CINTAI AKU DENGAN RESTU-NYA - 15
SEPANJANG perjalanan pulang dari klinik, Ika hanya berdiam diri. Pandangan cuma ditala keluar tingkap cermin kereta. Kebaya pendek zaman 50-an tersarung di tubuh, ditilik sekali dua. Muat pula kebaya Che Jah itu pada tubuhnya. Pasti size pinggang Che Jah macam kerengga ketika zaman anak dara.

Lepas ni tak boleh menarilah tuan puteri kat belakang tu. Suara Idlan memecah sepi dalam kereta.

Che Jah yang duduk depan, menjeling Idlan dengan hujung mata. Apa sebenarnya masalah budak berdua itu hingga Idlan asyik menyindir Ika

Lan jangan seronok sangat dengan kesakitan orang lain. Kalau kena pada diri sendiri, baru padan muka.

Ika tersenyum. Mata menghala cermin pandang belakang dan saat itu pandangannya bersatu dengan Idlan. Kebetulan pula Idlan melihat cermin yang sama. Kesempatan itu diambil Ika dengan mengangkat ibu jari pada lelaki itu.

Sampai depan rumah Ika, Che Jah mengarah lagi, Lan tolong papah Ika naik ke rumah kalau Ayah Wan tak ada. Mak tak larat. Lutut ni dah sakit balik.

Idlan turun dari kereta. Salam diberi sambil memanggil Ayah Wan. Tapi, hanya Mak Wan yang muncul. Tentu Ayah Wan turun ke laut.

Ika buka pintu kereta untuk cuba turun sendiri tapi, Che Jah melarang keras.

Ika jangan turun dulu. Tunggu Abang Idlan.

Idlan mendekati kereta semula selepas memberi penjelasan pada Mak Wan. Pintu kereta dibuka untuk Ika. Tak banyak soal, Idlan terus papah Ika naik ke rumah. Mak Wan pula sedang menanti di tangga.

Terima kasih Idlan dah tolong anak Mak Wan ucap Mak Wan sambil mencapai sebelah tangan Ika lalu dipegang kemas. Bimbang kalau Ika jatuh kali kedua.

Tak ada apa sangatlah, Mak Wan. Ika jatuh depan rumah saya. Memang jadi tanggungjawab saya untuk bantu dia. Idlan tersenyum.

Kalau Mak Wan tak ada, niat nak sambung mengusik Ika, akan diteruskan. Namun, di sudut hati terselit rasa bimbang apabila melihat kaki Ika berbalut. Takkan sampai hati dia nak menyambung sindiran dan usikannya terhadap gadis itu Dia taklah kejam sangat. Cuma nakal sedikit.

Mak Wan membalas senyum Idlan sebelum mengerling Ika yang hanya terdiam. Ika, ucap terima kasih kat Abang Idlan.

Erm, terima kasih je laaa... Suara Ika meleret.

Bunyinya sangat tak ikhlas. Dia masih terasa dengan kata-kata Idlan. Sudahlah lelaki itu memberi gelaran sombong dan biadab padanya, kemudian dihalaunya pula dia. Siapa tak sakit hati

Mak Wan tunjuk muka hairan. Pagi tadi bukan main ceria wajah Ika menyatakan hasrat nak ke rumah Che Jah. Petang semalam elok saja Ika keluar dengan Idlan. Tapi, sekarang, kenapa lain sangat Macam bergaduh besar saja. Mak Wan berteka-teki sendiri.

IKA duduk di birai katil dengan wajah muram. Sejurus memberitahu guru tarian yang dia tak dapat berlatih, mukanya ketat saja. Semuanya gara-gara Idlan. Kalau tak kerana mulut lelaki tu, tentu keadaannya tak jadi macam ni.

Telefon bimbit berbunyi. Satu kiriman WhatsApp muncul di dada skrin. Huh, Idlan pengirimnya!

Idlan:

Tuan puteri tak masuk istana malam ni

Ika ketap bibir. Tahu Idlan menyindir. Faham apa maksud Idlan. Mungkin Idlan tahu dia tak dapat mengikuti kelas tarian malam ini.

WhatsApp itu dibiarkan tak berbalas. Menyampah!

Beep! Beep!

Eh, bunyi lagi. Ika mendengus lalu mengambil telefon bimbit secara kasar. Sekali lagi Idlan kirimkan WhatsApp. Disapu skrin lalu dibaca dengan perasaan geram.

Idlan:

Oleh sebab tuan puteri tak dapat masuk istana, nanti patik belikan hadiah sebagai tanda minta maaf.

Idlan dah mula. Senget, sewel dan yang seangkatan dengannya. Macamlah dia hadap sangat pemberian Idlan CD Rossa tu dah cukup. Itupun ada hati Ika nak pulangkan semula. Bengang dengan Idlan, CD akan jadi mangsa.

Ika:

Saya tak mahu apa-apa!!!

Sengaja dia menghantar mesej tersebut dengan 3 tanda seruan. Biar Idlan tahu yang dia betul-betul tegas.

Idlan:

Tak baik tolak rezeki. Beritahu patik, tuan puteri suka apa Nanti patik beli dan hantar ke istana.

Ika:

Saya kata, saya tak nak apa-apa. Selamat malam!

Balasnya pantas dan terus mematikan telefon. Malas nak layan Idlan lagi.

IDLAN tersenyum-senyum mengenang perkara siang tadi. Che Long duduk di sebelah mula menyapa.

Apa hal kamu senyum sorang-sorang Masalah dengan isteri kamu dah selesai Soal Che Long apabila tahu kisah sebenar kenapa Idlan pulang ke kampung. Dua hari lalu, Che Jah ada bercerita padanya. Cuma, dia tak ada kesempatan nak tanya sendiri pada Idlan. Senyuman Idlan mati apabila ayahnya menyentuh soal itu. Masalahnya masih menemui jalan buntu. Tempoh dua bulan belum sampai pada noktah.

Masa perlu diberi pada Irdiana untuk berfikir.

Belum lagi, jawabnya pendek.

Kamu tunggu apa lagi Lebih baik pulang saja ke sana dan selesaikan masalah tu cepat-cepat. Ayah tak mahu kamu buang masa duduk di kampung dan tak buat apa-apa untuk selamatkan rumahtangga kamu, ujar Che Long sambil membuka ikatan getah pada rokok daun. Ditariknya satu rokok itu lalu dikepit di tengah bibir.

Idlan angkat muka, memandang lama ke arah Che Long. Sebagai orang lebih tua, apa pendapat ayah Ikhlaskah dia nak dengar nasihat dari ayah sendiri. Sebelum ini, dia selalu terima nasihat dari ayah mentua saja.

Che Long mengeluh kecil. Berkepul-kepul asap rokok daun memenuhi ruang udara. Kamu nak dengar pendapat jujur dari ayah

Idlan mengangguk. Bersedia menerima apa saja pandangan dan buah fikiran Che Long.

Isteri kamu dah tak ada perasaan sayang pada kamu lagi. Dah hilang rasa cinta dalam hati. Kalau tak, dia takkan jadi macam tu.

Tapi, saya masih sayangkan dia, ayah.

Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Sampai bila kamu nak seksa diri sendiri Saya buntu. Idlan tunduk.

Tak berbaloi kamu masih bersama isteri yang tak pernah hargai kamu. Sia-sia saja. Lebih baik ceraikan saja dia, kalau itu yang dia mahu. Untuk apa kamu bertahan dalam sebuah rumah dah hampir roboh sedangkan cuma kamu seorang saja yang pegang tiangnya Isteri kamu tak buat apa-apa. Dia tak membantu kamu untuk pegang tiang itu sama-sama.

Idlan diam. Kata-kata Che Long ada benarnya. Memang selama ni, cuma dia seorang diri bertungkus lumus jernihkan suasana kalau berlaku selisih faham antara dia dan Irdiana.

Che Long meletak sebelah tangan atas bahu Idlan. Dia faham perasaan anak lelakinya. Bukan mudah buat keputusan kalau hati tak merelakan.

Kamu fikir elok-elok. Cuma satu pesan ayah, jangan jadi suami dayus. Ikut semua kehendak isteri sedangkan dia sendiri tak pernah nak ikut suruhan kamu.

Idlan merenung ke lantai. Kalau itu buah fikiran Che Long, dia tak tahu nak kata apa. Untuk berpisah terus dengan Irdiana, bukan mudah dia nak lakukan. Hati masih sayang. Cinta masih ada. Namun, tak pasti sampai bila. Dalam waktu yang sama, dia tak boleh menipu diri sendiri. Makin kerap bersua muka dengan Ika, hati kian terpaut dengan gadis itu. Apakah hasrat ibu bapanya yang ingin berbesan dengan Ayah Wan dan Mak Wan, bakal ditunaikan

IDLAN duduk bersandar di batang pokok kelapa. Mata berpusat pada satu arah sedangkan fikirannya melayang jauh. Sesekali dia membetul rambut yang ditolak angin. Nasihat ayahnya malam tadi, membuat dia berfikir lama. Pantai belakang rumah jadi lokasi pilihan untuk mencerna semua buah fikiran Che Long.

Bercerai Susah dia nak buat keputusan muktamad. Tempoh dua bulan harus dihabiskan sebelum dia nekad mengambil sebarang kata putus. Abang...

Idlan berpaling apabila ada suara memanggil. Tapi, tiada sesiapa di belakang. Bahu dijongket.

Mungkin hanya mainan imaginasi.

Abang Idlan...

Sekali lagi suara sama memanggil. Dia berpaling lagi dan terus berdiri sambil mengibas belakang seluar yang berpasir. Mata meliar sekeliling kawasan. Hairan. Suara ada, orangnya tak ada. Bunian pantai ke

Oh, tolonglah. Dia tak mahu ditegur perempuan bunian sekarang ini. Dia nak bersendirian dan tak nak diganggu sesiapa. Begitu jauh khayalan Idlan. Perempuan bunian pula difikirkan.

Dia kembali melabuh duduk. Perhatian masih sama macam tadi. Kedua-dua lutut dipaut dan dirapat ke dada. Kali ini, bukan suara yang menganggu. Tapi, telinganya pula diusik-usik.

Idlan menepis telinga berkali-kali. Ada sesuatu yang bermain-main di tepi telinga. Sekali lagi dia berpaling. Sepasang kaki berselipar jepun warna merah jambu jadi tumpuan. Sebelah kaki itu berbalut kain putih. Dia mendongak. Ika

Abang Idlan buat apa termenung kat sini Soal Ika sambil membuang rumput panjang di tangan. Rumput yang menguis telinga Idlan sebentar tadi. Saja dia menyakat.

Kemarahan semalam, terus dilupakan. Untuk apa bergaduh dengan Idlan atas perkara remeh. Apatah lagi sekarang, ada riak sugul di wajah lelaki itu yang dia lihat. Nak terus cari gaduh pun tak sampai hati. Macam ada masalah besar sedang ditanggung Idlan.

Abang nak bersendirian. Boleh Ika pergi tempat lain Idlan berinteraksi secara lembut.

Tak mahu buat Ika berkecil hati apabila dia menyuruh begitu. Dahlah semalam teruk dia buli perasaan Ika. Hari ni, tak mahulah dia menambah lagi. Nanti jadi kes perang besar, tak ke susah dia nak memujuk lagi Tambahan pula, gadis itu tak mudah sejuk hatinya apabila dipujuk sekali dua. Perlu dipujuk berkali-kali barulah jalan.

Ika mencebik. Semalam abang halau Ika. Hari ni, halau lagi. Kebetulan Ika lalu kat sini dan ternampak abang. Ika tegurlah. Kata kawan Tak boleh ke kawan nak tegur kawan

Idlan tersenyum mendengar omelan Ika. Terus terbang jauh masalah yang masih menemui jalan mati. Melihat kaki Ika yang berbalut, dia mengarah Ika duduk. Tak sampai hati nak biarkan Ika berdiri lama. Nanti bertambah sakit kakinya.

Ika meletak selipar untuk dijadikan alas duduk. Sengaja memilih jarak sedikit jauh dari Idlan. Mana boleh duduk terlalu rapat.

Perlahan dia melabuh punggung sambil berhatihati menjaga kaki. Apabila selesa dengan tempatnya, dia memberi fokus pada Idlan yang berwajah kusam.

Abang ada problem ke

Idlan membuang pandang ke tengah laut. Soalan Ika terlalu berat nak dijawab. Dia menghela nafas seketika.

Manusia mana tak ada masalah. Sekarang ni abang ada 2 masalah. Satu masalah kecil dan satu masalah besar.

Dahi Ika berkerut. Tak faham dengan jawapan kabur itu. Apa masalah kecil dan apa masalah besar Naif Ika menyoal semula.

Idlan merenung wajah bersih Ika. Gadis itu nampak berminat ingin tahu. Dia berkira-kira mahu bersenda dengan memberi jawapan tak serius. Belum masanya Ika perlu tahu masalah sebenar. Cukup hanya ibu dan ayahnya saja yang tahu.

Masalah kecil, ada depan mata abang.

Ika tegakkan badan. Jari telunjuk diletak ke dada. Menunjuk pada diri sendiri.

Kenapa Ika pula yang jadi masalah kecil pada abang Ika ada buat salah dengan abang ke Kalau ada kaitan dengan hal semalam, Ika minta maaf. Memang betul mak suruh Ika pulang cepat. Ika tak berani nak terima jemputan abang naik ke rumah. Risau nanti Ika terlambat balik.

Idlan memberi perhatian pada sebelah kaki Ika. Kaki tu... dah sembuh betul-betul Baru semalam seliuh, hari ni dah berjalan-jalan. Kalau sakit lagi, nanti abang kena dukung Ika macam semalan. Dahlah berat. Kalau ringan tak apalah. Tak padan dengan badan kecil. Urat dawai tulang besi Idlan membebel.

Wajah Ika berubah masam. Seronok pula membebel pada Ika.

Huh... jadi semalam, abang tak ikhlas la tolong Ika Sekarang ni, Ika pula jadi masalah kecil pada abang Okey... tak apa. Ika tak marah pun. Cakaplah apa saja. Cuma Ika nak tahu lagi, apa masalah besar abang maksudkan

Wajah Idlan berubah riak. Kalau tadi dia seronok membebel. Tapi, apabila Ika menimbulkan isu masalah berat yang dia tanggung, mukanya dah jadi macam ayam berak kapur.

Perlu ke dia bercerita Malunya kalau Ika dapat tahu masjid yang dibinanya bersama Irdiana hanya menunggu masa saja nak runtuh.

Ika tak sedap hati apabila melihat ada perubahan ketara di wajah Idlan. Lelaki itu pula cuma berdiam diri ketika disoal.

Abang, Ika salah tanya ke

Taklah.

Ceritalah pada Ika kalau betul abang ada masalah besar. Mana tahu Ika boleh tolong

Idlan menggeleng. Senyum tawar mula terukir.

Ika tak dapat tolong abang. Ini masalah berat. Hanya abang yang boleh selesaikan masalah ni. Orang

lain tak boleh tolong.

Bunyi macam teruk sangat je

Lain kali abang cerita. Sekarang kita balik. Hari dah lewat petang, ujar Idlan lalu bingkas menyapu belakang seluar.

Ika juga buat perkara serupa.