Tiada Tajuk - 16
Bab 16

"Tunggu. Sebenarnya bukan itu tujuan saya panggil awak," luah Haida tiba-tiba.

Arfan yang sudah separa bangun, duduk semula. Kembali menyelesakan dirinya.

"Sebenarnya, saya nak minta tolong..." sambung Haida.

"Saya mendengar," kata Arfan dalam kemusykilan.

"Saya nak minta, awak tolong siasat tentang sesuatu. Atau... seseorang."

"Siapa"

"Saya tak tau. Yang saya tau nama dia Han."

"Han Terlalu ramai orang nama Han. Susah nak cari kalau itu saja yang awak boleh bagitau saya."

"Dia adalah kenalan arwah ibu saya. Dia kenal ibu saya dari masa sebelum saya dilahirkan."

"Macam mana awak boleh tau pasal dia Dan kenapa awak nak cari dia"

"Saya nampak dia dalam salah satu ramalan saya. Satu-satunya ramalan yang saya pernah dapat tentang masa lampau. Dalam ramalan tu, saya nampak seorang lelaki yang bernama Han mengucapkan tahniah kepada ibu saya setelah dia mendapat tahu bahawa ibu saya sedang mengandung. Mengandungkan saya."

"Apa signifikannya lelaki tu Kenapa awak rasa dia penting untuk disiasat"

"Sebab kalau dia tak penting, dia takkan muncul dalam mimpi-mimpi saya. Saya nak tau dia siapa. Sebelum saya mati. Ini adalah permintaan terakhir saya."

"Hmm... saya ni cuma wartawan je. Bukan polis atau penyiasat. Tapi saya akan cuba..."

"Mungkin ayat ni boleh membantu. Saya tak tau apa maksudnya. Tapi saya sering nampak ianya muncul di merata tempat dalam ramalan-ramalan saya."

Haida mencapai sehelai kertas yang terselit di antara dokumen-dokumen lain dalam fail Arfan di hadapannya. Dia meminta pen Arfan juga. Menulis sesuatu dan menyerahkan semula kepada Arfan.

Arfan membaca ayat tersebut lalu mengangguk.

"Baiklah. Saya akan tengok apa yang saya boleh buat. Terima kasih."

Arfan bangun dan meninggalkan tempat itu cepat-cepat. Tak mahu berada di situ lebih lama lagi. Setiap saat membuatkan kewarasannya terancam.

Semasa perjalanan pulang, Arfan tak banyak bercakap. Bila rakan setugasnya bertanya, sepatah-sepatah yang dia jawab. Barangkali kerana dia masih bengang kerana ditinggalkan terkontang-kanting dan terpaksa berhadapan dengan tugasan yang agak berat seorang diri. Tapi lebih dari itu lagi, Arfan tidak banyak bercakap sebab otaknya tak dapat menumpu pada sebarang komunikasi. Ianya terlalu ralit tentang beberapa perkara. Khususnya sesi temu bualnya dengan Haida tadi.

Sewaktu berhadapan dengan Haida, bercakap-cakap dengannya, semasa duduk di dalam bilik itu, Arfan tidak begitu merasa apa-apa. Melainkan sensasi gemuruh atau seram sejuk. Fikirnya itu normal kerana ini hari pertamanya bekerja. Semua orang mengalaminya. Tapi bila Arfan sudah keluar dari tempat itu. Berkilometer jauh meninggalkan Haida. Pelbagai emosi lain datang menerjah. Yang tadinya tak ada, jadi ada.

Aneh bila memikirkan, imbasan semula sesebuah pengalaman itu, boleh jadi lebih menakutkan dari semasa pengalaman itu sendiri berlaku.

Ketika di depannya, rupa Haida memang menakutkan. Tapi tidaklah sehingga membawa gigil ke seluruh tubuh Arfan seperti yang dia sedang alami sekarang apabila mengingatkan semula wajah wanita itu. Dan setiap kata-kata Haida.... Arfan cuba membayangkannya. Cuba berfantasi, bagaimana saat-saat kematiannya nanti. Cuba merangka setiap butir secara terperinci, sepertimana yang Haida alami. Daripada nazak, roh dicabut... dan apa yang berlaku selepasnya. Namun pembayangan Arfan lebih berlandaskan apa yang dia tahu. Apa yang kebanyakan orang tahu. Melalui ajaran yang disemai sejak kecil berpandukan Al-Quran dan hadith.

Tapi sekurang-kurangnya, Arfan bersyukur kerana Haida tidak menjawab salah satu soalannya tadi. 'Apa yang berlaku selepas tu' Sebab hakikatnya soalan itu terkeluar dari mulutnya atas dasar keghairahan untuk mengorek cerita. Tanpa memikirkan lebih lanjut tentang implikasinya jika seseorang itu benar-benar 'tahu' tentang apa yang berlaku selepas nyawa kita dicabut. Bila difikirkan semula, Arfan memang tak mahu tahu. Cukuplah sekadar pengetahuan yang ajaran Islam sudah bekalkan untuknya. Dia tak mahu tahu lebih dari itu. Sebab ianya melawan fitrah manusia. Ada benda-benda yang memang manusia tak patut tahu. Hanya patut mengalami bila masanya tiba nanti.

Cerita Haida juga, dalam masa yang sama mengukuhkan keyakinan Arfan tentang sesuatu.

Memang ada kehidupan selepas mati.

Ketenangan dan seksaan di alam kubur. Hari penentuan di Padang Mahsyar. Syurga dan neraka. Semua itu ada. Bukan Arfan tak percaya sebelum ini. Memang percaya. Tapi mendengar dengan telinga sendiri dari seseorang yang mendakwa bahawa dia sudah nampak atau mengalaminya sendiri, membawa kepercayaan Arfan terhadap semua itu ke satu tahap yang baru.

Adakah ini bermaksud yang aku percaya pada kata-katanya

Soal Arfan pada diri. Soalan yang mengajak minda dan hatinya untuk mengubah sedikit haluan. Menuju ke arah yang lebih rasional.

Ya aku percaya pada kewujudan paranormal. Tapi aku juga seorang yang berpandukan logik.

bersambung

Bab akan datang:

Apakah ayat yang sering muncul di dalam ramalan-ramalan Haida Bagaiamanakah caranya untuk Arfan mencari Han