Hubungan dengan jiran akan menjadi bertambah longgar dan tiada rasa kebertanggungjawaban terhadap jiran. Ini akan menjadi bertambah parah apabila generasi kedua iaitu anak-anak mengamalkan cara yang sama yang dipelajari dari orang tuannya. Hubungan dengan jiran seharusnya tanpa syarat kerana itu adalah tuntutan agama. Agama mengatur peraturan agar kita mempunyai sistem dan hidup dengan penuh sistematik.
Dalam sesebuah taman perumahan atau komuniti kita mungkin berhadapan dengan jiran dari berbagai latar belakang faham atau agama. Jika majoriti jiran adalah beragama Islam dan terdapat sebahagian yang beragama lain (bukan Islam), maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kita untuk memelihara keharmonian hubungan dengan mereka.
Tiga sebab utama yang perlu diberi perhatian serius dalam memelihara hubungan dengan jiran bukan Muslim iaitu:
1. Mereka mempunyai hak yang sama kerana membeli rumah dengan wang sendiri. Maka mereka perlu dihargai dan di beri layanan yang baik sebagaimana mereka diharapkan
untuk menjaga sensitiviti kita.
2. Ini adalah satu proses tarbiyah untuk memberitahu mereka tentang bagai mana orang Islam hidup dan akhlak tinggi yang dimiliki.
3. Toleransi ini akan menyebabkan kita merasa selamat kerana mereka juga secara tidak langsung akan menjaga keselamatan dan keselesaan kita.
Beberapa kelemahan yang diperhatikan amat ketara di kalangan umat Islam iaitu:
1. Mengasingkan diri
2. Bermasam muka
3. Mementingkan hak sendiri dan bukan apa yang patut diberi
4. Toleransi rendah
5. Memandang jijik
6. Merasa mulia
7. Bimbang
8. Selesa berjiran dengan kelompok bangsa dan agama yang sama
9. Mempertahankan pemikiran salah terhadap jiran yang bukan islam atau puak tertentu
Mujahid menyatakan bahawa suatu hari ketika beliau bersama Abdullah bin Umar yang mana pada hari tersebut orang gaji beliau menyembelih kambing. Lalu Abdullah bin Umar berpesan kepada orang gajinya agar memberikan sebahagian daging kepada jiran mereka yang beragama Yahudi. Pesanan tersebut diulang-ulang sehingga Mujahid bertanya, kenapa engkau ersungguh-sungguh dalam memberi pesanan tersebut. Abdullah bin Umar menjawab kerana Rasulullah sering berpesan agar berbuat baik kepada jiran sehingga aku menyangka jiran akan mewarisi harta. ( Riwayat abu Daud dan Tarmizi).