KUNANG PESISIR MORTEN - 16
Kami pulang dari Jalan Wolferstan dengan jiwa terangkat ke langit kerana hari ini terus memberi tanda ia hari yang baik. Tuhan sesungguhnya sentiasa menunjukkan jalan kepada sesiapa yang tidak berputus kepada perkataan harapan. Dhiya kembali dengan peta diminta Lim dan aku pulang setelah memberi seluruh hatiku kepada anak jelita keturunan India Muslim.

Kami ke rumah Lim. Walaupun ada rasa takut ditangkap bapanya, kami cekalkan dan mengambil batu membaling tingkap bilik tingkat atas.

Lim, kami dah balik!

Kami melihat Lim perlahan-lahan membuka tingkapnya. Kepala Lim terjengul dengan sengih.

Sekejap! Aku turun bawah!

Aku dan Dhiya berpandangan. Adakah perintah larangan bertemu telah ditarik Derap kaki laju menuruni tangga dan Lim sudah pun sampai. Dhiya terjengil.

Kau dah boleh jumpa kami

Tak. Bapa aku keluar sekejap. Cepat! Keluarkan peta kau! Aku pantas membentangkan peta ke kaki lima.

Mana koordinat tu Dhiya

Dhiya mengeluarkannya dari poket. Lim melihatnya dengan mata tajam seorang analisis Cina yang mengambil kira semua faktor kemungkinan. Kau tahu nak guna macam mana Dhiya mengangkat bahu.

Ya. Aku rasalah Kita tandakan semua koordinat. Dari situ kita boleh teka di mana pencuri itu tinggal atau bekerja!

Lim sengih. Aku pula tidak faham langsung bagaimana sejumlah koordinat boleh menentukan tempat tinggal pencuri.

Kau makin bagus, Dhiya! Aku tambah sikit. Dari semua koordinat, kita buat unjuran beberapa minit perjalanan untuk kecilkan kawasan pencarian.

Mata Dhiya berbinar-binar mendengar teori Lim.

Bukan Lim! Bukan! Kawasan sebenar lebih kecil lagi! Aku tahu sekarang kenapa pencuri tu tak perlu jumpa pembelinya. Dia sentiasa perhatikan mereka! Dan perlu ketinggian bangunan! Besar kemungkinan dia tinggal di rumah kedai atau bangunan bertingkat!

Aku melongo, hampir meleleh air liurku melihat kehebatan pertembungan agung seorang analisis dan pemikir visual genius.

Hahaha! Bagus Dhiya!

Sejurus itu, aku menyaksikan Lim pantas mengajar bagaimana membaca dan menandakan koordinat-koordinat pertemuan. Bagaimana curian antik bertukar tangan kepada penjual pasaran gelap. Kami mula nampak coraknya. Jelas sekali kedudukan antara koordinat walaupun rencam, tidak jauh pun antara satu sama lain. Kami berpandangan sesama sendiri melarik senyum. Ini bermakna, radius pencarian lebih kecil dari kami sangka. Lim kemudian naik ke atas mencari pembaris dan set Bofa.

Lim turun kembali dengan larian pantas dan mula membuat unjuran dan menyambung teorinya.

Kita anggar berdasarkan penglihatan guna binokular.

Binokular biasa dapat lihat jelas dalam jarak satu kilometer!

Aku yang tertinggal dalam perbincangan ini cuba menyelit menunjuk pandai seperti biasa. Lagipun, aku benar-benar mahu mengecilkan kawasan pencarian.

Kenapa binokular Bukan ke ada kemungkinan pencuri tu cuma perhati pembelinya dari tingkat atas

Dhiya mengeluh. Lim malah menggelenggeleng kepala mendengar kataku. Dhiya menjawab seperti mengajar anak tiga tahun huruf ABC.

Kau ni Adi! Kau tak sedar ke corak kerja pencuri ni sangat teratur! Tak tinggalkan jejak. Tak ada wajah. Sangat bergaya! Dia tak akan duduk terlalu rapat dengan pembeli kerana mereka bila-bila saja boleh khianat!

Lim menandakan unjuran satu kilometer dari setiap koordinat dan mula membuat bulatan radius kawasan pencarian.

Aku yakin dia guna binokular. Cukup jauh daripada dikesan pembeli dan cukup jelas untuk dia lihat penghantarannya berjaya atau tidak.

Dan akhirnya radius itu siap. Lim dan Dhiya menarik nafas panjang. Kami bertiga terpaku melihat seperti tidak percaya. Satu-satunya bangunan bertingkat yang bersilang dengan bulatan radius adalah bangunan yang kami kunjungi setiap hari.

***

Bening sekali. Aku tidak sabar setelah melihat rumusan mereka.

Kau yakin

Lim diam. Kemudian, mengangguk-angguk mengiakan.

Koordinat ni tak menipu kan Dan memang kita jumpa barang kemas Haji Ibrahim di kawasan ini juga! Dhiya antara teruja dan bingung.

Mungkin kita pernah berlanggar bahu dengan dia. Mungkin dia pernah tegur kita.

Tapi siapa Siapa

Kami dengar derap kaki. Menoleh dan melihat bapa Lim pulang dari bepergian. Matanya kecewa melihat Lim masih bertemu kami. Lim menoleh kepada Dhiya.

Cari dia Dhiya! Bersihkan nama aku. Nama bapa aku! Aku percaya kau boleh buat!

Lim kemudian pantas berlari masuk ke dalam meninggalkan kami berdua menghadap bapanya. Bapa Lim menarik nafas panjang dan cuma dapat berkata perlahan;

Balik!

Aku dan Dhiya pantas mengemas barang-barang, meminta diri dan berlari pulang. Kami singgah ke rumah cuma untuk meletakkan peta dan barang-barang lain sebelum kembali meneruskan perjalanan. Kami tidak tahu siapa atau bagaimana kami mulakan pencarian. Tetapi kaki kami tetap membawa ke Kampung Jawa.

***

Kampung Jawa lagi. Sesuatu telah berlaku di sini. Kami terhenti dengan keriuhan. Bingung. Kejadian apakah yang mengundang segala pangkat polis dan pegawai majlis perbandaran Majlis keramaian apakah hingga menjemput lori besar dan jentolak Siapa yang dapat menduga Beberapa dekad selepas 1921 apabila orang kampung dipaksa keluar dari rizab mereka sendiri dan dipindahkan ke Kampung Morten, hari ini berlaku lagi satu penggempuran atas nama pendudukan haram

Di dalam kesibukan Kampung Jawa dan teruja dengan penemuan barang kemas semalam membuatkan kami tidak menyedari penduduk setinggan Kampung Jawa

melalui jerih payah penduduk yang tidak

akan diiktiraf. Dan hari ini mereka mendapat notis terakhir untuk keluar sebelum penempatan dirobohkan.

Ada yang telah beralah membuat keputusan mengemas barang-barang mereka yang tidak pun banyak kerana mereka juga seperti penduduk pra setinggan. Yang setiap kali monsun, terpaksa mengharung banjir kilat. Tetapi lebih ramai lagi berdegil, tidak berganjak walau apa pun terjadi dan terus menduduki kawasan yang telah didiami nenek moyang mereka sebelum dipajak dan diusahakan kerajaan Inggeris.

Namun, nampaknya mereka mengambil mudah cita-cita besar ketua menteri muda yang mahu menyahkan segala kehodohan dan kecelaan di celah pembangunan negeri Melaka. Merinding hati melihat rumah mereka dikepung polis dan penguasa Majlis Perbandaran. Dhiya terpaku melihat mereka mula membuat dinding perisai manusia dengan keinginan gila mempertahankan rumah papan lapis dari dirempuh jentolak yang siap menunggu.

Mereka yang menjual tampak fizikal cantik dengan menutup segala kecelaan bandar Melaka ini akan berjaya. Di tahuntahun akan datang, Melaka secara konsisten menjadi negeri paling rendah mencatatkan kadar penduduk setinggannya sehingga 0.03% pada 2010. Namun, aku percaya statistik itu pada permukaannya sahaja. Kerana masih ramai miskin tegar yang tidak dikenal pasti kerana telah disapu bawah permaidani bernama pembangunan negeri.

Aku menarik tangan Dhiya, mengajaknya pergi bukan kerana kami tergesa mencari pencuri ghaib tidak berwajah. Tetapi kerana tidak sanggup lagi menyaksikan derita mereka. Dhiya longlai sambil kepalanya terus menoleh hingga mereka hilang dari pandangan.

Aku mendongak, melihat bangunan kedai di mana Cik Ani berniaga membuka restorannya sejak empat tahun lalu. Kami beruntung kerana Kampung Jawa tidak banyak bangunan bertingkat yang sinonim dengan kawasan perniagaan Cina. Peniaga mikro Melayu, lebih senang menyewa kedai kecil setingkat yang dalam jangka masa panjang memudahkan penyelenggaraan dan meminimumkan kos. Justeru itu, sekaligus kami dapat mengecilkan kawasan pencarian dengan penemuan ke bangunan ini.

Adi! Tengok tu! telunjuk Dhiya menunjuk tingkat paling atas.

Dhiya memerhati. Meneliti. Tidak banyak yang istimewa tentang bangunan ini. Cuma bangunan moden 80-an ringkas dengan fungsi asas ruang perniagaan. Satu perkara yang membuatkan Dhiya yakin mereka bertemu bangunan yang betul adalah kerana bangunan ini punya laman bumbung yang lapang. Laman bumbung. Tempat mana lagikah yang lebih sesuai memerhati orang tengah pasaran gelap antik

Betul kata Lim! Inilah tempatnya!

Aku diam sebentar. Tapi, macam mana nak kenal pencurinya, Dhiya

Aku tahu Dhiya sendiri belum membuat apa-apa rumusan. Walaupun kawasan pencarian kini sudah menjadi sangat kecil, tetapi jika mahu kami memerhati, menunggu dan memeriksa setiap unit rumah kedai tiga tingkat dua belas lot itu masih lagi cabaran besar bagi anak sembilan tahun. Dhiya duduk, bingung. Aku cuba memberi semangat memujuk diriku sendiri.

Kau boleh, Dhiya! Kita dah sampai sejauh ini! Kau mesti boleh kecilkan kemungkinan pencuri yang tinggal sini! Dhiya mendengus. Menekup mukanya dengan telapak tangan.

Kau pun tahu tak semudah kan Kita cari orang yang ada banyak rupa!

Aku melihat Dhiya skeptik.

Banyak rupa Sejak bila kau percaya dengan kuasa magik

Bukan tu maksud aku, Adi! Kita cari orang yang sorokkan identiti sendiri! Orang yang senang masuk keluar sana sini! Aku yakin, rupa dia macam orang baik-baik, bekerja tetap. Sangat teliti... Dia genius, Adi!

Aku melongo. Baru ku faham maksudnya itu. Jadi, macam mana nak bezakan dia dengan orang biasa Dhiya meniup rambut gerbang yang menutup matanya.

Aku tak tahu. Sumpah, aku tak tahu!

Geram aku. Aku tahu dia mudah hilang moral semangat bila Lim tiada bersama. Perempuan itu kalau sudah dikurung mentalnya, mudah mengalah. Kalaulah aku yang punya kebolehan sepertinya.

Kalau kau tak tahu, kau boleh mula fikir sekarang! Kita mula cari di lot hujung tu!

Aku menarik tangannya, memaksa Dhiya mengikut. Mendengus lagi.

Iya! Baik! Aku ikut!

Aku tidak akan berganjak. Semua ini

untuk Lim. Kami tiba di lot pertama, kedai pertama.

Mula dari sini! Kau nak aku tolong memang tiada apa yang dapat ku bantu pun.

Dhiya melihat kedai lot hujung. Kedai yang beroperasi petang ke malam. Menghidangkan makanan bergoreng, sup, masak Utara dan Siam. Sebenarnya mereka akan memasak hampir apa sahaja. Dhiya mengimbas lantai kedai.

Kedai ni Tak payah! Buang masa periksa kawasan orang tak ada cita-cita!

Hah Apa kaitannya

Adi! Pencuri bergaya tak akan kerja kedai kotor rencam macam tu!

Aku menarik nafas. Tanganku menunjuk tingkat atas.

Baik. Naik tingkat satu!

Kami berlari ke tingkat satu. Pintu tertutup rapat. Cuma kedengaran lagu dikir barat dipasang. Di lantai koridor, ada beberapa pasang kasut dan selipar bersusun. Di bawah pintu, kelihatan kemasan karpet hijau dan di pintu pula berbingkai emas ayat Kursi yang cantik. Aku menoleh kepada Dhiya.

Orang Pantai Timur. Penyokong kuat parti bulan. Berniaga dan tinggal di sini. Tiga orang anak kecil. Terlalu alim dan kolot untuk mencuri!

Aku angguk, menunjuk ke tingkat atas. Kami berlari lagi. Tingkat dua.

Beberapa helai kain batik cetak yang sangat cantik berwarna gemilang disidai selepas proses nyah lilin. Juga tersusun indah pasu bunga rimbunan Hydrangea mekar.

Dhiya menggelengkan kepala. Aku menyampuk.

Orang Pantai Timur juga

Ya. Mungkin saudara atau kenalan dengan dua penghuni tingkat bawah. Terlalu artistik dan suka kerjanya untuk buat kerja sambilan mencuri!

Angguk lagi. Tanganku menunjuk ke dinding.

Sekarang, lot sebelah!

Kami turun ke tingkat bawah dengan lari berselang lompat. Mengejar masa. Masih banyak lot yang perlu dilihat.

Dan sekarang, lot dua tingkat bawah. Sebuah kedai menjual pinggan mangkuk kaca. Segala-galanya disusun begitu teratur, bersih dan sempurna di atas rak kaca juga. Aku fikir mungkin kami akan menemui sesuatu di sini kerana pencuri itu jelas mementingkan kesempurnaan. Aku menoleh dan Dhiya menggeleng kepala. Mudah saja dia berkata;

Rapuh sangat!

Kami naik ke tingkat satu. Beruntung kerana pintu depannya diperbuat dari kaca. Walaupun bahagian depan kedai kosong, kami dapat melihat dalaman kedai yang dijadikan sebuah pejabat setiusaha syarikat. Walaupun mudah menduga tidak banyak syarikat yang diuruskan, tetapi fail-fail bersepah berjejeran. Aku sudah dapat menduga

apa yang mahu dikatakannya.

Selekeh!

Sekarang, lot dua tingkat dua. Sepatutnya memberi tanda baik kerana orang Cina yang mempercayai tuah pada nombor melabelkannnya sebagai mudah. Tetapi Dhiya terdiam lama. Kerana sememangnya tiada apa yang boleh dilihat kecuali bingkai dan pintu bewarna neutral. Dhiya melihatnya seperti melihat sekeping kanvas putih kosong. Menoleh.

Tak tahu. Sumpah!

Aku mengangkat bahu.

Kita tunggu tuan kedai balik buka pintu. Nanti kita datang lagi!

Dhiya mengangguk-angguk setuju. Kami berlari turun untuk ke lot seterusnya.

Tingkat bawah lot tiga ini bukan asing lagi kepada kami. Di sinilah tempat kami menghantar kuih setiap hari. Kedai yang membantu Dhiya mengumpulkan dana membeli set warna asas Rowney. Kedai itu sibuk seperti biasa. Cuma hari ini tanpa kuih kami. Dua hari ini kami benar-benar sibuk dengan urusan hidup dan mati.

Aku memandang Dhiya dengan penuh dengan pertanyaan.

Kau gila Kau tengok Cik Ani!

Aku memerhatikan Cik Ani dari jauh. Menyaksikan bagaimana lantang deras mulutnya memberi arahan kepada pekerja.

Tak ada rahsia di dunia ni yang boleh dia simpan!

Aku mengangguk faham dan mahu

melangkah ke tingkat atas. Kemudian kami dengar jeritan bertih jagung itu. Aduh. Adi! Dhiya! Budak bertuah!

Kami menoleh melihat Cik Ani dengan pos yang menggerunkan. Mencekak pinggang dengan ekspresinya bengis sekali.

Kau berdua pergi mana Kenapa tak hantar kuih!

Errr Kami sibuk Cik Ani. Lagipun, ibu Adi tak sihat nak buat kuih!

Cik Ani merapatkan mukanya. Sungguh ngeri.

Adi! Dhiya! Kamu berdua dah jadi pembekal tetap. Kalau ada yang sakit, tak boleh buat, ganti dengan kuih lain! Penat aku kena menjawab bila tak ada benda nak dijual, faham

Aku dan Dhiya menahan nafas. Takut sekali bila perempuan Melaka mengamuk. Kemudian, Cik Ani berpaling seperti tiada apa yang berlaku. Nafas lega. Kami mahu meneruskan perjalanan ke tingkat atas sebelum Cik Ani berkata selamba;

Kau berdua tak ada kerja kan Tolong Cik Ani carikan Tam. Dari semalam tak turun makan! Risau pula aku.

Aku mengerut dahi. Memang sudah lama tidak bertemu dengan Tam.

Mana rumah dia, Cik Ani

Tangan Cik Ani menunjuk tingkat atas.

Lot sebelah! Tingkat atas sekali!

Aku memandang perempuan itu. Dhiya mengerti. Rumah yang meninggalkan di dalam benaknya kanvas putih kosong. Kami segera berlari naik ke lot dua tingkat dua. Teruja. Bukan kerana mencari pencuri. Tetapi, setelah berbulan-bulan sukar sekali menelaah budak bernama Tam yang diselubungi aura misterius. Aku malah melihat Dhiya senyum lebar walaupun lelah memanjat tangga. Aku faham. Dhiya jarang sekali ketemu manusia yang tidak dapat dikupas dibaca. Kami tiba di depan pintu berkemasan coklat muda yang bersih dan elegan. Assalamualaikum! Tam Tam

Menunggu seketika. Kemudian, perlahan-lahan pintu separuh terbuka. Kami melihat Tam tenang. Tetapi kolam mata itu tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya.

Dhiya

Dhiya pantas membuka mulut. Aku tahu muslihatnya. Dhiya mahu melihat kediaman Tam sambil bercakap dengannya. Tam! Cik Ani panggil kau makan. Dia cakap, kau

Ya, Dhiya telah melihat sesuatu. Sebenarnya, tidak banyak yang dapat kau lihat di sebuah rumah didiami seorang budak dan bapanya. Rumah itu sangat minimalis dengan semangat zen berserta keperluan asas tilam, lapik cadar dan almari kecil dengan beberapa buah buku. Tetapi, itu sudah cukup untuk Dhiya membuat rumusan tentang segala-galanya.

Mata Dhiya berkunang berbaur kejutan. Tam membalas dengan renungan mengerti.

Tam!!!