ASKAR BERJALAN KAKI - 15
Sehari sebelum Krismas kami bertolak ke London untuk melihat persekitaran dan kesibukan kota London. Dari stesyen bas Nothingam kami menaiki bas selama 3 jam sebelum tiba di hadapan Malaysia Hall. Di sana kami bersarapan pagi menu Malaysia. Terasa lazat sangat nasi lemak kerana itulah selera lidahku.

Aku janggal di sini kerana inilah kali pertama aku mendarat di kota London yang penuh dengan seribu cerita. Tapi bagi isteriku ia adalah kali ketiga. Dia agak biasa sebab dah pernah sampai.

Selepas sarapan kami bersiar-siar dari satu tempat ke satu tempat sambil menyaksikan berbagai gelagat. Kami naik tiub bawah tanah yang terletak hampir 100 meter ke dalam. One day ticket Boleh membawa kami ke mana-mana dalam zon yang ditetapkan dalam tempoh sehari.

Aku tidak perasan masa berjalan begitu pantas. Satu ketika aku nampak sebuah van berhenti di tepi jalan dan cara pekerja mengendalikan urusan keluar masuk peti dari sebuah van menarik perhatianku.

Tanpa ku sedari isteriku telah bergerak jauh kehadapan. Bila aku toleh dia sudah tiada. Lama aku tunggu di situ dan dia tunggu dihadapan dengan harapan aku akan bergerak ke hadapan. Tapi sangkaku dia telah bergerak ke kanan maka aku pun pusing ke kanan.

Kemudian aku turun semula ke bawah keretapi bawah tanah yang juga di kenali sebagai tiup. Nama tempat tersebut adalah Marble Arc. Tiket sehari yang aku pegang membolehkan aku berulang alik dari tempat itu ke Malaysia Hall banyak kali.

Begitulah keadaanya di mana kami saling menjejaki antara satu sama lain selama 4 jam dan tidak bertemu. Aku juga telah ke Rumah Malaysia (Malaysia Hall), kalau-kalau isteriku akan datang ke situ. Sangkaan ku meleset, dan selepas tinggalkan pesanan aku keluar lagi. Aku semakin tertekan kerana aku ada duit dan dia hanya ada tiket balik. Puas aku mencarinya dan masih gagal.

Tiba-tiba aku tergerak untuk pergi ke stesyen bas yang akan membawa dia balik ke Nothingam. Nama tempat itu adalah Victoria Coach Stesyen. Dengan penuh harapan aku menaiki bas menuju ke sana.

Tapi bas hanya berhenti jauh dari stesyen tersebut lalu aku berjalan dengan penuh harapan sambil menitiskan air mata kerana bimbangkan keadaan isteriku. 2 Orang pelajar Malaysia yang sedang bermain video game aku hampiri dan bertanya di manakah stesyen tersebut.

Mereka kata dah tak jauh dah. Ketika semakin hampir dengan stesyen, tiba-tiba aku dipeluk oleh isteriku. Di berlari memelukku betul-betul di tengah jalan raya. Anehnya tidak seorang pun pemandu teksi dan kenderaan awam yang membunyikan hon.

Mereka cukup berhemah tinggi dan tahu menghormati orang lain. Aku dapat bayangkan jika kejadian tersebut berlaku di Malaysia, sudah tentu mereka melanggarku atau sekurang-kurangnya memarahi kami. Sambil menangis isterku bertanya tentang apa yang berlaku. Kami bertukar-tukar cerita. Katanya dia tak sangka perkara tersebut boleh berlaku dan memohon maaf.

Katanya lagi bas akan berjalan dalam masa 10 minit. Kami pun terus naik bas tersebut untuk ke Nothingham. Tak perlulah beli tiket sebab tiket yang kami pegang adalah untuk pergi dan balik. Sepanjang perjalanan kami bertukar-tukar cerita lagi.

Sesungguhnya peristiwa tersebut amat menakutkan kami. Apa lagi ia berlaku di Negeri orang. Alhamdulillah tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku. Malam itu isteriku masak nasi goreng. Terasa sungguh lazatnya makan nasi panas di negara sejuk.

Moral di sebalik kejadian ialah kita mesti sentiasa mengambil langkah keselamatan kemana hendak pergi atau cari jika sesat atau hilang. Di tempat yang asing bagi kita perlu di tetapkan tempat menunggu atau tempat berkumpul semula.