SIDANG SERANGGA - 15
HUJAN lebat semenjak awal Februari, 1984, hari genap 10 tahun usia Wilayah Persekutuan yang diikuti pula oleh Tahun Baru Cina - Tahun Tikus tidak berhenti-henti hingga hari Jumaat, 10 Februari 1984. Tiga buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu, iaitu Johor, Pahang dan Negeri Sembilan (Gemas dan Bahau) telah dilanda banjir. Beriburibu orang telah terpaksa dipindahkan ke tempattempat tinggi yang selamat.

Profesor Doktor Mentadak Mentadu, Lipas Putih dan enam laba-laba bara (LLB) terpaksa berlindung pada cucuran atap Restoran Rakyat, tanpa makanan yang cukup.

Utusan Melayu pagi Jumaat, 10 Februari, 1984 pada muka depan bahagian bawahnya melaporkan beberapa jabatan yang terlibat dengan rasuah.

Dalam berita yang sama Utusan Melayu telah melaporkan juga bahawa satu senarai khas telah dibuat bagi mengenal pasti agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan amalan-amalan rasuah supaya tindakan-tindakan mencegahnya mudah dijalankan.

Lipas Putih: Agensi-agensi kerajaan ada banyak; yang mana satukah paling rasuah

Profesor Doktor Mentadak Mentadu: Manalah kita kaum serangga boleh tahu Ada berita dalam Utusan Melayu hari Jumaat, 10 - 2 - 84 yang mengatakan 432 guni beras telah dirampas oleh Kerajaan Negeri Kelantan daripada LPN. Saya fikir apa yang lebih baik kita analisa ialah sebab-sebab yang mendorong manusia zaman moden dan kemajuan sekarang ini melakukan perbuatan-perbuatan rasuah, penyelewengan dan menyalahgunakan kuasa.

Lipas Putih: ebab utamanya, saya fikir, ialah kerana mereka itu ingin sangat kepada kekayaan, kesenangan, kemewahan, pangkat dan darjat supaya mereka itu dihormati atau ditakuti oleh masyarakat, oleh orang ramai akan rakyat jelata yang miskin.

Profesor Doktor Mentadak Mentadu: Mesti ada sebab-sebab lain, iaitu judi, arak, zina, pangkat, bintang-bintang kehormatan. Dalam bulan April ini kita boleh lihat bagaimana tokoh-tokoh politik akan berebut-rebut kuasa, Mungkin akan berlaku peristiwa tembak-menembak

LLB E: Ada berita sedih dari Genting Highland, tan profesor. LLB H telah mati; mati kena sembur dengan racun serangga oleh seorang pelacur di sebuah hotel di kemuncak kasino itu, tuan profesor; mati terjuntai pada taliannya sedang ia merakamkan perbualan pelacur itu dengan teman lelakinya, seorang Melayu yang bergelar datuk, atau yang hanya dipuji dan di bodek oleh pelacur itu dengan gelaran datuk yang kononnya baru menang main judi.

Lipas Putih: Pelacur itu Melayu jugakah Siapa namanya, berapa tahun umurnya dan berasal dari mana

LLB E: Mengikut laporan yang kami dapat dengar sebelum LLB H meninggal dunia wanita itu yang berusia lebih kurang 21 tahun, berasal dari sebuah kampung di lereng Bukit Candan, Kuala Kangsar. Waktu ia berusia 10 tahun maka ia telah dibawa oleh ibu dan ayahnya berhijrah ke Kuala Lumpur di mana ia telah disekolahkan hingga tamat SPM mendapat gred satu.

Lipas Putih: Namanya, dan adakah juga kenyataankenyataan lain yang telah dapat dirakamkan

LLB E: Dia memakai banyak nama samaran. Waktu datuk yang pada hari itu sedang teruk mabuk menguratnya, berasmaradana dengannya, dia memakai nama Linda. LLBG dan H telah ternampak datuk itu memberi wang tunai serib ringgit kepadanya, wang kertas $100.00 baru sepuluh keping.

Lipas Putih: Cantikkah rupa paras wanita muda itu

LLB E: Tidak tahulah, tuan. Tetapi kalau tidak cantik tentulah datuk itu tidak tertarik kepadanya.

Profesor Doktor Mentadak Mentadu: Nyatalah semakin ramai orang-orang Melayu yang mengaku percaya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa tidak takut kepada Tuhannya. Malahan, ada orang-orang Melayu telah mati dalam masa teruk mabuknya, sesudah digoda dengan kata-kata yam seng! yam seng!!

Lipas Putih: Semenjak zaman dulu kala lagi perangai bangsa Melayu memang begitu. Sebab itulah dalam kitab Sejarah Melayu ada cerita Puteri Gunung Ledang, kisah jambatan emas dan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, ada cerita Tun Teja, anak kesayangan Bendahara Pahang telah dicolek atau dirampas oleh Hang Tuah untuk menyempurnakan hajat Sultan Melaka.

Profesor Doktor Mentadak Mentadu: Tuan hamba sudah lama hidup dalam dunia fana ini, sudah hampir-hampir sama dengan usia Almarhum Mat Kilau, pahlawan Melayu Pahang yang termasyhur itu maka tentulah tuan hamba banyak mengetahui daripada hal kelemahan-kelemahan bangsa Melayu dalam tanah airnya sendiri.

Lipas Putih: Memang saya boleh mengaku tahu banyak. Di Kuala Lumpur ini dulu semua tanah dipunyai oleh keluarga-keluarga Melayu. Tetapi sekarang entahlah! Dalam masa pemerintahan orang Putih dulu, orang-orang Melayu ramai yang bergigi emas, lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi perempuan-perempuan Melayu yang berada, yang agak kaya sedikit. Mereka memakai gelang kaki emas, pending emas, sikat emas, dokoh-dokoh emas, kerongsang bulan bintang emas, dan yang lebih kaya pula memakai perhiasan-perhiasan badannya intan berlian. Sekarang apa sudah jadi Yang menghisap dadah pula yang paling ramai. Yang rasuah, yang menyalahgunakan kuasa dan yang menyeleweng jangan cakaplah.

LLB C: Cuaca hari ini, Jumaat, 10 hari bulan Februari 1984, sudah mula panas semula, sudah tidak ada bakat-bakat cucuran atap Restoran Rakyat ini, sebab kami terasa lapar. Oleh kerana itu benarkanlah kami turun daripada cucuran atap Restoran Rakyat ini, sebab kami terasa lapar dan dahaga.

Lipas Putih: Ya, lebih baiklah kita semua turun dari sini. saya pun lapar. Malam besok, sepatutnya, boleh dapat banyak makanan di taman warung-warung pakai roda di belakang RR ini.

Profesor Doktor Mentadak Mentadu: Tetapi ingatlah, kamu jangan leka ebab kamu ada tugas istimewa hari ini, kamu semuanya, LLB A, B, C, D, E dan F hendaklah berkejar pergi ke Masjid Negara untuk merakamkan khutbah Jumaat hari ini, sebab kita sekarang sudah punya Agong yang baru, yang ke delapan. Apakah agaknya bunyi khutbah Jumaat hari ini

Lipas Putih: Sungguh elok arahan itu, tuan profesor. Tuan sebenarnya seorang pemimpin yang bijaksana, yang sentiasa waspada. Malam besok, malam minggu, mungkin kita akan dapat mendengar komen-komen darihal semasa daripada orang ramai yang berkunjung ke taman warung-warung yang berantai pada siang hari, tetapi permai dan sibuk pada malam minggu esok dengan kilauan lampulampu elektrik. Malaysia sekarang sudah mencapai banyak kemajuan, istimewa kota raya K.L. ini.

Profesor Doktor Mentadak Mentadu: Yang lebih penting bukan saja khutbah Jumaat hari ini, tetapi cakap-cakap orang ramai daripada hal pemilihan ketua-ketua baru UMNO dan lain-lain parti politik juga yang ada dalam Malaysia yang bertuah ini. Saya akan memberi arahan kepada LLB G supaya ia jangan turun dari Genting Highland ebab tentunya mesti ada banyak lagi kejadian-kejadian luar biasa di sana. Perjuangan kita masih jauh daripada selesai, sebab keadaan dunia masih membimbangkan kita semua, walaupun manusia nampaknya semakin khayal dengan godaan-godaan kebendaan, pangkat dan darjat.

Lipas Putih: Bolehkah tuan profesor memberikan analisa yang jelas darihal sebab-sebab semakin ramainya kaum bumiputera yang berhijrah ke bandar-bandar besar dan kecil, meninggalkan kampung halaman mereka itu yang masih menghijau subur dengan macam-macam tanaman dan tumbuhtumbuhan. Kenapa, misalnya, Linda, anak keluarga yang berasal dari kampung di lereng Bukit Candan itu menjadi pelacur Adakah mereka itu sangat kuat tertarik kepada cara-cara hidup di bandar-bandar, terpikat dengan cahaya lampu-lampu yang berkilaukilauan bila malam, sebagaimana kelekatu dan lainlain serangga yang bersayap, tertarik kepada lampulampu letrik, malahan kepada api pelita-pelita biasa

Profesor Doktor Mentadak Mentadu: Ada banyak sebab dan faktor-faktornya, ayahanda. Kampungkampung tradisi masih menghijau, tetapi sawahsawah dan bendang-bendang semakin banyak yang ditumbuhi lalang. Pokok-pokok buahan sudah semakin banyak yang saka, tidak ditanam semula dengan pokok-pokok baru dari baka-baka yang baik. Ikan-ikan daripada jenis-jenis yang baik, seperti temoleh dalam Sungai Perak, jelawat dalam Sungai Pahang dan kelah dalam sungai-sungai yang lain sudah hampir pupus. Binatang-bintang liar yang boleh dimakan, seperti rusa, kijang, pelanduk, kancil dan juga berjenis-jenis burung juga sudah hampir pupus semuanya. Nilai-nilai hidup yang baik sudah tidak mahu dipakai Iagi oleh mudamudi zaman sekarang. Dan saya agak wanita-wanita seperti Linda itu ada ramai dalam bandar raya Kuala Lumpur ini. Walau bagaimanapun, nasib kita kaum serangga, masa depan kita, adalah lebih baik daripada masa depan manusia. Berbanyak-banyak syukurkan kita kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, Yang Bijaksana, Pengasih dan Penyayang.