FILSUF UNTUK NOOB - 15
Tapi sebelum kita pergi kepada gergasi falsafah yang aku sebutkan di bab sebelumnya, aku ingin membuat detour untuk melawat Kopenhagen, Denmark. Orang yang akan kita lawati ini agak istimewa, kerana dia bukanlah merupakan ahli falsafah sepertimana nama itu difahami, tetapi lebih kepada seorang pengkritik sosial ataupun pengkritik sastera. Kierkegaard juga dianugerahkan gelaran bapa Eksistensialis, sebuah gerakan sastera dan falsafah yang berkait rapat dengan persoalan berhubung diri sendiri. Tetapi dia antara tokoh yang menarik minatku maka aku akan luangkan beberapa perenggan untuknya.

Soren Kierkegaard lahir di Denmark pada tahun 1813 . Kierkegaard lahir dalam keluarga Protestan, dan Denmark pada ketika itu, masih mengekalkan tradisi Kristian Protestan. Kierkegaard mempelajari falsafah dan teologi di Universiti Kopenhagen. Namun demikian, Kierkegaard menolak falsafah moden yang popular di zamannya walaupun tetap mengambil tahu tentang perkembangannya. Kierkegaard pernah melawat Berlin untuk mendengar syarahan Schelling pada tahun 1841 ( kau ingat lagi Schelling Ahli falsafah yang panjang hayatnya). Dan Kierkegaard memang terdedah dengan falsafah idealisme Jerman dan spekulatif. Akan tetapi Kierkegaard menolak itu semua.

Kierkegaard tidak minat dengan falsafah spekulatif seperti yang dilakukan oleh tokoh-tokoh Idealisme Jerman terutama sekali Hegel yang amat popular ketika itu ( kau nampakkan betapa Hegel ini, walaupun sistem falsafahnya boleh dikatakan gagal, tapi merupakan sosok yang amat signifikan dalam menjadi pemangkin kepada ahli-ahli falsafah lain). Bagi Kierkegaard, apa guna sistem falsafah yang amat gah tetapi tidak mendatangkan kebaikan kepada diri ( dan harap kau perasan bagaimana mereka yang datang selepas falsafah Hegel menyebut mengenai sistem falsafah Hegel yang terlalu bercita-cita tinggi). Kierkegaard meletakkan soalan ini, ok, kalau pun aku tahu apa yang memandu sejarah manusia dan mengetahui bagaimana semangat rasional dijelmakan dalam peradaban, soalan yang lebih penting pada diriku, apa yang aku perlu lakukan dalam hidup ini

Apa yang aku perlukan adalah untuk mengetahui secara jelas mengenai apa yang perlu aku lakukan, bukan apa yang aku mesti tahu, kecuali pengetahuan bahawa ilmu perlu mendahului setiap perbuatan. Apa yang penting adalah untuk mencari tujuanku, untuk melihat apa yang sebetulnya Tuhan hendak aku buat; perkara yang mustahak ialah untuk mencari kebenaran yang mana kebenaran itu adalah untuk aku, untuk mencari idea yang mana aku boleh hidup dan mati kepadanya.

Soalan-soalan sebegini adalah sesuatu yang berkait rapat dengan diri, dan apa yang perlu dilakukan dalam kehidupan(pilihan). Inilah yang dikatakan pemikiran eksistensialisme. Dalam karyanya yang paling penting, Enten-Eller ( Either/Or) Kierkegaard meletakkan tiga tahap kehidupan yang boleh dijalani oleh manusia, iaitu kehidupan aestetik, dan kehidupan beretika, dan kehidupan beragama (Kristian).

Aestetik disini bukan merujuk kepada seni atau apa-apa yang dikaitkan dengan kecantikan. Tetapi aestetik yang digunakan oleh Kierkegaard bermaksud sikap yang superfisial ataupun cetek dalam menjalani kehidupan.

Sebagai contoh, kau telahpun menamatkan zaman persekolahan, SPM sudahpun berlalu, bermakna sekarang bolehlah kau menyimpan kuku atau rambut panjang tanpa ada guru disiplin yang akan memekik untuk kau potongkan keduanya. Katakan kau dihadapkan sekarang dengan dua pilihan mengenai dua jalan yang kau akan tempuhi selepas SPM (walaupun ada banyak, tetapi aku jadikan ia kepada dua pilihan sahaja untuk menyenangkan contoh aku). Katakan kau diberi pilihan sama ada untuk masuk matrikulasi dan mengambil bidang sains hayat yang akan membolehkan kau mengambil bidang berkaitan sains di universiti kelak, ataupun kau tinggalkan sahaja pembelajaran formal dan menuntut ilmu membuat arca tanah liat dari seorang maestro, supaya kelak kau juga boleh menghasilkan arca-arca tanah liat; menjadi seorang pengukir tanah liat.

Bagi Kierkegaard, seorang yang hidup aestetik sentiasa dihantui dengan persoalan sama ada itu atau ini. Lalu apa yang dibuatnya, setelah puas memikirkan dan membuat refleksi terhadap kedua-dua pilihan, tidak membuat pilihan; sebaliknya dia mencuba-cuba kedua jalan ini. Kembali kepada contoh kau selepas SPM, apa yang dibuat oleh kau yang bersikap aestetik adalah masuk matrikulasi dan belajar sains hayat, dan kemudiannya meneruskan perngajian ke universiti dan memilih jurusan medik dan menjadi doktor. Tapi kau tidak menjadi doktor, sebab jalan yang kau ikuti bukanlah pilihan kau, kau hanya mencuba sahaja, dan kemudiannya kau pergi mengikuti jalan yang satu lagi, menuntut ilmu dengan si maestro pengukir tadi, dan sehingga kau mempunyai kemahiran mengukir tetapi, sekali lagi, kau tidak betul-betul ,dengan yakin memilih jalan ini.

Dan kemudian di penghujung jalan kedua ini, kau yang tidak membuat pilihan, oleh kerana hati kau tidak tetap dengan apa-apa pun (medik ataupun pengukir), kau membuat satu lagi cabang, mungkin sesuatu bidang yang mencantumkan kedua-dua jalan, iaitu pengukir organ-organ manusia menggunakan tanah liat. Namun , kata Kierkegaard, kau yang masih belum memilih jalan mana satu yang kau hendak commit, setelah membuang begitu banyak tenaga kepada kedua-dua jalan dan jalan yang ketiga, kau sebenarnya tidak membuat apa-apa kemajuan. Oleh kerana semua jalan yang kau ikuti adalah secara superfisial,hanya luaran semata-mata. Kau tidak betul-betul mendedikasikan keseluruhan tenaga berserta semangat mu kedalam satu bidang kerana kedangkalan jalan yang kau ikuti.

Kierkegaard mengutuk cara hidup begini kerana disini, tiada pilihan yang dibuat. Pilihan bagi Kierkegaard adalah dalam betul-betul memilih dengan menumpukan segala semangat seseorang kedalam pilihan itu, tiada sama ada, atau, supaya pilihan itu menjadi bermakna kepada kau. Disini, Kierkegaard secara terus mengkritik sesetengah pemikir pada zamannya yang hidup lain daripada anjuran pemikiran falsafah mereka, hanya mengesyorkan apa yang boleh dibuat. Kierkegaard mengatakan dalam E&E bahawa ianya seperti seorang pemikir, apabila seorang pemuda yang dengan penuh semangat datang kepadanya, dan dengan penuh pengharapan menanyakan, apa yang perlu dibuat oleh nya dalam kehidupannya, dan pemikir itu hanya menjawab, samaada kau membuat itu atau ini. Kierkegaard merasakan bahawa ini adalah kebijaksanaan yang dibuat-buat. Ini merupakan suatu kritikan terhadap sistem Hegel dimana Kierkegaard merasakan bahawa dialektik Hegel yang merangka bahawa sesuatu yang bertentangan (tesis-antitesis) akan menghasilkan sesuatu tahap yang lebih tinggi yang menyelesaikan pertentangan tersebut (sintesis). Kierkegaard mengatakan bahawa ini tidak semestinya berlaku, dan perkara ini tidak dapat diaplikasikan kepada kehidupan seseorang yang sebenar. Jarang sekali kita dapat mengsintesiskan dua pilihan hidup yang berlainan dan hasilnya adalah sesuatu yang lebih baik (seperti contoh kau selepas SPM sebelumnya). Kierkegaard mengatakan pilihan aestetik sebegini membuang banyak tenaga dan masa.

Kehidupan aestetik dibezakan dengan kehidupan beretika. Etika dalam konteks falsafah Kierkegaard diberi makna lain dari yang kita fahami. Kata Kierkegaard, kehidupan beretika adalah kehidupan dimana sebuah pilihan dengan yakin dilakukan, dan diingatkan bahawa maksud pilihan bagi Kierkegaard adalah sesuatu perbuatan yang dibuat dengan penuh kesedaran dan komitmen. Namun, apa akan jadi jika kita benar-benar memilih satu jalan, contoh sebagai seorang doktor, dan kita memilih kehidupan beretika dalam erti kata Kierkegaard( iaitu dengan betul-betul membuat pilihan), tetapi pada suatu masa kita merasakan kita telah memilih jalan yang salah Bagi Kierkegaard, walaupun kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa akan datang jika memilih mana-mana jalan, tempoh dimana kita membuat pilihan itu adalah sesuatu yang sudah baik. Walaupun baik disini merupakan sesuatu yang abstrak. Maksudnya walaupun kita telah memilih sesuatu yang kita rasa baik untuk diri kita, tidak bermaksud ianya tidak dapat berubah menjadi sesuatu yang tidak sesuai. Namun, bagi Kierkegaard, masih lagi momen membuat pilihan itu adalah sesuatu yang bagus dan harus dipuji. Sebab ini melibatkan suara hati (conscience) kau.

Damn. Aku bercadang untuk cerita sedikit sahaja mengenai Kierkegaard tetapi memandangkan ianya seperti menjadi sebuah bab, que sera, sera.

Dan tahap ketiga adalah kehidupan beragama.Disini lah Kierkegaard memperlihatkan apa tujuannya sebenar. Kierkegaard, berbeza dengan beberapa tokoh-tokoh yang kita lihat sebelum-sebelum ini dalam Idealisme Jerman, merupakan seorang Kristian Protestan tegar. Namun Kierkegaard tidak bersetuju dengan gereja yang dogmatik. Kierkegaard juga agak terkenal dalam polemiknya menentang gereja Denmark dan ahli agama yang dangkal. Bagi Kierkegaard, kehidupan beragama bukanlah hanya menunjukkan perlakuan ataupun ritual agama sahaja, tetapi dia menekankan kepentingan kepercayaan dalaman. Kierkegaard mengakui bahawa agama Kristian banyak unsur-unsur yang tidak logik ( seperti keajaiban Nabi Isa dan Nabi-nabi lain), namun Kierkegaard menekankan kita mesti menggantungkan penaakulan (reasoning) untuk mengimani agama Kristian. Disini bolehlah dikatakan seperti kita perlu membuat sesuatu seperti lompatan kepercayaan (leap of faith) dan berpegang teguh kepada agama. Logik dan penaakulan tidak akan mampu menjelaskan agama, tetapi itu tidak bermaksud agama tidak boleh dipercayai.

Mungkin dari segi penulisanku, kau mendapat sebuah gambaran bahawa Kierkegaard seolah-olah menyebarkan dakwah. Ya dan tidak, jawapannya. Ya, Kierkegaard mengakui dalam satu daripada penulisannya bahawa dia adalah seorang yang mempercayai agama Kristian dan dia boleh lah dilihat sebagai seorang penulis agama. Namun begitu, Kierkegaard bukanlah seperti sesetengah misionari yang memaksa roang lain menelan dakwah mereka, tetapi Kierkegaard membiar pembaca menilai sendiri setiap tahap kehidupan yang dibentangkannya. Kierkegaard juga terkenal dalam menggunakan banyak pseudonim ketika menulis, dan ini adalah kerana Kierkegaard tidak mahu memaksa pembacanya kepercayaannya sendiri ( satu lagi kritikan Kierkegaard terhadap Hegel adalah falsafah Hegel seakan-akan memaksa pembaca untuk bersetuju dengannya).

Kisah hidup Kierkegaard adalah seperti sebuah drama melankoli. Ianya penuh dengan duka seperti kematian adik-beradik dan ayahnya pada usianya yang masih muda, dan dirinya yang memutuskan pertunangan dengan seorang gadis yang amat dia cintai, dan lain-lain yang tidak aku sertakan dalam buku ini. Kisah mengenai dirinya yang putus cinta, melaui jurnalnya, kita betul-betul melihat bagaimana dia mencintai dan memuja gadis ini dan tidak dapat tidak dari bersimpati dengannya.. Kierkegaard juga banyak menulis polemik kepada figura intelektual Denmark yang lain, sehingga dirinya sendiri menjadi sasaran cemuhan.

Dan kerana dia giat menulis , kita pada zaman sekarang dapat melihat melalui jurnalnya, sebagai contoh, untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai idea-ideanya. Namun, malangnya, hayatnya tidak lama kerana pada umur 42 tahun, dia pergi menemui Tuhan. Disebabkan Kierkegaard merupakan seorang yang aku amat hormati (dan hormat tidak semestinya bermaksud aku bersetuju dengan idea-ideanya), aku kini membawa kau melawat kuburnya di tengah bandar Copenhagen, untuk memberi sedikit penghormatan dan memperingati hidupnya yang singkat namun amat produktif. Bawa payung kau, kerana sudah tentu ianya akan hujan.

Sumber Primer:

1. Either/Or tulisan Kierkegaard(1843) terjemahan H.V. Hong dan E.H. Hong (1987)

Sumber Sekunder:

1. Pengenalan kepada Either/Or oleh Alistair Hannay(1992).

2. Continental Philosophy : A Critical Approach karya W.R. Schroeder (2005)