Dunia telah menutup mata mama,
Untuk melihat tari gembiramu, Kerana bebanan dunia kau terpinggir, Dirimu menjadi amanah buat Si Bibi.
Maafkan mama sayang,
Kusangka dia amanah,
Kusangka dia tabah,
Kusangka dia cekal,
Dalam menjaga hidup seharianmu.
Maafkan mama sayang,
Kutahu kau menderita,
Kubayangkan kesakitanmu,
Kurasai hangat air mata di pipimu.
Saat kau didera tanpa belas,
Maafkan mama sayang,
Ibumu terlambat sampai,
Remuk hati mama melihatmu,
Kebiruan seluruh badanmu, Kau sudah tidak bernyawa.
Maafkan mama sayang,
Ibumu cuba berlari ke hospital,
Segala kudrat sudah kukerah, Peluh dan air mata membanjiri bumi,
Tapi doktor mengesahkan kematianmu.
Maafkan mama sayang,
Kerana tak bisa mengiringi mu,
Di saat kau dibalut kain kapan,
Dan jasadmu ditimbus tanah, Kerana itu meremukkan jantungku.
Sharifah S.
Doktor Amru mengesat air matanya tatkala membuka sepucuk surat yang dikirimkan oleh ibu seorang pesakit yang dilihatnya minggu lepas.
Masih terbayang dengan jelas di ruang fikirannya peristiwa yang berlaku tersebut. Saat itu, dia sudah hampir pulang kerana syif nya hanya berbaki lima minit.
Dari kaunter triaj, dia melihat seorang ibu tergesa keluar dari kereta Pesona berwarna merah. Lariannya kencang sambil diiringi esak tangis yang menjadi pemangkin semangatnya. Dia menggendong sesuatu dan ia adalah sekujur tubuh bayi berusia tiga bulan. Badannya kebiruan dan tidak menunjukkan tandatanda yang dia bernafas.
Bayi tersebut segera dibawa ke bilik resusitasi dan Dr. Amru segera melakukan crash intubation. CPR dimulakan untuk cuba memberi sinar kehidupan baru kepada pesakit tersebut. Selepas dua puluh minit CPR dijalankan, tiada langsung tandatanda bayi tersebut hidup. Dia sudah pergi menghadap Sang Penciptanya. Perginya dalam keadaan suci tanpa tercemar walau setitik noda. Perginya menuntut syurga yang sudah dijanjikan oleh Allah S.W.T. ke atas setiap bayi yang dilahirkan dalam keadaan suci dan fitrah Islam. Itulah adilnya Allah. Walaupun manusia memilih agama tertentu, tetapi menurut Islam, setiap bayi yang baru dilahirkan biarpun dari perut ibu beragama Hindu, Kristian, Buddha, Sikh, Pagan dan Bahai adalah tetap beragama Islam.
Dr. Amru segera mendapatkan Puan Sharifah. Digagahi matanya untuk memandang wajah ibu muda tersebut.
Puan, saya Dr. Amru yang merawat bayi Puan. Sewaktu bayi Puan dibawa ke Jabatan Kecemasan, dia sudah tidak ada tanda-tanda kehidupan dan berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan. Kami telah cuba melakukan CPR dan memasukkan tiub ke dalam saluran pernafasannya. Kami juga telah menyuntik beberapa jenis ubat untuk membantu jantungnya kembali berdegup.... Tapi, kami minta maaf Puan, kami tak dapat selamatkan bayi Puan. Dr. Amru berbicara dengan penuh berhati-hati.
Puan Sharifah meraung sekuatnya. Dia memukul dadanya dan menarik rambutnya. Dia menyalahkan dirinya di atas kematian anaknya. Para pesakit dan staf melihat keadaan Puan Sharifah. Teriakannya menjadi semakin teruk dan dia mula histeria. Dia mencakar mukanya hingga berdarah.
Dr. Amru tiada pilihan selain menyuntik haloperidol untuk menenangkan Puan Sharifah. Badannya yang mula longlai diangkat oleh beberapa orang pembantu perubatan dan diletakkan di atas katil di zon kuning.
Sudah satu jam Dr. Amru menamatkan syifnya tetapi naluri seorang perawat menghalangnya dari pulang. Dia memerhatikan Puan Sharifah hinggalah sedar. Dr. Amru mengambil sebuah kerusi dan duduk di tepi katil Puan Sharifah.
Perlahan-lahan, Puan Sharifah membuka mata. Air mata mengalir laju bagaikan air terjun menghentam dasar sungai.
Puan, sabar ya Puan. Dr. Amru memulakan bicara lembut.
Doktor, Batrisya mana Tanya Puan Sharifah yang masih dalam keadaan penafian tentang kematian anaknya.
Puan, sabar ya Puan. Batrisya sudah selamat di samping Allah. Allah sudah pun sediakan tempat istimewa untuk dia. Batrisya tetamu khas di syurga.
Kenapa anak saya doktor Kenapa dia Dia masih kecil lagi. Belum sempat mengenal dunia. Saya belum pun sempat memberikan dia kasih sayang. Puan Sharifah mula mendapat kembali kewarasan akalnya.
Puan, mahu ceritakan apa yang terjadi pada anak Puan
Saya tak tahu doktor. Saya kerja swasta jadi tak dapat ambil cuti bersalin lebih lama. Jadi saya terpaksa doktor. Saya terpaksa tinggalkan dia dengan pengasuh. Bila saya pergi ke tempat itu untuk ambil bayi saya, dia sudah kebiru-biruan. Batrisya langsung tak menangis doktor.
Puan, sabarlah. Ini semua ujian buat Puan. Ini adalah cara Allah mahu tengok sama ada kita redha ataupun tidak dengan pemberiannya. Segala apa yang kita punyai di dunia ini tiada satu pun milik kita. Mata yang melihat, telinga yang mendengar, hidung yang mencium bauan, kaki yang melangkah semua pinjaman dari dia. Begitu juga anak-anak, pasangan hidup, harta benda. Tiada satu pun milik kita Puan. Dr. Amru cuba untuk menyelamatkan jiwa Puan Sharifah yang berada dalam kesedihan.
Doktor, saya sedih sangat-sangat doktor.
Tidak apa puan, Ummu Atiyyah juga bersedih saat kematian anaknya. Kenapa kita halang diri kita dari menangis dan berkabung Itu adalah fitrah dalam diri kita. Sifat kasih sayang sedia wujud dalam diri kita. Itu adalah pemangkin untuk kita terus jalani hidup kita sebagai Hamba Allah, jelas Dr. Amru lagi.
Terima kasih doktor. Saya sedikit lega dengan nasihat doktor. Puan, tegur Dr. Amru kembali.
Ada apa doktor
Puan saya minta maaf sekiranya ini bukan masa yang sesuai untuk membincangkan perkara ini. Sewaktu bayi puan dibawa ke sini, dia sebenarnya sudah meninggal. Oleh yang demikian, kita terpaksa buat laporan polis dan menjalankan post mortem untuk menyiasat punca kematian Batrisya. Ini adalah untuk keadilan dia juga.
Doktor, hati saya terluka mengenangkan mayat anak saya terpaksa dibedah doktor. Tapi, saya redha kerana saya tahu keadilan pasti ada untuk anak saya. Saya relakan doktor walau hati saya menanggung azab yang pedih.
Pakar Forensik dihubungi selepas borang permintaan post mortem Pol 61 dikeluarkan oleh polis. Hasil pembedahan post mortem cukup memilukan hati Dr. Amru yang turut sama mengikuti prosedur tersebut. Bayi tersebut meninggal akibat tersedak bubur. Ya Allah, bagaimana pengasuh tersebut boleh terlintas di mindanya untuk memberikan bubur pada bayi yang masih lagi kecil.
Dr. Amru terkedu. Dia tidak pasti di mana salahnya. Salah si pengasuh atau salah si ibu yang tidak menjaga anaknya. Namun, keadaan pada hari ini tidak sama seperti dulu.
Kalau dulu, si suami akan berburu di hutan atau bercucuk tanam untuk mendapatkan makanan manakala si isteri pula akan setia di rumah dan membesarkan anak. Apabila dunia semakin maju, si suami melakukan kerja-kerja moden sama ada di pejabat mahupun di luar dan isteri tetap setia dengan tugasnya. Akan tetapi, arus pemodenan telah menyaksikan bahawa kaum wanita juga perlu bekerja untuk membantu menampung perbelanjaan mengurus keluarga. Akibatnya, anak-anak ditinggal dengan pengasuh sementara ibu-bapa mencari rezeki. Usahkan orang lain, dia juga berbuat demikian. Anaknya juga diserahkan kepada pengasuh agar dia dapat terus bertarung untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Isterinya juga seorang doktor dan pastinya pesakit memerlukan khidmat isterinya.
Bagaimana pula dengan anaknya
Anak seorang rakannya dimasukkan ke wad kerana jangkitan paru-paru dan tidak mampu untuk makan. Ironinya, sahabatnya tidak dapat bercuti kerana hospital memerlukan tenaga dan kepakarannya.
Buang sahaja ke dalam tong sampah angan-anganmu ingin menjadi doktor kerana mahu merawat keluarga yang sakit. Hakikatnya, kamu juga akan bergantung harap pada rakanrakan seperjuanganmu untuk merawat mereka.
Oleh itu, tingkatkanlah usahamu dan mantapkan kemahiranmu agar kau dapat merawat pesakit dengan lebih baik dan standard. Rawatlah mereka seperti mana kau mahu doktor yang lain merawat ahli keluargamu yang sakit.