Ia terjadi tiga minggu lepas, tetapi masih segar, malah, seperti kata saya sebelum ini, terlalu mengacau. Malam itu sudah ditempah tiket perjalanan dengan kereta api ekspres ke Singapura. Tren 11, koc K2, 2D dan berlepas pukul 22.15 dengan jangkaan tiba 6.35 pagi. Rakan saya, seorang lelaki Australia yang bekerja di republik itu, berjanji untuk menjemput.
Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban saya berseorangan. Cukup mengharap supaya ia terus begitu. Saya sempat membaca novel Rice karya Su Tong dan sesekali meladeni larik-larik puisi yang kadang-kadang datang dan acap pula pergi dari cepu kepala. Belum mesra. Kereta api berhenti di Seremban, mengambil penumpang baru, asyik menghirup teh panas di kantin kereta api. Apabila kembali ke kerusi, televisyen sudah beroperasi,rail channel itu menayangkan Born to Ride. Itu tidak menjadi masalah, tetapi seorang lelaki tua lingkungan 60-an sudah pun terduduk di kerusi sisi, tersenyum intim.
Memang dari awal lagi saya kurang menyenanginya. Pertama, dia merampas kebebasan bergerak. Kedua, dia ternyata sangat ramah. Cuba memancing untuk berbualbual. Aktif mulutnya. Politik ekonomi sosial hiburan. Segalanya!
Pak cik terlalu luka dengan sejarah. Pak cik mangsa sejarah. Dia tersenyum tawar, cuba menduga-duga air muka saya. Beberapa orang penumpang ketawa kuat menyengat gegendang telinga. Wajah Craig Shim, rakan yang bakal saya temui beberapa jam lagi, terbayang selaluselalu.
Luka yang lama. Entahlah, sejarah terlalu pedih jika kita kenangi semula. Ia membuatkan kita lebih tidak faham, lebih tidak mengerti.
Gegar, enjut, dan sentakan kereta api nyata terlalu berbekas. Saya sekarang sudah terperangkap. Mata meluyut, menguap sudah kerap, tetapi untuk tidur dan membiarkan orang tua di sebelah ini menceceh tanpa dilayani tentu sekali biadab. Argh, sulitnya!
Pak cik masih ingat, memohon kerja sebagai tukang kebun di rumah Tauke Yan beberapa hari setelah George Rendel membentuk suruhanjaya dalam bulan Julai 1953. Lelaki itu mengesip-ngesipkan mata. Tentu semua itu terbayang semula.
Oh Tuhan, cerita sejarahkah ini Di luar gelap.
Perjalanan kereta api yang dirasakan seperti lebih bergesel di atas batu, sungguh memeningkan. Wajah Craig acap datang. catan Pulling Out A Thorn hasil karya Li Zi Jian yang saya jengah di Galeri Petronas sempena pameran Humanity and Love pagi tadi tiba-tiba pula membelai benak. Fikiran ini memang teraduk-aduk, suka mengeluyur ke sana ke mari. Dalam kepala cuba merencana jadual di Singapura nanti. Membeli beberapa buah buku yang sukar ditemui di Kuala Lumpur adalah keutamaan.
Ya, sejarah terlalu mengggigit, dan dan sekarang pak cik membaca di akhbar, Kuan Yew semacam cuba melamar Malaysia. Mahumahu bergabung semula
Saya tersentak. Sedikit tertarik. Isu ini memang agak panas sehari dua di akhbar. Banyak yang boleh diragukan, ramai yang resah khuatir dan tertanya tanya itu ungkapan setepatnya. Atau, tidak faham muslihat apa pula yang sedang disandiwarakan.
Teringatkan kata-kata Napoleon Bonaparte: Biarkan China tidur. Jika ia bangun, seluruh dunia akan menyesal. Memang ada asas kalau gusar dan risau membengkak. Jangan ambil mudah analisis pemerhati-pemerhati Barat sejak akhir-akhir ini.
China Raya atau Greater China sedang bergerak pantas ke arah menjadi epicentre industri, perdagangan, dan kewangan ekonomi dunia yang baru. Ingat, keupayaan pembuatan dan dan teknologi pada Taiwan; kemahiran perkhidmatan, pemasaran dan keusahawanan pada Hong Kong; kecanggihan rangkaian komunikasi pada Singapura kumpulan modal kewangan yang luar biasa besar di ketiga-tiga wilayah berkenaan dan kelimpahan tanah, buruh, dan sumber di Republik China. Kalau semua itu bergabung, pernah difikirkan apa kesannya Harus tidak dilupakan falsafah klasik Sun Tzu atau Sun Pin dengan The Art of War. Jalinan itu semua boleh menjadi sesuatu yang nakal! Dan, Singapura secara tiba-tiba berminat semula dengan Malaysia. Ugh, sesuatu yang nakal jugakah ini
Memang Tauke Yan ketua kongsi gelap berpengaruh. Pak cik pula tidak menyangka, minat pada anggerik, dan minat pada Ru Yi, anak gadisnya juga, akan memutikkan cinta yang suci dari hati. Ada genangan air mata di kelopak berkedut.
Oh! Tuhan, cerita asmarakah ini Saya sempat mengerling ke luar. Lampu jalan sahaja yang tertangkap oleh mata. Juga deretan kereta gesit ditinggalkan. Rumah-rumah kampung yang penghuninya sudah nyenyak dibuai mimpi. Sesekali kelihatan kelompok pohon pisang diterangi cahaya lampu jalan. Melihat cermin tingkap terpantul wajah sendiri.
Pak cikamat mencintainya. Kamikami berjanji untuk seumur hidup bersama. Diadia perempuan anggerik. Sudah ada air mata yang berlinangan.
Dia lelaki melayu. Tidak banyak yang diketahuinya selain berkebun, dunia selepas perang tiada yang mudah.
Tidak disangka dengan ketekunan sebagai tukang kebun mampu memikat hati Ru Yi yang jelita. Gadis itu, katanya, berwajah syahdu. Sesyahdu air di Teluk Blangah.
Dua hari setelah Lim Yew Hock mengambil alih jawatan Ketua Menteri daripada David Marshall, pak cik ketika itu berusia 20 tahun, dipecat oleh Tauke Yan. Ru Yi dikahwinkan dengan seorang lelaki Hakka. Orang tua itu mengesat air mata yang lebih berjujuhan. Payah sekali sejarah cintanya. Saya sudah jadi serba salah dengan tangisan.
Cintacinta kami terus berjalan. Apabila suami Ru Yi tahu, dia membawa Ru Yi ke Hong Kong. Kamikami terpisah sejak itu. Tapi tapi pak cik masih ingat pesannya:
Tunggu aku di pangkalan yang menghadap Pulau Belakang Mati errPulau Sentosa setiap 20 Jun, aku berjanji akan berada di situ. Air matanya kering. Bibir masih terketar. Ada yang terlalu pedih ditanggung sekian lama.
20 Jun ialah tarikh kematian ibu Ru Yi. Dia pasti pulang ke Singapura untuk memberi sembah hormat kepada roh ibunya. Abu, sebetulnya. Sejak itulah pak cikpak cik tidak pernah mungkir untuk berada di situ, Keppel, setiap senja 20 Jun.
Gegar kereta api lebih mengancam. Memang terasa bergerak laju.
Pak cik berada di Kota Bharu ketika Singapura tiba-tiba berpisah daripada Malaysia. Pak cik melihat menerusi kaca tv, sekian ramai manusia melimpah di jalan raya membakar mercun dan bunga api kegembiraan. Pesta. Merdekalah katakan. Orang-orang Melayu berasak di Tambak Johor, cuba memasuki Malaya dengan wajah ketakutan dan tiada masa depan.
Saya tiba-tiba dikejutkan dengan isi buku Lords of The Rim: The Invisible Empire of Overseas Chinese tulisan Sterling Seagrave. Khabarnya Republik Rakyat China sudah membina radar dan alat pengesan di Kepulauan Cocos, Myanmar, di Teluk Benggala, untuk menjejaki pergerakan kapal-kapal antarabangsa di Selat Melaka. Pakar-pakar strategi China melihat perlu bagi negara itu menguasai selat ini semula.
Gerabak kereta api teroleng ke kiri.
Sudah puluhan tahun pak cik berada di Keppel setiap 20 Jun tanpa puspita hati pak cik, sekarang Jun sudah berlalu. Sekarang, Ogos, pak cik masih nak ke Keppel juga Itulah satu-satunya soalan yang timbul dari mulut saya. Ia datang menerpa sebaik sahaja gambaran wajah Craig mengirap dari sepasang mata.
Sunyi setagal.
Dia tersenyum. Semacam tanda berterima kasih kerana akhirnya mendapat reaksi daripadaku. Lelaki tua itu cuba menyauk kenangan sedalam mungkin, merenung kosong.
Pak cik terima surat. Tidak bernama pengirimnya, ingin menemui pak cik di Keppel.
Ada misteri juga nampaknya. Orang tua itu merenung kosong ke hadapan. Siaran Born to Ride sudah tamat. Saya melihat jam di tangan, pura-pura terkejut, sudah lewat pagi. Patutlah kelopak mata bertambah berat. Menguap lebih besar. Saya terlalu mengantuk. Hairan, ia nampaknya tidak menjangkit kepada orang tua di sisi. Tentu sejarah, cinta dan misteri yang berada Keppel kelak, mencuci mata sehinggakan ia sebegitu besar.
Ini gambar Ru Yi.
Saya mengambil sekeping gambar yang dihulur. Gambar hitam putih itu memang kepam, malah di tempat tertentu bertompokkan kekuningan. Usang. Saya benar-benar menatap wajah Ru Yi berdiri keras seorang diri. Ada iras wajah Gong Li, pelakon dari China yang saya gemari. Memang cantik. Tidak hairan dia boleh jatuh hati dan begitu mengingatinya sehingga ke hari ini.
Dia perempuan anggerik.
Ahh, apa saya kurang mendengar. Sudah melayang beberapa kali. Penat benar-benar menguasai diri. Mengantuk sudah tidak tertawan lagi. Urat kepala pula merenyut.
Ru Yi meminati anggerik yang saya tanam, mahu dengar puisipuisi perempuan anggerik.
Saya terbeliak beberapa jurus. Oh Tuhan bermimpikah aku
Ini perempuan anggerik abadi lagi suci di kebun setaman anggerik terang mekar cantik berbunga-bunga putih berbunga-bunga hijau berbunga-bunga merah berbunga-bunga biru berbunga-bunga ungu berwarna-warni bersih abadi lagi suci.
Ini
perempuan anggerik Luhur subur di kebunnya
Tidak akan layu
Sebelum datang waktu.
Ini perempuan anggerik menanti aku memetiknya menunggu aku mengelusnya untuk dijadikan suri hidup abadi lagi suci.
Ayat terakhir itu antara dengar dan tidak. Saya sudah terlelap. Apabila saya sedar semula, sudah tiba di destinasi. Penumpang lain terburu-buru turun. Masing-masing ingin menang dalam barisan melepasi kaunter imigresen. Orang tua itu sudah tiada. Sengaja saya bersolat subuh di atas kereta api, kemudian barulah terhegeh turun. Barisan pun sudah pendek. Tiada tanda pak cik itu di mana-mana.
Saya menemui Craig setelah segalanya selesai. Pemuda itu nyata tidak berubah. Seperti dahulu. Riang dan suka tertawa. Agak kurus dan semakin meninggi. Di atas bas dua tingkat bernombor 65 ke Bedok Reservoir, hampir menelan sejam, Craig menanyakan isu Singapura dan Malaysia.
Entahlah, Craig, memang ada kerisauan di tanah airku. John Naisbitt dalam Megatrends Asia sudah melihat betapa rangkaian hubungan Cina seberang laut yang bersifat selfaware itu harus diawasi. Dandan pembabitan latihan tentera Republik Rakyat China hingga ke kepulauan Spratly nyata tidak sederhana. Dalam heboh soal China Raya ini tiba-tiba ada lontaran isu sebegini tentu semua orang berhati-hati. Semua orang lebih memerhati. Benar kata pemimpin kami, dasar sudah berbeza.
Tiga hari kemudian, di Keppel, saya sedang menghadap Pulau Sentosa yang asyik menggoda dengan limpahan cahaya menyinar riak air teluk kecil. Craig saya arahkan membeli dua gelas coke di restoran makanan segera di Kompleks World Trade Centre. Saya melihat kereta kabel berkelip-kelip tubuhnya bergerak malas dan saling bertemu. Tergantung dilatari langit kelabu dengan gumpalan hitam halus. Laut berbau masin dan angin mendera menyejukkan tapak tangan. Jambatan ke Pulau Sentosa sudah diterangi dan kenderaan bagaikan permainan kanak-kanak meluncur pantas. Cahaya dari sisi pelabuhan yang sibuk, spot light dengan pelancar kontena yang aktif bersimbahan pada muka air. Sisik perak dan keemasan pada air yang mulai hitam bergaris-garis. Ketika itulah saya terpandangkan orang tua di dalam kereta api tempoh hari, seorang diri, merenung air di teluk dengan wajah bersedih. Saya tidak dapat menahan diri daripada menemuinya. Yang datang bukan Ru Yibekas suaminya.
Ombak semakin bergelora kecil dan sisik semakin membesar. Feri melanggar jaluran cahaya keemasan meninggalkan buih putih di belakang. Sebuah feri baru tiba, memuntahkan penumpang. Enjin hidup dan di bawah punggung feri yang lebar itu terkocak buih.
Kerana terlalu mencintaiku, Ru Yi diceraikan suaminya, dia kembali ke Singapura, mencariku di Ang Mo Kio. Dia tidak sabar Orang tua itu teresak-esak. Saya benar-benar serba salah. Sedikit teragak, saya mengurut belakangnya supaya lebih lega.
Sepasang pelancong asyik bercumbu sambil melihat langit indah. Bunyi band remaja Cina di sudut persembahan bersebelahan WTC terlalu kuat, agak merimaskan. Riuhrendah.
Dia tak sabardia mencariku di Kuala Lumpur dalam bulan Mei 1969.
Laut lebih bersisik, beralun, menari-nari lembut, gemalai dibelai angin teluk.
Dia terbunuh dalam rusuhan. Esakannya menjadi kuat.
Saya menggigit bibir. Tiba-tiba ada pedih di hulu hati. Rasa dukacita juga. Saya melihat ombak makin bergumpal semacam berarus tetapi tidak menentu tujuan. Nafsu dan ketamakan pemimpin sering menelan kita. Selalu ada tragedi. Biarlah kebenaran yang menjadi neracanya. Saya menoleh ke kiri ke kanan, orang tua itu sudah tiada. Craig berlari anak datang membawakan dua gelas coke, terkejut dan bingung melihat riak di muka saya, dia bertanya mengapa.
Craig, mahu dengar cerita
Cerita Cerita apa
Cerita perempuan anggerik.
Pulau sentosa dilihat berbalam-balam mempesona diusik senja Singapura.