Tenaga adalah keupayaan objek melakukan kerja dan ia wujud dalam banyak keadaan seperti kinetik, keupayaan, haba dan lain-lain. Tenaga terdapat di mana-mana saja, malah di dalam nukleus yang terdapat pada sebiji atom. Jika tenaga ini dibebaskan maka terhasillah tenaga nuklear yang memusnahkan harta benda.
Tenaga juga boleh disimpan, contohnya di dalam bateri. Ia juga boleh ditukar ke bentuk-bentuk yang lain seperti tenaga haba dan tenaga bunyi. Tenaga juga boleh diukur. Jika objek bergerak dengan lebih laju, maka ia mempunyai tenaga yang lebih besar berbanding objek yang bergerak perlahan. Ataupun, objek yang lebih panas mempunyai tenaga yang lebih banyak daripada objek yang lebih sejuk.
Hukum Keabadian Tenaga (Law of Conservation of Energy) menyebutkan, tenaga tidak boleh dicipta dan tidak boleh dimusnahkan. Tenaga hanya berubah dari satu bentuk ke bentuk yang lain. Keadaan satu tenaga kepada tenaga yang lain tidak tetap, tetapi tenaganya akan sentiasa tetap.
Contohnya, jika kita mempunyai sebiji durian atas pokok, durian tersebut mempunyai tenaga keupayaan (potential energy). Apabila ia jatuh ke arah tanah, tenaga keupayaan bertukar menjadi tenaga kinetik. Dan apabila ia terhempas ke tanah, ia akan terus bergolek (bergerak) dan masih mempunyai tenaga kinetik dan dalam masa yang sama menghasilkan tenaga haba disebabkan geseran dengan tanah.
Lihatlah dari kejadian ini, selepas satu bentuk tenaga, tenaga itu bertukar menjadi satu bentuk tenaga yang lainnya, atau dengan lain perkataan keadaan tenaga tidak tetap. Tetapi jumlah tenaga yang ada pada durian tadi tidak sekali-kali berubah. Tenaga yang terkandung dalam durian akan hilang dalam bentuk tenaga-tenaga yang lain dan apabila habis durian akan berhenti bergerak.
Prinsip keabadian tenaga telah diasaskan oleh seorang ahli fizik Jerman bernama Julius Mayer. Perkara ini telah disebut oleh beliau dalam sebuah jurnal yang diterbitkan pada tahun 1842M. Konsep ini kemudian dikembangkan lagi oleh ahli fizik Jerman yang lain bernama Herman Von Helmholtz pada tahun 1857M.
Lihat pada gambar, tenaga keupayaan juga boleh berlaku apabila tangsi (string) busur itu menarik anak panah. Daya yang dikenakan ke atas tarikan tersebut, telah menghasilkan tenaga keupayaan pada tangsi dan anak panah tersebut. Berapa kuat daya (work) yang kita kenakan menentukan jumlah tenaga keupayaan yang disimpin pada anak panah dan tangsi.
dikenakan pada suatu objek. Malah, batu yang berada dalam keadaan pegun mempunyai tenaga keupayaan kerana dikenakan daya graviti bumi.
Secara umumnya tenaga kinetik adalah tenaga yang digunakan untuk melakukan sesuatu. Ia juga bermaksud tenaga pergerakan. Kinetik berasal daripada perkataan Yunani kinetikos yang bermaksud pergerakan (motion).
Dalam memanah, anak panah yang bergerak dan tangsi yang dilepaskan mempunyai tenaga dan tenaga itu adalah tenaga kinetik. Dalam proses pergerakan ini, tenaga keupayaan yang disimpan oleh anak panah tadi akan bertukar menjadi tenaga kinetik. Berapa banyak tenaga keupayaan yang disimpan akan menentukan kekuatan tenaga kinetik yang digunakan.
Jumlah tenaga keupayaan dan tenaga kinetik adalah sama. Inilah yang menujukkan konsep pengabadian tenaga. Jumlah tenaga sebelum memanah adalah sama dengan jumlah tenaga selepas memanah. Tiada tenaga yang dicipta dan dimusnahkan melainkan ia bertukar jenis.