Dari dataran Masjid Nabi, angin kering panas menerpa memecah-mecahkan bibir dan tapak kaki. Kulit merekah di sana sini. Kubah hijau tersergam hebat, dia dapat melihat dari sini makin ramai manusia berpusu-pusu menziarahi makam Rasulullah yang bersebelahan dengan makam Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar.
Tiang-tiang kubah mekanikal tegak bersusun-susun. Dia membayangkan kalau kubah itu dikembangkan tentu beregis-regis cantik. Besarnya Masjid Nabi ini sudah merebak-rebak hingga ke perkuburan Baqi.
Imannya bergoncang hebat di sini. Rasa kecil memikirkan semua yang berlaku. Setiap bukit, pohon, pasir, dan kerikil merakam sejarah; ia mencatat sirah nabawiyyah. Pagi tadi, ketika dibawa ke Uhud, dia menahan sebak. Uhud ialah kisah keimanan yang tiada tolok banding. Kisah kepatuhan, pengorbanan diri dengan keluhuran jiwa dan kemulusan perasaan teragung.
Terbayang-bayang Musab bin Umair, teruna manja hidup mewah, mendadak diberi hidayah memeluk Islam. Kekayaan itu direntap ibunya yang kufur. Dia lantas hidup sederhana, terlalu sederhana dengan keimanan hingga tatkala syahidnya di medan Uhud, jenazah mulia itu terpaksa dikebumikan secara ditutupi rerumput idhkir di atas kaki.
Juga dia lebih tersedu mengenangkan Abu Dujanah menjadikan tubuhnya perisai melindungi Rasulullah hingga tertusuk-tusuk oleh anak-anak panah di belakang badan.
Lebih haru tentulah kisah kesyahidan Sayidina Hamzah yang jantung dan paru-parunya dikorek dan dimamahmamah Hindun. Akan tetapi saban masa, fikirnya, berpusu-pusu umat Islam menunaikan haji dan umrah dan melengkapi dengan ziarah. Tiada hasil tiada natijah. Apabila pulang tiada sedikit pun kesan jihad pada diri baginda itu terpalit bersama.
Mereka datang dan pergi, tetapi lalai mengutip teladan serta pengajaran di kota Rasul ini. Akan ke manakah Muslimin Bukankah penyair agung Iqbal ada mencatatkan betapa kasih cinta kita makin berkurangan terhadap Nabi
Muhammad.
Senja itulah, kala Saiful Izham sedang larut mengenalngenal dan merasa-rasa detak jiwa umat, dia ditegur Mohtashemi, pemuda Iran yang rupa-rupanya sudah beberapa lama memerhatikan diri penuh minat. Kemudian, dalam penerbangan dari Madinah ke Jeddah, dalam ihram untuk ke Makkah, sempat pula berkenalan dengan pasangan Melayu Afrika Selatan yang baru berkahwin dua minggu . Muhammad Muneer dan Shereen. Kacak dan jelita, sama-sama padan.
Senja inilah, selepas dua tiga hari di Masjidilharam, berulang-alik menginap di Makkah Hilton yang agam gah itu, mereka bertemu semula bagaikan saudara. Sedang fikiran Saiful masih pergi datang dan perca-perca sejarah umat Islam sekejap singgah menjengah dan lari tergesa. Dalam benak terbayang cemuhan dan penghinaan diterima Rasulullah sebelum hijrah.
Seketika terkesima diusik gambaran ngeri pemberontakan rakyat Mesir, hingga mereka membunuh khalifah ketiga, Sayidina Uthman. Larut diterjah peristiwa serangan Tartar ke atas empayar Islam. Dia pedih luar dalam. Ketika terngiang-ngiangkan bacaan merdu tinggi rendah dan sesekali pekik Imam Sudaisi yang mencuit-cuit hati itulah mereka bagaikan tidak percaya boleh berjumpa lagi. Langsung ke telaga zamzam bersama-sama dan senja esok berjanji untuk mengerjakan umrah bersekali.
Sekarang, senja di al-Haram. Mereka menunaikan permuafakatan semalam. Mereka mengambil bas Saptco dua tingkat ke Tanaeim untuk berniat ihram. Setelah maghrib bergegas ke stesen bas di bahagian kanan Hilton. Bas akan melalui jalan at-Tayseer. Tidak jauh, istana Ajyad memandang mereka.
Mohtashemi, pelajar Usuluddin di Qom Muqaddasa (pangkalan imam Khomeini melancarkan gerakan politik bertenaganya itu). Tinggi tegap, hidung mancung, dan kulit kemerah-merahan dengan jambang halus-halus.
Entah mengapa mengingatkan Saiful kepada pelakon Antonio Banderas. Muneer meninggalkan isteri bertawaf sunat di al-Haram. Tinggi hampir menyaingi, bercakap laju dan selalu membetulkan cermin mata lebih kepada acuan lelaki India daripada Melayu bisik resik dalam hati. Mungkin sahaja Melayu kacuk akar itu kacuk akar ini, hingga Melayu nya kurang pekat terpancar di wajah.
Dalam perjalanan ke Tanaeim yang sepatutnya pendek, tetapi jadi panjang kerana bas mengambil pelbagai jalan dan membelok masuk berbagai-bagai simpang Mohtashemi si provokatif, memilih topik, tamadun atau umat Islam bahagian mana akan menerajui Islam selepas ini tajuk perbincangan yang menarik tetapi jadi kecamuk buat Saiful yang suka berkhayal mengembara ke zaman belakang.
Bagaimana membina tamadun baru yang betul-betul bertenaga tanya Muneer.
Lihat dari kaca mata Shariati, kata Mohtashemi.
Ali Shariati Sosiologis Iran tanya Saiful bersungguhsungguh.
Dua syarat penting untuk betul-betul mencipta tamadun jaya.
Apa Muneer tidak sabar.
Jalan-jalan yang dilalui bas ini ternyata sempit, gelap, dan lampu-lampu jalan di kiri kanan tidak berfungsi. Bas melepasi sekolah rendah al-Saidah di kanan. Kedai-kedai makan terasing hidup segan. Tetapi, pada musim haji tentu hidup berani. Bengkel kereta, kedai gunting rambut kurang sibuk.
Pertama, fenomena migrasi atau hijrah. Ingat, Nabi kita berhijrah ke Madinah untuk membina masyarakat baru.
Sebelum itu, umat Islam berhijrah ke Habsyah. Keduaduanya, Ali Shariati melihat faktor manusia itu sendiri, mendasar kepada ayat al-Quran yang bermaksud: Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum, jika mereka sendiri tidak mahu mengubahkannya.
Saiful sedih pedih mengenangkan Sayidina Uthman yang membeli telaga Raumah untuk minuman Muslimin dan membeli tanah untuk meluaskan Masjid Nabi dikepung kejam pemberontak. Khalifah tua dan keluarganya itu dihalangi daripada keluar rumah.
Bekalan air putus. Ummul-mukminin, isteri Nabi, Habibah Abi Sufyan, yang datang menatang air sejuk dipukuli muncung keldainya dan tali pelana diputuskan. Nyaris jatuh tersungkur.
Rupa-rupanya benteng daripada kalangan Abdullah bin Umar, Abdullah bin Zubair dan cucu-cucu Rasulullah, Hassan dan Hussein, tidak bisa lagi menahan pembunuhan ke atas sahabat Nabi yang dijanjikan syurga itu.
Ibnu Khaldun menekankan bahawa pegangan agama ialah unsur paling utama dalam mencipta sesebuah tamadun. Usia tamadun akan terjamin lebih lama jika penghayatan terhadap agama lebih kuat. Juga kemewahan yang dinikmati boleh merosakkan tamadun kalau tiada moral order berkuasa untuk mewarasinya.
Suara Muneer menyentak Saiful ke alam nyata dan dia terkenangkan tamadun Melaka yang perkasa runtuh oleh alpa kemewahan dan cepat dapat direbut Portugis.
Malek ben Nabi, pemikir Algeria itu pun bersetuju bahawa kekayaan hidup menjurus kepada kejatuhan moral roh manusiawi pengumpulan harta tanpa tunjang agama dan budaya bakal menghuru-harakan. Mohtashemi mengambil giliran memberi pandangan.
Saiful, apa kata, Saiful soal Mohtashemi keras, suara meningkah deru enjin yang menenggelamkan sejenak diskusi mereka.
Setuju. Emile Durkheim sendiri melihat kemodenan meruncing menjadikan manusia gawat kacau.
Timbul masalah mal-adjustment atau kegagalan manusia untuk hidup dalam suasana baru. Seperti Ibnu Khaldun, Durkheim pun ikut menyebut, kesatuan sosial dalam masyarakat asas kepada tamadun maju, Saiful memberi hujah.
Tiba-tiba dia teringatkan tamadun yang sedang mekar di negaranya. Hebat gagah. Selesa santak semua orang lupa, lalu penyakit masyarakat berbenih bercambah. Akhlak lupus dan berantakan. Masyarakat atas ke bawah boros. Juga spontan diri terkenangkan kejatuhan RM. Ketika dia baru tiba, RM100 bersamaan dengan 128 riyal. Kini kejatuhan menjunam-junam, RM100 bersamaan dengan 107 riyal. Javid, sarraf, atau penukar wang bersebelahan Hotel Asia menyindir pahit.
Sebab Soros atau kerana boros
RMringgit Malaysia atau rupee Malaysia
Ya kemewahan disebabkan keruntuhan akhlak dan keborosan meruntuhkannya lagi. Padah melewakan nilai
spiritual.
Bas mengambil jalan al-Haj melintasi hadapan Thaqafa Book Store. Deretan kedai barangan ditinggalkan. Penumpang diambil dan diturunkan di mana-mana sesuka hati.
Kelihatan Masjid Tanaeim. Mereka turun, solat sunat ihram dan berniat, lalu naik semula bas yang lain. Sedia menunggu.
Jadi, bangsa mana memimpin dunia Islam selepas ini Semua bangsa sudah merasa sebagai peneraju rasanya, kecuali Melayu! Mohtashemi membuka pendebatan baru.
Saiful teringatkan pandangan Profesor Sayyid Naquib al-Attas, kedatangan Islam telah merubah alam Melayu seluruhnya. Melayu berubah dari rangka mitos ke rangka fakta, akliah, dan intelektualisme.
Ingat surah Ali Imran ayat 140 Dan hari-hari kejayaan itu dikurniakan kepada umat manusia dengan bergiliran, sambut Muneer. Wajah campur Melayunya berseri-seri.
Saiful Izham terdiam. Sesak untuk menerima hakikat yang Melayu diharap-harap akan menjadi pemimpin umat Islam. Dia terkenangkan bohsia dan bohjan di Kuala Lumpur. Terbayangkan ratusan ribu orang Melayu jadi penagih dadah di belakang Lorong Haji Taib.
Tergambarkan sekian banyak penzinaan berlaku dan sekian banyak bayi dibuang.
Ciri-ciri tamadun unggul yang ditetapkan Ibnu Khaldun, Ali Shariati, dan Malek ben Nabi itu hampir tiada pada orang Melayu, dia berani berfikiran begitu. Biarlah nanti orang kata dia pesimistik. Kejujuran tidak boleh ditutupi dengan kemunafikan dan solek hipokrit tebal.
Banyak lagi yang perlu Melayu perbaiki untuk mendapat takhta ulung itu. Terlalu banyak Itu sahaja jawapan yang mampu diberi.
Bas bergerak, tidak jauh dari pusat sukan, ia membuat pusingan U sebelum tersangkak perlahan di hadapan pusat pemeriksaan Muslim. Sebelum itu, mereka terpesona dengan reruntuhan tembok Zubaidah. Seketika tersekat di hadapan Mustasyfa Malik Abdul Aziz.
Bas mengambil jalan Hassan Ibnu Thabit sekali lagi, langsung masuk ke bahagian Makkah yang sibuk. Kedai kebab berderetan sebelum tiba di hadapan Pusat Panggilan Antarabangsa Andalusia. Bas memasuki Second Ring Road, di kanan pangsapuri mewah Ghailmah Tower teguh berdiri.
Bas meneran payah tergigil-gigil kala mendaki bukit kecil dengan hotel dan bilik kediaman murah sesak di kiri kanan. Bas elok-elok turun tidak jauh dari pintu mengarah ke Bukit Marwah. Seratus meter dari Maulid Nabi (tempat kelahiran Rasulullah) yang kini dijadikan Maktabah (perpustakaan). Mereka bergegas masuk ke Masjidilharam. Takjub dengan keagungan Kaabah.
Senja merah jingga al-Haram selesai. Azan isyak berdengung dilaungkan. Mereka terapung bahagia.