MOLOTOV KOKTEL - 14
Perkembangan politik dunia hari ini sedang mengacukan setiap teropong analisis ke atas pergolakan di Timur Tengah terutama Semenanjung Arab. Arab Spring, yang gelombangnya persis jatuhan domino dari ibu kota ke ibu kota; biar yang berlakunya sama ada atas gerakan rakyat secara massa, mahupun didalangi oleh tangan-tangan hitam Big Brother, sudah pun memberi impak maha dahsyat kepada putaran politik dunia.

Malah, penaklukan imperialis Barat ke atas Afghanistan dan Iraq dekad lalu tidak merakam impak setara dengan apa yang sedang disaksikan dunia hari ini melalui Arab Spring.

Penaklukan imperialis Barat ke atas Afghanistan dan Iraq walaupun berjaya menggegarkan dunia, hanya sekadar berhasil menjadi pengukuh pandangan dan teori penaklukan ekonomi dan pemeluasan pengaruh politik serantau yang acap kali dibincangkan oleh banyak penganalisis dan pemikir sejak berdekad.

Hasil penaklukan dan perang tersebut tidak membawa sebarang perubahan teras, apa lagi manfaat dan faedah. Status-quo masih di situ. Penguasa atau pemerintah masih kekal berkuasa dan rakyat majoriti masih kekal hidup dibayangi ketakutan. Seterusnya, penguasa hanya perlu terus mengaut untung hasil dari krisis yang dicipta oleh mereka sendiri.

Arab Spring sama sekali berbeda.

Arab Spring ternyata bukan lagi satu letusan yang sekadar menggoncang kepentingan ekonomi seperti di Iraq, dan bukan hanya memecahkan wilayah yang dibayangi pengaruh politik asing seperti di Afghanistan. Arab Spring layak diangkat sebagai Revolusi yang mengubah bukan sekadar putaran politik tempatan, malah minda warga yang terlibat, dan hampir seantero dunia yang mengikuti perkembangan secara dekat.

Pusingan roda sudah berubah; berkat dari Arab Spring, majoriti sedang memegang kuasa untuk menentukan hala tuju negara mereka. Penguasa sudah mulai takut kepada rakyatnya sendiri.

Analisis terperinci berkaitan Arab Spring harus difahami urutannya dari Tunisia hingga ke Libya dan Syria. Latar dan sejarah perlu benar-benar diperinci secara mendalam jika mahu diluaskan perbincangan kepada keseluruhan Arab

Spring tersebut.

Namun, mengambil perkembangan semasa hari ini, meletakkan Mesir sebagai latar perbincangan adalah pilihan lebih baik. Mesir hari ini menjadi titik penentu kepada seluruh pergolakan di Timur Tengah. Apa yang berlaku di Mesir, mempengaruhi keseluruhan Semenanjung Arab yang sedang bergolak. Apa yang berlaku di Mesir, turut sama menjadi acuan pemikiran temporari kebanyakan anak-anak muda dunia, termasuklah Malaysia.

Revolusi Mesir pemecah dogma

Istimewa dan siginifikannya Arab Spring, khususnya Mesir ke atas warga di negara kita ialah betapa selama ini; mungkin selepas Perang Vietnam, tajuk pergolakan politik dunia seolah-olah gagal menambat hati terutama anak muda untuk turut membincang, mengambil sikap, dan melakukan aksi respon.

Namun Arab Spring dan Mesir ternyata mendapat sahutan meluas. Sejak mula panji perjuangan anak muda Arab dan Mesir diangkat, anak muda di negara ini turut sama memapar semangat dan setiakawan dari jauh. Setiap anak muda terutama yang bergelar Muslim mulai bercita-cita untuk turut sama melakar sejarah sama di tanah air sendiri.

Ringkasnya, semangat melawan yang selama ini kelihatan suam mulai marak menyala. Sekurang-kurangnya melalui ekspresi dilaman sosial.

Revolusi dan kebangkitan Ikhwanul Muslimin di Mesir berjaya menjadi teladan dan kiblat buat tunas muda politik negara terutama generasi pemuda-pemudi Islam pasca Tsunami 2008. Jengah ke laman blog dan jaringan sosial, anak muda mulai membincangkan di mana-mana sahaja tentang Mesir. Adalah menjadi dosa sosial jika ada yang cuba merasionalkan sikap tidak menyokong Revolusi dan Ikhwan khususnya.

Melalui prisma politik, kebangkitan di Mesir terutama Ikhwan adalah kemenangan dan motivasi untuk yang mempunyai fikrah sama seperti mereka di Malaysia. Situasi ini memberi kelebihan besar terutama kepada penyokong badan dan parti berlandaskan Islam. Demonstrasi dan budaya turun ke jalanan sudah menjadi halal dan Islami. Dakyah yang cuba untuk menggambarkan pemberontakan dan protes sebagai tidak Islami telah gagal.

Meninggalkan papan kekunci

Di Mesir, laman sosial seperti Facebook adalah senjata untuk menggerakkan kegiatan mereka. Tidak seperti di negara ini, laman sosial menemukan mereka dalam jaringan yang lebih luas sebagai kesempatan yang sangat dihargai. Tidak pernah kiranya angka besar pengikut laman sosial hanya sekadar untuk memenuhi ego, bermain sentimen murah atau sekadar bersembang dan berlagak hebat di dunia maya.

Setiap angka yang dikumpul di laman sosial sangat penting. Bergerak dari angka tersebut, mereka menyusun diri secara fizikal. Daya usaha ini tentulah atas kesedaran, seramai mana pun mereka di dunia maya, tidak sama dengan impak angka fizikal di aspal kota-kota dan dataran yang ditawan.

Apabila Wael Ghonim memulakan kempen di facebook untuk memperingati dan menyebar kezaliman autoriti ke atas Khaled Said, anak muda di Mesir tidak sekadar menekan butang like sebagai tanda protes. Mereka meninggalkan papan kekunci komputer dan turun ke jalanan. Mereka sedar perubahan tidak akan berlaku tanpa aksi sebenar. Ternyata, bukan hanya seorang dua yang mengambil sikap realistik untuk turun memaparkan protes dan hasilnya; Mesir berjaya membuka ruang demokrasi yang lebih luas.

Sikap ini perlu diteladani anak muda yang mengkagumi Revolusi di Mesir.

Jalur pemikiran pasca revolusi

Setiap yang dimulakan perlu ada pengakhirannya. Apabila Mubarak ditumbangkan, dan ruang demokrasi yang lebih luas dihidupkan; tidak seperti sejarah rantau ini seperti Indonesia 1998 misalnya, mereka terus menggenggam kuasa yang dirampas daripada tirani. Mereka faham dan akur bahawa Revolusi bukan semata-mata selepas berjaya menumbangkan tirani, ia proses berpanjangan yang mengambil masa dan tenaga.

Selepas Morsi dilihat gagal memperbaiki Mesir yang diranapkan oleh Mubarak sekian lama, mereka kembali bersetiakawan. Menggelar diri mereka Tamarod, mereka menggalas kembali panji yang lebih gelap berbanding yang pernah mereka naikkan pada 25 Januari 2011. Tamarod, yang membawa berontak ternyata tidak lagi perlu melalui jalan yang pernah dilalui sebelum ini.

Korban nyawa seperti Khaled Said tidak diperlukan untuk meniup kesedaran bahawa di mana pun, apabila majoriti perlu bersuara, suara itu harus dinyanyikan. Sentimen bahawa mereka ini golongan salah kerana tidak datang dari kalangan kelompok Islamis besar Ikhwan tidak pernah merencatkan usaha mereka. Revolusi yang dimulakan pada 25 Januari 2011 bukan hanya Revolusi Ikhwan. Ia revolusi anak-anak muda Mesir.

Benar, 3 Julai hanya berlaku apabila tentera mulai campur tangan. Benar, Tamarod setuju untuk memberi ruang buat tentera memegang baton terakhir dalam memastikan Morsi melepaskan jawatan yang disandangnya. Namun, Tamarod tidak harus dipersalah seratus peratus apabila kudeta berlaku pada 3 Julai. Tamarod hanya berfungsi sebagai wakil buat jutaan suara yang menolak Morsi. Ini realiti yang dibawa Tamarod dan sama sekali tidak boleh dikatakan tidak demokratik.

Tentera di Mesir bukan tentera seperti di negara ini yang bertindak sematamata atas arahan menteri. Mereka sentiasa aktif membuat pilihan politik dan mereka memilih untuk mendampingi suara-suara yang menolak Morsi. Sama fungsinya seperti parti politik arus perdana yang menyatakan sikap mewakili ketidakpuasan hati rakyat bawahan di negara kita.

Mereka hanya saluran untuk mencapai matlamat perjuangan rakyat yang tidak mempunyai platform seperti yang dimiliki parti politik. Jika parti politik melakukan kesalahan, ia bukan dosa penyokongnya. Massa tidak pernah salah, ini hukum asas.

Niat dan matlamat Tamarod ialah menyatakan protes terhadap Morsi yang dianggap tidak mengikut garis Revolusi yang dibawa ketika 25 Januari, maka Morsi diturunkan. Apabila niat Tamarod dikudakan oleh tentera yang turut mempunyai kepentingan politik, ia bukan salah mereka.

Lahirnya Third Square

Revolusi adalah jalan panjang dan sukar. Istimewanya bumi Mesir, ia tidak dilengahkan sehingga terlalu lama untuk memastikan jalan Revolusi tersebut bergerak aktif. Revolusi bukan hanya perkataan yang digunakan untuk menjenamakan gerakan mereka. Revolusi adalah jalan jelas buat mereka membangunkan sebuah Negara.

Anak-anak muda yang mampu membaca al-Quran dalam bahasa natif tidak tersekat dengan dogma agama untuk memilih jalur politik mereka. Pesona Morsi dari Ikhwanul Muslimin yang diwarisi dari Imam Hasan Al-Banna tidak mematahkan sikap mereka untuk mengambil keputusan. Revolusi Mesir tidak pernah berkenaan dengan penegakan elemen kesucian agama. Revolusi Mesir berkenaan hak asasi dan semangat demokrasi yang pernah dibunuh oleh Mubarak.

Jika Revolusi 25 Januari dibajak oleh Ikhwan melalui Morsi, dan gerakan Tamarod 3 Julai dibajak pula oleh tentera; di mana pengakhirannya

Hari ini, sekumpulan lagi anak muda yang menggelar diri mereka sebagai Third Square mulai menyusun kembali kekuatan massa. Matlamat mereka, sama seperti gerakan 25 Januari dan 3 Julai; masih untuk menghidupkan Revolusi Mesir yang dicitacitakan.

Berpusat di Giza, mereka menganggap kedua-dua Morsi dan tentera telah mengecewakan cita-cita Revolusi Mesir, maka tiba masa untuk mereka kembali mengingatkan niat asal di sebalik penggulingan Mubarak oleh rakyat pada 25 Januari 2011.

Di saat Tamarod dan penyokong Morsi mulai berkonfrantasi dan Mesir mulai dibayangi risiko perang saudara hanya dua tahun selepas Revolusi pertama, mungkin Third Square memegang kunci untuk mengembalikan kemenangan perjuangan rakyat Mesir. Jika gagal, sekurangkurangnya sejarah tetap akan mengenang mereka sebagai pihak yang menyedari apa yang harus dilakukan pada saat sedemikian.

Belajar dari Mesir

Perjuangan rakyat di Mesir masih belum tamat. Jatuhnya Morsi tidak akan menghancurkan Mesir. Bangunnya Tamarod tidak pernah mengembalikan Mubarak. Pengkhianatan tentera tidak menamatkan jalan demokrasi. Peristiwa di Mesir adalah proses biasa sebuah Revolusi.

Anak muda di negara ini wajar meneliti dan menganalisis sedalamdalamnya setiap yang sedang dilalui oleh anak muda Mesir. Mereka mengukir sejarah mereka.

Pada satu saat, akan sampai waktunya anak muda di negara ini turut mengukir sejarah sendiri.