BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 16
Leman, jom bersiap kita ke Temerloh, ajak Cikgu Muhammad.

Mak Cik Vijaya sudah bersiap dengan kebaya labuh Pahang. Sekali pandang persis Raja Ema yang bergulung-gulung rambutnya. Kemudian diambil sehelai selendang panjang dan terus membungkus rambut Mak Cik Vijaya. Diikat dengan kemas dan dipasangkan dua tiga kerongsang membuat ia melekat dan tercegat di situ. Leman menyarung kemeja petak berwarna kuning biru, berseluar slack dengan rambut disisir ke tepi. Cikgu Muhammad pula menyembur semburan mulut beberapa kali dengan ternganga-nganga kepedasan.

Lekas ketiganya turun dari rumah dan berjalan kaki menuju ke stesen bas terdekat. Sambil-sambil duduk menanti bas Union tiba, kelihatan Mak Tehteh sedang memikul seikat besar pucuk paku. Melambailah semua yang ada di stesen.

Saat bas sampai, Leman lebih dahulu berdiri lalu ditarik kembali tangannya lalu duduk oleh Mak Cik Vijaya. Sabar! Beri orang turun dulu.

Leman diam. Cikgu Muhammad sudah berdiri menanti masa untuk naik. Bas Union merah ini sudah lama beroperasi di antara pekan Mentakab ke bandar Temerloh. Dengan tambang hanya tiga puluh sen seorang bagi dewasa dan dua puluh sen kanak-kanak, senang sekali dapat melayan perasaan menaiki pengangkutan ini ke bandar. Pengangkutan bas Union ini merupakan sesuatu yang sangat hebat saat anak kampung pertama yang dilantik menjadi Pegawai Daerah Temerloh pada waktu itu ialah Tuan Hamzah Bin Abdullah selepas berdekaddekad tugas ini dipegang oleh pegawai British. Mungkin sebab itu namanya masih kekal Union.

Mak Cik Vijaya lebih dahulu diberi peluang untuk menaiki bas ini. Kemudiannya Leman dan diikuti oleh Cikgu Muhammad.

Oleh kerana tubuh Leman masih kecil, maka Cikgu Muhammad meriba Leman di pahanya. Leman menolak beberapa kali sedang Mak Cik Vijaya sudah pun duduk menghadap ke cermin kanan bas.

Malu Leman lebih lagi terpacul saat Raslan juga menaiki bas dan dihembusnya ketawa kecil saat melihat Leman masih diriba Cikgu Muhammad. Wajah Leman disimpan kemas dalam tunduk yang paling bawah. Sesampainya di stesen bas Temerloh, Leman mengajak ayah dan ibunya ke benteng, satu deretan kedai lama orang Cina yang terletak betul-betul di hadapan Sungai Pahang.

Enak sekali dapat melihat rumah-rumah nelayan sungai yang terapung di gigi air. Sedang ada antaranya masih mandi dan bermain air, ada juga yang terus menebar jala. Deretan kedai kayu ini masih utuh dan teguh berdiri walau sudah memakan lebih lima puluh tahun beroperasi di situ walau semuanya sudah berkedut seribu di wajah masing-masing.

Mak Cik Vijaya jika ke benteng, pastinya akan melekat di ketiga kedai ini. Hingga ke tahap Cikgu Muhammad akan mengajak Leman untuk duduk minum menghadap sungai yang menjadi ikon negeri terbesar di semenanjung ini.

Sungai Pahang ini dikatakan bermula dari Mukim Jelai dan berakhir di Pekan, Pahang. Mempunyai kepanjangan 459 kilometer dan tersenarai sebagai sungai yang terpanjang di semenanjung Tanah Melayu. Ekosistemnya menarik, hidupan airnya penuh dengan khazanah-khazanah dan seleksi ikan air tawar dan udang biru yang memikat hati. Sudah pastinya di sini dapat dilihat beberapa sangkar ikan patin milik nelayan dan penduduk di pesisir sungai. Ada antaranya juga mendapat tajaan dari Sultan negeri ini yang sememangnya sangat pemurah kepada rakyat.

Leman berjalan-jalan seorang diri melihat rumah-rumah terapung sedang Cikgu Muhammad sudah pun memegang akhbar di tangan. Teh tarik dan kuih badak berendam diletakkan di sisi.

Leman! Mari minum! jerit Cikgu Muhammad.

Leman pun berlari anak dan duduk menghadap. Dibacanya dari belakang akhbar bacaan Cikgu Muhammad tentang Sudirman kini sedang sakit. Artis kesayangan nombor satu negara yang berasal dari Kampung Chengal itu rupanya sedang bertarung dengan satu penyakit misteri.

Rata-rata hampir seluruh rakyat Pahang sangat meminati ikon ini. Anak jati Pahang yang berjaya menjadi peguam dan kini menjadi penyanyi pujaan yang penuh dengan lirik-lirik baik serta memikat telinga dan hati yang mendengarnya. Leman membaca tekun satu demi satu bibit-bibit penceritaan Sudirman yang kini sedang dirawat di hospital.

Abah, Sudirman sakit

Tak tahulah dia sakit apa, kita doakan dia lekas sembuh.

Erm... Lagu Salam Terakhir tu tanda dia dah tak nak menyanyi ke abah

Ish kamu ni. Itu lagu saja.

Leman menduga sesuatu. Tak mungkin seorang penyanyi hanya menyanyi. Pastinya apa yang keluar dari mulut seorang penyanyi itu datangnya dari hati. Ini mesti ada sesuatu.

Lihat sahaja lirik-lirik selepas Sudirman melepaskan isterinya, semuanya lagu-lagu sedih dan merintih. Mana mungkin dia mampu menyanyi lagu gembira saat itu Semua tidak. Leman memandang jauh ke arah sungai. Dengan doa dan harapan supaya ikon kesayangannya ini kembali sihat dan mewarnai dunia hiburan hari ini dan esok.

Untuk mencari penyanyi yang punya etika, menjaga adab dan langsung tidak ada perkara buruk yang dapat diceritakan di dalam televisyen atau radio, carilah nama Sudir. Sudirman Haji Arshad.

Sedang asyik leka menerawang, Mak Cik Vijaya datang dengan lebih lima beg plastik di kiri dan kanan tangannya. Sambil menjegil mata ke arah Cikgu Muhammad.

Sampainya hati tinggalkan saya seorang.

Eh, pergi minum sekejap saja. Ingatkan lama.

Cikgu Muhammad melihat jam, ya memang lama. Sudah lebih dua jam. Mak Cik Vijaya meletakkan punggungnya di kerusi bersebelahan Cikgu Muhammad dan meminta pesanan baru. Sedang Leman membelek satu demi satu plastik mencari mainan yang dipesan sebelum meninggalkan ibunya tadi.

Yeay! Terima kasih mak!

Mainan lagi Dah darjah satu Leman oiiiii, usik Cikgu Muhammad.

Ala abah ni. Kereta ni memang Leman kumpul, kita kan belum ada kereta sendiri. Biarlah Leman simpan koleksi kereta kecil ni.

Mak Cik Vijaya dan Cikgu Muhammad senyum serentak.