Arfan masuk ke dalam. Seluruh tempat itu seakan lebih sejuk dari kawasan luar yang panas terik. Terlalu sejuk. Sampai Arfan menggigil. Dia disuruh untuk menunggu di dalam sebuah bilik yang kosong. Yang ada hanya sebuah meja kecil bersama dua buah kerusi yang ditempatkan pada sisi bertentangan.
Arfan meletakkan kedua belah tapak tangannya di atas permukaan meja yang diperbuat dari aluminium. Sejuk. Dia melihat sekeliling. Setiap sudut bilik itu hanya ada rona kelabu. Begitu suram. Memberikan satu rasa ketiadaan. Kesunyian. Arfan tidak dapat membayangkan jika dia harus dikurung di situ. Boleh jadi gila.
Pintu berdentum dibuka. Haida dibawa masuk oleh dua orang pengiring. Kedua belah tangannya digari kemas. Dia didudukkan di hadapan Arfan. Betul-betul bersetentangan dengan Arfan. Hanya di sebalik meja sebelah sana. Namun Arfan masih tidak dapat melihat wajahnya kerana terlindung dengan rambut panjang yang kusut masai. Wanita itu hanya tertunduk. Lama. Hampir tiga minit. Tapi bagi Arfan ianya seperti tiga tahun. Lidahnya keras tak mampu untuk memulakan temubual.
First day jitters...
Kata Arfan dalam hati. Memujuk dirinya sendiri. Lalu dia pun menguatkan diri untuk membuka mulut.
"Awak cakap, ada sesuatu yang baru awak nak beri tau kami"
Tiada sebarang pergerakan dari Haida. Mahupun bunyi. Arfan menelan liur. Dia begitu mengharapkan sesuatu. Sebarang tindakbalas pun jadilah.
"Haida... kami dah hampir menyiapkan artikel awak. Tapi awak cakap awak ada maklumat baru. Sebab tu saya datang hari ni. Untuk dapatkan maklumat tu..."
Haida mengangkat wajahnya. Menampakkan mata yang lebam dan pipi yang cengkung. Arfan mengerling pada foto di dalam failnya. Foto itu diambil semasa sebelum hidup Haida porak-peranda. Semasa dia masih seorang isteri dan ibu yang bahagia. Semasa hidupnya... masih sempurna.
Berkali-kali Arfan melihat foto dan melihat Haida yang sedang duduk di depannya secara bergilir. Seperti dua orang yang berbeza. Tak ada persamaan langsung. Di dalam foto, Haida seorang wanita yang cantik. Wajahnya bercahaya dengan kegembiraan. Tapi yang sedang duduk di hadapan Arfan kini....
Arfan rasa simpati. Bersilih ganti dengan perasaan takut. Ini kali pertama dia duduk begitu dekat dengan seorang pembunuh.
"Haida.... Saya tak boleh tolong awak kalau awak tak nak cakap dengan saya..."
"Tak ada siapa yang boleh tolong saya. Tapi terima kasih sebab awak ada keinginan untuk mencuba...." Akhirnya Haida bersuara walaupun perlahan dan serak.
"Saya mungkin tak boleh tolong awak dalam situasi awak ni, tapi saya boleh tolong awak perdengarkan suara awak. Lagipun... memang itu tujuan awak menghubungi kami kan"
Haida senyum. Menambah kedut pada wajahnya walaupun usianya tidaklah sebegitu lanjut.
"Setiap malam, saya akan meramalkan sesuatu yang baru. Tapi sama. Kerana apa Kerana hidup saya di sini sama setiap hari. Rutin harian saya sama. Disuruh bangun, bangun. Disuruh mandi, mandi. Disuruh makan, makan. Disuruh beriadhah, beriadhah. Jadi bila saya mendapat ramalan setiap malam. Imejnya adalah imej-imej yang sama. Sehinggalah beberapa hari lepas."
"Apa yang berlaku beberapa hari lepas" soal Arfan sambil mencatat dalam notanya.
"Saya nampak sesuatu yang berbeza dalam mimpi saya."
"Apa yang awak nampak"
"Saya nampak, bagaimana saya akan mati. Saya dapat rasa setiap saat... bukan... setiap detik kematian saya. Saya sudah alaminya. Dari detik tali gantung mengusap kulit leher saya, sehinggalah setiap letupan pada tulang tengkuk saya yang terpisah... satu demi satu.... Tapi ianya tak berhenti setakat itu. Saya juga dapat lihat dan rasa saat roh saya meronta untuk keluar. Dan apa yang berlaku selepas itu.... Apa yang berlaku jauh selepas itu. Semua saya sudah alami."
"Apa yang berlaku selepas tu Maksud saya, selepas awak dah mati..."
Haida ketawa kecil.
"Tak mungkin saya boleh beri tau.... Ianya adalah rahsia yang hanya boleh diketahui oleh seorang insan apabila masanya sudah tiba."
"Tapi awak boleh tau sebelum masa awak tiba. Macam mana pulak tu"
Haida merenung tepat ke mata Arfan. Mata merahnya bergenang.
"Saya tak tau.... Mungkin ini balasan Tuhan terhadap dosa-dosa saya.... Mungkin saya ditakdirkan untuk merasai seksaan mati berulang kali."
Haida mengelap airmatanya yang mengalir. Kemudian matanya menyorot pada alat perakam suara yang diletakkan oleh Arfan di atas meja semasa awal perbualan mereka tadi.
"Awak rasa, mereka akan percaya cakap saya Pembaca-pembaca awak tu..."
"Pembaca majalah ni memang orang-orang yang minat atau percaya pada perkara-perkara paranormal. Jadi ya... mungkin mereka akan percaya. Awak memilih medium yang tepat untuk menyampaikan cerita awak."
Haida mengangguk. Dalam wajahnya ada secalit ketenangan yang baru.
"Baiklah, kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu..." ujar Arfan sambil mengemas barang-barangnya.
bersambung
Bab akan datang:
Adakah sudah selesai temu bual antara Arfan dan Haida Atau masih ada sesuatu yang ingin dikongsikan oleh Haida