Saya ingin menjadi seorang saintis. Itulah jawapan yang seringkali saya beri jika diajukan pertanyaan berkenaan cita-cita. Biarpun pada masa itu saya masih kabur tentang kerjaya sebagai seorang saintis, namun disebabkan persepsi masyarakat yang hebat, membuatkan sesiapa sahaja ingin bergelar sebagai saintis. Minat kepada sains sebenarnya telah dirasai sejak di bangku sekolah rendah lagi. Nama-nama tersohor seperti Michael Faraday, Alexander Graham Bell dan Thomas Alva Edison dengan ciptaan masing-masing seperti yang tercatat di dalam buku teks sangat memberi kesan kepada saya dalam membentuk minat yang mendalam kepada bidang sains. Saintis dianggap manusia yang hebat kerana mampu menjadikan hidup manusia kepada kehidupan yang lebih baik. Dari situ, bermulalah kesedaran betapa bidang sains sangat penting dan sangat memberi impak yang besar dalam kehidupan manusia sejagat.
Bidang sains semakin serasi dengan jiwa saya. Justeru, semasa di sekolah menengah, saya memilih untuk mengikuti aliran sains. Pembelajaran dalam bidang sains semakin lebih menarik dengan adanya gabungan teori dan praktikal di dalam makmal, sekali gus memberikan pemahaman dan gambaran yang lebih baik. Daripada situ, konsep dan tafsiran berkenaan sains sedikit sebanyak dapat diperbetul dan diperluaskan.
Minat kepada bidang sains tidak terhenti setakat itu saja. Peluang untuk menimba ilmu di menara gading diteruskan dengan memilih bidang oleokimia semasa ijazah pertama (BSc. Hon), bidang kimia semasa ijazah sarjana (MSc) dan seterusnya melanjutkan ijazah kedoktoran (PhD) di dalam bidang kimia-biologi. Gabungan cabang-cabang sains yang dipelajari sebenarnya banyak membantu pemahaman dan menjadikan sains itu lebih menarik dan dinamik. Sebagai seorang pensyarah, saya sedar; dengan sedikit ilmu yang dimiliki, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk dikongsikan dengan pelajar. Satu persoalan dan cabaran yang selalu saya lontarkan ialah bagaimana saya dapat menjadikan pembelajaran sains lebih menarik
Kajian/bacaan yang ditekuni i- Oleokimia
Sebenarnya tidak ramai yang tahu apakah itu oleokimia (oleochemistry). Pada tahun 1998, Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan program oleokimia di peringkat ijazah pertama di bawah Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi. Secara mudahnya, oleokimia adalah satu bidang berkait rapat dengan minyak dan lemak bersumberkan haiwan dan tumbuhan. Sesuai dengan status Malaysia sebagai salah sebuah negara terbesar pengeluar minyak sawit, tenaga kerja bidang oleokimia sangat diperlukan. Industri sawit merupakan tunjang kepada ekonomi Malaysia dan menghadapi cabaran baru dalam era globalisasi secara berterusan. Semakin ramai pakar-pakar oleokimia diperlukan semenjak negara mengorak langkah untuk meningkatkan nilai tambah minyak sawit dengan memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran. Jika dahulu, Malaysia hanya mampu mengeluarkan minyak sawit untuk kegunaan tertentu sahaja. Namun, dengan kemajuan dalam aktiviti penyelidikan, Malaysia mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi dengan mempelbagaikan produk-produk oleokimia. Produk oleokimia yang dihasilkan dari minyak sawit adalah selamat, halal, bermutu tinggi, tulen dan digunakan sebagai surfaktan, humektan atau pelembap dalam barangan kosmetik, farmaseutikal, ubat-ubatan, industri makanan dan lain-lain. Di antara pemain penting industri oleokimia negara adalah seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Felda dan Sime Darby.
ii) Pemangkinan
Pemangkinan (catalysis) merupakan bidang yang dianggap jantung bagi tindak balas kimia. Semua tindak balas kimia memerlukan mangkin yang secara mudahnya dapat meningkatkan kadar tindak balas dengan menurunkan tenaga pengaktifan. Pemilihan mangkin yang sesuai untuk sesuatu tindak balas adalah amat penting bagi memastikan penukaran dan keterpilihan berlaku pada kadar yang tinggi. Oleh itu, kajian bagi merekabentuk mangkin semakin menjadi tumpuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Cabaran yang sering dihadapi oleh saintis dalam mereka bentuk mangkin adalah seperti masalah penukaran dan keterpilihan yang rendah, larut resap mangkin, produk akhir dicemari oleh mangkin, kebolehulangan yang rendah, dan faktor kos yang tinggi. Oleh itu, kajian telah dijalankan bagi mengatasi masalah asas yang masih menjadi persoalan. Memetik kata-kata Prof. Dr. Qi-Lin Zhou, editor sebuah jurnal terkemuka:
Most transition-metal catalysts and organocatalysts do not meet the requirements for modern industrial manufacturing processes. Their main limitation is low efficiency. The need to develop highly efficient catalysts and related catalytic reactions is a never-ending challenge in synthetic chemistry (Angew. Chem. Int. Ed. 10.1002/anie.201509164).
Baru-baru ini, saintis telah mengorak langkah untuk menghasilkan mangkin yang boleh digunakan di dalam sel hidup. Dalam erti kata lain, mangkin tersebut haruslah bebas daripada masalah larutresap yang boleh menyebabkan ketoksikan pada sel.
iii. Kimia-biologi
Kimia-biologi (chemical biology) berbeza sama sekali dengan biokimia dan secara relatifnya adalah satu bidang yang agak baru. Kimia-Biologi adalah satu disiplin saintifik yang merangkumi bidang kimia, biologi dan fizik. Ia melibatkan penggunaan teknik kimia, alat, analisis, dan sebatian sintetik yang dihasilkan digunakan dalam sistem biologi. Bidang rentas disiplin ini sangat membantu dalam memahami kepentingan bidang-bidang terlibat dalam menyelesaikan permasalah yang timbul. Sebagai contohnya, bahan kimia sintetik yang dihasilkan perlu mengambilkira kesesuaiannya untuk digunakan dalam sistem biologi. Oleh itu, rekabentuk molekul perlu lebih bersifat mesra sel hidup. Sistem biologi amat kompleks dan sensitif terhadap faktor dalaman dan luaran. Disebabkan itu, dilema yang sering dihadapi oleh ahli biologi perlu dirujuk kepada ahli kimia supaya manipulasi dan rekabentuk molekul yang sesuai dapat dilakukan.
Pencetus minat/inspirasi dalam bidang sains
Di waktu kecil, saya seorang yang sangat rapat dengan ayah. Beliau merupakan seorang petani, namun asas ilmu sains yang dimiliki tidak kurang hebatnya. Dari situ, banyak perkara asas pertanian yang bersifat sains dapat dipelajari. Sebagai contohnya, beliau menerangkan bagaimana proses sesuatu biji benih tumbuh, apakah faktor-faktor yang membantu pertumbuhan, kawalan kimia dan biologi, sehinggalah kepada proses fotosintesis. Selain itu, proses pembentukan awan dan pelangi diterangkan dengan cukup menarik sekali. Dengan ilmu (teori) yang diberikan dibantu pula dengan pelaksanaan proses (praktikal), pemerhatian dan pembuktian yang dibuat sendiri sekali gus meransang minat ingin tahu yang mendalam.
Di alam persekolah pula, guru-guru lah yang banyak membantu memberi galakan dan inspirasi. Banyak aktiviti yang mendorong ke arah minat kepada sains, contohnya seperti kelab sains, pertandingan rekacipta, perkemahan, dan banyak lagi.
Sains menjadi lebih menarik semasa saya melanjutkan pelajaran di universiti. Teori-teori sains yang lebih kompleks dan mendalam disusuli dengan amali menjadikan sains lebih menarik dan mencabar. Pergaulan dengan rakan-rakan kelas dalam bidang yang sama dibantu oleh ramai professor serta pakar bidang telah menggalakkan aktiviti perbincangan dan percambahan idea dalam memahami dan menyelesaikan masalah.
Peluang melanjutkan PhD dalam bidang kimia-biologi di University of Edinburgh memang tidak dapat dinafikan sebagai pelengkap pemahaman kepada sains. Idea yang hebat diperolehi dengan pemerhatian, bahan bacaan dan orang-orang sekeliling yang hebat. Antara perkara menarik yang saya pelajari ialah, idea yang hebat perlu disusuli dengan tindakan yang terancang, berpasukan, kesetiaan dan kejujuran barulah menghasilkan sesuatu yang bermanfaat. Kata-kata Professor Mark Bradley yang sering saya ingat ialah kamu melakukan sains kerana kamu memahami dan meminatinya. Dalam ertikata lain, jika kita ingin melakukan sesuatu mestilah dengan ilmu dan minat yang tinggi.
Kepentingan Ilmu Sains
Sains sangat penting dalam kehidupan seharian kerana dapat membantu setiap aspek kehidupan harian supaya lebih mudah, cepat dan selamat. Setiap orang merasai kesan sains dalam setiap aspek kehidupan. Perkara-perkara yang kita gunakan dalam kehidupan seharian kebanyakannya dicetuskan oleh sains dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sains roket. Sebagai contoh mudah, nenek moyang kita memakai pakaian yang ditenun dengan tangan. Namun dengan kemajuan sains, pakaian kita hari ini dibuat di kilangkilang yang besar di mana pembuatannya menggunakan sains dan teknologi. Jika dahulunya manusia menulis di atas kulit haiwan, dengan kemajuan dalam sains manusia dapat menulis di atas kertas yang berkualiti sehinggalah kepada penggunaan paparan elektronik seperti tablet, telefon pintar dan sebagainya. Kita boleh melakukan perjalanan dari satu tempat ke tempat lain dengan kepantasan yang nenek moyang kita tidak pernah impikan. Pada awal pagi, kita akan mendapat berita di semua pelusuk dunia. Jika kita ingin menghantar mesej kepada seorang rakan di Amerika seumpamanya, kita boleh menghantar e-mel dan dia akan menerimanya dalam beberapa ketika sahaja! Jika kita mahu bercakap dengan rakan-rakan yang jauh daripada kita, terdapat telefon yang akan menghubungkan kita. Elektrik adalah salah satu keajaiban sains moden yang menjadi jantung kepada perkembangan teknologi. Kenderaan yang mempunyai enjin berfungsi dengan sumber tenaga petroleum. Kereta api yang dipandu oleh kuasa daripada arang batu. Seorang doktor memberikan suntikan dan ubatan tertentu kepada pesakit bagi menyembuhkan penyakit. Sains perubatan moden berjaya mengurangkan kematian, meningkatkan kadar kelahiran, mencegah penyakit berjangkit, meningkatkan daya tahan, mengurangkan risiko kecacatan sehinggalah penawaran rawatan dan pembedahan kosmetik. Tanpa kita sedari, sains telah berkembang sesuai dengan peredaran masa, keperluan dan kehendak manusia.
Walaubagaimanapun, sains juga mempunyai masalah tertentu. Kebergantungan yang keterlaluan kepada sains terutamanya gajet menyebabkan masyarakat malas, kurang bersosial, kurang bersukan dan kurang berdikari. Kesan negatif ini sangat terkesan terutamanya kepada anak-anak muda. Oleh itu pendekatan dan kawalan daripada ibu bapa serta polisi dan undang-undang negara amat penting bagi melahirkan masyarakat yang seimbang.
Biodata
Penulis merupakan pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan felo penyelidik di Advanced Medical & Dental Institute (AMDI), Universiti Sains Malaysia (USM). Memperolehi Ph.D. di dalam bidang Kimia Biologi daripada University of Edinburgh di United Kingdom pada tahun 2011. Bidang kajian yang ditekuni pada masa ini adalah katalisis, kimia biologi dan oleokimia.