MAN BEWAK tidak tertarik langsung dengan apa yang berlaku kepada Pak Syuaib dan Mak Limah. Bukan kerana dia tidak bersimpati dengan nasib mereka, tetapi Mak Bewak berasakan cerita-cerita hantu yang didengarnya, bukanlah cerita daripada pasangan suami isteri itu, sebaliknya daripada orang kampung yang gemar memanjang-manjangkan dan membesar-besarkan cerita. Di dalam kepala Man Bewak hanya dipenuhi dengan cerita Miah dan anaknya. Miah telah dibebaskan oleh polis. Hasil bedah siasat anak lelakinya yang mati, masih belum diketahui tetapi Miah sudah pun berada di rumahnya. Man Bewak tahu benar cerita itu kerana pagi-pagi lagi dia sudah ke rumah Miah. Sekalipun memandang dari jauh, dia dapat melihat kelibat Miah di beranda rumah. Miah bangun awal pagi dan membersihkan halaman rumahnya. Rindunya kepada Miah, hanya dia yang tahu. Dia cukup pasti, kehilangan Pak Long Lateh akan berkekalan sampai bila-bila. Pak Long Lateh tidak mungkin akan kembali semula ke Kampung Sungai Teja. Barangkali Pak Long Lateh telah sesat sewaktu berada di Bukit Botak mencari harta karun seperti yang dicakapkan oleh Tok Ngah Darus tempoh hari.
Atau boleh jadi juga, Pak Long Lateh sudah pun bertemu dengan wanita seberang yang memang gila hendak bersuamikan lelaki tempatan. Hari itu, dia tidak mempunyai sebarang janji dengan Mat Ajib. Kerja-kerja di pekan sudah berakhir semalam. Mat Ajib sendiri sewaktu pulang memberitahunya, hendak berehat sepanjang hari di samping mengurut seluruh tubuhnya yang lenguhlenguh. Man Bewak sangat faham apa yang cuba diberitahu oleh Mat Ajib kepadanya. Sudah tentulah Mat Ajib memberinya isyarat agar tidak diganggu dan dia dapat meluangkan masa bersama-sama isteri dan anak-anaknya. Itu Man Bewak faham sangat. Tentang Pak Su Cik Leh pun, Man Bewak tidak peduli. Biarpun Pak Su Cik Leh juga adalah salah seorang kawan rapatnya, tetapi Pak Su Cik Leh lebih rapat dengan Pak Long Lateh. Mungkin hubungan darah mereka, membuatkan Pak Su Cik Leh berasa lebih selesa untuk bersama-sama Pak Long Lateh yang suka mengarah dan berlagak macam kepala samseng. Malah Man Bewak juga sangat yakin, Pak Su Cik Leh sudah tentunya bersama-sama Pak Long Lateh di Bukit Botak untuk menarik harta karun. Man Bewak cuma pedulikan Miah. Mungkin juga Miah mengharapkan kehadirannya. Sekarang Miah bersendirian. Anak tidak ada. Suami entah ke mana. Anak tidak akan kembali lagi manakala si suami entah balik, entahkan tidak. Tentu Miah sedang kesedihan. Dia mungkin boleh menjadi penyelamat dan penenang Miah. Miah tentu akan mengadu banyak hal kepadanya.
Mungkin Miah akan melentokkan kepala dan kemudian membiarkan dia mengusapngusap rambut Miah dengan penuh kerinduan dan kasih sayang. Dalam keadaan begitu, Man Bewak tidak pedulikan lagi status Miah. Miah mungkin isteri orang tetapi kalau tiga bulan berturut-turut Pak Long Lateh tidak muncul untuk memberikan nafkah batin dan zahir, Miah boleh menceraikan suaminya itu dengan jalan fasakh. Dia boleh membantu Miah untuk mendapatkan persetujuan pejabat agama untuk membubarkan perkahwinan mereka. Kemudian, dia akan melamar Miah untuk menjadi teman tidurnya pula secara halal. Man Bewak berkalih-kalih tubuhnya di atas tilam lembik. Cahaya matahari pagi telah pun menyuluh ke dalam bilik. Awal tadi lagi Man Bewak sudah terjaga tetapi dia sekadar berada di atas katil sambil membalik-balikkan tubuh dengan harapan, perasaan kantuk akan datang dan dia dapat tidur semula sampai santak petang, seperti mana yang dilakukan setiap kali dia tidak keluar bersama-sama Pak Long Lateh, Mat Ajib dan Pak Su Cik Leh. Namun keinginannya untuk menyambung tidur dan mimpi, seakan-akan tidak tercapai dengan bayangan wajah dan tubuh Miah memenuhi segenap ingatan serta perasaannya. Sesuatu yang boleh dinyatakan ialah, dia sebenarnya merindui Miah!
Ah, tak boleh jadi ni! Aku kena pergi jumpa Miah. Entah-entah Miah dah tak ada duit belanja.
Man Bewak teringatkan duit yang ada padanya. Duit itu boleh digunakan untuk dia berada lebih lama di samping Miah. Man Bewak terus bangun. Cadar katil yang berkeronyok, segera dibetulkan. Posisi bantalnya juga dibetulkan biarpun itu bukan perangai rutinnya. Hanya semenjak dia yakin perasaannya terhadap Miah kebelakangan ini, Man Bewak secara tidak sengaja telah mengubah tabiatnya. Dia gemar berkemas. Dan dia gemar membasuh pakaian yang digunakan. Di hadapan cermin pun, Man Bewak akan mengambil masa yang lama, sama ada untuk menyikat rambut atau membuang bulu-bulu hidung yang terjuntai.
Rasa-rasanya cukuplah ni untuk belanja makan hari ini.
Man Bewak mengeluarkan sejumlah wang kertas yang berlipat dari dalam kocek seluarnya yang tergantung di belakang daun pintu biliknya. Duit kertas itu dibelek-beleknya seketika. Dia yakin, Miah tidak akan menolak apabila dia menyerahkan wangnya itu untuk dibelanjakan. Duit itu dimasukkan semula ke dalam kocek seluarnya. Man Bewak mencapai tuala mandinya yang sudah kusam dan tersangkut di atas palang berhampiran dengan pintu. Tuala kusam itu dibelit ke lehernya dan Man Bewak terus ke bilik air. Sewaktu melintasi dapurnya, Man Bewak tersenyum-senyum kecil. Dia cuba membayangkan Miah yang berada di dapur tersebut. Dapur yang sudah lama tidak digunakan dengan cara seharusnya, pasti akan berseri dengan kehadiran Miah sebagai isterinya. Dapur itu akan bersih, barang-barangnya akan teratur. Segala keperluan juga akan dicukupkan. Miah tentu akan menjalankan peranan sebagai isteri dengan sebaikbaiknya. Biarpun Pak Long Lateh tidak pernah bercerita tentang keistimewaan Miah namun Man Bewak cukup pasti, Pak Long Lateh berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh Miah. Apatah lagi, Pak Long Lateh bukannya cukup bertanggungjawab untuk menjaga Miah biarpun kalau diserahkan sebagai ketua rungutan, Pak Long Lateh adalah juaranya. Man Bewak mandi dengan bersungguh-sungguh. Segala keluk dan celah, dibersihkannya.
Man Bewak hendak menghadirkan dirinya yang terbaik di hadapan Miah. Dia mahu Miah memberikan tanggapan terbaik kepadanya. Dia tidak mahu Miah memandang serong kepadanya. Kalau boleh, Man Bewak tidak mahu langsung Miah memandangnya dengan pandangan jijik. Giginya digosok bersungguh-sungguh sampaikan berdarah. Jerawat yang membuncit di hujung dagu, juga dipicit agar nanahnya dapat dikeluarkan. Ketiaknya disabun-sabun biarpun bulu ketiaknya menghalang buih sabun daripada sampai ke dasar kulit ketiak. Rambutnya disyampu agar nanti, tatkala hidung Miah dekat dengan kepalanya, haruman daripada syampu dapat menggoda perasaan Miah. Hampir sepuluh minit kemudian, barulah Man Bewak keluar dari bilik air. Badannya terasa nyaman dan segar. Mungkin daki-daki yang melekat di seluruh badannya selama ini, telah berjaya ditanggalkan dek sabun dan gosokan sewaktu mandi tadi lagi. Dan sekali lagi sewaktu melewati dapur rumahnya, Man Bewak tidak dapat menghilangkan bayangan Miah yang sedang sibuk menyediakan makanan buatnya di dapur yang digunakannya hanyalah untuk menjerang air dan membancuh kopi. Di dalam biliknya, Man Bewak memilih baju kemeja berlengan pendek yang ada corak bunga besar di dada berwarna merah terang. Sungguhpun tidak pasti sama ada Miah akan faham maksud sebenar corak bunga besar di dada itu, bagi Man Bewak, baju itu akan menampilkan kesegakan dan kekekaran tubuhnya. Seluar panjang hitam yang sudah diseterika semenjak dari semalam, turut dipilih untuk dipadankan dengan baju kemeja lengan pendek itu.
Selesai berpakaian, Man Bewak menyisir rambutnya. Pun begitu, dia juga menggunakan bedak yang dibelinya beberapa hari lepas. Bedak disapu dan dilumur ke serata kulit mukanya dengan seratarata mungkin. Dia tidak mahu nanti Miah akan mentertawakannya dan menggelarkannya sebagai lutung sesat angkara bedak yang terlalu bertompok dan banyak di mukanya. Bedak itu sepatutnya menjadikan kulit mukanya kelihatan gebu, bukannya untuk digelakkan oleh sesiapa pun, terutama sekali Miah. Bagi memastikan rambutnya nanti tidak berseronyeh dan dikusutkan dek angin, Man Bewak memilih untuk menggunakan minyak rambut berwarna hijau yang sekali pandang, tidak ubah seperti minyak gris yang digunakan untuk melicinkan pergerakan sendi engsel. Kemudian, dia mengambil sebotol minyak wangi yang dibeli di pekan sehari tiga hari sudah. Semburan minyak wangi dipercikkan ke serata bajunya. Biar wangi dan sedap hidung Miah menghirup baunya. Biarpun bau minyak wangi itu tidak akan bertahan lama, setidak-tidaknya baunya boleh meruntun perasaan Miah kepadanya. Itulah tujuan minyak wangi dipakainya. Tidak perlu wangi itu berkekalan. Cukup sekadar untuk kali pertama sahaja. Selepas itu, hangit ketiak pun tidak mengapa. Apabila Miah sudah terpegun dengannya, kalau dia berdaki setebal tiga inci pun, Miah tidak akan lari lagi. Kalau Miah sudah berjaya ditawan pada kali pertama, biarpun keadaannya lebih kurang sama macam Pak Long Lateh, Miah akan terus setia sampai mati.
Boleh tahan juga aku ni,
Man Bewak puji-puji dirinya sendiri sambil bergaya ala model di hadapan cermin hias di biliknya. Sebelum keluar, Man Bewak memastikan duit yang akan diberikan kepada Miah. Duit itu sangat penting, bukan sahaja untuk memikat Miah sebaliknya untuk dijadikan alasan mengapa dia perlu sampai ke rumah Miah tatkala Pak Long Lateh tiada di rumah. Kalau bernasib baik dan kena gayanya, Miah akan minta dia menemankan bini Pak Long Lateh itu sambil Miah sendiri akan sibuk menyediakan makanan tengah hari buat mereka berdua. Kalau nasibnya terlebih-lebih baik, Miah akan meminta Man Bewak tidur di rumah itu dan menemaninya sepanjang malam. Apa perlu ditakuti dengan orang kampung.
Orang kampung tidak akan peduli dengan apa yang dilakukannya bersama-sama Miah. Selama ini pun, orang kampung tidak pernah mengganggu ketika dia, Pak Su Cik Leh, Mat Ajib dan Pak Long Lateh bermain judi, minum arak ataupun lalok selepas pekena ganja dua tiga balut seorang. Jangankan hendak sampai ke pondok di pinggir kebun getah Cik Kiah, berjumpa di tengah-tengah jalan pun kebanyakan orang kampung akan mengelak atau buat-buat tidak nampak. Kalau pergi ke masjid, jarang sangat ada orang kampung yang sudi berada di sebelah untuk berjemaah. Kalau terpaksa pun, mereka tidak akan bersentuh bahu dengannya. Belum lagi dia jadi imam. Kalau dia jadi imam, semua orang pakat mufaraqah. Entah apa alasan mereka, Man Bewak tidak pernah minat untuk bertanya. Dan kerana itulah juga, dia sangat kurang dan tidak berminat langsung hendak mengabdikan diri dengan masjid. Kehidupan sebegitu jauh lebih mudah.
Orang kampung tak peduli suka dan cuba menjauhkan diri daripadanya, bererti dia mempunyai kebebasan tanpa had. Dia boleh melakukan apa-apa sahaja tanpa perlu diganggu perasaan bersalah. Kalau orang kampung tidak pernah mengganggu minatnya bermain judi bersama-sama Pak Long Lateh, Pak Su Cik Leh dan Mat Ajib, bermakna tidak akan ada sesiapa pun yang menegur apa yang akan dilakukannya bersama-sama Miah. Cuma satu perkara sahaja yang memberati fikirannya iaitu Tok Melah. Tok Melah kaki sibuk. Tok Melah kerap datang ke rumah Miah. Kadang-kadang untuk bersembang, namun lebih banyak untuk menyibuk dan mengorek rahsia Miah bersama-sama Pak Long Lateh. Tok Melah ada terlalu banyak masa untuk menyibuk dan mulut Tok Melah akan membuatkan cerita busuk bertukar menjadi bangkai berulat.
Ah, lantaklah! Kalau dia datang, aku menyoroklah,
Man Bewak bersuara perlahan. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Man Bewak ke bahagian hadapan rumahnya. Terfi kirfi kir juga dia sama ada hendak mengenakan kasut kulit hitam yang sudah dikilatkan. Lama sungguh kasut itu dibeli tetapi pakainya hanya beberapa kali sahaja. Bukan kerana Man Bewak terlalu sayangkan kasut itu tetapi tiada sebarang majlis istimewa yang memerlukan dia memakai kasut kulit hitam berkilat. Malah, kalaupun dia menyarung kasut kulit hitam berkilat itu dan berjalan keliling kampung, orang kampung pasti akan menyangkakan dia sudah gila, kalau tidak pun terlalu kuat berangan-angan.
Aku nak jumpa orang yang istimewa. Takkanlah aku nak sarung selipar pula Kalau aku pakai kasut ni, nampaklah bergaya sedikit,
beritahu Man Bewak kepada dirinya sendiri. Man Bewak tidak perlu berfikir panjang. Keinginannya sudah cukup untuk dia membuat keputusan. Selipar jepun yang sering disarung ke sana sini tidak akan bergerak hari itu. Dia memilih untuk mengenakan kasut kulit hitam berkilat bersama sarung kaki putih yang usianya sebaya dengan kasut kulit hitam itu. Selesai menyarungkan kasut kulit hitam, Man Bewak menarik daun pintu rumahnya. Pintu dikunci dari luar. Biarpun tiada apa-apa yang bernilai di dalam rumahnya, kehadiran pendatang asing di penjuru kampung sudah cukup mencuakkan. Apatah lagi, beberapa kejadian orang kampung kehilangan barang, pernah sampai ke telinganya. Tidak lama kemudian, Man Bewak sudah pun menapak ke arah rumah Pak Long Lateh. Hatinya kembang kempis. Dia tidak tahu apa reaksi Miah nanti apabila melihat kedatangannya. Bagaimanapun, Man Bewak benar-benar mengharapkan Miah akan memberikan sambutan yang hangat dan bukannya menganggap dia tidak wujud. Pada masa yang sama, Man Bewak mengharapkan tiada sebarang gangguan bagi membolehkan tujuan dan hajatnya tercapai. Berjalan di tengah-tengah panas, tidak menimbulkan sebarang perasaan tidak selesa. Malah di sepanjang perjalanan ke rumah Miah, Man Bewak tidak berhentihenti daripada mengkhayalkan Miah.
Hoi, nak ke mana tu Segak nampaknya... dah hari raya ke
Sakit sungguh hati Man Bewak apabila mendengar pertanyaan tersebut. Langkahnya segera mati. Badannya segera berpusing. Kepalanya segera berpaling. Pun begitu, orang yang menyapanya tidak kelihatan. Entah di mana orang yang menyapanya itu menyorok.
Ah, nak main-main pula dengan aku,
Man Bewak bersuara, bosan. Dia meneruskan langkahnya semula. Pun begitu, matanya sentiasa berawas. Kalau dia ternampak orang yang menyapa dan menyindirnya sebentar tadi, dia pasti akan menghadiahkan buku tangannya ke dahi orang tersebut. Biar orang itu tahu, dia tidak main-main. Biar orang itu sedar, dia tidak boleh dipermainkan.
Sombongnya kau, Man. Aku tanya kau pun, kau tak nak jawab.
Jangan....
Man Bewak tidak menghabiskan katakatanya. Sekali lagi dia berpaling dan sekali lagi juga, dia hanya bersendirian di jalan tanah merah menghala ke rumah Miah. Orang yang menyapanya menghilang. Saat itu, kemarahan Man Bewak hampir meletus. Namun mengingatkan, dia sedang dalam perjalanan ke rumah Miah dan Man Bewak tidak mahu penampilannya bertukar menjadi buruk, Man Bewak pendamkan sahaja kemarahan itu. Dia cuba meneruskan perjalanan, meskipun keinginan untuk membelasah orang jauh lebih kuat berbanding keinginannya untuk cepat sampai ke rumah Miah.
Amboi, Man... aku kat sini pun, kau buat-buat tak nampak saja.
Jangan kacau aku, boleh tak Aku ada urusan penting. Aku tak ada masa nak melayan orang macam kau,
Man Bewak bersuara sambil meneruskan langkahnya. Orang yang menyapanya terus ketawa. Mengejek.
Aku tahu kau nak ke mana, Man.
Kau apa tahu.
Kau nak ke rumah Lateh, kan Kau nak mengurat bininya.
Jantung Man Bewak seperti berhenti berdegup. Mana mungkin sesiapa pun tahu tentang perkara itu. Dia tidak pernah menceritakan kepada sesiapa pun, hatta kepada Mat Ajib sekalipun. Saat itu, hidung Man Bewak tercium bau busuk. Busuknya mengalahkan bau bangkai tikus. Dan bau busuk tersebut cukup dekat dengannya.
Bau apa ni
Man Bewak menguis-nguis hidungnya seolah-olah ingin mengusir bau itu daripada terus menusuk. Namun tindakannya itu ternyata gagal. Bahkan bau itu semakin kuat dan tekak Man Bewak menjadi loya. Pada masa yang sama, Man Bewak dapat berasakan seseorang sedang berdiri di belakangnya. Sangat dekat. Perlahan-lahan dia berpaling. Tatkala pandangannya bertembung dengan orang yang berdiri di belakangnya, Man Bewak hilang segala-galanya. Hanya mulutnya ternganga dengan mata terbeliak besar. Ingatannya terhadap Miah hilang entah ke mana. Keberaniannya selama ini, turut jatuh ke tapak kaki.
Kau....
Man Bewak tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Orang yang berdiri di hadapannya itu ialah Pak Su Cik Leh yang bukan lagi seperti Pak Su Cik Leh yang biasa dilihatnya. Pak Su Cik Leh yang ada di hadapannya, sudah bertubuh rosak. Sebahagian daripada mukanya sudah tidak berdaging. Matanya putih keseluruhannya. Tangan kanannya sudah robek dan sebahagian daripada tulang, tersembul. Begitu juga dengan kaki kirinya yang sudah hancur dengan pakaian yang koyak rabak. Sebahagian daripada kulit kepalanya terkopek. Air danur berlendir dan membusuk menitis dan jatuh ke tanah.
Kau terkejut tengok aku, Man Kau tak gembira ke Bukankah kita dah lama tak jumpa.
Pak Su Cik Leh bersuara. Bahagian pipi yang tidak berdaging, menampakkan rahang yang bergerak seiring dengan kata-kata yang dilafazkan.
Kau... kau... kau....
Man Bewak benar-benar kehilangan kata-kata.
Aku ni kan kawan kau. Aku dah balik, Man....
Kau... kau....
Man Bewak cuba kumpulkan kekuatannya. Sesuatu memberitahunya bahawa makhluk yang berada di hadapannya bukanlah Pak Su Cik Leh, kawannya yang telah menghilangkan diri bersama-sama Pak Long Lateh. Makhluk yang berupa seakan-akan Pak Su Cik Leh itu mengangakan mulutnya, seolah-olah ingin memperlihatkan barisan gerahamnya kepada Man Bewak. Dan saat itu, kekuatan bagaikan menjalar dalam setiap urat saraf Man Bewak. Tanpa menghiraukan penampilannya lagi, Man Bewak berlari sekuat-kuat hati. Dia langsung tidak berpaling. Malah dia langsung tidak berasa letih. Hanya beberapa minit kemudian, Man Bewak sudah pun berada di halaman rumah Miah. Dia tercungap-cungap. Nafasnya termengah-mengah dan menyesakkan dada. Dan dek kerana serangan pada bahagian dadanya itu, Man Bewak tertunduk dan langsung termuntah. Miah yang berada di dalam rumah, segera menjenguk. Tatkala mendapati Man Bewak berada di halamannya, dia tergopoh-gapah menuruni tangga dan langsung mendapatkan Man Bewak.
Man... kenapa ni Apa yang dah berlaku
tanya Miah sambil memegang bahu Man Bewak.
Aku... aku... aku....
Man Bewak cuba mengatur ayat-ayatnya sebaik mungkin. Namun ayat-ayat yang berada di dalam kepalanya saling bersilangsilang. Dia tidak tahu perkataan apa yang harus dituturkannya dahulu. Dia juga tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Miah tentang apa yang dihadapinya sebentar tadi.
Bertenang... satu persatu....
Miah mengurutngurut belakang badan Man Bewak.
Aku jumpa Pak Su Cik Leh.
Terletus juga ayat itu dari mulut Man Bewak. Mungkin gosokan Miah di belakangnya, menyembuhkan mengah dan tercungapcungapnya Man Bewak.
Kat mana
Miah bertanya, endah tidak endah. Mungkin dia menganggap kemunculan Pak Su Cik Leh adalah perkara biasa.
Kat jalan sana. Tapi dia....
Man Bewak langsung tidak dapat melupakan keadaan diri Pak Su Cik Leh dan bau bangkai yang dihidunya ketika berhadapan dengan bekas sahabat baiknya.
Dia ada sekali dengan Abang Lateh
Miah bertanya perlahan. Man Bewak menggeleng sepantas mungkin.
Dia cakap apa
Dia dah mati, Miah!
Man Bewak tidak mampu menyembunyikan rahsia itu lagi.
Yang aku jumpa tadi, bukan dia... tapi hantu dia. Badannya dah reput. Daging kepalanya dah berdener!
Miah renung muka Man Bewak dalam-dalam. Dia seperti cuba mencari kebenaran pada air muka Man Bewak.
Mana ada hantu siang-siang hari ni,
Miah cuba menyanggah Man Bewak.
Betul, Miah. Aku jumpa hantu Pak Su Cik Leh.
Miah masih tidak percaya dengan kata-kata Man Bewak biarpun nada Man Bewak begitu bersungguhsungguh.
Miah....
Man Bewak cuba mengatur nafasnya satu persatu biarpun ketakutan dan rasa terperanjatnya masih menguasai sebahagian besar daripada perasaan dan tubuhnya.
Ada apa
Miah bertanya, membalas.
Aku haus. Boleh tak bagikan aku segelas air.
Miah teragak-agak namun hanya seketika sebelum dia mengangguk.
Naiklah dulu. Nanti aku siapkan minuman untuk kau.
Sepatutnya pelawaan Miah itu menggembirakan Man Bewak tetapi Man Bewak sedikit pun tidak berasa gembira. Bahkan dia berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan Miah.
Marilah naik. Kau takutkan aku
Miah seperti mencabar Man Bewak.
Kau takut orang kampung nampak dan tangkap basah kita berdua
Bukan itu jawapan yang hendak diberikan oleh Man Bewak tetapi dia tetap mengangguk juga. Anggukan Man Bewak membuatkan Miah ketawa terbahak-bahak.
Jangan takut, Man... tak ada sesiapa pun yang tahu kau ada di rumah aku ni. Tak ada orang kampung yang teringin nak datang ke sini melainkan kau, Mat Ajib dan Tok Melah.
Tapi Tok Melah....
Tok Melah sibuk dengan halnya. Dia takkan datang ke sini hari ini.
Mat Ajib
Mat Ajib lebih sibuk dengan anak bininya.
Terasa lega dengan jaminan yang diberikan oleh Miah. Perlahan-lahan keinginan dan tujuan asal Man Bewak mengatasi perasaan takut dan cuaknya. Apatah lagi melihat punggung bulat Miah yang bergegar-gegar tatkala dia melangkah menuju ke tangga rumahnya. Miah pula bagaikan tahu apa yang dipandang oleh Man Bewak. Gegar daging pejal punggung bulatnya sengaja dibuat-buat bagaikan mencabar kejantanan Man Bewak yang tidak pernah teruji.
Kau nak minum saja, Man Makan tak mahu
Miah bertanya sebaik-baik sahaja dia menjejak lantai beranda.
Kalau kau ajak, aku seribu kali sudi.
Tapi tak ada apa-apalah. Banyak barang dah habis. Aku pula tak ada duit.
Man Bewak teringatkan duit yang ada di dalam kocek seluarnya. Sememangnya duit itu hendak diserahkan kepada Miah. Duit itu sepatutnya menjadi umpan kepada Miah. Ternyata, Miah seperti faham apa yang diidam-idamkannya. Tanpa bertangguh, Man Bewak terus menyeluk kocek seluarnya dan mengeluarkan wang kertas yang berlipat cantik. Kepingan wang kertas itu diserahkan kepada Miah.
Nah!
Eh, apa ni
Miah seperti terkejut. Atau lebih tepat lagi buat-buat terkejut.
Ambillah. Memang aku nak bagi kat kau pun. Aku tahu kau memang tak ada duit.
Tapi....
Ambillah. Aku ikhlas.
Miah mengambil huluran Man Bewak. Man Bewak terus mendaki anak tangga dan kemudian berdiri di lantai beranda sedangkan Miah pula tidak berganjak langsung dari tempat dia berdiri. Mereka bertentang pandangan. Kuntuman senyuman terukir di bibir Miah. Man Bewak berdebar-debar. Buat kali pertama, dia tercium bau nafas Miah sepanjang dia mengenali Miah.
Kau duduklah dulu. Duduk di dalam.
Miah bersuara perlahan. Macam pengantin perempuan yang malu-malu pada malam pertama bergelar isteri.
Aku siapkan minuman. Selepas itu, aku nak ke kedai beli barang-barang. Kau tunggu di rumah sekejap.
Seperti terkena sihir, Man Bewak menganggukangguk. Miah mendahului Man Bewak masuk ke dalam rumah. Man Bewak pula langsung tidak dapat melarikan pandangannya dari punggung Miah yang terlindung di sebalik kain batik yang dipakainya. Nakal matanya, membuatkan dia melihat Miah seperti tidak berpakaian langsung! Di dalam rumah, Man Bewak berasa lebih aman dan selamat. Setidak-tidaknya tiada mata yang memandang serong kepadanya dan Miah. Setidaktidaknya, dia bebas memerhatikan Miah tanpa perlu berasa malu lagi. Lagipun, Miah sendiri pastinya sedang kesunyian dan memerlukan seorang teman. Miah muncul semula dari arah dapur bersamasama senyuman lebar sambil menatang dulang yang berisi dua biji cawan dan seteko air yang entah apa jenisnya. Man Bewak pula sekadar menelan liur tatkala Miah tunduk dan kolar bulat lebar baju yang dipakai oleh Miah, menampakkan sesuatu yang sentiasa mengganggu kewarasan fikiran Man Bewak. Gelagat Miah benar-benar meruntunkan perasaan Man Bewak. Miah seperti sedang mencabar kejantanan dan keberaniannya.
Minumlah,
pelawa Miah tatkala kopi susu panas dituangkan ke dalam cawan dan dihulurkan kepada Man Bewak. Tiada langsung riak marah pada wajah Miah sekalipun Miah tahu apa yang dipandang oleh Man Bewak. Berkali-kali Man Bewak menelan air liur dengan mata yang tidak berkerdip. Perlahan-lahan cawan berisi kopi susu diangkat dan diletakkan di bibirnya. Dia menghirup tetapi kemudian, cepat-cepat meletakkan semula cawan itu ke lantai.
Kenapa
Miah bertanya sambil menahan tawa.
Panas.
Kelam-kabut Man Bewak menyapu bibirnya. Miah tidak dapat menahan geli hati. Dia ketawa terbahak-bahak. Riak kesedihan kerana kehilangan anak, langsung hilang dari wajah Miah semenjak kedatangan Man Bewak tadi.
Itulah, lain kali tengok dulu air tu panas ke tidak... ini tidak, asyik pandang benda lain saja,
kata Miah sambil disusuli tawa kecil. Man Bewak pandang muka Miah. Kata-kata Miah menarik perhatiannya.
Kau tak marah
Man Bewak memberanikan dirinya untuk bertanyakan soalan tersebut. Miah pandang ke tempat lain namun pada masa yang sama, bibirnya mengorakkan senyuman. Dia menggeleng-geleng kecil.
Betul ni
Man Bewak seperti tidak percaya.
Buat apa aku nak marah. Aku lagi suka. Setidaktidaknya ada juga orang yang menghargai aku. Lagipun Abang Lateh macam dah tak nak kat aku. Balik pun tidak.
Kali ini Man Bewak tidak lagi berselindung. Cawan kopi susu tidak dihiraukan. Dia terus menginsut dan rapat dengan Miah. Tangan Miah terus dipegang dan digenggam. Miah tidak menarik tangannya. Miah seperti merelakan Man Bewak melakukan apa-apa sahaja kepadanya. 20