Upgrade pesakit ni ke zon merah! Perintah Dr. Fattah kepada Pembantu Perawatan Kesihatan untuk memindahkan pesakit ke zon merah. Sudah lebih tiga tahun dia bekerja di Sabah. Lebih dari 20 kes seumpama ini telah dia lihat dan rawat. Dia kenal benar tanda yang pesakit sedang alami.
Tangannya membengkok dan begitu juga badannya melengkung ke hadapan mengikut tempoh masa tertentu. Setiap kali terdengar bunyi bising, masalah tersebut semakin teruk.
Dr. Fattah menyentap jarinya ke telinga pesakit dan dilihatnya badan pesakit terus mengeras dan melengkung. Ia menambahkan lagi keyakinannya bahawa pesakit tersebut mengalami masalah tetanus ataupun kancing gigi. Ujian tersebut dilihat agak kasar kerana boleh menyebabkan kesakitan pada pesakit tetapi Dr. Fattah merasakan bahawa ujian tersebut sangat berguna untuk membezakan tetanus dan penyakit lain yang mengakibatkan badan mengeras atau kelihatan dari sawan. Idea tersebut tercetus setelah dia merawat begitu banyak sekali kes tetanus. Dia namakan ujian tersebut sebagai snapping test. Tidak ada dalam buku teks perubatan. Konsepnya cukup mudah, sebarang bunyi bising akan mengakibatkan pesakit tetanus mengalami kontraksi otot. Ini kerana, kuman tetanus akan menghasilkan toksin yang menghalang fungsi reseptor yang menindas aktiviti system motor badan. Akibatnya, sel-sel otot diaktifkan secara berterusan dan menyebabkan kontraksi yang dipanggil tetani.
Pesakit dipindahkan ke katil di zon merah. Tanda vital segera diambil. BP 110/60
Pulse rate 94
Respiratory rate 30
SPO2 77%
Matanya tertangkap pada luka di bahagian tapak kaki pesakit yang sudah mula membusuk. Ini menguatkan lagi diagnosis nya bahawa pesakit tersebut mengalami tetanus. Kuman tetanus biasanya akan masuk melalui luka dan melepaskan toksin ke dalam darah. Toksin tersebut seterusnya akan masuk ke dalam sistem saraf dan menyebabkan kerosakan pada sistem saraf. Kerana itu, pesakit tetanus sukar sembuh kerana saraf yang rosak mengambil masa yang terlampau lama untuk pulih. Pesakit juga biasanya boleh meninggal akibat jangkitan kuman apabila terlampau lama bergantung pada mesin pernafasan Bagi oksigen melalui high flow mask, arah Dr. Fattah. Sediakan set untuk intubasi. Dr. Fattah sudah mulai risau dengan keadaan pesakit tersebut. Ini kerana, sekiranya pesakit datang lambat, majoriti daripada mereka terpaksa diberikan bantuan pernafasan melalui mesin. Ubat seperti midazolam akan dimulakan secara infusi untuk menghentikan aktiviti otot yang berterusan mengecut itu.
Setelah jururawatnya selesai memasang oksigen, mereka terus memasang IV line dan juga cardiac monitor. Dr. Fattah menulis preskripsi ubat pada borang ubat. Dia segera meminta agar jururawatnya mendapatkan Tetanus immunoglobulin bagi meneutralkan toksin tetanospasmin yang berada dalam salur darah. Selain itu, dia juga meminta ubat antibiotic ampicillin dan metronidazole untuk diberikan kepada pesakit.
Kepekatan oksigen meningkat kepada 92%. Lambat laun, dia terpaksa melakukan intubasi juga. Akan tetapi, memandangkan keadaan pesakit masih terkawal maka Dr. Fattah bertemu bapa pesakit.
Lima hari yang lepas, anaknya bermain di tepi sungai dan terpijak tunggul kayu. Memandangkan mereka tinggal jauh dari hospital, maka mereka hanya menggunakan ubat tradisional untuk merawat luka tersebut. Sejarah kelahiran juga menunjukkan bahawa dia dilahirkan di rumah dan disambut oleh bidan kampung. Sejak dari lahir, dia tidak pernah menerima suntikan imunisasi disebabkan faktor kesukaran untuk ke hospital.
Tiga hari kemudian, anaknya mulai demam panas dan kemuncaknya adalah apabila mengalami tetani sejak dari malamnya. Sekali lagi faktor jarak menjadi penghalang untuk mereka tiba ke hospital dengan lebih awal.
Dr. Fattah menggelengkan kepala. Dalam hati, dia berasa sedih kerana melihat begitu banyak sekali kes yang diakibatkan oleh tidak diberi suntikan imunisasi. Sepanjang tempoh dia bekerja, selain dari tetanus dia sudah bertemu dengan pertussis, diphtheria, polio, measles, tuberculosis dan juga meningitis yang teruk. Selain itu, pesakit juga senang mengalami sepsis yang teruk dan berada dalam keadaan kritikal. Tidak ramai yang berjaya diselamatkan.
2 Minggu lepas, seorang pesakit berumur 1 tahun yang juga tidak diberi imunisasi dibawa ibunya ke hospital selepas sesak nafas selama dua hari. Sewaktu melihat kes tersebut di zon merah, pernafasan kanak-kanak tersebut sangat laju iaitu 50 pernafasan seminit. Kepekatan oksigen hanyalah 88% dan bayi tersebut kelihatan sangat lemah. Dia juga mempunyai stridor, iaitu bunyi bising yang disebabkan oleh penyumbatan saluran pernafasan. Mereka cuba melakukan apa yang termampu tetapi gagal untuk menyelamatkan pesakit tersebut. Pesakit itu mati disebabkan sepsis dan juga kerana salur pernafasannya tersumbat. Tidak ada oksigen yang dapat masuk ke dalam paruparunya. Beberapa hari lepas, keputusan swab yang diambil dari kawasan nasopharynx mengesahkan bahawa masalah tersebut adalah disebabkan penyakit diphteria.
Di Sabah, keadaan tidak sama dengan semenanjung. Ramai penduduk tidak mengambil vaksin kerana akses kesihatan yang sukar ataupun berada dalam paras kemiskinan yang teruk hingga tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital dan klinik. Oleh itu, mereka hanya akan datang apabila sudah berada dalam keadaan kritikal. Memburukkan keadaan adalah masalah pendatang tanpa izin yang dengan sewenangnya membolosi sempadan perairan Negara. Mereka yang mempunyai pelbagai jenis penyakit dan tidak diberikan vaksin bercampur gaul dengan masyarakat. Akhirnya, mereka menyebarkan penyakit yang dihidapi kepada masyarakat setempat.
Di semenanjung, ramai ibu bapa sudah mula menolak vaksinasi. Ini kerana wujudnya golongan doctor google yang menyebarkan informasi palsu tentang vaksinasi. Segalanya bermula apabila seorang pengkhianat bidang perubatan iaitu Andrew Wakefield yang merupakan seorang pakar saluran pemakanan mengeluarkan kajian yang melibatkan 12 orang pesakit mengalami autisma disebabkan suntikan imunisasi untuk Measles, Mumps dan Rubella (MMR).
Kajian palsu ini diterbitkan oleh Lancet yang merupakan antara jurnal perubatan yang agak tersohor dan diguna pakai oleh majoriti doktor di seluruh dunia. Siasatan mendapati Dr. Wakefield mempunyai agendanya tersendiri dalam menerbitkan kajian palsu tersebut. Sekurang kurangnya 7 jurnal perubatan bertaraf Antarabangsa menolak hipotesis dan kajian Dr. Wakefield. Menyedari kekhilafan mereka, The Lancet akhirnya menarik balik artikel tersebut. Dr. Wakefield dan pembantunya telah ditarik lesen perubatan mereka kesan dari penerbitan palsu yang mengelirukan ini.
Selain itu, masyarakat juga dimainkan sentimen oleh sesetengah golongan agamawan yang begitu anti sikap mereka pada bangsa Yahudi. Segala keburukan yang berlaku walhal dari kesilapan diri sendiri juga akan dikaitkan dengan agenda Yahudi dan freemason. Mereka menimbulkan ketakutan dalam masyarakat. Hampir semua bencana atau kemalangan dikaitkan dengan teori konspirasi. Dr. Fattah bingung kerana golongan yang sudah biasa dengan Al-Quran dan Hadis sanggup menyebarkan berita palsu.
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu. Bukankah itu ajaran dari Al-Quran Lupakah mereka akan suruhan Allah yang menyebut bahawa sekiranya seseorang fasiq membawa sesuatu berita, maka ianya hendaklah disiasat dan bukan disebar secara semberono.
Lupakah kita bahawa majoriti umat Nabi adalah dalam kalangan Yahudi Benar, dalam Al-Quran ada dijelaskan tentang perangai buruk orang Yahudi yang sering memalsukan perintah dan larangan Allah serta ada yang membunuh para Nabi dan Rasul. Namun, Quran juga tidak menyebut bahawa orang Yahudi tidak boleh dipercayai langsung ataupun dajal yang harus diperangi secara habis-habisan.
Sofiyyah Binti Huyay Bin Akhtab Bin Sayah Bin Amir Bin Ubaid Bin Kaab Bin Al Khazraj Bin Habib Bin Nadhir Bin Al Kham Bin Yakhurn adalah contoh paling senang yang menunjukkan bahawa tidak semua Yahudi itu musuh Islam. Bahkan, kedudukan wanita ini juga diangkat ke kedudukan tertinggi apabila dipilih oleh Nabi Muhammad S.A.W. untuk dijadikan salah seorang isterinya. Dalam erti kata lain, beliau menjadi Ummu Mukminin yang harus dihormati oleh seluruh umat Islam. Nabi Muhammad S.A.W. juga tidak menghalang sebarang proses muamalat dilakukan dengan bangsa Yahudi asalkan ia bersifat adil dan tidak mempunyai unsur penipuan atau penindasan.
Ada juga yang mengemukakan hujah bahawa vaksin ini najis dan haram kerana mengandungi unsur dari babi. Golongan ini mungkin ketinggalan zaman kerana banyak vaksin kini menggunakan sumber berasaskan lembu atau kuda. Hanya ada sebilangan vaksin yang masih bersumberkan gelatin dari khinzir sebagai bahan penstabil vaksin. Isu ini sebenarnya sudah dijawab oleh para ulama. Ulama Kontemporari seperti Yusuf Qaradhawi mengharuskan penggunaan vaksin begitu juga majlis fatwa kebangsaan memandangkan ia mencegah kemudaratan yang besar.
Selain itu, isu penggunaan bahan berasaskan babi sebenarnya menjadi perdebatan yang hangat dalam kalangan ulama. Dalam Al-Quran, diterangkan dengan jelas tentang larangan memakan DAGING khinzir dalam beberapa ayat dan surah berbeza . Oleh itu, jumhur ulama mengatakan bahawa ini adalah dalil Qatie yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Akan tetapi, ulama berbeza pendapat tentang penggunaan bahagian selain dari daging khinzir. Pendapat paling keras adalah dari Mazhab Shafie sememangnya mengharamkan semua bahagian badan khinzir. Namun, ada pendapat dalam mazhab lain yang mengharuskan penggunaan sebahagian bahan lagi. Selain itu, ulama juga telah membahaskan bahawa bahan yang sudah berubah unsurnya boleh diguna pakai dan tidak haram.
Akan tetapi, masyarakat Malaysia tidak biasa didedahkan dengan fiqh ikhtilat ataupun perbezaan pendapat. Bagi masyarakat Malaysia, apa yang dinyatakan oleh ustaz adalah sesuatu yang mutlak dan tidak boleh dipertikaikan. Amalan sebegini membunuh budaya masyarakat berilmu. Bukankah ia juga menyalahi seruan agama yang menyuruh manusia agar sentiasa meningkatkan ilmu.
Dr. Fattah risau dengan situasi sekarang. Di semenanjung Malaysia, sudah terdapat kes-kes yang melibatkan penyakit yang boleh dicegah melalui imunisasi sudah kembali muncul. Dia berdoa agar suatu hari nanti, penyakit berbahaya yang sudah pupus seperti small pox tidak akan muncul kembali. Jika masyarakat masih berterusan dengan pendirian mereka, tidak mustahil masyarakat dunia akan kembali menghidap penyakit yang berjangkit dan boleh membunuh nyawa.
Kalaulah Dr. Fattah boleh memilih pesakit yang ingin dia rawat, pasti dia akan menolak dari memeriksa pesakit yang menolak imunisasi kecuali kerana faktor kemiskinan atau akses kesihatan yang sukar.
Doktor, pesakit mengalami tetani tanpa henti. Sudah kami tutup mata dan juga telinga pesakit tapi bunyi bising dari mesin vital sign menyebabkan dia berterusan mengalami tetani doktor. Kepekatan oksigen juga sudah semakin menurun. Seorang jururawat datang memberitahu keadaan pesakit kepada Dr. Fattah.
Dr. Fattah tiada pilihan lain selain daripada terus melakukan prosedur intubasi pada pesakit. Pernafasan pesakit sudah dikawal oleh mesin pernafasan tiruan. Ubat midazolam diberikan secara infusi untuk memastikan pesakit terus menerus tidur dan mengurangkan kontraksi otot.
Dia menghubungi doktor kanak-kanak untuk memasukkan pesakit ke wad Pediatric Intensive Care Unit. Dia memandang wajah pesakit tersebut. Hatinya sayu apabila membayangkan penderitaan pesakit tersebut. Kalaulah bukan kerana isu perundangan, ingin sahaja dia memanggil semua ibu bapa yang menentang penggunaan vaksin untuk datang ke tempat dia bertugas dan melihat sendiri pesakit yang mengalami tetanus, pertussis, diphtheria dan lain-lain. Pasti mereka akan berfikir kembali jika tidak mahu memberikan imunisasi pada bayi mereka.
Berdasarkan pengalaman beliau, kebanyakan pesakit mempunyai prognosis yang teruk dan meninggal dunia. Hatinya hiba dan dia menadah tangan berdoa pada Sang Pencipta yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang agar memberikan peluang kedua buat pesakit tersebut. Semoga pesakit tersebut dapat kembali berlarian di taman dan bergelak tawa bersama keluarga dan sahabat tersayang.