa ke depan objek aneh tersebut dan seraya itu terbit tangan-tangan humanoidal sifatnya lalu mencengkam saya dan membawa saya hampir kepada objek itu. Bau tengik itu sudah bertukar aneh kepada bau sesuatu yang agak harum; tetapi tidak pernah dihidu haruman sebegitu sebelum ini. Mungkin bahan kimia yang tidak terdapat di bumi. Ia melemaskan dan saya rasa saya akan terawang-awang tinggi di langit, tetapi ia tidak akan terjadi. Satu bukaan terbit pada objek di depan saya dan saya ditarik masuk ke dalam. Saya nampak nombor-nombor berselisihan antara satu sama lain dan ia menyalut setiap jasad saya dalam cahaya yang begitu terang. Perlahan-lahan saya lihat anggota badan saya bertukar menjadi molekulmolekul kecil yang berkecaian matriksnya.

Ah, inikah kematian

Saya tidak rasa pula saya akan mati begini.