peri bumi di awal permulaan hijrah Baginda Rasulullah s.a.w. sehingga dapat melahirkan umat yang sanggup berkorban demi untuk saudara seagama dan memberi kekuatan kepada umat
Islam.
Kisah mereka telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Hasyr ayat 9 :
Bermaksud : dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang-orang Muhajirin) mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka. dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang mengutamakan berhijrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah orang-orang yang berjaya .
Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa melalui persaudaraan sahajalah, dapat melahirkan suasana saling bekerjasama dan sanggup berkorban, melupakan soal kepentingan diri sendiri
demi membina kemajuan dan melahirkan kesatuan ummah yang cemerlang terutama dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap sesama manusia dan juga tanggungjawab terhadap
Allah.
PERTAMA : Pada Hari Kiamat, Mereka Akan Berada Di Bawah Naungan Arasy Allah.
Sabda Rasullullah s.a.w. :
Bermaksud : Sesungguhnya Allah s.w.t. pada hari Kiamat berfirman : (di manakah orang yang kasih mengasihi kerana keagongan Ku Pada hari ini aku akan menaungi mereka di dalam naungan Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan Ku ) . ( Hadis riwayat Muslim )
KEDUA : Mereka Merasakan Manisnya Iman .
Sabda Rasulullah s.a.w. :
Bermaksud : sesiapa yang memiliki tiga perkara nescaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul Nya lebih daripada yang lain dan ia engasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka . ( Hadis riwayat bukhari dan Muslim )
KETIGA : Dosa-dosa Mereka Diampuni Oleh Allah .
Sabda Rasulullah s.a.w.:
Bermaksud : Daripada al-Bara r.a. katanya : telah bersabda Rasulullah s.a.w. : tiada di antara dua orang
Islam yang bertemu maka lalu berjabat tangan keduaduanya melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah . (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi )
Umat Islam pada hari ini sedang berada dalam satu keadaan yang amat bercelaru iaitu di antara pegangan ajaran agama dan amalan seharian. Islam menyeru umatnya bersatu padu dan berkasih sayang tatapi realitinya terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini berpecah, bermusuh-musuhan, berpuak-puak dan lebih menyedihkan sanggup membunuh sesama sendiri.Semakin banyak seruan yang menyeru kepada kesatuan, maka semakin ketara keretakan dan perpecahan di kalangan umat Islam, di mana silapnya dan bila keadaan ini akan berakhir .
Keadaan yang mengelirukan ini ditambah lagi dengan konflik sesama sendiri dengan fitnah memfitnah, tuduh menuduh, hasut menghasut dan benci membenci antara satu sama lain. Keadaan ini sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam yang menganjurkan umatnya berkasih sayang, hormat menghormati, bersatu padu dan saling bantu membantu antara satu sama lain.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali Imran 103:
Maksudnya : dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali agama Allah (Agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa Jahiliah dahulu,) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu
orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa Jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga ) demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah Nya .
Marilah sama-sama kita membina kembali hubungan persaudaraan yang semakin longgar serta memeliharanya dengan bersungguh-sungguh. sebagaimana contoh yang telah ditunjukkan oleh para sahabat sehingga terbentuk satu umat yang sangat kuat kesatuannya dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dari musuh-musuh Islam. Maka dengan hal yang sedemikian,
dapatlah kita umat Islam membina peradaban Islam yang unggul dan cemerlang serta mampu menjadi penyelesai kepada pelbagai persoalan semasa yang berlaku.
Di antara perkara-perkara yang perlu diambil perhatian untuk memantapkan persaudaraan ialah :
1. Memberi Salam Apabila Bertemu Antara Satu Sama Lain.
Sabda Rasullullah s.a.w. :
Bermaksud : Daripada Abu Hurairah r.a. katanya sabda Rasulullah s.a.w. : demi diri ku dalam kekuasaan Nya, kamu tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak dikatakan beriman dengan sempurna sehinggalah kamu berkasih sayang, suka kah kamu jika aku tunjukkan sesuatu apabila kamu melakukannya nescaya kamu akan berkasih sayang sebarkanlah ucapan salam di kalangan kami . ( Hadis riwayat Muslim )
2. Sentiasa berhubung untuk bertanya khabar sama ada dengan bertemu secara langsung atau dengan apa sahaja cara perhubungan yang ada pada zaman yang serba canggih dan moden pada hari ini.
3. Bantu membantu antara satu sama lain.
4. Melazimkan ziarah menziarahi sebagai satu amalan hidup.
Kehidupan di zaman ini menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran yang paling hebat ialah dengan pentingkan kebendaan di dalam hubungan sesama manusia. Ini menuntut kita supaya memperbaharui ilmu tentang persaudaraan kerana Allah di dalam Islam.
Apa yang dimaksudkan dengan ilmu persaudaraan kerana Allah ialah bagaimana kita berkomunikasi, saling faham memahami, saling memaafkan, saling mengasihi di antara satu sama lain, dan bukan setakat itu bahkan bagaimana kita berselisih pendapat di antara satu sama lain di bawah bayangan kasih sayang kerana Allah
Sesungguhnya seorang yang memperjuangkan Islam sangat memerlukan ilmu ini supaya hubungan di antara individu-individu di dalam sesuatu jemaah itu menjadi kukuh, dan supaya usaha kita semua tidak sia-sia begitu sahaja, kerana ukhuwah bukanlah syiar yang dilaung-laungkan ataupun kata-kata yang dituturkan, akan tetapi ia adalah perbuatan dan tingkah laku. Ia merupakan sistem kehidupan, kerjasama, saling lengkap melengkapi, kasih sayang, cermin setiap seorang daripada kita supaya dapat melihat dirinya dengan terang dan jelas, serta ia merupakan tubuh badan yang satu dan satu binaan yang kukuh.
Jadi, jika kita telah mencapai tahap ini maka kita telah menjejakkan kaki kita pada permulaan jalan untuk menuju kejayaan yang diimpikan, kita boleh mengambil pengajaran daripada sirah
Baginda SAW di mana baginda mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansar ketika mula-mula berhijrah ke Madinah sebagai satu langkah pertama selepas mengukuhkan aqidah dan iman di dalam jiwa para sahabatnya RA.
Demi merealisasikan tujuan ini, marilah kita merenung sejenak tentang kepentingan Ukhuwah, kedudukannya, cara-cara menyemai dan memeliharanya serta kesannya kepada individu dan masyarakat.
Kepentingan Ukhuwah
Ukhuwah adalah satu nikmat yang sangat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman kerana ia adalah satu hubungan yang mana tidak ada hubungan yang lebih kukuh daripadanya.
Sesungguhnya aqidah ini sangat ajaib. Apabila hati-hati pemiliknya bertemu, maka akan menjadi lembutlah hati yang keras, akan suburlah hati yang gersang, akan terikatlah hati-hati tersebut dengan ikatan yang sangat kuat dan mendalam. Justeru, pandangan mata, pergerakan anggota dan degupan jantung menjadi titik-titik perkenalan, kasih sayang, kesetiaan, kerjasama dan tolak ansur yang tidak mampu mengetahui rahsianya selain tuhan yang menyatukan hati-hati tersebut, dan tidak akan merasai kemanisannya melainkan hati-hati itu sendiri.
Allah mengingatkan hamba-hambanya tentang nikmatnya yang besar ini serta mengajak mereka kepada perpaduan serta menjauhi perpecahan dengan firmannya yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepada mu ketika mana kamu semua bermusuhan lalu Allah menyatukan di antara hati-hati mu maka kamu menjadi bersaudara dengan nikmatnya. (Ali Imran: 103)
Mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansar pada permulaan gerak kerja Nabi SAW di Madinah merupakan suatu yang amat penting di dalam menyediakan satu generasi yang hebat, dan di dalam membentuk negara Islam yang pertama. Baginda SAW mampu menyatukan saf mereka di atas satu tujuan yang lebih tinggi daripada segala tujuan dan kepentingan-kepentingan peribadi yang sangat mudah hilang ketika menghadapi mana-mana serangan.
Baginda SAW mengikat mereka dengan hubungan aqidah serta menekankan tentang peri pentingnya hubungan yang terjalin di atas aqidah tersebut. Justeru, hubungan Ukhuwah ini mampu memelihara keamanan dalaman bagi negara baru tersebut dan menjadikannya mampu berdepan dengan pelbagai jenis cabaran.
Berkata seorang alim: Apa yang dimaksudkan dengan Ukhuwah itu ialah terikatnya hati-hati dan jiwa-jiwa dengan ikatan aqidah, dan aqidah itu adalah ikatan yang paling kuat dan mahal. Ukhuwah itu adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kekufuran. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan perpaduan namun tidak akan tercapainya perpaduan tanpa kasih sayang dan tahap kasih sayang yang paling rendah ialah dengan berlapang dada dan tahap yang paling tinggi ialah dengan mengutamakan orang lain ke atas dirinya sendiri.
Allah berfirman yang bermaksud, Dan barang siapa yang dipelihara kebakhilan dirinya maka merekalah orang-orang yang beruntung. (Al-Hasyr: 9)
Seorang yang benar akan melihat sahabat-sahabatnya lebih utama dari dirinya kerana jika dia tidak bersama mereka maka dia akan bersama orang lain dan jika mereka tidak bersamanya maka mereka akan bersama selainnya, dan serigala hanya akan memakan kambing yang bersendiri.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, Orang mukmin terhadap orang mukmin umpama satu bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.
Allah berfirman yang bermaksud, Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah penolong sebahagian yang lain.
(At-Taubah: 71)
Peristiwa penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat dari Mekah ke Madinah merupakan satu titik penting di dalam sejarah perkembangan agama Islam. Dakwah Rasulullah s.a.w mendapat tentangan dan ancaman yang hebat terutamanya setelah baginda diperintahkan untuk menyampaikan Islam secara terbuka kepada masyarakat Mekah. Penghijrahan Baginda ke Madinah bukanlah untuk melarikan diri tetapi adalah untuk membentuk strategi baru di dalam mengembangkan ajaran Islam. Malah penghijrahan ini terjadi atas jemputan masyarakat Madinah sendiri dan bukan atas permintaan baginda.
Ternyata sekali betapa perancangan Allah SWT tiada bandingannya. Masyarakat Islam yang pada awalnya kerap ditindas dan diseksa oleh kaum Musyrikin Mekah berubah menjadi sebuah masyarakat yang mempunyai kedudukan yang kuat, mempunyai peraturan, pemimpin dan matlamatnya tersendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan member bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar. [Taubah:100]
Hijrah Baginda dan para sahabat telah lama berlaku, namun semangatnya tetap dan harus selalu ada di dalam jiwa setiap Muslim. Atas sebab itulah masyarakat Muslim seharusnya mengambil momentum dari peristiwa tersebut dan mengaplikasikannya di dalam berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Memperbaiki segala apa yang terkurang dari tahun sebelumnya dan merancang yang terbaik untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Kejayaan Baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar seharusnya menjadi contoh tauladan terbaik bagi kita umat Islam di Malaysia. Mereka Berjaya mengetepikan perbezaan latar belakang dan pendapat atas nama Islam dan persaudaraan sesama Muslim.
Namun peristiwa ini seperti ibarat angin lalu apabila masih kita masih lagi saling curiga-mencurigai dan bermusuh-musuhan hanya kerana perbezaan ideologi politik. Seharusnya kita saling bekerjasama dan bantu-membantu di dalam memajukan masyarakat Islam yang tampak serba ketinggalan jika dibandingkan dengan masyarakat lain.
Pesan Baginda Rasulullah s.a.w agar kita sentiasa berpegang dalam jemaah dan bersatu padu akhirnya hanya tinggal lembaran nasihat akibat taksub akan fahaman masing-masing. Hari ini kita hanya mampu berbangga dengan pencapaian umat Islam di masa silam. Namun kita masih belum mempunyai sesuatu untuk dibanggakan oleh generasi akan datang. Kita hanya mampu merenung sejarah silam tanpa mengambil sebarang iktibar darinya. Kebangkitan Islam tejadi dengan persaudaraan Muhajirin dan Ansar, kejatuhan Islam terjadi apabila terdapat permusuhan sesama Islam di zaman Turki Uthmaniyyah.
Jika kita masih tidak mampu dan memahami erti penghijrahan dan persaudaraan yang Baginda telah tunjukkan walaupun saban tahun kita menyambutnya, maka layak kah kita berbangga dengan pencapaian yang bukan milik kita.
Kisah mereka telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Hasyr : 9.
Bermaksud : dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang-orang Muhajirin) mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka. dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-
orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah orang-orang yang berjaya.