MOLOTOV KOKTEL - 15
Saban hari setiap umat manusia dalam Negara ini masih terus tertanya-tanya; bila agaknya pilihan raya Ketika tulisan ini dicatat, negara jiran, Indonesia; rakyatnya yang bermastautin di kota megapolis Jakarta baru sahaja selesai melalui proses pilihan raya provinsi yang disebut sebagai Pilkada iaitu singkatan dari Pemilihan Kepala Daerah, persis pilihan raya negeri yang diamalkan di negara kita (contohnya Sarawak baru-baru ini).

Pemilihan Kepala Daerah yang baru sahaja selesai pusingan pertama itu ialah proses pilihan raya untuk memilih Gabenor bagi provinsi Jakarta. Apabila ditanya kepada rakan-rakan dari Jakarta, bila pula Pemilu (Pemilihan Umum-untuk memilih Presiden Republik) akan diadakan; ringkas sahaja dijawab 2014! Masih ada dua tahun lagi tapi awal lagi sudah diketahui bila pemilihannya.

Secara ringkas, demokrasi sebagai bukan sahaja proses mengendalikan sebuah organisasi baik kecil atau besar melalui pungutan suara atau pendapat ramai sematamata, malah ia sepatutnya perlu difahami lebih dari itu. Demokrasi bukan hanya proses orang atas mendengar dan mengikut apa yang dinyatakan oleh orang di bawah, sebaliknya proses itu sendiri sebenarnya untuk menolak wujudnya konsep orang atas dan orang bawah.

Demokrasi sebenar sepatutnya difahami sebagai satu proses yakni setiap keputusan, pelaksanaan keputusan, atau apaapa sekalipun urusan yang melibatkan orang ramai perlu dijalankan bukan sahaja mengikut pendapat orang ramai sebaliknya paling penting ialah keterlibatan orang ramai itu sendiri.

Namun kelihatannya, sekadar yang termampu buat saat ini hari ini, hanyalah melalui proses pungutan suara lima tahun sekali yang dipanggil pilihan raya.

Menyelami maksud dan pengamalan sebenar demokrasi di negara ini boleh jadi satu perbincangan yang membingungkan. Membingungkan kerana sedia difahami, walaupun kita dengan gahnya melaungkan demokrasi, kita sebenarnya tidak pernah serius memberi pendidikan mengenai demokrasi kepada rakyat.

Apabila kita memilih untuk menjadi sebuah negara demokrasi, asas paling penting yang perlu dimuktamad ialah memastikan setiap orang di negara ini memahami demokrasi itu sendiri. Jika ia tidak difahami, maka sia-sialah proses pilihan raya berlangsung di negara ini. Asas kejayaan demokrasi ialah wajib bagi setiap rakyat yang sah dalam sesebuah negara memahami demokrasi kerana demokrasi adalah mengenai semua orang, bukan hanya sekelompok majoriti mahupun minoriti.

Apabila demokrasi tidak difahami terutama mereka yang saban kali turun mengundi, maka terjadilah demokrasi palsu. Demokrasi yang hanya bersifat pengolahan persepsi untuk membenarkan sesebuah kuasa terus dipegang; dan akhirnya mendorong terjadinya korupsi dalam pentadbiran.

Sebagai contoh; adakah seorang orang tua yang buta huruf yang tinggal di pedalaman faham tujuan mengundi Terjadi banyak kes orang ramai turun mengundi bukan kerana mereka faham bahawa undi yang dibuang untuk menentukan masa depan dan polisi negara, sebaliknya hanya terpikat dengan janji pilihan raya dan habuan mee segera.

Malah dalam kajian berdasarkan pilihan raya negeri Sarawak yang terakhir, hakikat yang lebih teruk dan pahit untuk ditelan ialah masih terdapat kumpulan masyarakat yang tidak mengetahui bahawa di kertas undi, pengundi dibenarkan untuk memangkah parti lain selain daripada penyandang. Mereka seolah-olah hanya diajar untuk memangkah sesebuah parti tanpa mengetahui tujuannya.

Inilah realiti yang terus-menerus berlaku akibat ketidakfahaman orang ramai tentang pengamalan demokrasi itu sendiri. Di sini, kita meletakkan kembali persoalan; selepas 54 tahun pentadbiran anak tempatan, 12 kali pilihan raya: adakah negara dan tentu sekali masyarakat benar-benar cocok dan faham serta sedia menganuti demokrasi

Saya tidak perlu pergi sejauh membincangkan model demokrasi sebenarnya yang perlu diamal di negara ini. Ia memerlukan lebih banyak kajian dan perbincangan. Malah, saya sendiri mungkin jadi bingung. Demokrasi juga punyai banyak wajah. Namun, di sebalik ketidakperluan membincangkan bentuk demokrasi, kita tetap perlu dan wajib sebenarnya membincangkan bagaimana proses pengamalan demokrasi yang paling sesuai di negara kita.

Hakikatnya, kita masih hidup dan tinggal dalam sebuah negara yang kelas sosialnya masih belum terurai. Kita tinggal dalam sebuah negara yang unik; menerima masuk demokrasi, namun mengekalkan elemen feudal. Mengamalkan demokrasi kononnya sebagai pengiktirafan terhadap hak setiap individu dalam negara membuat keputusan namun masih membeza-bezakan masyarakat mengikut kelas, ras, darjat, dan agama. Inilah elemen yang perlu dinilai semula untuk memastikan pengamalan demokrasi berlangsung dengan sihat.

Persoalan tentang perbezaan kelas masyarakat kedengaran seperti tajuk yang tidak relevan untuk dikaitkan dengan masyarakat negara kita. Istilah perbezaan kelas sosial dalam masyarakat seolah-olah berada di luar konteks Malaysia; perbezaan kelas kelihatannya seperti tidak wujud dalam negara kita.

Hati-hati dengan pendapat demikian. Perbezaan kelas tetap berlaku di manamana, termasuklah negara kita walaupun ia seolah-olah tidak disedari. Jurang miskin kaya masih luas, apa lagi kalau kita lihat konteks lain termasuklah ras, darjat keturunan, dan agama. Ini elemen yang perlu diurai jika kita benar-benar ikhlas dalam mengamal demokrasi.

Contoh mudah boleh dilihat dalam organisasi yang lebih kecil; pemilihan parti misalnya. Eksploitasi undi boleh berlaku dengan mudah jika terdapat pertembungan antara calon yang berbeza kelas. Yang kaya bertembung dengan yang miskin; dengan mudahnya yang kaya mampu untuk mempengaruhi undi mereka.

Jika yang Islam bertembung dengan yang bukan Islam misalnya, turut berlaku demikian; mudah untuk bermain dengan persepsi. Ini yang cuba saya terangkan dengan permasalahan yang wujud apabila demokrasi cuba diamal dalam keadaan dan persekitaraan yang tidak sekata dan saksama.

Dan inilah realiti yang berlaku dalam Negara kita; demokrasi yang sedikit tempang. Manusia yang masih hidup berlandaskan kelas yang berbeza-beza tidak mungkin dapat menikmati demokrasi yang adil dan sempurna.

Jika kita abaikan dahulu perbezaan kelas masyarakat; kita masih lagi berhadapan pula dengan proses demokrasi yang tidak adil. Pilihan raya dalam negara kita masih terlalu jelek untuk dibanggakan.

Pengamalan demokrasi yang cukup menjijikkan; akses media yang tidak adil, manipulasi undi, senarai pengundi, eksploitasi Suruhanjaya Pilihan Raya dan seribu satu kekusutan yang melingkari proses pilihan raya itu sendiri sudah cukup untuk dijadikan indikator bagaimana demokrasi sebenarnya hanya menjadi alat untuk mengekalkan kuasa sesuatu pihak.

Maka apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digelar sebagai demokrat palsu oleh Mark Mackinnon dalam Globe and Mail, khalayak masyarakat seharusnya boleh memahami bagaimana pemimpin negara kita boleh mendapat gelaran yang pernah dikalungkan kepada Hosni Mubarak dan Milosevic.

Bukan hanya disebabkan oleh keengganan untuk mengakui bahawa kuasa yang diberi kepada beliau bukan kuasa mutlak, sebaliknya kerana jenayah yang dilakukannya sendiri; tidak menghormati demokrasi. Seorang pemimpin yang tidak menghormati intipati demokrasi bererti tidak menghormati rakyatnya sendiri. Bukti jelas untuk menilai sejauh mana seorang Najib tidak menghormati demokrasi; imbaulah kembali episod kejatuhan kerajaan negeri Perak beberapa tahun lepas.

Apabila kita setuju dan mahukan demokrasi, sangat penting bagi kita untuk memahami demokrasi itu sendiri. Dengan jumlah rakyat seramai kira-kira 28 juta orang, memberi pendidikan mengenai demokrasi kepada rakyat bukanlah suatu yang mustahil. Jika benar kita mahu menganuti demokrasi seikhlas hati kita, wajib bagi kita semua sekali untuk memahami demokrasi dan bagaimana demokrasi itu berfungsi buat kita. Untuk memurnikan pula demokrasi tersebut, wajib bagi kita sedia melepaskan segala hak-hak keistimewaan dan melihat orang lain sebagai sama dan setara dengan kita. Demokrasi tidak boleh diamal jika kita gagal menghormati tujuannya; meletakkan hak sama rata kepada setiap individu yang terlibat.

Jika kita mahu anuti demokrasi, biarlah kita anuti dengan ikhlas dan menghormati anutan kita ini. Mempergunakan demokrasi sebagai alat untuk mengekalkan kuasa adalah hina dan jijik.

Bersediakah kita menganuti demokrasi