Jonker Street ratusan tahun dulu tidaklah segah jalan sebelahnya yang punya tampak menghadap Sungai
Melaka, Heeren Street. Kau kenalinya sebagai Jalan Tun Tan Cheng Lock. Malah, kastanya begitu jauh berbeza. Berbanding Jonker Street yang mendapat namanya daripada pegawai muda Belanda, Jonghheer yang tidak pernah pun menduduki kasta tertinggi di kalangan
orang besar Belanda; Heeren Street pula pernah dipanggil Millionaires Row, jalan bagi kediaman taikun, tuan tanah dan gentleman bangsa Cina dan Eropah.
Sehingga kini, Jonker Street kelihatan lebih meriah kerana selepas berabad-abad, ia masih terus-terusan menjadi lorong membeli belah sementara Heeren Street dengan ironik menjadi sunyi sepi walaupun pernah menjadi tempat kelahiran Tun Tan Cheng Lock, pengasas MCA di rumah agam kolonial nombor 111; juga menjadi tempat perbincangan tetap perancangan kemerdekaan Malaysia bersama Tunku Abdul Rahman.
Tetapi, peduli apa pada hantu-hantu masa lampau yang telah hidup mati berjuang, menikmati hidup sepenuhnya sedangkan kami kini perlu menyelamatkan kawan yang telah membuktikan kesetiaan susah payah sehidup semati Terasa mahu pecah dada kami yang seharian berlari. Pandangan seperti bergoyang kabur. Kami mengambil nafas. Dhiya memandang ke titik langit Jalan Jonker. Bagaimana harus kami mula
Dhiya mengimbas setiap rumah kedai. Mencari petunjuk atau sekurang-kurangnya apa saja corak yang memberi hala petanda pasar gelap barangan antik. Walaupun Dhiya punya kebolehan mencari semua corak ini dan melakukan deduksi maklumat seterusnya mengecilkan ruang litup pencarian, tetapi keterbatasan memahami budaya dan latar belakang serta pemikiran mereka menyebabkannya menjadi sukar.
Kami benar-benar berharap Lim ada bersama. Memberi kami pelajaran budaya seperti yang sering dilakukannya.
Mustahil kini. Mahu menghadap redup wajah bapanya itu pun kami tidak berani.
Dhiya berjalan ke depan. Kemudian berpatah balik. Kemudian berjalan lagi.
Tiada apa yang dapat dia ikut, dipegang untuk berpaut mencari petunjuk. Jangan kau tanya aku yang dungu ini. Aku menggaru-garu kepala. Jelas, aku cuma pandai memberi cadangan. Dhiya kemudian berhenti berjalan. Mengambil nafas panjang duduk di kaki lima. Dia menutup matanya. Aku harap aku dapat menyelami kepala Dhiya ketika itu. Dhiya mahu kembali kepada sesuatu yang asas, mudah dan sederhana. Tetapi, sebelum itu dia harus meneliti dahulu latar belakang Jalan Jonker dan yang lain-lainnya. Sesuatu yang dia sudah tahu tanpa perlu meminjam kepala dan benak Lim.
Satu perkara yang menyatukan rupa seni bina kawasan ini tidak kira Jalan Jonker, Heeren atau yang lainnya adalah lebar bukaan rumah kedai yang sempit. Ini semua kerana undangundang dungu penjajahan Belanda yang mengenakan cukai berdasarkan lebar rumah, bukannya jumlah kawasan binaan. Justeru itu, mereka lebih rela mendapat tampak hadapan yang sempit daripada membayar cukai lebih kepada penguasa.
Bagaimanapun, dalam masa yang sama mereka percaya tampak hadapan adalah gambaran atau muka segalagalanya. Maka, tidak hairanlah daripada muka hadapan ini jugalah kau dapat menelaah status, keturunan dan jenis perniagaan mereka. Daripada jenis arca, ukiran yang menghiasi depan rumah kedai, jenis kayu pintu depan, imej atau simbol, malah motto dan nama keluarga kau akan tahu jenis penghuni dan gaya hidup mereka.
Di dalam kepala Dhiya, dia mengulang tayang imej-imej yamg pernah dilihatnya dan membuat deduksi dengan mencari corak ganjil. Kemudian, mata Dhiya terbuka. Malah bersinar-sinar. Aku tahu dia telah menemuinya. Apa dia, Dhiya Ada apa
Aku sudah pasti bingung. Dhiya menoleh kepadaku dan pantas menarik lengan.
Mari! Kau masih ingat lagi hari kita tonton opera Cina kan
Aku ikutkan saja. Kami terus berjalan sambil kepala Dhiya menjenguk-jenguk mencari. Apa maksud kau, opera Cina
Dhiya buat muka tidak kuasa. Menarik nafas panjang kerana kelembapan otak ku.
Kau lupa apa yang Lim beritahu Pelajaran tentang simbol Warna Gambar
Sumpah aku tidak faham apa yang Dhiya katakan.
Ahhh Apa benda yang kau cakap ni Dhiya sudah hilang sabar.
Lembap! Mereka sangat percaya dengan simbol! Tak kiralah mereka tu taikun, kapitan, si miskin ataupun penyangak jual barang haram!
Aku sudah malas. Lebih baik saja jika aku berpura-pura faham.
Habis tu
Mereka akan beritahu siapa mereka daripada depan rumah mereka, Adi!
Aku mula dapat menangkap bayangan ini.
Tapi benarkah telahan Dhiya Aku sangsi.
Tak payah buat muka tak percaya tu, Adi! Kau fikir, bagaimana mereka yang mahu cari pasaran gelap ni
Dhiya terus berjalan tekun. Matanya mencari-cari, mengimbas atas bawah setiap lot rumah kedai. Aku ini, sudahlah tidak mahu percaya dan terima apa yang Dhiya katakan. Malah, kakiku sudah letih. Kami sudah hampir sampai penghujung jalan. Sementara Dhiya mahu memerhatikan segala-galanya. Daripada gaya rupa jenis font yang menjadi papan tanda di atas pintu hingga kepada baju-baju yang disidai di ampaian. Seorang pemikir visual memang cuma ada sempadan halus dengan orang gila.
Dhiya kemudian berhenti di satu kedai. Bingung aku. Tiada yang istimewanya kedai itu. Usang malah. Daripada genting atap mereput, jelas rumah ini sudah lama tidak dipulihara. Kelihatan cahaya malap datang dari dalam. Yang nyata ianya memang kedai barangan antik bercampur materi vintaj, termasuk buku-buku terpakai. Tetapi mengapa Mengapa Dhiya berhenti di sini Bukankah banyak lagi kedai antik di jalan ini
Tetapi bukan itu faktor nilaian perempuan itu. Dhiya pembaca visual. Membuat deduksi maklumat berdasarkan rumusan holistik dan abstrak. Sudah tentu jauh lebih hebat dari mana-mana kepakaran forensik atau gaya penyiasatan konvensional. Kini, kau tahu yang Dhiya lihat di dalam kepalanya ketika rumah-rumah kedai lain menggunakan arca hiasan indah berupa naga, burung phoenix, angsa, anjing dan singa dengan warna-warna gemilang emas, merah dan kuning untuk menjemput feng shui yang baik dan tuah; kedai itu pula dengan jelas menandakan muka depannya dengan arca ular berlingkar garang dengan warna muram biru hitam.
***
Dhiya terus berdiri tegak memerhatikan kedai itu. Matanya bening. Kau pasti
Dhiya dengan ekspresi monalisa melangkah masuk tanpa teragak-agak. Aku sebenarnya sangat takut apabila perempuan itu membuat keputusan berpandukan naluri kerana tiada sesuatu pun dapat berkompromi dengannya. Dan kami melihat seorang perempuan separuh umur menyambut dengan pandangan beku dan senyum berlebihan. Nak apa dik Ada buku lama. Ada perabot. Mau cari apa
Dhiya berhenti sebentar. Pandangannya kosong. Aku sendiri berdebar-debar. Kami mencari-cari perkataan sesuai untuk dilontarkan kepada penjual atau sekurang-kurangnya rakan subahat niaga pasar gelap. Tegarkah kami Kemudian, getar dadaku semakin pantas apabila mendengar Dhiya membuka mulut.
Nyonya ada jual barang kemas pengantin waris Demang Abdul Ghani kan
Mahu gugur jantungku. Jenis penyiasat apakah yang gila bertanya soalan dengan terang lurus Perempuan Cina itu terjegil matanya. Matanya kini seperti arca ular selar luar kedai yang mahu menelan kami. Dan seperti kau tahu, orang Cina mempercayai ular adalah perlambangan manusia merbahaya, licik menipu.
Jangan panggil aku nyonya. Aku belum kahwin. Siapa kau ni Mahu ugut aku
Tangan Dhiya menggeletar. Nyata sekali dia gemuruh. Namun wajahnya tegar cekal. Kalau puan tak tak tahu, kenapa kena marah-marah Dhiya mendekatkan diri ke wajah perempuan itu.
Ada jual barang lain tak Patung Dewi Ma Choe Po Tulisan kufi dari Kampung Hulu Perempuan itu meletup.
Keluar kau! Keluar! Nanti aku panggil orang aku!
Dhiya berundur. Matanya tergambar ketakutan. Seperti baru teringat yang dia cuma anak sembilan tahun yang tidak punya apa-apa kuasa.
Hakikatnya aku sebenarnya terlupa bahawa kuasa sebenar bukanlah rupa fizikal kami, tetapi pengetahuan dan pengaruh manipulasi.
Tangannya masih gigil. Namun Dhiya tegar menjenguk bahagian dalam kedai yang semak dengan baju diampai. Dahinya berkerut. Dhiya kemudian menjenguk pula rumah kedai bertentangan. Dia diam sebelum mara sekali lagi memandang tajam perempuan itu.
Puan, saya bukan cari penjual antik haram. Kami cuma nak tahu siapa jual pada puan! Kawan kami, anak peniaga Cina kena tangkap atas benda yang dia tak buat. Saya cuma minta tolong!
Mata beku itu lagi. Tiada tanda dia berganjak.
Kenapa aku nak tolong Kau ingat aku bodoh Lepas tu kau boleh buat laporan polis Baik keluar sekarang!
Kini, giliran Dhiya mahu meletup. Dasar
peniaga gelap. Kawan sebangsa pun tiada simpati. Mukanya merah. Aku menarik tangan Dhiya, mengajak keluar. Aku mahu keluar kedai ini dalam keadaan sempurna. Perkara terakhir yang aku mahu berlaku hari itu ialah terlibat dengan gangster Cina.
Dhiya menyentap kembali tangannya. Terkejut aku dengan kedegilannya.
Baik. Saya keluar! Tapi saya bawa keluar juga cerita yang puan ada hubungan sulit dengan orang kedai depan!
Dan kau lihat betapa terperanjatnya perempuan bermata beku itu.
Nanti dulu! Macam mana Ahh
Perempuan separuh umur itu terdiam sebentar. Kemudian, memandang Dhiya menyala.
Apa yang kau nak
Buat pertama kali, dia bercakap jujur.
Kami cuma nak tahu, siapa pencuri tu
Tanpa perasaan dia menjawab;
Aku tak tahu! Langsung tak tahu.
Kami dapat menebak yang jawapannya itu masih jujur.
Tapi, bagaimanakah kami dapat berpuas hati dengan jawapan sebegini Dhiya membuat pandangan
mengancam dan mahu melangkah keluar.
Nanti!
Kami berhenti. Menunggu dalam debar kata-kata yang mahu diucapkannya.
Kami tak pernah berjumpa dia! Cuma panggilan telefon. Dia beritahu koordinat tempat dia tanam barang antik; dan pada malamnya kami ambil dan kambus semula bersama duit bayaran!
Wajah Dhiya masih mempertikai jawapan perempuan itu.
Tak akan senang-senang dia percayakan kau! Kalau kau lari dengan barang
Perempuan itu senyum sinis. Mata dinginnya merenung dalam.
Mudah saja, budak! Tak ada wang, urusniaga berhenti. Dan dia memang pembekal yang baik. Kecuali barang kemas Demang Ghani yang patut kami ambil semalam. Tak tahu mana hilangnya!
Puan tahu sekarang mana perginya barang tu! Sekarang kawan kami ditangkap! Perempuan ais itu ketawa kecil.
Kau dan kawan kau tak patut masuk campur! Dia percayakan aku sebab kami orang Cina memang pegang janji. Kami ambil, kami bayar!
Aku dan Dhiya merenung perempuan itu, memikirkan apa lagi usaha yang dapat kami lakukan. Apa lagi kau mahu Pergi balik!
Saya tak akan balik. Selagi tak dapat koordinat semua tempat yang puan pernah ambil barang antik. Panjang renung dingin itu.
Kau janji, lepas tu kau tak ganggu aku lagi Dhiya merenung dalam.
Saya janji! Macam mana Cina pegang janji mereka!
Perempuan itu menjeling tajam mendengus. Dia mengeluarkan kertas dan pensil lalu menulis. ***
Kami berjalan gontai. Tidak ada gunanya berlari lagi kerana hari telah gelap dan satunya arah yang harus diikut ialah berjalan pulang. Perjalanan itu terasa panjang tanpa Lim dan kepastian bagaimana kami dapat menyelesaikan masalah ini. Bagaimanapun, aku masih belum hilang rasa takjub pada Dhiya yang berdepan dengan kengerian seorang penjual antik haram berhati kejam.
Macam mana kau tahu perempuan gila tu ada hubungan dengan orang depan kedai dia
Dhiya mendengus, malas melayan. Fikirannya menerawang kepada perancangan hari esok.
Jawapan selalu ada depan mata, Adi! Kita saja yang tak nak tengok. Badannya macam orang dah kahwin walaupun belum. Dan dia sidai baju lelaki yang sama citarasa, saiz dan warna macam orang di depan kedainya!
Ahhh Semudah tu
Dan kalau kau perasan, rupa isteri lelaki
kedai depan itu pun hampir sama dengan perempuan gila tu!
Habis tu, koordinat-koordinat ni Kenapa kau minta Nak buat apa Kau tahu kan pencuri itu tak akan beri koordinat yang sama setiap kali minta mereka ambil antik curi Dhiya diam lama.
Aku tak tahu lagi. Nanti aku fikir...
Sunyi bungkam menemani sepanjang perjalanan pulang. Sudah teramat lelah sebenarnya. Esok saja.
Tanpa kami sedari, sepasang kaki melangkah tenang dan hatihati mengikuti kami hingga ke jambatan besar Kampung Morten.