KITAB XX - 30 Langkah Memikat Lelaki - 14
Sudah pasti kamu mahukan masa untuk berbual dengan si dia. Sudah tentu. Masakan tidak bagi kamu berbual dengan dia, jika dia sudah membuatkan kamu jatuh hati padanya. Kerana si dia adalah orang yang kamu mahu pikat. Dia sudah menarik perhatianmu. Tetapi, kamu bukanlah tiada harga diri mahu menyerah padanya. Kamu adalah gadis yang perlu dihormati dan disayangi.

Jadi, apakah yang perlu kamu lakukan

Jika si dia sudah memahami isyarat daripada hati kamu, sudah pasti si dia juga mahu berbicara denganmu. Pada masa ini sudah tentu hati kamu juga berbunga-bunga mahu berbicara dengannya. Tetapi awas! Ini bukanlah masanya yang sesuai kamu tunjukkan yang kamu sanggup lakukan apa sahaja demi mendapatkannya.

Kamu harus menyombongkan diri buat seketika. Jika dia melihatmu, larikan pandangan buat seketika. Jangan lama, hanya sekitar 30-45 saat. Kemudian kamu pandang padanya kembali. Sekadar memberi isyarat untuk dia mulakan bicara denganmu.

Perhatikan juga apakah bicara yang dia tuturkan. Adakah si dia memujimu atau bertanya sesuatu yang tiada kaitan denganmu pada saat itu. Contohnya, dia bertanya tentang waktu atau dia bertanya tentang arah ke suatu tempat.

Pada masa ini kamu boleh untuk menjawab ataupun tidak. Ia bergantung padamu. Kerana lelaki pastinya merancang apakah ayat untuk memulakan perbualan yang sesuai agar dia tidak kelihatan kekok.

Jika kata-katanya kelihatan bijak dan tidak membodohkan diri sendiri, ia adalah isyarat bagus untuk kamu meneruskan perbualan dengannya. Sudah pasti perbualan itu nanti bukanlah satu bual bicara yang bosan dan tidak berfaedah.

Isi perbualan kamu dengannya boleh berkisarkan pelbagai perkara. Mungkin si dia memulakan berbicara mengenai perihal kawasan sekeliling di mana kamu dan si dia sedang berada atau juga dia berbicara mengenai rancangan TV atau filem yang baru sahaja ditontonnya.

Jangan pantas menunjukkan kebosanan kamu dan jangan juga terus menunjukkan keterujaan kepadanya. Kawal diri dan berikan ekspresi wajah yang manis. Jika kamu menunjukkan wajah bosan padanya, ini mungkin perbualan pertama dan terakhir kamu dengannya.

Sebelum berpisah, jika dia meminta nombor telefonmu, pastikan yang kamu benar-benar bersedia memberikannya. Jika tidak, kamu boleh berikan pada pertemuan yang lain. Sudah tentu kamu masih akan menemuinya, kerana itu yang kamu mahukan.