CINTA RIMAU - 16
Hasya memberhentikan jip hitam yang dipandunya secara mengejut di tepi lebuhraya LEKAS. Matanya merenung tepat ke depan; membolosi cermin jip yang sedikit gelap dengan nafas yang tercungap-cungap. Peristiwa hampir dirogol oleh bapa tiri telah meninggalkan calar yang tidak akan hilang parutnya di jiwa Hasya. Sehingga kini, segera dia akan menghindar apabila cuba didekati manusia yang menurut firasatnya tiada lain daripada sekadar mahu mengambil kesempatan. Sepanjang hayatnya yang hampir 40 tahun itu, bukan satu atau dua cinta lelaki yang ditolaknya malah bagi si hidung belang yang cuba memerangkapnya dengan taktik agak liar dengan ciuman dan gomolan tanpa kerelaanya akan dihentak bertubitubi tanpa simpati. Ditambah dengan kemampuan Hasya dalam kick-boxing, lelaki mana pun akan terpelanting! Hasya kembali merenung peristiwa berdarah itu dengan mata yang berkaca

Saat dia tersedar dari mimpi akibat jeritan kuat ibunya, dilihat Hasya lelaki yang dipanggil papa itu benar-benar berada di hadapannya, di atas katil yang sama dengannya terkesima dek perbuatan jahatnya yang telah dihidu isteri sendiri, Naim menjadi panik dan tanpa diduga secara tiba-

tiba dia bangun mencekik Hasya pula! Dalam keadaan yang kalut dan mencemaskan itu, Hasnah meluru ke arah mereka bagi meleraikan tangan Naim yang terus galak mencengkam leher Hasya sehingga menyukarkannya bernafas. Dengan sekuat hati dan sepenuh tenaga, Hasnah berjaya juga menyelamatkan Hasya daripada rangkulan Naim sebelum mengarahkannya, Lari!

Hasya yang terkulat-kulat sambil terbatuk-batuk dalam keadaan mengah, berkira-kira untuk lari menyelamatkan diri sebagaimana digesa ibunya. Tapi, mana mungkin dia membiarkan ibu yang disayangi bertarung nyawa dengan paedophilia bertopengkan malaikat ini Dilihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Hasnah dipijak perutnya, ditumbuk muka kiri dan kanan sehingga darah memancut keluar dari lubang hidungnya. Hasya menjadi takut sebelum terperosok duduk di lantai; menangis pilu, menjerit-jerit menggesa Naim agar menghentikan perbuatan kejam terhadap ibunya, Papa kesianlah kat mak jangan pukul mak lagi!

Di kala itu, kedengarannya pintu pangsapuri mereka diketuk-ketuk dari luar. Mungkin jiran berdekatan dikejutkan dengan perbalahan itu lantas mahu menghulur bantuan.

Hasya melulu bangun mahu menuju ke arah pintu, mahu membukanya namun apabila dilihatnya Hasnah yang sedang terlentang dalam keadaan teramat lemah cuba pula dicekik Naim yang kini sudah pun berada di atas; menghempap badan ibunya yang kurus itu, Hasya dengan sepantas kilat menyambar pasu bunga yang terletak di sisi bilik sebelum menghempuknya dengan penuh kudrat ke kepala Naim. Darah membuak-buak mengalir dari kepala lelaki durjana itu sekaligus membuatkan Hasnah seolah bermandi darah. Polis dipanggil, jiran-taulan serta sahabat handai berkumpul dengan penuh gundah dan yang lainnya menjadi sejarah.