DOC & ROLL - 15
Perjalanan kisah saya dan gitar sebenarnya bermula dengan kisah yang amat tragis. Saya tidak sepatutnya bermain gitar untuk satu persembahan pada pertengahan tahun 1996. Tetapi saya secara tiba-tiba dipanggil untuk menggantikan gitaris utama band tersebut. Beliau terpaksa menarik diri beberapa hari sebelum persembahan kerana bakal abang ipar beliau meninggal dunia akibat dipanah petir beberapa hari sebelum melangsungkan perkahwinan. Semoga roh arwah tenang di sana dan digolongkan dalam orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Aku budak band

Saya sebenarnya tidak pandai bermain gitar sehinggalah pada ketika usia 17 tahun, saya mendaftar ke kelas gitar Bentley di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur bersama sahabat karib saya, Reezal Ishak.

Pada ketika itu, kami berdua baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia 1995 dan tidak ada tujuan hidup. Melepak dan membuang masa di rumah. Pernahlah saya cuba untuk bekerja part-time di beberapa toko besar antaranya Guardian dan Isetan tapi semuanya separuh jalan. Masuk kelas komputer pun ada juga, tapi cuma berjaya hadir 2 kelas sahaja.

Minat bermain gitar datang secara tiba-tiba. Bila mendapat rentak dan moodnya memang sukar nak berhenti bermain. Dari Ampang, Reezal akan mengambil saya dengan motosikal kapcainya dan sambil membonceng di belakangnya saya akan memegang 2 gitar untuk ke kelas muzik kami di kawasan Bukit Bintang.

Pada zaman sekolah menengah saya gemarkan muzik rap tetapi bila sudah boleh bermain gitar mula bertukar genre ke rock klasik kerana daripada muzik-muzik genre inilah skilskil bermain gitar dapat diperolehi. Nama-nama seperti Jimi Hendrix, Gary Moore, Joe Satriani, Steve Vai dan Eric Johnson mula menjadi idola.

Walaupun saya cuma boleh bermain ala kadar tapi saya beruntung kerana mempunyai peluang untuk bermain bersama ahli-ahli muzik dan vocalist yang berpengalaman. Semuanya secara tak sengaja. Mula-mula bekas keyboardist kumpulan Candy (Lagu hitnya Akan Ku Tunggu), Ophelia dan seorang pemain gitar bass profesional Rozhan Razman yang banyak bermain untuk artis-artis terkemuka seperti Siti Nurhaliza dan Sheila Majid. Mereka berdua ini adalah college mates saya semasa menginap di Kolej Dayasari, Universiti Malaya sekitar peghujung tahun 1990an dahulu. Selain itu, ada juga kenalankenalan zaman sekolah dulu yang kini adalah sessionist atau pemuzik profesional.

Bercerita mengenai kenalan sekolah, semasa saya di Hong Kong, pada suatu petang saya telah dihubungi oleh Timbalan Konsul Malaysia, namanya Firdaus juga, atau saya panggil Pauz.

Bro, ada band Malaysia datang buat show di Lan Kwai Fong. Boleh ajak budak-budak kau datang support

Saya pada ketika itu, ibarat penghulu pelajarlah kiranya. Jadi saya pun hubungi kawan-kawan saya dan ajak ramai-ramai turun ke sebuah kelab muzik di Lan Kwai Fong untuk beri sokongan pada band tersebut. Sebelum ke sana sempat saya google lagu-lagu kumpulan tersebut, sekurang-kurangnya adalah benda yang boleh diborakkan nanti.

Saya pun ke sana bersama isteri dengan pakaian yang paling rock yang saya boleh, dan kemudiannya disertai beberapa lagi rakanrakan yang lain. Alunan muzik rock berkumandang rancak, ada lagu rock Melayu ada juga lagu rock Inggeris. Genre muzik yang dimainkan seakan kumpulan Muse pun ada dalam sesetengah lagu-lagu mereka.

Selesai persembahan, mereka datang ke meja kami untuk minum bersama.

Thanks bro, turun support kitorang, kata salah seorang ahli band tersebut.

Takde hal bro. Mantap muzik korang, balas saya.

Korang pernah dengar ke lagu-lagu kitorang Tanya mereka.

Top kot lagu korang. Sampai sini lagu-lagu band Senapang kitorang dengar, jawabku yakin selepas membuat kajian melalui google sebelum datang.

Selepas minum, saya bawa mereka ke kedai kebab halal, Ebenezeer untuk makan malam dan berborak hingga lewat malam. Apabila sampai ke rumah, isteri saya beritahu saya, Awak, nama band diorang Pesawat lah, bukan Senapang.

Saya dan Dr. Fahmi bersama band Pesawat di Lan Kwai Fong,

Mei 2010. Saya dan Dr. Fahmi juga ada masuk video clip lagu mereka Excuse Me

Melodi TV3

Kau biar betul, takut aku nak main live.

Respon saya pada Fadhli, atau Koi bila diberitahu ada jemputan untuk band kami menjadi band iringan untuk penyanyi alternatif, Abot bagi majlis pelancaran novel beliau yang bertajuk TinggalJangan Lepaskan. Abot ni suatu ketika dahulu adalah penyanyi rock alternatif wanita pertama di Malaysia.

Masa itu, saya berada di tahun akhir jurusan pergigian pada tahun 2004. Saya ingat lagi pada waktu itu, Naib Canselor Universiti Malaya, Dato Profesor Dr. Hashim Yaakob meminta majlis pelancaran novel tersebut diadakan di Balai Ungku Aziz, Universiti Malaya dan mahukan Abot untuk membuat persembahan secara live sambil diiringi band yang dianggotai pelajar-pelajar perubatan dan pergigian.

Menggigil saya bila dapat berita tersebut. Mana taknya, nak kena iringi artis, secara live dan ada coverage dalam rancangan Melodi TV3. Melodi! Rancangan pula di waktu prime time hari Ahad. Sepanjang 2 hari selepas terima berita tersebut, memang saya tak boleh tidur dan tak senang duduk. Semasa di tahun akhir pengajian pergigian, pasukan band kami terdiri daripada campuran pelajar pergigian dan perubatan. Fadhli, pelajar perubatan sebagai drummer, sekarang seorang pakar radiologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Arvin, junior pelajar perubatan dan kini juga adalah pakar radiologi, Amim pula junior jurusan pergigian adalah pemain keyboard kami.

Kami memang sering diundang ke majlis-majlis mungkin kerana reputasi silam, pernah menang pertandingan Battle of the Bands pada Festival Seni Universiti Malaya dan saya juga pernah mendapat anugerah pemain gitar terbaik pada tahun 1998. Tapi itu semua kisah lalu.

Saya ingat lagi semasa mula-mula Abot datang ke studio jamming di Kolej Kediaman Ibnu Sina. Abot ni kecil-kecil molek orangnya, peramah dan memang selamba. Memang kena dengan imej dia sebagai penyanyi rock alternatif pada masa itu. Dia datang seorang saja dan bawa satu cd.

Kak, kami ni amatur je, saya cakap pada dia. Tak pasti pula berapa umur sebenar dia waktu itu.

Takpe dik, kadang-kadang tikus boleh bertukar jadi harimau.

Saya ingat lagi dia cakap ayat itu. Sampai sekarang bila teringat memang tergelak sebab perumpamaan itu walaupun saya tahu untuk memberikan semangat tapi kelakar juga bunyinya.

Jadi selepas bertungkus lumus berlatih siang dan malam, tibalah hari pelancaran novel Abot yang dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Malaya. Alhamdulillah, persembahan kami berjalan lancar dan memang ada coverage dari program Melodi pada hari itu, bersama salah seorang host program yang famous dengan segmen Terjah.

Selepas habis program, saya pun bertanya pada mak dan ayah saya jika ada nampak saya di kaca televisyen. Nasib baik mak saya beritahu yang dia ada recordkan dalam perakam video.

Saya pun bergegas balik ke rumah malam itu juga sebab nak tengok video tersebut. Punyalah excited hingga sanggup saya tengok rakaman Melodi tu daripada awal hinggalah ke akhir program.

Rupa-rupanya, cuma nampak gambar tangan saya sahaja masa saya tengah bermain solo gitar. Yes! Tangan saya pernah masuk Melodi!