Gunung Sharp dan juga Kawah Gale dikatakan autobiografi lengkap untuk menerangkan sejarah Marikh. Maka aku berada di sini untuk menyambung misi Curiosity yang tergendala untuk sedekad lama. Berbaloikah tugas kami Kata mereka ribut di Marikh tidak teruk dan tidak mampu untuk menerbangkan mangsa. Namun debu merah ini, MasyaAllah, menggerunkan kepadatannya. Aku khuatir debu merah ini akan menyumbat beberapa litar sistem komunikasi yang terpahat pada pakaian angkasawan ini lalu menyukarkan proses perhubungan dengan komuniti Space X2, selaku koloni pertama yang dibina di permukaan Marikh.
Dari dahulu lagi, aku tak berpuas hati dengan nama Space X2 itu, seolah kami ini mutan dalam karya klasik X-Men pula. Aku akui, golongan yang terpilih untuk mendiami koloni itu luar biasa cerdiknya, tetapi kami hakikatnya manusia juga. Marikh, bukanlah satu kawasan yang seronok didiami. Pada mulanya kami teruja juga melihat satu dunia baru. Apabila satu tempoh masa berlalu, kebosanan menerjah. Dari kebosanan, ia perlahan-lahan bermetamorfosis menjadi kesengsaraan. Entah bila kesengsaraan itu akan bertukar menjadi kegilaan, aku sendiri tidak berani membayangkannya.
Elon Musk. Aku harap dia dapat lihat semua ini sebelum berterusan menghantar manusia ke Marikh.
Lupakan semua kebosanan, kesengsaraan dan kegilaan itu, nasib aku kini bagaimana Aku terperangkap di bawah lembah ini, dan aku tak rasa rakan-rakan yang menyertai ekspedisi ini akan membantuku dengan kadar segera.
Perlahan-lahan aku bangkit dan mendongak ke atas. Lembah ini kurang ganas tempias ribut pasirnya, cuma aku masih terkial-kial juga untuk melihat dengan visual yang jelas akan apa yang terjadi di atas sana. Aku bernasib baik kerana graviti tidak begitu kuat, dan juga tindakbalas aku yang pantas, menyesuaikan kadar jatuhan dengan penyelarasan graviti artifisial yang dilengkapkan pada pakaian angkasawan ini.
Sekiranya pakaian angkasawan ini orang, pasti akan aku peluk cium dan ucap terima kasih banyak!. Nyawaku terselamat dek kerana perlindungan yang begitu utuh itu. Syukur Alhamdulillah.
Malang sungguh peralatan komunikasi seolah rosak. Aku tak dapat membayangkan aku mendaki tebingan yang curam ini untuk naik ke atas. Ia tampak mustahil. Ditambah pula dengan longgokan sampel tanah yang telah digali keluar dari beberapa permukaan Kawah Gale tadi, menambahkan beban pada tubuh aku. Perlahan-lahan aku lucutkan ikatan longgokan sampel tanah tersebut dan aku lihat ia jatuh ke tanah sebelum dikelubungi oleh debu tebal Marikh.
Gelap, kabur dan kekosongan.
Perasaan ini bukan de ja vu. Seingatku, beberapa tahun yang lepas, aku pernah mengalami situasi begini juga. Cuma bezanya, aku dahulu punya teman yang turut sama terperangkap di salah sebuah stesen Antartika. Aku tidak kenal akan teman aku ketika itu. Kami ditakdirkan untuk bertemu, menghadirkan satu memori pahit yang membuatkan jiwaku kental sehingga ke hari ini.
Aku takkan kalah dengan ribut pasir Marikh kali ini!
Simptom Halusinasi Merah, satu terma yang aku garap sendiri ke atas penghuni-penghuni Marikh yang sudah tewas dengan persekitarannya. Sindrom penyakit ini menyerupai Sindrom T3 yang kebiasaannya menyerang pengembara-pengembara Artik dan Antartika, di mana pengurangan hormon tiroid berlaku sehingga menyebabkan kehilangan memori dan gangguan emosi.
Dalam keadaan begini, aku tak yakin aku takkan diserang penyakit tersebut. Aku cuba mengingati bait-bait memori yang masih bersisa dan aku terpalit pula pada memori pahit di Antartika itu.
Lelaki yang tidak aku ketahui namanya, terlantar lemah dengan jari-jarinya sudah dijamah pereputan dek kerana darah yang membeku. Melihatnya sudah memadai, untuk mengetahui ajalnya tidak lama lagi akan menjemputnya.
Kami berdua terperangkap di dalam sebuah stesen Antartika, dan perkara terakhir aku mahu tahu mengenai situasi itu adalah kami akan mati tidak lama lagi.
Berapa jam aku berada di dalam stesen yang telah ditinggalkan itu Seingatku, baru sahaja 3 jam. Aku tak tahu, bagaimana lelaki itu, dengan baju sejuknya yang tebal, boleh terlantar lemah pada dinding yang dingin tanpa sebarang bantuanpun. Aku pada mulanya menjangkakan dia sudah mati, tetapi dadanya masih beralun ligat. Matanya tercelik luas, mengikuti pergerakanku dengan satu pandangan yang lemah.
Kau takut mati tanyanya padaku.
Aku mengangguk. Aku juga sudah keletihan tetapi aku masih punya kudrat untuk terus bertahan. Bekalan makanan aku baru sahaja habis, sebelum aku melangkah masuk ke dalam stesen ini.
Siapa nama kau, budak Asia
Aku Razali
Heh, Razali. Muslim Jarang didengar ada Muslim di Antartika ni
Dia terbatuk lemah. Sukar sekali nafasnya beralun. Aku ingin bertanyakan namanya, tetapi dari renungan mata birunya, dan kedut wajahnya yang telah dimamah usia, aku memendamkan terus perasaan itu. Terdapat satu rasa, yang memberitahuku, agar tidak cuba mengetahui lebih lanjut perihal orang ini. Dia akan mati. Aku tak mahu nama si mati itu, beradu dalam kepalaku.
Namun apalah maknanya aku tidak bertanyakan namanya Memori pahit ini masih termaktub dalam kepalaku.
Renungan mata birunya yang galak, sebelum hilang sinar kehidupan dari matanya, cukup menghantui jiwa ini. Aku tidak akan dapat lari dari bayangan ini.
Aku tanya kau sekali lagi, Razali. Kau takut mati
Saya takkan tunduk pada kematian!
Heh, bila kau dah berada di tempat aku, kau akan beralah. Mati bukanlah sesuatu yang teruk
Kali ini jari-jemarinya yang reput mula terpisah dari tempatnya. Bunyinya gugur mengetuk lantai, kedengaran lembut, tetapi cukup kuat untuk memberikan aku satu pandangan yang tak dapat aku lupakan sampai bila-bila. Ia disambut dengan gelak tawa perlahan. Lelaki itu sedang mengetawakan nasibnya. Mungkin kesedihan sudah jauh terpisah dari jiwanya, tatkala berdepan dengan maut.
Helgafjell
Apa Saya tak dengar
Gunung suci Helgafjell. Aku dulu tak percaya, tetapi sekarang aku dah nampak gunung suci memanggil-manggil aku.
Oh, Freyja. Freyja. Dakaplah aku!
Itulah ayat terakhir yang dilafaznya sebelum mata birunya hilang sinarnya. Biarpun begitu, dia tampak bahagia biarpun pada raut wajahnya tersemat azab kematian yang menyedut rohnya pergi. Aku tahu Freyja adalah dewi mitologi Norse, dan aku serasanya sedar akan identiti lelaki yang mati di depanku itu.
Scandividian. Orang-orang yang menghuni Eropah Utara berdekatan dengan Artik.
Perlahan-lahan aku mendekatinya, lalu aku usap dua kelopak matanya agar pejam. Itulah satu-satunya penghormatan yang mampu aku beri pada mayatnya. Ketika itulah aku dengar bunyi pintu masuk ke stesen dirempuh. Aku menoleh ke belakang dan sekumpulan orang berbaju sebegitu tebal telah meluru masuk dan seolah tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.
Dia dah mati ujarku.
Ketika aku dibawa keluar dari stesen itu dan diberikan rawatan, aku menanyakan pada diri sendiri.
Adakah aku akan berjumpa Nabi Muhammad sesudah mati menjemputku nanti Subhanallah.
Dalam kemelut debu yang tak sudah ini, aku sedaya upaya cuba mendaki dalam keadaan sut angkasawan yang sudah liat geraknya dek kerana kekangan debu merah yang menyeliputi. Pandangan juga kabur, dan aku terpaksa membuat imbasan kontour permukaan yang didaki ini dengan bantuan peranti yang dilengkapkan pada sut ini. Garis-garis hijau yang menampakkan bentuk bonjolan feldspar dan juga basalt, jelas dengan nombor-nombor yang menjelaskan keutuhan lekapan bonjolan batu-batu tersebut dengan struktur tebing yang aku daki ini. Aku harus memastikan aku tidak berpijak pada batu-batu yang rapuh, kerana tindakan begitu akan menyegerakan pertemuanku dengan maut.
Sesekali imaginasiku menerawang pada kujuran mayat Scandinavian yang terkorban di stesen Antartika itu, menghantui setiap gelungan gelisah dalam jiwaku yang mengharap mimpi ngeri itu tidak berulang lagi.
Aku toleh ke kiri dan kanan untuk membuat imbasan struktur tebing, dan aku terpaku sejenak pada sekujur tubuh yang lengkap dengan sut angkasawannya. Siapakah gerangannya Hendak aku hampiri tetapi nombor-nombor yang terpapar pada skrin kaca mampat yang menutup wajahku ini berwarna merah; menandakan kawasan tebingan itu tidak dapat dilalui. Tanpa mahu memikir lanjut, aku meneruskan pendakianku, yang semakin lama, semakin sukar.
Sesekali aku menjeling ke arah tubuh kaku itu, dengan harapan sedikit paparan identitinya akan hadir di otakku. Namun ia tak berlaku. Aku sedar, mustahil aku dapat cam identiti orang di dalam sut angkasa itu, dengan keadaan debu yang tebal di persekitaran. Aku percaya orang itu pastinya salah seorang dari ahli ekspedisi kecil ini.
Siapa Robert Sumiyarti Luke Simon
Siapa lagi yang jadi korbanan ribut pasir yang mengejut ini
Setahu aku hanya kami berlima sahaja yang terlibat dengan ekspedisi ini. Misinya mudah sekali. Selaku ahli geologi, kami harus mengumpulkan sampel-sampel secukupnya dari beberapa lokasi rawak di atas permukaan Marikh ini. Kami mahu memetakan sejarah Marikh melalui penelitian ke atas beberapa sampel dari beberapa tempat yang berbeza.
Daripada kelima-lima orang itu, aku akui, aku seorang yang cuai. Serabut pembawaannya. Akibat kecuaian itulah, aku terdampar di lembah ini, di gaung nan sepi tak berteman ini. Baiklah, jika hendak dimasukkan sekali angkasawan misteri itu, aku tak berseorangan. Walau bagaimanapun, aku harus cepat mencipta kaedah-kaedah komunikasi untuk berhubung dengan penempatan Space X2. Bantuan harus dihantar. Aku rasa bersalah kerana tak dapat membantu angkasawan yang tergantung tak bergerak itu. Aku harap masih ada sisa nyawa dalam tubuhnya itu. Sains kami mungkin maju, tetapi ajal bukan persoalan yang sains sudah jawab dengan sempurna. Kami masih tak boleh melarikan diri dari ajal.
Dalam kepayahan ini, aku memanjat satu persatu struktur batu-batu kemerahan yang perlahan tetapi konsisten. Aku akan selamat, maka usahlah kamu risau. Kamu pasti membayangkan aku akan tewas tidak lama lagi tetapi garapan ini menandakan aku telah terselamat. Harap boleh bersabar untuk beberapa ketika lagi ya. Aku diasak maut yang bila-bila masa boleh menerjahku. Dalam keadaan hidup mati ini, aku tidak dapat lari dari berfalsafah. Kematian dan kehidupan itu ada falsafahnya. Aku cuba mengemukakan beberapa sebab agar aku tak takut dengan kematian. Kerana bagiku, adalah lebih mudah mendakap maut dari mengejar kelangsungan hidup. Apa yang aku harus buat, hanyalah merungkaikan pakaian angkasawan ini. Debu-debu merah, gas karbon dioksida selaku komponen udara di sini dan juga sinaran ultraviolet dari mentari akan membunuhku.
Tidak! Aku tak boleh beralah. Aku tak pasti apa yang membuatkan aku begitu gigih jiwa untuk meneruskan kehidupan di planet Marikh ini. Aku telah tinggalkan segalanya di bumi. Aku telah tinggalkan kehidupan normal untuk berkeluarga dan mendakap tua apabila masanya. Aku memilih pengembaraan ini untuk memuaskan hatiku yang kosong.
Aku tak akan dapat melihat Freyja. Mati keseorangan di planet Marikh. Tidakkah ia sesuatu yang sangat menyedihkan