SANG PENGUASA - 14
Unit auksiliari merupakan salah satu pasukan tentera yang tidak berguna. Mereka dibentuk oleh penguasa sebagai unit bantuan dan pertahanan seperti yang pernah dilakukan oleh Paus Julius apabila melihat kegagalan pasukan tentera upahannya di Ferrara. Lalu, dia membentuk unit auksiliari dan melakukan perjanjian dengan Ferdinand, Raja Sepanyol, untuk mengerahkan pasukan bantuan. Pasukan tentera Ferdinand ini mungkin berguna dan bagus. Tetapi apabila mereka tewas, kita akan tewas. Sebaliknya, jika mereka menang, kita menjadi tawanan mereka.

Walaupun banyak peristiwa sejarah yang dapat saya ketengahkan, saya tetap berhasrat untuk menjadikan Paus Julius sebagai contoh. Dia berhasrat untuk dapatkan Ferrara, lalu dia melakukan kesilapan dengan menyerahkan dirinya ke tangan kuasa asing. Tetapi dia bernasib baik, ketika unit auksiliari Sepanyol berpecah di Ravenna, tentera Swiss datang membantunya dan menghalau Perancis. Maka, Julius tidak menjadi tawanan musuh mahupun auksiliarinya sendiri. Florentine pernah mengupah 10,000 tentera Perancis untuk mendapatkan Pisa. Langkah ini merupakan langkah paling berisiko dalam sejarah perjuangan mereka. Untuk melawan jirannya, Maharaja Constantinople mengerahkan 10,000 tentera Turki ke Greece untuk peperangan yang tidak selesai. Ini merupakan langkah awal perhambaan bangsa Yunani.

Mereka yang tidak mempunyai matlamat untuk melakukan penaklukan bolehlah menggunakan unit auksiliari. Pasukan ini lebih berbahaya daripada pasukan upahan. Mereka mampu menimbulkan kehancuran kerana mereka bersatu dan saling bekerjasama. Sebaliknya pula pada pasukan tentera upahan. Apabila mereka berjaya melakukan penaklukan, tunggu masa saja mereka akan menyakiti kita. Kesimpulannya, pasukan upahan berbahaya kerana mereka pengecut dan pasukan auksiliari berbahaya kerana keberanian mereka. Penguasa yang bijak tidak akan memilih pasukan-pasukan begini, tetapi membentuk pasukannya sendiri. Dia lebih rela kalah bersama pasukannya sendiri daripada menakluk bersama pasukan asing. Dia tidak memikirkan kemenangan sebenar yang diperoleh melalui pasukan tentera asing.

Cesare Borgio memasuki Romagna dengan unit auksiliari yang terdiri daripada tentera Perancis. Lalu, dia memperoleh wilayah Imola dan Forli bersama mereka. Kemudian, dia melihat unit auksiliari ini tidak berkebolehan, lalu dia menggunakan pasukan tentera upahan yang kelihatan kurang berbahaya berbanding unit auksiliari. Dia mengupah pasukan Orsini dan Vitelli. Dia dapati pasukan upahan ini diragui, tidak setia dan berbahaya. Lalu, dia menghancurkan pasukan tersebut dan bergantung pada pasukannya sendiri. Perbezaan pasukan-pasukan tersebut dapat dilihat dengan mudah apabila kita memerhatikan reputasi Borgio bersama dengan pasukan Perancis, pasukan Orsini dan Vitelli, dan pasukannya sendiri. Tiada waktu yang paling dia dihormati dan meningkat reputasinya melainkan bersama dengan pasukannya sendiri.

Machiavelli Niccolo

Saya tidak berniat untuk mengemukakan contoh di luar kerangka Itali, tetapi saya tidak sanggup untuk meninggalkan contoh Hiero dari Syracuse tidak terucap. Lelaki ini, seperti yang pernah saya katakan, telah menjadi pemimpin pasukan tentera Syracuse. Dia mendapati pasukan tentera upahan tidak berguna dan sia-sia. Bagi dia, pasukan ini tidak mampu dia pelihara mahupun lepaskan, lalu dia telah membunuh kesemua mereka. Kemudian, dia gunakan pasukannya sendiri dan berperang bersama mereka, bukan bersama dengan pasukan asing.

Saya berhasrat untuk mengingati kembali memori daripada Perjanjian Lama (Old Testament) yang dapat dikaitkan dengan subjek ini. David menawarkan dirinya kepada Saul untuk melawan Goliath, juara Philistine. Untuk mendorong sebuah keberanian, Saul memberikan David pasukannya. Tetapi David menolak kerana tidak dapat berperang dengan baik bersama mereka. David menyatakan, dia berhasrat untuk menggunakan lastik dan pisaunya sendiri untuk melawan musuh. Secara kesimpulan, pasukan asing boleh memberikan gangguan, membebankan ataupun menjerut kita.

Charles VII, ayah kepada Raja Louis XI, telah membebaskan Perancis daripada Inggeris. Pembebasan itu membuatkan dia sedar tentang kepentingan menggunakan pasukannya sendiri, lalu dia memantapkan lagi sistem tentera infantri dan men-at-arms. Kemudian, anaknya, Louis XI membubarkan tentera infantri dan mula mengupah pasukan tentera dari Swiss. Kesilapan ini diteruskan oleh penguasa selepasnya yang menjadi punca lemahnya kerajaan. Hal ini disebabkan oleh reputasi pasukan tentera asing dinaikkan, lalu menjatuhkan reputasi pasukan kerajaan sendiri. Kejatuhan itu juga disebabkan oleh pembubaran pasukan infantri itu tadi dan men-at-arms pula diketepikan dengan membiasakan diri mereka bekerjasama dengan pasukan Swiss. Sekarang, Perancis tidak mampu menakluk tanpa pasukan itu. Kemudian, muncul anggapan bahawa Perancis tidak mampu melawan Swiss dan tanpa Swiss, Perancis tidak mampu melawan sesiapa pun.

Pasukan tentera Perancis telah menjadi pasukan campuran, sebahagiannya pasukan upahan dan sebahagiannya adalah pasukan kerajaannya sendiri. Pasukan campuran ini lebih baik daripada pasukan upahan berseorangan ataupun pasukan auksiliari berseorangan. Contoh ini membuktikan, Perancis tidak akan dapat ditakluk sekiranya sistem ketenteraan yang dibangunkan oleh Charles diteruskan dan dikukuhkan.

Penguasa yang gagal menyedari suatu masalah sebelum masalah itu datang, dia bukanlah penguasa yang bijak. Hanya sedikit sahaja penguasa yang diberikan kefahaman tentang hal ini. Sekiranya kehancuran Empayar Rom dikaji, kita akan dapati bangsa Goths adalah puncanya. Sejak itu, kekuatan Empayar Rom mula menyusut. Jadi, saya membuat kesimpulan, tiada wilayah yang akan selamat tanpa mempunyai pasukan tentera sendiri. Melainkan dia bergantung sepenuhnya pada kekayaan dan nasib baik. Orang bijak selalu berpendapat, tiada perkara yang tidak pasti dan tidak stabil melainkan kuasa dan kemasyhuran yang tidak mempunyai kekuatan tersendiri padanya. Kekuatan sendiri terdiri daripada gabungan subjeknya, rakyatnya ataupun yang bergantung padanya. Selain daripada itu adalah pasukan upahan dan pasukan auksiliari.

Cara untuk bersedia membangunkan pasukan sendiri boleh didapati dengan mudah sekiranya mempelajari contoh-contoh yang telah saya kemukakan. Kita lihat juga bagaimana Philip, ayah kepada Alexander, pelbagai Republik dan penguasa mengatur pasukan tentera mereka.