DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 14
Hari ini aku ditemu ramah lagi. Kali ini oleh sahabat lama aku yang tengah buat tesis untuk Master in Bussiness. Entah macam mana aku pula yang dipilihnya. Satu jam aku kena soal selidik dengan dia. Sampai kering tekak aku kena jawab soalan. Petang ni akan ada sesi penggambaran. Macam artis pula dah.

Kali pertama aku kena temu ramah adalah kira-kira 2 bulan yang lepas. Ada pelajar daripada ITM tengah buat kerja kursus juga. Selain jawab soalan bertulis, aku kena temu ramah depan kamera. Nak buat bukti kat lecturer katanya.

Semuanya soalan-soalan biasa sahaja. Tapi ada juga soalan yang susah aku nak jawab. Terutamanya apa beza klinik aku dengan klinik orang lain Mengapa dan bagaimana aku boleh mengekalkan pesakit aku supaya tak lari ke klinik lain

Sebagai doktor, aku menjual diri aku sebagai satu produk. Walaupun nama klinik aku sudah established, aku masih menjual diri aku supaya pesakit-pesakit sentiasa mengingati aku bila mereka sakit. Macam korang guna ubat gigi Colgate, walaupun ada banyak lagi brand lain yang lebih murah tetapi korang masih juga nak guna Colgate. Kenapa ya Begitu juga dengan pesakit. Setiap kali sakit, korang mesti nak jumpa doktor yang sama juga. Kalau klinik tu tutup atau doktornya bercuti korang masih juga tunggu nak jumpa doktor yang tu juga. Walaupun ubat yang korang dapat dari klinik lain atau cawangan lain tu sama sahaja tapi selagi korang tak jumpa doktor yang satu itu, korang rasa macam tak sihat sahaja. Kenapa ya Itulah rahsia dan prinsip perniagaan aku. Aku tak main bomoh-bomoh atau amal ayat apa-apa. Tangkal pun aku tak pakai.

Dah 14 tahun aku jadi doktor. Di klinik sendiri dah hampir 8 tahun. Dah beribu-ribu orang sakit aku tengok. Yang follow aku sejak aku buka klinik pun ramai. Kalau dulu, dia datang seorang sekarang dah beranak-pinak. Kalau dulu anak masih didukung, sekarang dah masuk darjah dua dah. Kalau dulu, bini baru satu sekarang dah tiga pun ada. Sebagai doktor, aku ada photographic memory. Aku sukar nak ingat pesakit dengan tengok muka sahaja tetapi kalau ada kad di depan mata, tiga patah perkataan pun aku boleh kembangkan jadi satu cerpen. Kisah hidup dia dah macam buku sejarah. Ubat yang dia boleh makan, ubat yang dia allergic, ubat yang bagus untuk dia, ubat yang sebabkan dia cirit-birit. Malah hal-hal anak bini dia pun aku boleh recall hanya dengan melihat kad dia.

Doktor yang bagus adalah yang memberi layanan ekstra kepada pesakit. Doktor yang bagus adalah yang mendengar ceritacerita pesakit, yang cuba memahami masalah pesakit, yang rajin memberi penerangan kepada pesakit dan yang melibatkan pesakit dalam hal-hal rawatan.

Contohnya kalau sakit perut. Doktor yang biasa akan beri ubat sakit perut dan ubat gastrik. Kadang-kadang segala macam vitamin diberinya untuk buatkan anda kembali sihat. Kadangkadang langsung tak pegang pun perut pesakit. Dia cuma cakap, Ala ini sakit biasa je. Makan ubat ini mesti baik punya.

Doktor yang bagus sikit akan tanya sakit di mana dan dah berapa lama. Doktor yang bagus juga akan suruh pesakit baring dan memeriksa perutnya. Lepas tu barulah dia cakap, Ala ini sakit biasa je. Jaga makan dan makan ubat ini mesti baik punya.

Kalau doktor yang beri layanan ekstra, dia akan tanya pasal bila last period, macam mana corak pemakanan, urine ada masalah tak Biasa makan kat mana Ada alergi ke tidak Dia juga buat scan perut dan check urine jika perlu. Kalau semuanya normal barulah dia cakap, Ala ini sakit biasa je. Jaga pemakanan dan makan ubat ini mesti baik punya. Ini sekadar contohlah. Tiada kaitan antara yang hidup dan yang mati.

Sebagai doktor cabuk, aku bukan setakat merawat pesakit sahaja. Aku juga bukan ingat bisnes sahaja. Periksa sambal lewa, beri ubat banyak-banyak dan charged lebih-lebih. Lepas tu pesakit takkan datang lagi. Bukan sahaja tak datang lagi, dia akan cakap kat kawan-kawan dan jiran-jiran dia supaya jangan datang ke klinik aku. Ubat mahal.

Pada aku, duit kira kemudian. Kalau baru pertama kali datang aku dah beri ubat macam-macam lepas tu charge lebih-lebih, memang setakat itu sajalah rezeki aku. Biasanya pertama kali datang, aku charge berpatutan. Kali kedua dan seterusnya pun sama. Biar dapat untung sedikit tapi berpanjangan. First impression itu penting kerana jika pesakit selesa dengan aku, dia bukan sahaja akan datang lagi tapi dia akan promote pada saudara-mara dan jiran-jiran dia.

Sebagai doktor aku tak pernah mempertikaikan rawatan doktordoktor lain. Aku tak pernah memburuk-burukkan doktor lain di depan pesakit. Kalau pesakit datang ke klinik aku dan bawa ubat yang pelbagai, biasanya aku jarang komen macam-macam. Biasanya aku tanya pesakit apa yang dia hendak Kalau dia nak tukar ubat, aku tukar ikut keperluan. Kalau tidak, aku suruh dia habiskan ubat dan kalau tak sembuh baru aku suruh dia datang jumpa aku semula.

Aku sentiasa ingat bahawa hidup ini ibarat roda. Kalau hari ini aku buat kat orang, satu hari orang akan buat benda yang sama kat kita. Kalau hari ini aku berkira dengan orang, satu hari orang akan berkira dengan kita. Kalau hari ini kita buat baik dengan orang, insya Allah Tuhan akan balas 10 kali ganda kebaikan kita. Walaupun di dunia tak dapat, di akhirat nanti ada balasannya. Kalau Tuhan tak balas pada kita, mungkin Tuhan akan balas pada anak-anak dan saudara-mara kita.

Setiap orang ada tanggapan masing-masing. Pada aku, doktor tak perlu dilabel dengan berkemeja lengan panjang, berseluar gelap dan berkasut kulit sahaja. Doktor juga tak perlu serius memanjang dan sentiasa bersikap formal. Sebab itu aku pergi kerja macam pergi tengok wayang atau keluar makan. Tak pernah formal. Bila kita bersikap tak formal tak semestinya kita tak profesional kan