Zaharah terdiam. Wanita itu kelihatan bingung mendengar permintaannya kali ini. Tapi permintaannya berasas. Entah kenapa dia benar-benar tidak sedap hati mahu tinggal bersama-sama pakciknya Kamal dan isterinya Musliha. Sudah terang lagi bersuluh pasangan suami itu tidak menyenangi kehadiran mereka berdua.
Nira, aunty tahu Nira tak berapa sukakan mereka tapi kita tak ada pilihan lain sayang. Lagipun Kamal tu pakcik Nira sendiri. Aunty rasa sejahat-jahat dia takkan sampai mengabaikan Nira dan Naufal. Pujuk Zaharah lembut.
Nira cuma perlu bersabar sampai umi Nira sembuh. Mereka takkan lama kat sini. Percayalah cakap aunty ni Nira. Sambung Zaharah lagi.
Dia hanya mampu mengangguk. Cakap-cakap wanita itu terkesan jua di fikirannya. Hendak tak hendak dia terpaksa merelakan dirinya mengikut sahaja aturan yang dibuat Zaharah. Lagipun wanita itu akan meninggalkan tanahair tak lama lagi. Sedangkan dia dan Naufal Mereka berdua akan terus berada di sini sampai bila-bila. Katalah ibunya tidak sembuh-sembuh juga, apakah mereka akan terus berada di bawah bayangan Kamal dan Musliha buat selama-lamanya Inilah yang merungsingkan fikirannya kali ini.
Selepas pulang dari sekolah, dia berkira-kira mahu ke hospital untuk melawat ibunya. Dilihatnya wanita itu sedang diperiksa oleh seorang doktor. Hendak tak hendak dia sabar menanti sehingga sang doktor beredar. Namun selepas kelibat doktor lelaki itu menghilang, langkah kakinya tidak jadi diteruskan. Entah kenapa dia sekadar memerhatikan wanita itu dari jarak jauh.
Wajah uminya pucat lesi dengan rambut mengerbang yang hampir menutup mata. Pandangan wanita itu kelihatan kosong. Pelupuk matanya mula digenangi air. Sebak hatinya melihat keadaan ibunya yang tidak terurus.
Umi, kenapa umi jadi begini Kenapa umi jadi lemah begini sedangkan sepatutnya umi yang menenangkan hati Nira dan Naufal Kenapa umi Hati kecilnya merintih pilu. Menangisi nasib mereka yang kelihatan kelam.
Airmata yang meluruh tanpa henti segera dikesat dengan hujung jari. Ketika dia mengalihkan pandangan, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Muncul seorang lelaki dari suatu arah lalu melangkah ke arah katil ibunya yang terletak di tepi jendela. Dahinya segera berkerut.
Lelaki yang sedang bercakap-cakap dengan ibunya diperhatikan dengan penuh minat. Hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki yang memakai cap itu. Dia mahu melangkah ke arah ibunya. Namun lelaki itu tiba-tiba berpaling lalu menyerlahkan seraut wajah yang membuatkan langkahnya serta-merta terhenti. Sendi lututnya terasa longgar. Malah dia boleh merasakan tubuhnya tiba-tiba mengigil. Ya ALLAH! Lelaki itu rupanya!
Nafasnya berderu kencang. Ingatannya serta merta menerjah pada wajah lelaki berambut tocang putih yang merenung tajam ke arahnya sewaktu mereka bertembung di hadapan bilik arwah ayahnya tempohari. Entah kenapa dia yakin, kedua-duanya orang yang sama meskipun dia tidak dapat melihat tatoo berbentuk naga di bahu sebelah kiri lelaki itu yang kini terlindung oleh kemeja berlengan panjang yang dipakai lelaki itu.
Perlahan-lahan dia mengintai di sebalik tirai, menekuni gerak-geri lelaki itu. Apa lelaki itu mahu sebenarnya Apakah lelaki itu ada niat jahat terhadap ibunya Pelbagai pertanyaan menyerang fikirannya saat ini. Entah mengapa dia benar-benar bimbang jika lelaki itu mengapa-apakan ibunya yang tidak berdaya. Apatah lagi dia yakin bahawa lelaki itulah yang telah membunuh ayahnya. Mencarik kebahagiaan keluarganya dalam sekelip mata.
Sedetik menanti dengan perasaan cemas, akhirnya dia melihat lelaki itu beredar dari situ. Dia cepat-cepat menuju ke arah ibunya. Namun melihat ibunya berada dalam keadaan baik-baik sahaja, perasaan gusarnya mulai berkurang. Syukur kepadaMU YA ALLAH!
Umi, apa lelaki tu nak dengan umi Dia..dia ada cederakan umi Soalnya dengan nafas terputus-putus. Namun ibunya tidak menjawab. Wanita itu hanya mematung diri pada pertanyaan-pertanyaan yang dihamburkannya.
Dia duduk di birai katil. Merenung wajah ibunya yang terus kosong tanpa sebarang emosi. Umi dengar tak apa Nira cakap ni Kenapa umi macam ni Umi tak kasihankah pada Nira dan Naufal Dah berbulan-bulan Nira tunggu umi sembuh, tapi umi tak mahu pandang Nira langsung. Naufal di rumah selalu rindukan umi. Nira juga! Rintihnya dengan perasaan sebak yang membekam diri. Namun wanita di hadapannya itu seolah-olah tidak mendengar apa-apa.
SEPERTI rutin hariannya yang lalu, dia menjemput Naufal di sekolah. Sejak akhir-akhir ini, Naufal tidak banyak bercakap dengannya. Anak itu jadi pemurung. Semuanya disebabkan oleh pakcik dan makciknya yang tinggal bersama mereka.
Naufal nak makan dulu sebelum balik Soalnya pada adiknya itu. Naufal hanya menggelengkan kepala.
Kalau macam tu, kita balik terus ya Dia mengenggam tangan adiknya lalu menghelanya ke suatu arah. Tiba-tiba Naufal menepis tangannya.
bersambung
Bab akan datang:
Mengapakah Naufal menepis tangan Danira