Pagi hujung minggu itu, jam 9.55 pagi, Mala yang baru sahaja tiba wad psychiatry HKL kerana terperangkap di dalam jam, seperti pucuk dicita ulam mendatang apabila diajukan pertanyaan Dr.Masyitah. Semestinya mahu! Cepat Mala menyahut ajakan tersebut.
Dr.Masyitah merupakan rakan sekelasnya ketika sekolah rendah. Selepas tamat sekolah rendah, Dr.Masyitah berpindah ke utara memisahkan dua rakan baik itu. Namun mereka sentiasa berhubung melalui surat menyurat, ala-ala sahabat pena gitu. Tidak pula disangka-sangka Mala, Dr.Masyitah telah menjadi doktor psychiatry di HKL, manakala dia adalah pelajar tahun akhir MBBS dari CUCMS. Dua tahun terlewat daripada rakannya itu kerana dia pernah mengalami kemalangan memaksa dia untuk deferred selama dua tahun setengah pengajiannya. Mujur sahaja dia masih boleh meneruskan citacitanya untuk menjadi doktor tanpa ada komplikasi lain selepas kemalangan.
Mereka berdua berjalan menuju ke wad surgikal, bangunan lain hospital tersebut. Mala dan Dr.Masyitah tidak banyak bercakap hari itu, tidak seperti biasa, mungkin kerana mereka mahu menyimpan tenaga setelah perlu berjalan agak jauh untuk berjumpa dengan pesakit nanti.
Selepas lebih kurang 10 minit berjalan, mereka tiba di wad surgikal. Mereka terus ke katil yang bernombor 27.
Haaa, Mala, awak clerk dulu patient ini. Nanti saya datang semula. Saya mahu baca report dia sekejap. Dr.Masyitah memberi peluang kepada Mala untuk menemu ramah pesakit di katil 27 itu.
Mala tersenyum dan menunjukkan ibu jarinya sahaja menandakan, Okey, small matter la. Maka Dr.Masyitah pun berlalu pergi meninggalkan Mala.
Selamat pagi aunty, nama saya Mala, pelajar perubatan tahun akhir. Saya datang untuk bertanya beberapa soalan dengan aunty. Perlahan suara Mala tetapi jelas pada pendengaran, satu per satu dituturnya penuh hemat. Tidak kedengaran slang Indianya kerana dia sememangnya mempunyai ramai rakan melayu dan tinggal di kejiranan melayu juga.
Di hadapannya terbaring seorang pesakit, lingkungan usia 50 hingga 60 tahun. Kulitnya agak putih tapi muka nampak cengkung, badan pula kurus kering. Terlihat jelas kedutan di wajah dan di badannya kerana terlalu kurus. Tergantung IV drip bersambung dengan branula di sebelah tangan kirinya. Selain itu, ada continuos bladder drainage dengan jumlah air kencingnya lebih kurang separuh.
IV drip nampak macam jalan, kidney okey. Jadi baik aku mulakan. Mala berkata seorang dirinya.
Mala seboleh-boleh tidak mahu pesakit itu berasa tidak selesa dengan kehadirannya dan ianya perlu untuk membina rapport supaya pesakit bersedia untuk menceritakan segalanya kepada dia.
Pesakit itu lambat membalas senyuman Mala, dia hanya mengangguk kemudian cuba melarikan pandangannya ke arah lain. Senyuman pesakit itu tadi telah mati.
Selepas berbasa basi, Mala akhirnya berjaya mendapat sedikit maklumat tentang pesakit yang bernama Ramlah bin Abu Bakar, berusia 53 tahun. Berasal dari Kuala Lumpur tetapi tinggal di Rumah Jagaan Orang Tua Permata.
Mak Cik Ramlah telah dimasukkan ke HKL dua hari yang lalu. Dia dibawa oleh penjaga rumah orang tua. Ya, Mak Cik Ramlah telah dihantar ke rumah orang tua kerana tiada ahli keluarga lain yang mahu menjaganya. Ibunya telah meninggal semenjak dia berusia 10 tahun, bapanya pula meninggal dunia 5 tahun yang lalu. Dia hanya mempunyai 3 orang adik-beradik yang lain. Namun, ketiga-tiga mereka menyerahkan Mak Cik Ramlah ke rumah orang tua kerana bagi mereka Mak Cik Ramlah akan dijaga elok oleh penjaga-penjaga di rumah orang tua.
Mak Cik Ramlah pernah bersuami, tetapi tidak berjaya mendapatkan anak. Suami sebagai tempat bergantung pula telah meninggal 3 tahun yang lalu kerana serangan jantung. Tinggallah Mak Cik Ramlah keseorangan tanpa teman.
Pada 6 bulan lepas, Mak Cik Ramlah telah disahkan menghidap kanser. Kanser serviks. Kemasukan ke hospital kali ini, doktor mengesahkan bahawa, kanser Mak Cik Ramlah telah merebak ke saluran najisnya, menyebabkan dia tidak dapat membuang air besar. Sebenarnya sudah seminggu Mak Cik Ramlah tidak boleh membuang air besar, tetapi dia enggan untuk datang ke hospital. Sehinggalah dua hari lepas dia dijumpai tidak sedarkan diri di biliknya oleh salah seorang penjaga rumah orang tua terbabit.
Hmm, kenapa pula Mak Cik Ramlah ni di refer kepada psychiatrist Patutlah dia berada di wad surgical bukan wad O&G. Mala terkata-kata sendirian. Haih, susah juga kes ini. Macam mana aku hendak mulakan ya. Mala berkata-kata lagi.
Tetapi ada sesuatu yang mengganggu fikiran Mala ketika menemu ramah Mak Cik Ramlah. Adakah Mak Cik Ramlah menghadapi....
Mak Cik, saya nak tanya ni, Mak Cik ada ke terasa macam diri ini tak berguna... atau... selalu rasa mahu menangis atau menangis dalam hati... atau rasa hilang minat dengan aktiviti yang Mak Cik selalu lakukan Kini Mala menunggu jawapan daripada pesakit yang terbaring itu. Eye contact memang tak ada sejak dari mula. Nasib baik apabila diajukan soalan, dia mahu untuk menjawabnya.
Ada jugalah. Kadang-kadang, Mak Cik boleh tidur seharian tanpa buat apa-apa. Mak Cik Ramlah memberi respons lambatlambat.
Bagus, lagi mak cik
Selain itu, ada ke Mak Cik rasa penat sahaja. Makan pun tak berselera atau perasan makin kurus.
Mak Cik Ramlah mengangguk perlahan. Memang, dan mak cik memang tak ada selera langsung sejak dua minggu yang lalu.
Mala berhenti sejenak dan membelek DSM-5, Mak Cik, sejak akhir-akhir ni, mak cik rasa tak ada mood sahaja setiap hari Atau hilang minat dengan aktiviti seharian
Ada, sudah hampir sebulan juga mak cik rasa hilang minat, hilang mood memang hari-hari rasa macam tu. Kadangkadang seperti mahu mati sahaja. Pesakit itu berterus terang, walaupun memberi respons agak lambat, itu sudah banyak membantu.
Ahaa, itu semua sangat membantu.
Nampaknya, Mala sudah tahu apa pesakit ini sedang hadapi. Sebelum ini, pesakit ini tidak pernah mengalami simptom yang sama dan juga tidak pernah di diagnose kan mempunyai apaapa penyakit mental yang lain.
Seterusnya, Mala susun semula history pesakit itu supaya nampak lebih teratur apabila present kepada Dr.Masyitah. Walaupun, Dr.Masyitah itu rakan baiknya, itu tidak menghalang dari Mala untuk membuat kerja sambil lewa. Patutlah Mala selalu menjadi pelajar kesayangan pensyarahnya.
Setelah selesai, dia meneruskan dengan melakukan pemeriksaan mental atau disebut pensyarahnya sebagai Mental State Examination (MSE).
Selang 10 minit, Dr.Masyitah datang dengan membawa rekod pesakit itu dan juga seorang doktor houseman wad surgikal itu. Dr. Masyitah memberi peluang kepada Mala untuk menyampaikan history pesakit terbabit.
So, my provisional diagnosis* for this patient is Major Depressive Disorder, as stated in DSM-5, the criteria of MDD is.. Mala sungguh berkeyakinan. ****
Kemurungan atau Major depressive disorder (MDD) adalah istilah perubatan yang menggambarkan perubahan emosi keterlaluan. Perubahan tersebut adalah perubahan emosi yang perlu dirawat.
Berikut adalah beberapa kumpulan yang berisiko untuk mendapat kemurungan;
Jantina; wanita > lelaki
Umur; purata pesakit berusia 40 tahun, tetapi kebanyakannya dalam lingkungan usia 20-50 tahun
Taraf perkahwinan; bujang, duda, janda
Keluarga; jika ada ahli keluarga yang menghidap kemurungan, seseorang berisiko mendapat kemurungan 2-3 kali lebih
Antara tanda-tanda kemurungan berdasarkan DSM-5 seperti;
Berasa sedih, tidak gembira, tidak ceria pada kebanyakan hari
Hilang minat untuk melakukan apa-apa aktiviti seharian
Kurang berat badan tanpa berdiet. Selera makan bertambah atau berkurang
Perubahan tidur samada insomnia atau hypersomnia
Berasa cemas atau sebaliknya
Cepat penat atau kurang tenaga
Berasa tidak berguna dan tiada harapan
Tidak mampu memberi perhatian
Mahu membunuh diri atau terfikir untuk membunuh diri
Namun begitu, simptom ini perlu wujud selama 2 minggu dan sekurang-kurangnya 5 sudah cukup untuk mendiagnosis seseorang itu mempunyai kemurungan.