Aku bertanyakan Melati tentang apa yang diberitahu Hamiza tentang awan dan bagaimana ibunya menggunakan awan untuk mengkomunisasikan apa yang terkandung di dalam hatinya. Melati tersenyum, lalu dengan besar hati mahu mengajarku tentang jenis-jenis awan dan makna di sebaliknya awan-awan tersebut.
Dari Melati, aku diberitahunya bahawa terdapat banyak jenis awan di langit, tetapi dia telah merumuskan tiga jenis awan yang paling utama agar senang aku fahami maknanya secara kasar:
Awan Stratus:
- Dalam bahasa Latin, stratus membawa maksud sesuatu yang terbentang. Awan-awan seperti ini kelihatan rata terbentang di angkasa seperti selimut tebal menyelimuti langit.
- Kerana awan ini kelihatan seperti lelangit rendah atau kabus di tanah, ia ada kalanya akan menimbulkan suasana misteri lebih-lebih lagi pada waktu pagi. Awan stratus boleh membawa makna kepada perasaan yang terpendam - lebih-lebih lagi apabila awan ini melindungi matahari dari menyinari bumi...
Awan Kumulus:
- Dalam bahasa Latin, kumulus membawa maksud sesuatu yang bertimbun-timbun. Awan-awan kumulus kelihatan berkepulkepul seperti kekapas gergasi yang terapung di udara. Awan kumolonimbus adalah awan dengan kepulan kelompok besar berwarna hitam dan putih dengan bentuk pelbagai rupa. Awan ini membawa hujan yang disertai dengan petir dan kilat.
- Ada kalanya, awan yang berbalam-balam ini boleh membawa maksud sesuatu yang sedih dan muram. Tahap kesedihan yang kita alami boleh ditafsirkan melalui bagaimana terbentuknya awan kumulus ini. Awan yang berbalambalam dan gelap boleh membawa maksud perasaan yang lara. Jika awan jenis ini kelihatan putih melepak pula, ia akan membawa tafsiran yang sebaliknya. Kita boleh memahami maksud yang tersirat melalui corak awan yang ada kalanya akan terbentuk mengikut corak-corak yang kita kenali.
Awan Sirrus:
- Dalam bahasa Latin, sirrus membawa maksud jambul atau rambut yang ikal. Awan ini jika diperhatikan akan kelihatan seperti cotton candy. Awan jenis ini terbentuk jauh daripada paras muka bumi dan selalunya kelihatan indah menghiasi awan yang membiru.
- Awan yang nipis ini membenarkan banyak cahaya matahari membasahi bumi. Ia boleh membawa maksud ketenangan dan keceriaan.
Pada petang itu aku bawa Melati ke tempat rahsiaku. Satu tempat yang sering aku kunjungi jika aku ada menghadapi masalah atau jika aku mahu lari dari segala-galanya. Tak ada sesiapa pun yang tahu tentang tempat ini termasuklah Tamrin. Aku memilih tempat ini sebagai tempat rahsiaku kerana tak ramai orang tahu tentang tempat ini. Aku rasa aku dapat melarikan diriku dari segala-galanya apabila aku ke sini...
Aku bawa Melati ke flat PKNS yang terletak di kampung baru. Aku dan dia menekan lif ke tingkat yang teratas lalu kami ke bahagian paling tepi menara flat ini. Di sini terdapat sebuah tangga besi yang dapat digunakan untuk ke tingkat bawah. Aku dapati Melati agak gayat apabila aku membawanya ke sini, lalu aku terpaksa memimpinnya.
Di situ aku menunjukkan kepada Melati panorama Kuala Lumpur yang tersergam indah. Melati tidak pernah melihat Kuala Lumpur dari sudut ini, jadi aku lihat dia tergamam buat seketika. Dia terus memegang tanganku dengan erat.
Aku beritahu kepadanya dia boleh melihat awan dengan lebih jelas di sini. Melati mengangguk setuju. Dia menghirup udara petang dalam-dalam lalu memandang ke arah setiap awan yang terbentang luas di hadapannya.
Melati menudingkan jarinya ke arah sebentuk awan
dari jenis awan kumulus. Dia menulis ke dalam buku notanya:
Arnab
Aku ketawa kecil. Kemudian aku menudingkan tanganku ke arah awan yang lain. Aku tulis ke dalam buku notanya:
Muka Hamiza ketika dia sedang monyok.
Melati mencubit bahuku. Dia ketawa. Aku ketawa.
Apabila dia terdiam aku memberitahunya bahawa aku menyayanginya. Melati hanya merenung ke dalam wajahku. Aku rasa dia tidak faham apa yang telah aku luahkan kepadanya tadi.
Saya sayang awak, Mel, kataku lagi. Dia masih tidak dapat menangkap apa yang telah aku luahkan kepadanya.
Tanpa aku sedari, inilah kali pertama aku mengucapkan kata-kata ini dengan jujur. Aku sendiri pada mulanya tidak sedar perkataan ini terpacul daripada mulutku. Aku terpaksa mengambil masa beberapa saat untuk memproses bahawa perkataan ini telah aku sebutkan sendiri dari dalam hatiku.
Melati meminta aku menulis apa yang telah aku sebutkan kepadanya tadi. Dia ingin tahu. Dia kata dia hairan melihat wajahku tiba-tiba sahaja nampak serius. Dia tanya jika aku demam. Aku kata tidak, aku memberitahunya aku kepenatan.
Melati menerima jawapan yang aku berikan walau pun wajahnya nampak curiga.
Aku mula sedar bahawa luahan hatiku mungkin sukar untuk difahami Melati.
Dalam bentuk kata-kata, perasaan yang aku alami ini muncul dalam pelbagai bentuk dan manifestasi:
Cinta
Kasih
Sayang
Sukma
Rindu
Setiap satu daripada perkataan yang aku gunakan dapat memberi makna kepada apa yang aku alami dan rasakan. Tetapi aku tak tahu jika perkataan-perkataan ini akan membawa sebarang makna untuk Melati.
Untuk membuatkan Melati memahami tentang perasaanku kepadanya, aku mungkin terpaksa bekerja dengan lebih keras lagi. Aku perlu tahu bagaimana untuk menyebut kata-kata cinta dalam bentuk bahasa yang difahaminya. Aku perlu belajar caranya.
Lama juga kami duduk di anak tangga besi di tepi flat PKNS itu. Melati duduk diam sambil memandang ke arah awan-awan di hadapannya. Ada kalanya dia akan menyelak rambut ku untuk melihat bahagian kepalaku yang luka. Aku beritahu kepadanya lukaku dah baik.
Melati tahu aku bergaduh minggu lepas di kampungnya kerana aku mahu mempertahankan maruahnya.
Saya tak mahu awak bergaduh lagi, katanya di dalam tulisannya di atas buku notanya.
Aku mengangguk perlahan. Dia rasa aku tak serius. Dia pegang dagu aku. Dalam pandangan matanya, aku tahu dia suruh aku janji supaya jangan cepat naik angin lalu bergaduh tak tentu fasal. Sekali lagi aku menganggukkan kepalaku, tapi kali ini dengan lebih tegas lagi.
Pada malam aku dipukul oleh budak-budak skinhead Sawah Ring, aku dapat tahu daripada Hamiza, Melati terus menangis di dalam biliknya apabila ibunya merawatku. Melati takut akan kehilanganku. Aku beritahu Melati, luka aku di kepala tu sedikit sahaja, bukannya boleh dibawa mati. Tetapi Hamiza kata aku tidak melihat keadaan diriku pada malam itu. Darah merah pekat membasahi muka serta bajuku. Hamiza kata dia ngeri melihat keadaanku, tapi Melati langsung tidak mengendahkan itu semua. Dia terus menutup lukaku sehinggalah aku sampai ke rumahnya.
Dia sayangkan awak, Emmet, itulah kata Hamiza kepadaku.
Aku memegang tangan Melati. Hari beransur gelap.
Aku membawanya turun ke tingkat bawah lalu membawanya ke tempat aku meletakkan motorku. Aku dah janji nak bawa dia ke Bukit Bintang, jadi aku bawa dia ke sana. Mel perlu mencari software anti-virus untuk komputernya. Setelah kami dapat mencari software yang dicarinya, aku memberitahunya perut aku lapar.
Kita makan, ya Saranku kepadanya dengan isyarat tangan yang paling senang aku hafal. Dia mengangguk.
Aku keluarkan dompet aku. Aku tak banyak duit. Aku tak sentuh lagi duit yang bapa aku bagi dan kalau boleh aku tak mahu sentuh duitnya itu. Aku tahu dari mana dia dapat duitnya itu. Aku tak mahu duit hasil yang didapatinya daripada melindungi manusia yang bersalah.
Disebabkan aku tak ada duit, aku bawa Melati masuk ke 7Eleven yang terletak di Bintang Walk. Aku tanya kepadanya jika dia tak kisah aku bawanya makan di sini. Dia kata dia tak kisah. Di mana-mana pun boleh. Aku suruh dia duduk di bangku dan meja berdekatan. Meja itu menghadap ke arah Bintang Walk.
Aku beli nasi lemak dua bungkus dan air dua tin. Aku masukkan nasi lemak yang aku beli ke dalam microwave. Bila dah panas, aku bawa bungkusan nasi lemak ke tempat makan. Aku buka bungkusan nasi lemak Melati dan air tinnya. Aku hidangkan makan malamnya.
Bila saya ada duit nanti, saya belanja awak makan kat restoran di depan tu, ya Kataku, sambil memikirkan tentang beberapa buah restoran eksklusif yang terdapat di sini. Apabila aku menoleh ke arahnya, aku dapati dia tidak tahu aku telah mengatakan ini semua kepadanya. Matanya terus kepada makanan yang aku hidangkan. Beberapa saat kemudian dia menoleh kepadaku. Dia tersenyum. Dia tanya mengapa aku tak makan. Aku ambil sudu plastik, terus aku suap nasi lemak yang aku beli ke mulutku.
Aku rasa kehadiran Melati pada malam itu bersamaku sudah cukup untuk membuatku rasa bahagia. Tak apalah jika dia tak tahu bahawa aku sayang kepadanya...