Kami ke majlis perkahwinan Hassan sejurus selepas solat Maghrib. Nek Saadah suruh aku imamkan solat Maghrib tu. Aku menurut sahaja tanpa banyak soal. Aku rasa mesti Nek Saadah ingat aku ni budak baik...
Majlis perkahwinan yang kami hadiri itu berjalan dengan meriah. Ramai penduduk-penduduk kampung yang hadir.
Aku dapati ramai hadirin yang berbisik sesama mereka apabila mereka melihat kelibat Aunty Kalsom di majlis perkahwinan ini. Walau pun begitu, Aunty Kalsom sedaya mungkin tidak mahu mengendahkan ini semua. Dia bersama Melati terus berjalan dengan wajah yang yakin lalu duduk di meja makan.
Memang Melati nampak cantik pada malam itu. Aku tak sangka Melati boleh kelihatan begitu anggun dengan baju kebaya yang dipinjam daripada ibunya.
Dah, jangan nak merenung kat anak dara orang macam tu! Tamrin menyiku ku. Aku tersipu-sipu. Makanan dihidangkan untuk kami. Melati, Hamiza, ibunya dan Nek Saadah makan di sebuah meja agak jauh dari kami. Sesekali aku mencuri pandang ke arah mereka.
Aku sebenarnya tak suka ke majlis perkahwinan macam ini, rimas! Ada satu masa mak selalu bawa aku ke majlis perkahwinan yang terpaksa dihadirinya untuk menggantikan tempat bapa aku kerana dia selalu sahaja sibuk. Sekarang, aku rasa jarang sekali mak dijemput ke mana-mana majlis perkahwinan macam dulu. Dah ramai kawan-kawannya yang menyisihkannya. Mak dah hilang ramai kawan-kawannya kerana apa yang telah dilakukan oleh bapa aku.
Setelah aku kenyang makan nasi minyak, aku mengajak Tamrin melihat pertunjukan kuda kepang yang diadakan di perkarangan rumah pengantin. Aku nak tengok sangat tarian kuda kepang ini kerana aku tak pernah melihatnya. Nama aja aku ni orang Johor, tapi benda-benda macam ni memang cukup asing bagiku.
Apabila pertunjukan ini diadakan, aku dapat melihat Melati, ibunya dan Hamiza berada di kalangan penonton. Mereka menyaksikan pertunjukan ini betul-betul bertentangan denganku. Banyak kali aku lihat Melati akan memandang ke arahku sambil tersenyum.
Sekumpulan budak-budak kampung yang nampak macam budak skinhead menonton sama. Mereka berasak-asak di belakangku. Mereka banyak buat bising - hu hah sana hu hah sini semasa tarian kuda kepang diadakan. Dua tiga kali aku memandang ke arah mereka dengan harapan mereka diam. Tapi semakin menjadi-jadi pula mereka buat gempak tak kenal tempat dan masa.
Eh, cun sial anak pelacur tu, kata seorang daripada mereka.
Dia pekak lah bodoh! Bisu pula tu! Kata seorang
lagi.
Itulah, mak aku kata sebab dosa dia jadi pelacur.
Sebab tu anak dia jadi bisu macam tu, kata budak yang aku lihat sedang memakai sepasang baju-T dengan tanda salib swastika dengan penuh bangga tanpa mengetahui makna sebenar salib swatika yang menjadi kebanggaannya itu.
Aku menoleh ke arah Tamrin. Dia renung ke wajah aku. Aku tahu dia tahu aku sedang marah. Darah aku sedang menggelegak. Dia mahu memberitahuku dengan renungan matanya bahawa aku harus berdiam diri sahaja. Tapi aku tak boleh nak diam. Aku tak boleh biarkan budak-budak poyo dari kampung berangan skinhead Malay Power haram jadah ni kutuk-kutuk Melati dan ibunya macam ni.
Eh, korang ni semua ingat korang dah bagus sangat ke apa Kataku dengan suara marah.
Kau ni siapa nak marah member-member aku Tanya budak skinhead yang besar tubuhnya yang menjadi ketua budak-budak skinhead ini.
Aku nampak dia datang dengan pelacur besar tu tadi. kata seorang lagi.
Perangai kau dengan member-member kau satu-satu memang macam pukimak, kau tahu tak
Budak ketua skinhead tu tunjal kepala aku macam bapa aku tak bayar fitrah. Tapi bila aku fikirkan balik, agaknya bapa aku memang tak bayar fitrah untuk aku tahun ni. Apaapa pun, dia dah buat aku marah sampai aku tak boleh tahan lagi kemarahan aku. Masa tu aku langsung tak boleh kawal lagi tahap kemarahan aku.
Aku melepaskan tumbukan ke arah budak skinhead berbadan besar yang tunjal kepala aku tadi. Aku tak tahu di mana aku tumbuk dia, tapi aku ada lihat dia tutup mata kiri dia dengan tangannya. Budak-budak lain aku tengok ambil peluang ini untuk keroyok aku beramai-ramai.
Orang-orang yang tidak berkenaan masing-masing tak mahu masuk campur lalu menjauhkan diri mereka dari kami. Tarian kuda kepang diteruskan juga. Aku rasa penari-penarinya sedang khayal dengan tarian masing-masing. Kemudian tanpa aku sedari, aku diterajang dari belakang sampai aku terjatuh di atas tanah. Bila aku terjatuh tersungkur, kepala aku disepak oleh seorang budak skinhead dengan butnya sehingga aku rasa hendak pitam jadinya. Kepala aku rasa pedih. Bila aku pegang kepala aku, aku dapat lihat darah merah pekat membasahi tanganku.
Masa tu aku terus toleh ke arah penonton. Aku dapat lihat wajah Melati yang sedang tergamam. Dia mahu mendapatkan aku, tapi Hamiza menahannya. Apabila aku menoleh ke hadapan, aku dapat melihat Tamrin cuba menepis serangan budak-budak skinhead ini terhadapku dengan melawan balik. Aku hampir terlupa bapa Tamrin ni guru silat di kampungnya, jadi seorang demi seorang budak-budak haram jadah ini ditumbangkannya. Seorang dari mereka aku lihat mulutnya bercucur dengan darah.
Sudah! Hentikan! Jerit Aunty Kalsom. Nek Saadah beristighfar sambil mengurut dadanya. Semua orang terdiam. Penari-penari kuda kepang yang aku fikir dah naik seh tu pun terdiam sama. Mereka semua memandang ke arahnya.
Tamrin hulurkan tangannya agar aku dapat berdiri. Dahiku dibasahi darah. Melati cepat-cepat mendapatkan ku lalu mengambil sapu tangannya untuk menutup bahagian luka pada bahagian kepalaku.
Nek Saadah memberitahu kepada Tamrin supaya membawa aku pulang ke rumahnya. Tamrin mengangguk lesu. Aunty Kalsom nampak serba tak kena. Dia berjalan ke hadapan. Orang ramai membuka jalan untuk kami. Mereka semua memandang ke arahnya tanpa sepatah ayat pun keluar daripada mulut mereka. Nek Saadah pula marah-marah kepada budak-budak skinhead yang dikenalinya sejak mereka kecil lagi. Nek Saadah adalah bidan kampung yang dihormati. Jadi bila dia marah-marah macam ni, semua orang terdiam. Tak seorang pun yang berani melawannya.
Melati terus berjalan di sisiku dengan tangannya terus ke bahagian luka di kepalaku. Aku toleh ke arah Hamiza. Aku lihat dia sedang memeluk tubuhnya. Tamrin pula hanya menggelengkan kepalanya.
Sesampainya aku di anjung rumah, Aunty Kalsom meminta aku membuka bajuku yang dibasahi darah itu. Aku menurut sahaja. Dia meminta Hamiza dan Melati membawa air panas dan kain bersih. Si Tamrin duduk di sebelahku di atas anjung. Aunty Kalsom bertanyakan kepada Tamrin apa yang sebenarnya telah berlaku. Dengan teragak-agak Tamrin menceritakan segala-galanya. Aunty Kalsom mengeluh. Dia kata aku sepatutnya diam sahaja. Tapi aku beritahu kepadanya budak-budak skinhead tu memang biadab dan perlu diajar supaya jangan biadab lagi.
Melati dan Hamiza muncul dengan kain bersih dan air panas yang diletakkan di dalam bekas plastik yang cetek. Aunty Kalsom membasahkan kain dengan air panas lalu mengelap kesan-kesan darah di atas kepalaku.
Aduh! Getusku menahan pedih apabila luka di kepalaku terkena air panas.
Tu lah, siapa suruh awak bergaduh Bebel Hamiza. Aku menjeling ke arahnya. Dia ni macam tak reti-reti aku cukup pantang mendengar perempuan membebel macam ni.
Sudah, kamu berdua masuk ke dalam, perintah Aunty Kalsom kepada Hamiza dan kepada Melati. Mereka berdua menurut sahaja, walau pun aku dapat melihat Melati masuk ke dalam rumah dengan penuh keberatan.
Tamrin kemudian membawa dirinya lantas duduk diam di hujung anjung berdekatan dengan anak tangga sambil memandang kosong ke hadapan. Aku tak tahu apa yang sedang difikirkannya pada ketika itu. Tapi aku rasa dia marahkan kepadaku kerana telah memulakan pergaduhan ini sehingga menyebabkan dia terpaksa masuk campur.
Aku memandang ke arah bekas plastik dipenuhi dengan air panas yang kini berubah merah. Aku mengeluh seorang diri. Kalau mak aku tahu aku bergaduh sampai pecah kepala aku begini, mesti dia marah.
Kau tahu mak kau pernah amanahkan kepada abang Rastam dan aku supaya jaga kau baik-baik, sebab dia kata kau ni kepala angin Macam bapa kau jugak! Ujar Tamrin tibatiba kepadaku. sahlah sekarang dia memang marahkan aku. Dia terus mendengus lalu masuk ke dalam rumah.
Aku memang rasa sedih bila Tamrin berkata begini kepadaku. Lebih-lebih lagi apabila dia kata aku ni tak ubah macam bapa aku.
Aku rasa cukup-cukup bersalah. Aku mengeluh seorang diri. Aku memang suka sangat menyusahkan orang yang ambil berat terhadap diriku seperti Tamrin.
Dalam pekerjaan yang Aunty lakukan... Bermacammacam jenis manusia yang Aunty dah jumpa, kata Aunty Kalsom tiba-tiba kepadaku. Dia memerah kain basah yang digunakan untuk membersihkan kepalaku ke dalam bekas plastik.
Aunty dapat rasakan Emmet ada simpan lipatan cerita panjang jauh di dalam lubuk hati Emmet tu. Aunty tak tahu apa yang Emmet simpan selama ini, tapi Aunty tahu, Emmet kadangkala rasa susah dan terlalu berat untuk menanggungnya.
Aku mengangguk perlahan. Aku tak tahu macam mana dia boleh baca isi hatiku. Tapi apa yang dikatakannya itu memang betul.
Luka yang ada di dalam hati kita itu perlu kita ubati sebelum ia bernanah, Emmet.
Kepalaku terasa berdenyut-denyut. Tapi aku rasa darahku sudah berhenti daripada mengalir. Aunty Kalsom kata luka aku memang dalam, tetapi tidak lah seteruk yang difikirkannya. Dia kata bila Nek Saadah tiba nanti, tahulah dia untuk menyembuhkan lukaku ini.
Luka di kepala Emmet ini senang sahaja sembuh, tapi luka di hati...
Bagaimana kita nak sembuhkan luka di dalam hati kita, Aunty Tanyaku bersungguh-sungguh. Aku mahukan jawapan daripadanya.
Aunty Kalsom ingin membuka mulutnya untuk menjawab, tetapi dia terus diam membisu apabila Nek Saadah muncul dari dalam gelap lalu naik ke rumahnya. Aku lihat Nek Saadah memandang ke arahku dengan wajah penuh simpati.
Dia kata memang bagus budak-budak skinhead di kampungnya itu dihenyak Tamrin - seorang daripada mereka patah tangannya dan seorang lagi terseliuh kakinya. Menurut Nek Saadah lagi, mereka memang patut diajar begitu kerana mereka memang suka membuat kacau di kampung ini.
Emmet perlu dapatkan jawapan yang Emmet cari itu sendiriisik Aunty Kalsom kepadaku. Nek Saadah mengambil kain yang dipegang Aunty Kalsom lalu membaca sesuatu sebelum dia meniupkan nafasnya ke bahagian luka di kepalaku. Aku lihat Aunty Kalsom masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan Melati tanpa menoleh ke belakang.